Novel Meniti Impian : Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak, Nilai, Pengajaran. Nota meliputi plot, latar, gaya bahasa, watak perwatakan.

Novel Meniti Impian : Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak, Nilai, Pengajaran

novel meniti impian tema persoalan latar nilai pengajaran

Berita baik kepada pelajar Tingkatan 2 yang mencari rujukan untuk subjek Komponen Sastera bagi matapelajaran Bahasa Melayu. Adakah anda ditugaskan untuk membaca, mengkaji dan menganalisis Novel Meniti Impian karya Osman Ayob? Sekiranya ya, berikut dikongsikan nota berkaitan Novel Meniti Impian : Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak, Nilai, Pengajaran untuk rujukan semua.

Novel meniti Impian merupakan karya Osman Ayob yang diterbitkan pada tahun 2014 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Pengarang yang berasal dari Yan, Kedah merupakan lulusan PhD dari International Management Development Institute, Indonesia Berkeley International University, California, Amerika Syarikat. Beliau yang mula menulis sejak tahun 1975 telah menghasilkan karya sastera genre novel dan cerpen serta telah menerima pelbagai anugerah kesusasteraaan.

Novel Meniti Impian : Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak, Nilai, Plot, Latar & Pengajaran

Di bawah dikongsikan nota-nota yang terkandung dalam Novel Meniti Impian : Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak, Nilai, Pengajaran untuk panduan semua. Selain itu disertakan nota berkenaan binaan plot, teknik plot, latar dan juga gaya bahasa.

Sinopsis

Zahar yang merupakan watak utama dalam Novel Meniti Impian adalah seorang pelajar yang mempunyai cita-cita dan keazaman yang tinggi. Dia berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke ITM tetapi impiannya musnah kerana Zahar jatuh sakit sewaktu peperiksaan SPM dan tidak berpeluang untuk menyambung pelajaran. Hal ini kerana dia perlu bertanggungjawab ke atas dua adiknya, Halim dan Zakri. Selepas kematian ayahnya, ibu Zahar, Mak Kiah telah menanggung keluarganya dengan menoreh getah, menganyam tikar mengkuang dan mengambil upah menjahit pakaian. Zahar mengambil keputusan untuk melupakan hasratnya dan telah salah erti oleh Suhaili, kawan baiknya yang berasa Zahar gagal kerana tidak berjaya untuk ke ITM.

Selepas itu, Zahar telah membantu bapa saudaranya di bengkel perabot untuk meringankan beban ibunya. Pak Yusuf dapat melihat bakat dan keazaman dalam diri Zahar dan mendorong Zahar untuk berjaya pada masa akan datang. Zahar juga memberitahu Pak Yusuf bahawa dia berminat dengan kerja tersebut dan bercita-cita untuk membuka bengkel perabot sendiri. Oleh itu, Zahar memohon kemasukan ke IKM dan berjaya mendapat tawaran untuk menjadi pelatih. Berita baik itu ingin dikongsikan Zahar kepada Suhaili yang sudah berada di tahun akhir pengajian di ITM tetapi dia dikecewakan oleh Suhaili kerana beranggapan graduan IKM tidak mempunyai masa depan yang baik.

Di IKM, Zahar berazam untuk membuktikan bahawa dia boleh berjaya dan telah menunjukkan prestasi yang cemerlang. Zahar juga telah menemui Norimi yang merupakan pelatih Lukisan Seni Bina di IKM dan berkawan rapat. Selepas enam bulan berkursus, Zahar telah mengikuti latihan praktikal di sebuah kilang perabot Usaha Bersatu Sendirian Berhad. Kilang yang terletak di Kamunting, Taiping itu kebetulan menjadi tempat kerja Suhaili yang menjawat jawatan Penolong Ketua Unit Pemasaran. Suhaili berasa serba salah dengan apa yang telah diakukan kepada Zahar dahulu ingin meminta maaf dan membantu Zahar mendapatkan pekerjaan di kilang tersebut. Zahar menolak bantuan Suhaili dengan tegas dan menyatakan hatinya telah dimiliki oleh orang lain dan tidak berharap dengan pertolongan daripad aorang yang telah menghinanya dahulu.

Selepas menamatkan kursus di IKM dengan cemerlang, Zahar kembali ke kampung halamannya. Dia menyatakan hasrat untuk membuka bengkel perabotnya sendiri kepada ibu, rakan-rakan dan Pak Yusuf. Dengan pinjaman kewangan daripada MARA sebanyak RM10,000 serta sumbangan Pak Yusuf sebanyak RM5,000, Zahar berjaya membuka bengkelnya perabotnya. Impian dan hasrat Zahar tercapai dan dia telah membuktikan kepada Suhaili bahawa graduan IKM juga mampu berjaya. Bengkel perabot Zahar semakin dikenali dan tersiar dalam akhbar dan mendapat kiriman surat daripada Norimi.

Tema

Tema novel Miniti Impian ialah keazaman seseorang dalam mencapai cita-cita dan akhirnya membuahkan hasil dan kejayaan

Persoalan

1) Persoalan kepentingan pendidikan dalam kalangan manusia

  • Setiap kali pulang ke kampung, Zahar tidak pernah lupa menasihati adik-adiknya supaya tidak mengabaikan pelajaran. Walaupun gagal memasuki Tingkatan 6 kerana kekangan kewangan, Zahar tetap menyimpan hasrat untuk menyambung pelajaran  jika diberi peluang

2) Persoalan tanggungjawab antara ahli keluarga

  • Selepas kematian suaminya, Mak Kiah menoreh getah, menganyam tikar mengkuang dan mengambil upah menjahit pakaian untuk menyara keluarganya. Pak Yusuf membantu Zahar yang merupakan anak saudaranya untuk menyambung pelajaran dan membuka bengkel perabot

3) Persoalan memandang rendah kepada orang lain

  • Suhaili yang memandang rendah kepada Zahar kerana menjadi pelatih IKM sedangkan di seorang penuntut di ITM

4) Persoalan semangat kesukanan antara pelajar-pelajar

  • Walaupun telah memenangi perlawanan bola sepak dengan pasukan IKM Alor Setar, pelatih IKM Sungai Petani kekal tenang mengawal diri supaya tidak mengguris perasaan lawan mereka

5) Persoalan konflik percintaan dalam kalangan remaja

  • Zahar mencintai Suhaili tetapi Suhaili jelas tidak mencintai Zahar dan telah menghinanya kerana taraf pendidikan mereka berbeza

6) Persoalan keharmonian hidup masyarakat di kampung

  • Majlis kenduri kesyukuran yang berlangsung di rumah Pak Karim dihadiri oleh semua orang kampung yang membantu dalam menyediakan hidangan untuk majlis tersebut.

Watak Dan Perwatakan

1) Zahar

  • Anak sulung kepada Mak Kiah dan mempunyai dua orang adik lelaki.
  • Berusia awal 20-an
  • Seorang yang pandai bermain bola sepak dan menamatkan persekolahan di peringkat SPM
  • Bercita-cita untuk membuka bengkel perabotnya sendiri
  • Seorang yang tidak mudah berputus asa, Zahar tidak berputus asa walaupun Suhaili menghinanya ketika hendak menyambung pelajaran di IKM
  • Seorang yang setia, Zahar setia kepada Norimi walaupun Suhaili cuba menjalin hubungan semula dengannya
  • Seorang yang bertanggungjawab, Zahar memastikan adiknya, Halim dan Zakri dapat meneruskan pelajaran

2) Pak Yusuf

  • Bapa saudara kepada Zahar dan merupakan adik kepada Mak Kiah
  • Suami kepada Mak Temah dan mempunyai dua orang anak
  • Memiliki sebuah bengkel pertukangan perabot
  • Seorang yang baik hati kerana membantu Zahar melanjutkan pelajaran ke IKM dan memberikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Zahar yang ingin membuka bengkel perabot
  • Seorang yang prihatin dengan kebajikan dan pelajaran Zahar serta keluarganya

3) Mak Kiah

  • Ibu kepada Zahar, Halim dan Zakri
  • Mak Kiah bekerja sebagai penoreh getah dan menganyam tikar mengkuang setelah kematian suaminya
  • Seorang yang mementingkan pelajaran kerana menggalakkan Zahar untuk menyambung pelajaran di IKM
  • Seorang yang bertanggungjawab kerana telah menyara keluarganya dengan bekerja demi kebajikan anak-anaknya

4) Suhaili

  • Anak kepada Pak Karim, Ketua Kampung Caruk Petitih
  • Merupakan graduan ITM dan pernah bekerja di Petaling Jaya dan Perak
  • Merupakan bekas buah hati Zahar sewaktu zaman sekolah dan memutuskan hubungan mereka setelah mempunyai teman lelaki baharu yang kacak dan berada
  • Seorang yang ego kerana menghina Zahar yang ingin belajar di IKM yang dianggap tidak mempunyai masa hadapan
  • Seorang yang insaf kerana telah mengakui kesilapannya dan meminta maaf kepada Zahar atas segala kesalahannya

5) Norimi

  • Menyertai kursus Lukisan Seni Bina di IKM bersama-sama Zahar
  • Menjalinkan hubungan yang istimewa dengan Zahar
  • Seorang yang cemburu apabila mengetahui Zahar pernah menaruh harapan pada Suhaili
  • Seorang yang rajin kerana mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan semasa di IKM

6) Tauke Lim

  • Memiliki kedai menjual dan membaiki basikal
  • Telah memberikan galakan kepada Zahar untuk berjaya dalam bidang perniagaan perabot

Binaan Plot

Permulaan

Zahar yang telah setahun lebih bekerja di bengkel perabot Pak Yusuf tekun menyiapkan rak kasut yang ditempah imam masjid pada pagi itu. Sejak berhenti sekolah tiga tahun lalu, pelbagai jawatan telah dimohon tetapi gagal. Zahar juga gagal untuk memasuki Tingkatan 6 di sekolah kerajaan dan ibunya, Mak Kiah tidak mampu untuk membiayai pengajian Tingkatan 6 di sekolah swasta. Pak Yusuf bertanya kepada Zahar tentang temuduga kemasukan IKM dan berharap Zahar berjaya mendapat tawaran.

Perkembangan

Mak Kiah menyerahkan surat tawaran IKM kepada Zahar. Selepas gembira dengan berita itu, Zahar berkongsi kegembiraannya dengan Bakar dan Rahim. Rakan-rakannya mengusik Zahar untuk memaklumkan Suhaili tentang tawaran tersebut. Zahar menghubungi Suhaili dan berjanji untuk bertemu di City Point, Alor Setar.

Perumitan

Suhaili terkejut dengan tawaran IKM yang diterima Zahar dan menghinanya kerana beranggapan lulusan IKM tiada masa depan yang baik. Malah, Suhaili pulang dengan menaiki sebuah kereta yang dipandu oleh seorang elalki tampan. Perkara tersebut menguatkan lagi azam Zahar untuk berjaya membuka bengkel perabotnya sendiri pada masa akan datang. Di IKM, Zahar menemui rakan baharu seperti Norimi dan Ramli

Klimaks

Selepas enam bulan mengikuti kursus di IKM, Zahar mendapat tawaran mengikuti latihan praktikal di kilang Usaha Bersatu Sendirian Berhad di Kamunting, Taiping, Perak. Kebetulan dia bertemu dengan Suhaili yang juga bekerja disitu. Suhaili yang telah putus cinta dengan kekasih sebelum ini cuba untuk berbaik semula dengan Zahar dan ingin membantunya mendapat pekerjaan di situ. Tetapi Zahar menolak bantuan Suhaili dan hatinya sudah terpaut pada Norimi. Akhirnya, Suhaili berasa malu dan kesal atas perbuatannya dan Zahar memaafkan Suhaili serta cuba melupakan kenagan antara mereka.

Peleraian

Selepas menamatkan latihan praktikal dengan cemerlang, Zahar telah membuka bengkel perabotnya dengan bantuan kewangan daripada MARA dan sumbangan daripada Pak Yusuf. Bengkel perabotnya menjadi terkenal setelah terpapar dalam sebuah rencana akhbar tempatan.

Latar

Latar Masyarakat

  1. Masyarakat yang mementingkan ilmu pengetahuan : Zahar bercita-cita untuk menyambung pelajaran ke ITM bersama-sama Suhaili
  2. Masyarakat yang prihatin dengan nasib ahli keluarga : Pak Yusuf mengambil berat tentang kebajikan anak saudaranya dengan memberikan bantuan kewangan kepada Zahar
  3. Masyarakat yang memandang rendah kepada orang lain : Suhaili memandang rendah kepada Zahar yang akan memasuki IKM sebagai pelatih berbanding dirinya berkelulusan ITM
  4. Masyarakat yang rajin bekerja : Zahar dan Razali bekerja dengan rajin di kilang perabot Usaha Bersatu walaupun mereka hanya menjalani latihan praktikal di sana.

Latar Masa

  1. Waktu pagi : Zahar pulang ke kampungnya pada waktu pagi dan mendapati ada kenduri di rumah Suhaili
  2. Waktu malam : Norimi dan Zahar mendeklamasikan sajak ciptaan mereka pada malam penutupan minggu suai kenal di IKM Sungai Petani
  3. Dua minggu : Pasukan bola sepak IKM Alor Setar bertandang ke IKM Sungai Petani dua minggu selepas perlawanan persahabatan di tempat mereka
  4. Enam Bulan : Zahar menjalani latihan selama enam bulan dalam Pertukangan Perabot di IKM Sungai Petani
  5. Satu jam setengah : Selama satu jam setengah Zahar menaiki bas dari Sik ke Alor Setar untuk bertemu dengan Suhaili
  6. Lima tahun : Pak Yusuf yang minat kerja pertukangan telah mendirikan bengkel perabot yang berupa bangsal kecil di sebelah rumahnya sejak lima tahun lalu

Latar Tempat

  1. Kampung Caruk Petitih, Sik, Kedah : Zahar dan Pak Yusuf bertolak dari kampung Carok Petitih menuju ke IKM Sungai Petani menaiki teksi Pak Usin
  2. Bengkel perabot Pak Yusuf : Selepas berhenti sekolah, Zahar bekerja di bengkel perabot Pak Yusuf bagi membantu keluarganya
  3. IKM Sungai Petani : Zahar mendaftar dan berkursus pertukangan perabot dan bertemu dengan Norimi
  4. City Point, Alor Setar : Zahar bersama Suhaili makan ayam goreng KFC
  5. Stesen Bas MARA : Zahir menaiki bas ke stesen bas MARA di Alor Setar untuk bertemu dengan Suhaili
  6. Padang : Ramli mengajak Zahar menyertai latihan bola sepak di padang bola kerana mereka kurang pemain

Teknik Plot

  1. Monolog Dalaman : Zahar berkata dalam hatinya bahawa kata-kata Pak Yusuf itu benar tetapi Pak Yusuf tidak tahu betapa lukanya hati Zahar
  2. Dialog : “Kita mesti siapkan bangku panjang ni, petang ni juga, ya pak cik,” usul Zahar sambil menyusun kayu yang digergaji tadi
  3. Pemerian : Pengarang memerihalkan keadaan Zahar sedang bersiap-siap untuk menghadiri program suai kenal pada hari pertama dia mendaftarkan diri di IKM
  4. Saspens : pembaca tertanya-tanya perkara yang akan dilakukan oleh Suhaili apabila mengetahui Zahar sedang menjalani latihan praktikal di kilang tempatnya bekerja
  5. Imbas Kembali : Zahar teringat kembali pertemuannya dengan Suhaili di City Point, Alor Setar
  6. Imbas Muka : Pak Yusuf benar-benar berasa dadanya lapang. Segera terbayang dimatanya, wajah tok imam tersenyum gembira kerana rak yang ditempah siap lebih awal daripada dijangkakan

Gaya Bahasa

  1. Peribahasa : Berat mulut, Berat tulang
  2. Metafora : tunggul nostalgia, obor semangat, bara keaazaman
  3. Hiperbola : Perdu hati Zahar bagaikan bergayut dengan sebeban debaran, Segugus debaran menggoncang dadanya
  4. Personafikasi : Lidah api sedang menjelir memamah punggung kawah, petang yang semakin muram
  5. Sinkope : nak, tak
  6. Simile : lidahnya seperti dikelukan, bagaikan mengundang kembali kenangan masa lampau

Nilai

  1. Ketabahan : Zahar meneruskan cita-citanya walaupun hidup dihimpit kemiskinan
  2. Kerajinan : Mak Kiah rajin menganyam tikar mengkuang selain mengambil upah menjahit pakaian untuk menambah pendapatan keluarga
  3. Kesetiaan : Zahar setia kepada Norimi walaupun Suhaili cuba untuk berbaik dengannya semula
  4. Kesyukuran : Mak Kiah bersyukur kerana Zahar berjaya untuk belajar di IKM
  5. Mengenang budi : Zahar mengenang budi Pak Yusuf yang banyak membantunya semasa ingin menyambung pelajaran dan membuka bengkel perabot
  6. Kerjasama : Rakan-rakan Zahar bekerjasama membina bengkel perabot Meniti Impian

Pengajaran

1) Kita seharusnya menggalas tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita dengan telus dan baik

2) Kita perlu yakin dengan kemampuan diri sendiri kerana orang lain hanya mampu mengkritik tetapi kita yang menentukan kejayaan diri sendiri

3) Kita sepatutnya tidak berputus asa apabila menghadapi dugaan atau cabaran dalam kehidupan kerana setiap kegagalan merupakan peluang untuk mendapat kejayaan yang baharu

4) Kita mestilah mengekalkan disiplin yang baik untuk berjaya dalam kehidupan khususnya apabila bekerjaya

5) Kita seharusnya mengamalkan sikap rendah diri agar disenangi oleh orang sekeliling dan tidak meletakkan diri dalam situasi yang kita tidak mampu kawal

6) Kita digalakkan untuk memafkan kesalahan orang lain kepada kita kerana menyimpan dendam hanya akan merugikan masa dan perasaan diri kita.

Soalan

1) Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan tema dan dua persoalan yang terdapat dalam novel tersebut

Novel yang telah saya pelajari ialah novel Meniti Impian, karya Osman Ayob. Tema yang diketengahkan adalah keazaman dan kesungguhan seorang individu yang kurang bernasib baik untuk berjaya dan mengubah nasib hidupnya. Antara persoalan yang terdapat dalam novel ini adalah persoalan tanggungjawab dalam keluarga. Selepas kematian suaminya, Mak Kiah telah menoreh getah, menganyam tikar mengkuang dan mengambil upah menjahit pakaian untuk menyara keluarganya. Selain itu, persoalan berkorban demi keluarga juga ditunjukkan oleh Zahar misalnya apabila dia berkorban untuk tidak meneruskan pengajian dan bekerja untuk meringankan beban ibunya.

2) Dalam setiap novel pastinya terdapat latar tempat yang diceritakan. Huraikan tiga latar tempat yang terdapat dalam novel yang anda kaji.

Berdasarkan novel yang telah saya pelajari iaitu novel Meniti Impian, terdapat banyak latar tempat yang signifikan. Antaranya adalah Bengkel Perabot Pak Yusuf dimana Zahar bekerja selepas berhenti sekolah dan bercita-cita untuk membuka bengkel perabotnya sendiri nanti. Selain itu, latar tempat yang terdapat dalam novel ini adalah IKM Sungai Petani. Tempat Zahar berkursus pertukangan perabot dan bertemu dengan Norimi. Akhir sekali, latar tempat yang terdapat dalam novel ini adalah Kompleks City Point, Alor Setar dimana Zahar dan Suhaili bertemu dan memakan ayam goreng KFC.

3) Jelaskan satu pengajaran bagi setiap latar tempat yang telah dihuraikan di atas.

Berdasarkan latar tempat di atas, pengajaran yang didapati di Bengkel Perabot Pak Yusuf adalah kita jangan berputus asa untuk mencapai cita-cita berdasarkan kemampuan diri kita. Di IKM Sungai Petani pula, kita hendaklah mengekalkan disiplin yang baik dalam hidup seperti Zahar yang cemerlang sepanjang berada di IKM. Akhir sekali, pengajaran yang terdapat di latar tempat Kompleks City Point, Alor Setar, kita seharusnya bersikap rendah diri kerana setiap orang mampu peroleh kejayaan walaupun berbeza latar belakang.

Semoga perkongsian berkenaan Novel Meniti Impian : Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak, Nilai, Pengajaran membantu pelajar dan juga guru.

Related : untuk mengikuti, zahar dan rakan rakannya, yusuf berusaha menyiapkan rak kasut, zahar tabah, zahar gigih,