Novel Formula Termodinamik : Sinopsis, Tema, Nilai, Pengajaran. Nota meliputi persoalan, plot, latar, watak perwatakan, gaya bahasa.

Novel Formula Termodinamik : Sinopsis, Tema, Nilai, Pengajaran

novel formula termodinamik sinopsis tema nilai pengajaran soalan

Perhatian kepada pelajar Tingkatan Satu di sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Antara mata pelajaran yang penting adalah Bahasa Melayu dimana terdapat bahagian Komponen Sastera (KOMSAS) yang menguji penguasaan bahasa pelajar. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan nota-nota berkenaan Novel Formula Termodinamik : Sinopsis, Tema, Nilai, Pengajaran.

Hasil penulisan Obasiah Haji Usman ini telah diterbitkan pada tahun 2000 dan antara karyanya yang lain bertajuk Tautan Kasih serta Bertaut. Novel ini dipilih menjadi komponen sastera untuk pelajar kerana mempunyai iktibar dan nilai yang berguna untuk mereka. Sebagai contoh nilai kreativiti dan inovatif yang boleh dikaitkan dengan diri pelajar yang terlibat dengan pelbagai perkara yang memerlukan nilai ini sama ada di sekolah ataupun di rumah.

Novel Formula Termodinamik : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran

Di bawah dikongsikan nota-nota Novel Formula Termodinamik : Sinopsis, Tema, Nilai, Pengajaran. Begitu juga dengan nota binaan plot, latar, gaya bahasa dan contoh soalan yang lazimnya disoal dalam ujian atau peperiksaan.

Tema

Novel Formula Termodinamik bertemakan cabaran dua orang remaja yang kreatif mengubah suai mesin untuk manfaat orang kampung.

Amir dan Usamah telah berusaha untuk mengubah suai mesin rumput terpakai menjadi mesin memotong rumput dan juga mencangkul tanah. Hasil daripada pengajian di politeknik, Amir dan Usamah mempraktikkan ilmu yang mereka pelajari bersama-sama daya kreatif dan inovatif bagi memudahkan petani-petani di kampung.

Usaha Amir dan Usamah diketahui oleh Aswan dan berasa iri hati kerana dia tidak mahu orang lain menempa nama di kampung mereka. Aswan telah mengambil jalan pintas dengan mencuri formula yang digunakan oleh Amir untuk mencipta model yang sama tetapi berbeza fungsinya.

Selepas Aswan mengaku dia yang mencuri formula tersebut, Amir dan Usamah meneruskan usaha mereka dan berjaya mencipta mesin 2 dalam 1. Penduduk kampung Warisan dapat menggunakan mesin mereka untuk memotong rumput dan membajak tanah di sawah-sawah padi masing-masing. Mereka juga turut menerima Anugerah Saintis Muda dan ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Persoalan

1)  Persoalan daya kreatif dan inovatif adalah penting untuk menghasilkan satu ciptaan

  • Amir dan Usamah berusaha mengubah suai mesin rumput terpakai bagi memudahkan neneknya dan orang kampung yang lain untuk membajak tanah pertanian

2) Persoalan kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupa seharian

  • Aswan menyesali perbuatannya kerana mensia-siakan peluang pendidikannya dan lebih suka berfoya-foya

3) Persoalan sifat cemburu dan dengki terhadap orang lain

  • Aswan yang tergugat dengan Amir dan Usamah yang mengubah suai mesin rumput terpakai emnjasi mesen mencangkul tanah

4) Persoalan pengaruh rakan sebaya yang boleh menyesatkan diri

  • Fikri dan Majibon yang berkawan dengan Aswan telah bersekongkol untuk melakukan perbuatan yang tidak baik seperti mencuri

5) Persoalan keinsafan ke atas kesalahan yang dilakukan

  • Aswan meminta maaf daripada Amir atas kesalahannya mencuri barang kepunyaan amir

6) Persoalan mempraktikkan etika yang baik dalam setiap aspek kehidupan

  • Fikri yang berpegang teguh kepada etika kerja, bersaing secara sihat dengan Amir dan Usamah

Sinopsis

Novel Formula Termodinamik bermula dengan pengarang memerihalkan kawasan kampung yang dikelilingi sawah padi. Amir dan Asma mengimbau kembali kenangan manis mereka sewaktu kecil apabila mereka selalu bermain di tepi sawah bersama-sama Usamah, Adnin dan Zaid. Asma yang merupakan anak kacukan Dusun dan Brunei berjaya melanjutkan pengajian ke maktab perguruan manakala Amir dan Usamah ke politeknik. Mereka bertemu semula ketika Amir dan Usamah menghabiskan cuti semester di rumah nenek mereka yang tinggal bersebelahan dengan rumah Asma.

Amir dan Usamah merancang untuk mengubah suai mesin rumput menjadi satu mesin yang mempunyai dua fungsi iaitu memotong rumput dan mencangkul tanah. Amir berhubung dengan Professor Othman untuk memahami Formula Dua Hukum Popular Termodinamik yang digunakan untuk mesin 2 dalam 1. Aswan yang mendapat berita mengenai usaha Amir dan Usamah berasa tergugat dan ingin menyaingi mereka. Dia mengajak Majibon dan Fikri untuk bersama-sama mencipta mesin yang sama.

Formula Dua Hukum Popular Termodinamik hilang daripada storan Amir. Pencerobohan data juga berlaku kepada storan data syarikat ayahnya. Dia cuba menghubungi ayahnya tetapi tidak berjaya kerana ayahnya sibuk bekerja. Amir mencari jalan untuk menangkap dalang dibelakang perkara ini. Satu kejadian banjir berlaku di kampung dan Aswan bersama rakannya hampir lemas dibawa arus air yang kuat. Amir yang kebetulan berada di situ menyelamatkan Aswan dan rakan-rakannya.

Aswan yang berasa malu dan serba-salah telah mengakui kesalahan yang dilakukan terhadap Amir. Amir memaafkannya dan menyiapkan mesin 2 dalam 1 bersama Usamah. Mereka berdua berjaya memenangi Anugerah Saintis Muda selepas berjaya mencipta mesin 2 dalam 1 yang memudahkan penduduk kampung untuk bertani. Amir dan Usamah turut ditawarkan biasiswa kerajaan bagi melanjutkan pelajaran di luar negara.

Watak dan perwatakan

1) Amir

  • Watak utama yang merupakan penuntut akhir Diploma Kejuruteraan Am
  • Seorang yang mempunyai darah kacukan Cina dan Brunei
  • Seorang yang kreatif dan inovatif kerana telah mencipta mesin 2 dalam 1 berpandukan fomula termodinamik dan daya kreativitinya
  • Seorang yang teliti apabila mendapatkan nasihat Professor Othman tentang projek mengubah suai mesin rumput
  • Seorang yang sedia berkongsi ilmu dengan orang lain. Contohnya Amir berkongsi pengetahuan dengan Aswan dan kawan-kawannya walaupun dia mengetahui Aswan ingin menandinginya
  • Seorang yang penyayang apabila menggenggam erat tangan neneknya yang terbaring lemah selepas menjalani pembedahan

2) Usamah

  • Merupakan sepupu dan rakan baik kepada Amir
  • Seorang penuntut politeknik di Perak
  • Mahir dalam mengendalikan komputer
  • Seorang yang kreatif dan inovatif kerana turut bersama Amir dalam mengubah suai mesin rumput
  • Seorang yang optimistik kerana menasihati Amir agar tidak berfikiran negatif dalam melaksanakan projek mereka

3) Aswan

  • Lepasan politeknik dan merupakan anak ahli perniagaan yang berjaya
  • Seorang yang pantang dicabar apabila mendapat tahu tentang Amir dan Usamah yang sedang mencipta mesin 2 dalam 1
  • Seorang yang angkuh kerana menganggap tidak ada seseorang pun di kampung yang lebih hebat daripadanya
  • Seorang yang busuk hati setelah mencuri dua HUkum Popular Termodinamik daripada storan data milik Amir

4) Asma

  • Gadis yang mempunyai darah kacukan Dusun dan Brunei
  • Merupakan sepupu kepada Amir dan Usamah
  • Penuntut di maktab perguruan
  • Seorang yang menghormati orang tua
  • Seorang yang lemah lembut, sopan tetapi tegas

Plot

Permulaan

Novel bermula dengan pemerian Amir dan Asma yang menimbau kehidupan mereka sewaktu kecil. Mereka hanya bertemu semula setelah meningkat remaja. Usamah menuntut di Politeknik Perak, Amir menuntut di Politeknik Putatan dan Asma menuntut di maktab perguruan di daerah Putatan. Asma merupakan dua pupu kepada Amir dan Usamah.

Perkembangan

Amir dan Usamah berhubung dengan Professor Othman tentang projek pengubahsuaian mesin rumpur yang terpakai. Amir meminta Professor Othman untuk menitipkan Formula Dua Hukum Popular. Selepas mereka menerima sedikit penerangan dan faham akan formula tersebut, Amir bertekad untuk menyiapkan mesin rumput tersebut dalam masa sehari dua.

Perumitan

Aswan telah mendapat berita mengenai Amir dan Usamah yang mencipta sebuah mesin baharu. Dia tergugat dengan perkara tersebut kerana Aswan berasa hanya dirinya yang boleh menempa nama di kampung tersebut. Aswan tekad untuk bersaing dengan Amir dan Usamah dengan apa cara sekalipun. Dia juga telah mengajak Majibon dan Fikri untuk menyertainya.

Klimaks

Kampung Warisan telah dilanda banjir dan arus air yang kuat telah menghanyutkan Aswan, Majibon dan Fikri sewaktu menghadiri Majlis Sambutan Hari Krismas di Rumah Majibon. Dalam kejadian tersebut, Amir dan rakan-rakannya datang menyelamatkan Aswan, Majibon dan Fikri. Aswan berasa malu dengan Amir dan telah berterus terang tentang perkara yang dia lakukan terhadap Amir. Aswan telah menggodam storan data milik syarikat ayah Amir dan mencuri Formula Termodinamik Amir.

Peleraian

Amir memafkan kesalahan Aswan dan Aswan berjanji aka memulangkan pemacu pena itu. Amir dan Usamah berjaya memenangi Anugerah Saintis Muda. Mereka berdua mendapat tajaan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Teknik Plot

  1. Pemerian : Penulis memerihalkan suasana di Kampung Warisan, Papar yang ditimpa hujan lebat sehingga berlakunya banjir
  2. Monolog : Aswan bermonolog bahawa dia juga mampu menghasilkan mesin 2 dalam 1 seperti Amir dan Usamah
  3. Saspens : Pembaca tertanya-tanya akan pencerobohan storan data yang mempunyai Formula Dua Hukum Popular Termodinamik
  4. Imbas kembali : Asma masih mengingati ketika dia, Amir dan Usamah yang sering berlari di atas sawah padi ketika mereka masih kecil

Latar

Latar Masa

  1. Waktu Maghrib : Usamah mengajak Amir untuk menunaikan solat maghrib di masjid agar kekusutan di hati Amir dirungkai
  2. Tiga pagi : Ibu Amir, Puan Intan terkejut melihat Amir yang sedang berusaha menyekat pencerobohan maklumat syarikat Bahagia
  3. Waktu Isyak : Amir dan rakan-rakannya menuju ke sebuah pondok kosong untuk menangkap pencuri baja subsidi penduduk kampung
  4. Musim Penanaman Padi : Beberapa orang penduduk kampung datang menanam padi di sawah nenek

Latar Tempat

  1. Balai Berlepas di Lapangan Terbang : Amir dan Usamah berangkat untuk melanjutkan pelajaran setelah mendapat biasiswa atas kejayaan memenangi anugerah saintis muda
  2. Kampung Warisan Papar, Sabah : Tempat tinggal nenek, Amir, dan Usamah
  3. Pejabat Persendirian Damit, Putatan : Amir sedang menggunakan komputer ayahnya apabalia dia menyedari storan data diceroboh maklumat syarikat ayahnya
  4. Tapak Semaian di Kampung Warisan : Tempat mesin 2 dalam 1 yang dicipta Amir dan usamah digunakan untuk menggantikan cangkul
  5. Bilik pembedahan : Tempat nenek Amir menjalani pembedahan kecil di buku lalinya
  6. Tepi sungai : Aswan mengajak Majibon dan Fikri menyertainya mengubah suai mesin bagi menandingi projek Amir dan usamah

Latar Masyarakat

  1. Masyarakat yang menghormati hak dan pendapat orang lain : Amir tidak kisah jika Aswan ingin bersaing dengannya dalam mengubah suai mesin malah bersenang hati berkongsi ilmu dengan orang lain
  2. Masyarakat yang cemburu dan dengki terhadap kejayaan orang lain : Aswan bertekad untuk menentang Amir dan Usamah dengan apa cara sekalipun asalakan mereka tidak menempa nama di Kampung Warisan
  3. Masyarakat yang kreatif dan gigih berusaha sehingga berjaya : Amir dan Usamah berusaha bersungguh-sungguh mengubah suai mesin untuk kegunaan orang kampung dan berjaya memenangi anugerah saintis muda
  4. Masyarakat kampung yang masih mengamalkan tradisi bergotong-royong : Amir sangat bangga dengan semangat gotong-royong yang masih menjadi amalan penduduk Kampung Warisan termasuk pada musim menanam padi

Gaya Bahasa

  1. Simile : Matanya merah bagaikan biji saga, Mengumpat sma seperti memakan daging saudara sendiri
  2. Personafikasi : Angin berpuput lunak membelai dedaun
  3. Hiperbola : Air membuak ganas membawa keladak dan memanjat tebing
  4. Metafora : Gelodak hatinya berasa bangga
  5. Paradoks : Rasanya Amir mahu melangkah meninggalkan Asma, dia tisak mahu berdepan lebih lama, namun perasaan yang diampuh emosi itu cuba dikawal
  6. Inversi : Sebak hatinya
  7. Peribahasa : Mati akal, seperti cendawan tumbuh selepas hujan
  8. Sinkope : tak, saja

Nilai

  1. Tekun : Amir dan Usamah tekun menyiapkan mesin rumput terpakai untuk dijadikan mesin mencangkul tanah oleh para petani kampung
  2. Kerjasama : Kerjasama antara Amir dan Usamah yang menggabungkan daya kreatif dan inovatif mereka berjaya menghasilkan sebuah mesin 2 dalam 1
  3. Kasih Sayang : Hubungan Amir dan Usamah bersama nenek mereka jelas menunjukkan kasih sayang yang kuat antara mereka sehingga nenek sakit dan masuk ke hospital
  4. Tanggungjawab : Sebagai penduduk kampung, Amir, Usamah, Zaid dan Adnin berjaya menangkap pencuri baja subsidi milik penduduk kampung
  5. Kejujuran : Aswan mengaku kepada Amir bahawa dialah yang telah mencuri formula termodinamik serta menceroboh storan data milik syarikat ayah Amir
  6. Pemaaf : Amir memaafkan kesalahan Aswan yang sebelum ini iri hati terhadapnya

Pengajaran

  1. Kita hendaklah terus menimba ilmu pengetahuan sepanjang kehidupan untuk kekal berjaya dan relevan
  2. Kita perlu gigh berusaha tanpa mengenal erti putus asa untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu perkara
  3. Kita dinasihatkan untuk berhati-hati dalam memilih kawan agar tidak terpengaruh dalam perkara yang tidak baik
  4. Kita mesti berani bertindak dalam membanteras kegiatan jenayah di kawasan tempat tinggal kita
  5. Kita seharusnya bersikap jujur dan mengakui kesalahan diri kerana ia akan memudahkan orang sekeliling kita
  6. Kita sewajarnya mengamalkan kerjasama antara satu sama lain untuk memudahkan pekerjaan

Contoh Soalan

1) Berdasarkan novel yang anda kaji, nyatakan latar masyarakat yang terdapat dalam novel tersebut

Berdasarkan novel yang telah saya pelajari iaitu novel Formula Termodinamik karya Obasiah Haji Usman, terdapat banyak latar masyarakat yang ditunjukkan. Antaranya adalah masyarakat yang berpendidikan tinggi seperti Amir dan Usamah yang sedang menuntut di politeknik dan berjaya mendapat biasiswa untuk ke luar negara. Selain itu, terdapat juga masyarakat yang suka mengambil kesempatan seperti Aswan yang mencuri pemacu pena yang dimiliki oleh Amir. Akhir sekali, latar masyarakat yang terdapat dalam novel adalah masyarakat kampung yang mengamalkan sikap gotong-royong. Contohnya, penduduk kampung bergotong-royong menanam benih padi di sawah milik nenek Amir.

2) Huraikan tiga perwatakan watak utama yang menarik dan sertakan contoh peristiwa yang berkaitan dalam novel yang anda pelajari

Semasa Tingkatan 1, novel yang telah saya pelajari adalah novel Formula Termodinamik karya Obasiah Haji Usman.  Watak utama dalam novel tersebut adalah Amir yang merupakan seorang pelajar Diploma Kejuruteraan Am. Antara perwatakannya adalah seorang yang gigih berusaha kerana dia tekun mengubah suai mesin rumput untuk menjadi mesin 2 dalam 1 bersama Usamah. Selain itu, Amir merupakan seorang yang kreatif dan inovatif. Tamsilnya apabila dia mendapat idea untuk mengubah suai fungsi mesin rumput terpakai bagi membantu penduduk kampung. Akhir sekali, perwatakan Amir yang menarik adalah seorang yang pemaaf kerana telah memaafkan Aswan yang banyak melakukan kesalahan kepada Amir.

3) Berikan tiga persoalan yang terdapat novel yang anda kaji berserta contoh peristiwa yang dikemukakan dalam novel tersebut. 

Berdasarkan novel yang saya pelajari iaitu novel Formula Termodinamik karya Obasiah Haji Usman, terdapat pelbagai persoalan yang ditunjukkan. Antaranya ialah persoalan kasih sayang nenek terhadap cucunya. Amir, Usamah dan Asma memberikan rawatan kecemasan kepada nenek yang lemas dan menjaganya ketika berada di hospital. Persoalan seterusnya adalah persoalan kerjasama antara satu sama lain untuk menghasilkan sesuatu yang berfaedah. Contohnya, Usamah bekerjasama dengan Amir untuk mengubah suai mesin rumput terpakai bagi memudahkan petani-petani kampung. Akhir sekali, persoalan iri hati terhadap kebolehan orang lain ditunjukkan oleh Aswan yang tidak senang apabila Amir dan Usamah mula mencipta sesuatu untuk penduduk kampung.

Diharapkan perkongsian mengenai Novel Formula Termodinamik : Sinopsis, Tema, Nilai, Pengajaran membantu pelajar untuk membuat rujukan.