Novel Pelari Muda : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran. Nota meliputi plot, watak perwatakan, latar, gaya bahasa dan contoh soalan.

Novel Pelari Muda : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran

novel pelari muda tema persoalan sinopsis soalan jawapan

Berita baik kepada pelajar Tingkatan 1, sudahkah anda membuat nota rujukan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu khususnya bahagian Komponen Sastera (KOMSAS). Sekiranya belum, di bawah dikongsikan nota-nota yang berkaitan dengan Novel Pelari Muda : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran yang boleh dijadikan panduan sebelum menduduki peperiksaan atau ujian.

Novel ini merupakan karya Ghazali Ngah Azi, penulis yang menghasilkan banyak karya sastera lain seperti Kasut Misteri, Anak Kota Raya dan Baju Kurung Sepasang. Novel ini telah dipilih untuk menjadi salah satu komponen sastera kerana mempunyai elemen yang dekat dengan persekitaran pelaajr seperti penglibatan dalam sukan dan konflik persahabatan. Selain daripada mengkaji novel ini, pelajar juga akan mendapat iktibar secara langsung untuk diaplikasikan dalam kehidupan masing-masing.

Novel Pelari Muda : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Watak & Pengajaran

Berikut dikongsikan nota-nota mengenai Novel Pelari Muda : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Watak, Plot & Pengajaran untuk rujukan. Selain itu, terdapat juga contoh soalan yang lazimnya ditanyakan dalam peperiksaan atau ujian yang dihadapi oleh pelajar.

Sinopsis

Kamarul seorang atlet lari pecut yang telah memenangi pingat di kejohanan sukan MSSM dan juga Sukan SEA Brunei. Hasil kejayaannya mendapat perhatian media dan televisyen. Selepas nama dan imejnya menjadi popular, Kamarul mula berubah sikap menjadi seorang yang sombong. Sikap angkuhnya dilihat apabila tidak hadir ke latihan oleh jurulatihnya Encik Kadir. Ramai dikalangan guru dan pelajar tidak menyenangi sikap Kamarul sehingga rakan baiknya Saridah menasihati Kamarul untuk mengubah sikap buruknya itu. Namun, Saridah telah dimarahi oleh Kamarul. Dia yang enggan menyertai latihan kecergasan Encik Kadir, telah membuat latihan kecergasan sendiri.

Dalam masa yang sama, rakan atlet Kamarul, Sures Menon berusaha untuk melepasi rekod masa terbaik Kamarul. Dalam pemilihan ke Sukan SEA Bangkok, Sures berjaya mengalahkan Kamarul. Dia mula berasa tertekan dan runsing. Hubungannya dengan Encik Kadir, rakan-rakan dan Saridah semakin renggang. Ketika Kamarul ingin menyeberang jalan, sebuah kereta telah datang dari arah bertentangan dan melanggar Kamarul kerana dia melintas tanpa menoleh ke kiri atau kanan. Kamarul telah dimasukkan ke hospital dan mengalami kecederaan di bahagian muka, mata dan juga lututnya.

Semasa terlantar di hospital, Kamarul telah menerima kunjungan daripada Encik Kadir, Cikgu Zainal, Saridah dan rakan-rakannya. Tragedi ini, telah membuatkan ego Kamarul menurun dan memohon kemaafan daripada mereka semua atas sikap keangkuhannya. Selepas dibenarkan keluar dari hospital,  Kamarul mula membuat persiapan untuk menghadapi pertandingan yang bermakna baginya iaitu kejohanan Sukan SEA ke 14 di Bangkok, Thailand.

Setibanya di Bangkok, Kamarul telah berjumpa dengan De Wega, seorang atlet lari pecut yang berasal dari Filipina. Pertemuan tersebut telah menaikkan semangat Kamarul yang pudar sebelum ini selepas siri kejadian yang meninpanya dan Kamarul dinasihati oleh De Wega untuk menjadi seorang yang berdisiplin serta tidak berputus asa. Kamarul, De Wega, Sures dan beberapa pelari pecut dari negara lain bertanding dalam acara 100 meter dan 400 meter di Stadium Nasional, Bangkok. Kamarul berjaya mendapat pingat emas dalam kedua-dua acara tersebut. Kamarul pulang ke Malaysia dengan rasa gembira dan tidak sabar untuk berjumpa dan menghargai keluarganya, Saridah dan kawan-kawan yang lain.

Tema

Novel Pelari Muda bertemakan perjalanan kehidupan seorang remaja yang merupakan seorang atlet negara dan menjadi sombong selepas dikenali ramai.

Kamarul yang berjaya memenangi pingat di peringkat Sukan SEA  telah berubah sikap menjadi sombong terhadap orang sekelilingnya. Hubungan dengan rakan-rakan juga semakin renggang kerana bersikap angkuh dan enggan menyertai kejohanan kecil seperti sukan tahunan sekolah.

Selepas terlibat dengan satu kemalangan, Kamarul menjadi insaf dan meminta maaf kepada orang sekilingnya atas sikap sombong dan angkuh. Dia berusaha kembali mendapatkan prestasi terbaik dan berjaya mendapatkan pingat di kejohanan Sukan SEA yang seterusnya.

Persoalan

1) Persoalan keangkuhan seseorang setelah mencapai kejayaan

  • Kamarul mula bersikap sombong dan angkuh kerana tidak datang berlatih bersama Encik Kadir

2) Persoalan kegigihan seorang atlet untuk meningkatkan prestasi

  • Sures gigih berusaha untuk menewaskan rekod masa larian terbaik Kamarul

3) Persoalan komitmen jurulatih untuk memastikan pelatihnya memberikan yang terbaik

  • Encik Kadir komited dalam menjalankan tugas sebagai jurulatih dan bersabar dengan perangai Kamarul sehingga dia berjaya mendapat pingat emas di Sukan SEA

4) Persoalan hubungan dua remaja yang ada pasang dan surut

  • Kamarul dan Saridah saling menyayangi antara satu sama lain tetapi sikap Kamarul mula berubah menjadi sombong dan angkuh

5) Persoalan simpati terhadap kawan baik

  • Juriah yang berkawan baik dengan Saridah mendengar rintihan rakannya itu dan menasihati Saridah supaya fokus kepada pelajarannya

6) Persoalan keprihatinan masyarakat terhadap orang yang ditimpa musibah

  • Mak Jah prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh anaknya, Kamarul apabila dia tidak ceria seperti selalu

Watak dan Perwatakan

1) Kamarul Baharuddin

  • Watak utama yang merupakan seorang pelajar tingkatan 5 Sastera 1
  • Seorang atlet lari pecut yang mewakili Malaysia
  • Seorang yang sombong dan angkuh atas kejayaannya
  • Seorang yang tidak menengang budi apabila enggan berlatih di bawah bimbingan Encik Kadir
  • Seorang yang menginsafi kesalahan diri kerana meminta maaf atas kesilapannya untuk tidak berlatih dengan Encik Kadir

2) Encik Kadir

  • Seorang jurulatih olahraga negara yang berusia lingkungan 50 tahun
  • Melatih Kamarul sehingga berjaya mewakili negara
  • Seorang yang tegas dalam menjalankan latihan
  • Seorang yang penyabar dan mengambil berat akan atlet-atletnya

3) Saridah

  • Merupakan pelajar Tingkatan 5 dan berkawan rapat dengan Kamarul
  • Seorang yang berani kerana telah menegur Kamarul yang mula sombong dan tidak berdisiplin
  • Sorang yang menghormati orang lain
  • Seorang yang mengambil berat akan orang yang disayanginya dimana Kamarul terlibat dalam kemalangan jalan raya, Saridah kerap menziarahi Kamarul

4) Mak Jah

  • Ibu kepada Kamarul dan isteri kepada Encik Baharuddin
  • Merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya
  • Seorang yang penyayang apabila menyayangi Saridah kerana tidak mempunyai anak perempuan
  • Seorang yang prihatin, menasihati Kamarul untuk berbaik-baik dengan Saridah

5) Sures Menon

  • Seorang atlet lari pecut negara
  • Merupakan rakan sepasukan dengan Kamarul
  • Seorang yang berazam tinggi kerana ingin menewaskan catatan masa terbaik Kamarul
  • Seorang amanah kerana telah menyampaikan pesanan Encik kadir kepada Kamarul

6) De Wega

  • Seorang atlet pecut Filipina yang diminati oleh Kamarul dan berusia 34 tahun
  • Merupakan buruh kereta api sebelum menjadi atlet pelari pecut
  • Seorang yang peramah dan rendah diri apabila didekati oleh Kamarul
  • Seorang yang pandai memberi nasihat dan semangat

Binaan Plot

Permulaan

Ibu dan rakan-rakan Kamarul mula melihat perubahan sikapnya yang angkuh dan sombong. Hubungannya dengan Saridah menjadi renggang selepas Saridah cuba menasihatinya atas perubahan sikap yang semakin negatif. Kamarul juga teringat kepada Cikgu Zainal, guru sukan yang mula mengesan bakat Kamarul dalam bidnag olahraga dan acara lari pecut.

Perkembangan

Kamarul mula enggan berlatih dengan Encik Kadir kerana menganggap latihan tersebut membosankan. Kamarul juga enggan bergaul dengan rakan-rakan di sekolah dan hanya membuat latihan kecergasan secara sendiri. Encik Kadir yang merupakan jurulatihnya mula bimbang akan perubahan sikap Kamarul.

Perumitan

Ketika pemilihan untuk ke Sukan SEA Bangkok, Sures, rakan atlet Kamarul telah mengalahkan Kamarul pada acara yang mereka sertai. Kamarul juga berani melawan jurulatihnya yang mempersoalkan latihan sendiri yang akan menjejaskan kecergasan Kamarul dan prestasinya.

Klimaks

Kamarul yang berasa tertekan dan runsing telah bergaduh dengan jurulatihnya sehingga mencampak pingat pada Encik Kadir. Fikiran Kamarul yang sedang berkecamuk telah membuatkan dia melintas jalan tanpa menoleh ke kiri atau kanan dan telah dilanggar oleh sebuah kereta.

Penutup

Selepas kemalangan tersebut, Kamarul sedar dan meminta maaf atas perubahan sikapnya dan memebuat persediaan untuk ke Sukan SEA. Kamarul berjaya mendapat pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter dan telah bertukar-tukar cenderamata dengan De Wega, pelari pecut dariapda Filipina. Kamarul mendapat ucapan tahniah dan penghargaan daripada keluarga, guru, jurulatih dan rakan-rakan di Malaysia.

Teknik Plot

  1. Pemerian : Pengarang memerihalkan Kamarul yang membaca surat khabar untuk mengetahui tentang perkembangan sukan tanah air dan luar negara
  2. Monolog : Saridah berfikir bahawa Kamarul seorang yang suka merajuk dan pendendam apabila Kamarul tidak datang menemuinya di situ
  3. Dialog : Kamarul dan Adibah berdialog melarang Kamarul keluar dari kelas sebelum loceng rehat dibunyikan walaupun Kamarul menyatakan bahawa dia mahu berjumpa Cikgu Zainal
  4. Imbas Kembali : Saridah ingat kembali apabila dia bertemu dengan kamarul di Kejohanan MSSM di Stadium Merdeka
  5. Imbas Muka : Selepas terlibat dalam kemalangan, Kamarul bertekad untuk berlatih semula dan membuktikan disiplinnya kepada Encik Kadir
  6. Saspens : Pembaca tertanya-tanya apakah yang terjadi kepada Kamarul selepas dilanggar kereta

Latar

Latar Masa

  1. Waktu pagi : Mak Jah menyediakan sarapan untuk Kamarul dan melihat Kamarul tidak ceria seperti biasa
  2. Waktu petang : Sures menunggu Kamarul untuk ke kompleks sukan bersama-sama
  3. Waktu malam : Kamarul melihat gambar-gambar pelari yang menjadi idolanya

Latar Masyarakat

  1. Masyarakat yang terdiri daripada ahli sukan atau atlet yang mewakili negara : Kamarul dan Sures gigih berlatih untuk meningkatkan prestasi mereka sebelum mewakili negara di Sukan SEA
  2. Masyarakat remaja yang bersekolah dan mempunyai pelbagai perasaan : Saridah yang meluahkan rintihan dan kekecewaannya kepada Juriah akan hubungannya yang semakin renggang dengan Kamarul
  3. Masyarakat yang prihatin terhadap nasib orang lain : Saridah dan Encik Kadir yang melawat Kamarul di hospital selepas di terlibat dengan kemalangan jalan raya
  4. Masyarakat yang tegas dalam menjalankan tugas : Adibah yang tegas dalam menjalankan tugassebagai ketua kelas telah menghalang Kamarul untuk berjumpa dnegan Cikgu Zainal semasa sesi pembelajaran dan pengajaran diadakan

Latar Tempat

  1. Rumah Kamarul : Mak jah menyampaikan surat yang diberikan oleh Saridah
  2. Pusat Sukan Kampung Pandan : Tempat dimana Kamarul dan Sures berlatih di bawah kendalian Encik Kadir sebelum menyertai Sukan SEA di Bangkok
  3. Stadium Nasional, Bangkok : Tempat dimana Kamarul berjaya meraih pingat emas acara 100 meter dan 400 meter.
  4. Stadium Merdeka : Tempat Kamarul dan Saridah menyertai Sukan MSSM
  5. Hospital : Tempat Kamarul menerima rawatan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya
  6. Kantin Sekolah : Tempat Saridah dan Juridah bersembang tentang hubungannya dengan Kamarul yang semakin renggang

Gaya Bahasa

  1. Diksi : Penggunaan Bahasa Inggeris, one, two, three
  2. Peribahasa : kilas ikan di air, aku tahu jantan betinanya
  3. Sinkope : “Kamu nak ke mana ni?”
  4. Simile : Daunnya bergerak seperti diusik-usik
  5. Repitisi : Mengharapkan emak di rumah, emak lebih sibuk dengan persatuan wanitanya
  6. Anafora : Maafkan aku, Saridah! Maafkan aku, Cikgu Zainal!
  7. Hiperbola : Kemarahannya mula membakar hatinya, seribu kemarahan

Nilai

  1. Kerajinan : Sures dan Kamarul rajin berlatih menunjukkan bukti mereka layak untuk mewakili negara
  2. Sabar : Encik Kadir sabar dengan perangai Kamarul yang tidak mahu berlatih dengannya
  3. Hormat-menghormati : Saridah yang menghormati Mak Jah ketika ingin menyampaikan surat kepada Kamarul
  4. Keinsafan : Kamarul sedar akan kesalahan dia terhadap semua orang ketika terlantar sakit di hospital dan berasa insaf
  5. Simpati : Juriah bersimpati dengan nasib Saridah yang meluahkan kekecewaannya
  6. Patriotik : Kamarul yang menganggap kemenangan pingat emasnya bukan untuk diri sahaja tetapi untuk negara juga.

Pengajaran

  1. Kita hendaklah sentiasa merendah diri dalam menghadapi perjalanan hidup kerana sikap sombong hanya akan merugikan diri
  2. Kita seharusnya hormat kepada mereka yang banyak berjasa kepada kita seperti guru, jurulatih dan juga rakan-rakan
  3. Kita perlu bersikap berani dalam menghadapi cabaran kerana ia mampu membawa kita ke tahap yang lebih baik
  4. Kita mesti mengamalkan sikap kasih dan sayang anatar keluarga kerana mereka adalah insan yang paling rapat dengan kita.
  5. Kita perlu mengekalkan disiplin yang baik untuk berjaya dalam setiap aspek kehidupan khususnya dalam kerjaya
  6. KIta sewajarnya mempunyai sifat simpati kepada rakan kita yang ditimpa musibah

Contoh Soalan dan Jawapan

1) Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, huraikan perwatakan watak utama yang menarik perhatian anda sebagai pembaca.

Novel yang telah saya pelajari adalah novel Pelari Muda, karya Ghazali Ngah Azia. Watak utama dalam novel ini adalah Kamarul dan antara perwatakannya adalah dia seorang yang gigih. Sebagai contoh, selepas terkenal kerana memenangi pingat emas di Sukan SEA Brunei. Selain itu, Kamarul juga seorang yang tidak mudah putus asa. Misalnya, penglibatannya dalam kemalangan jalan raya tidak memutuskan semangat Kamarul untuk bersaing di Sukan SEA Bangkok.

2) Huraikan pula perwatakan watak sampingan yang terdapat dalam novel yang anda kaji.

Berdasarkan novel yang saya kaji iaitu novel Pelari Muda, karya Ghazali Ngah Azia, watak sampingan yang terdapat dalam novel adalah watak Saridah. Antara perwatakan Saridah adalah dia merupakan seorang yang menepati janji kerana telah menunggu Kamarul di perpustakaan pada waktu rehat tetapi Kamarul yang tidak hadir. Selain itu, Saridah menunjukkan perwatakannya yang pemaaf. Sebagai contoh, Saridah memaafkan Kamarul yang bersikap mementingkan dirinya sendiri. Akhir sekali, perwatakan yang ditunjukkan oleh Saridah adalah dia seorang yang baik hati kerana telah membelanja Juriah makan selepas mendengar rintihan perasaannya.

3) Dalam setiap novel, pasti ada latar masyarakat yang berbeza diketengahkan oleh penulis. Nyatakan latar masyarakat yang terdapat dalam novel yang telah anda pelajari. 

Berdasarkan novel yang telah saya pelajari iaitu Novel Pelari Muda karya Ghazali Ngah Azia, terdapat banyak latar masyarakat yang ditunjukkan. Antaranya adalah masyarakat yang aktif bersukan. Contohnya, Kamarul dan Sures yang rajin berlatih untuk mewakili negara dalam kejohanan sukan di peringkat antarabangsa. Selain itu, masyarakat yang prihatin juga menjadi salah satu latar masyarakat dalam novel ini apabila Encik Kadir, Saridah dan rakan Kamarul melawatnya di hospital. Akhir sekali, latar masyarakat yang terdapat dalam novel ini adalah masyarakat yang sombong dan angkuh seperti Kamarul yang berubah sikapnya apabila berjaya mendapat pingat emas di Sukan SEA Brunei.

4) Huraikan nilai yang terdapat dalam novel yang anda kaji

Terdapat banyak nilai yang terdapat dalam novel yang saya pelajari iaitu novel Pelari Muda karya Ghazali Ngah Azia. Antaranya adalah nilai disiplin yang ditunjukkan oleh Sures dimana dia sentiasa menghadiri latihan mengikut jadual yang ditetapkan oleh Encik Kadir. Nilai seterusnya adalah nilai keinsafan yang ditunjukkan oleh Kamarul selepas ditimpa kemalangan dan meminta maaf kepada semua orang atas perilakunya yang sombong. Akhir sekali, nilai yang terdapat dalam novel ini adalah nilai sabar yang ditunjukkan oleh Encik Kadir. Sebagai contoh, apabila Kamarul enggan berlatih denganya dan telah mencampak pingat ke arahnya. Encik Kadir sabar dengan perangai Kamarul dan akhirnya dia insaf dan berjaya dalam kejohonan seterusnya.

5) Berdasarkan novel yang anda kaji, jelaskan latar tempat yang terdapat dalam novel tersebut

Merujuk pada novel penulisan Ghazali Ngah Azia iaitu Pelari Muda, pelbagai latar tempat yang ditunjukkan. Antaranya adalah rumah Kamarul. Lokasi ini dimana Kamarul membaca akhbar dan menliti berita mengenai sukan di tanah air dan luar negara. Selain itu, Pusat Sukan Kampung Pandan merupakan latar tempat dimana Kamarul, Sures dan atlet lain berlatih sebelum menyertai kejohanan di luar negara. Latar tempat terakhir adalah Stadium Nasional, Bangkok dimana Kamarul berjaya memenangi pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter lari pecut individu lelaki.

Semoga perkongsian nota Novel Pelari Muda : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai memudahkan pelajar dan guru untuk membuat rujukan.

Related : sukan sea ke-14, memberitahunya bahawa, ketua kelas, sea ke-14 di bangkok, atlet filipina de wega,