Kepentingan Bekerja Sambil Belajar (Faedah/ Kebaikan). Contoh karangan faedah bekerja sambilan buat pelajar.

Kepentingan Bekerja Sambil Belajar (Faedah/ Kebaikan)

contoh karangan faedah bekerja sambil belajar

Antara topik yang selalunya ditanyakan sebagai soalan dalam penulisan karangan Bahasa Melayu adalah berkait dengan pelajar sendiri. Topik sebegini dapat membantu pelajar untuk memberikan idea yang baik serta huraian yang menarik. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan bekerja sambil belajar (Faedah/ Kebaikan) untuk panduan semua.

Dalam mendepani masa yang mencabar ketika ini, kemampuan kewangan merupakan salah satu isu yang membelenggu setiap rakyat marhaen. Lebih-lebih lagi kepada golongan remaja yang dilema sama ada ingin melanjutkan pengajian atau terus mencari kerja untuk menampung diri dan keluarga. Pendidikan adalah salah satu elemen yang penting untuk kita menjadi lebih berjaya justeru, pelajar yang menghadapi masalah kewangan boleh melakukan kerja sambilan tetapi jangan sesekali meninggalkan pengajian.

Contoh Karangan Kepentingan Bekerja Sambil Belajar (Faedah/ Kebaikan)

Di bawah dikongsikan isi-isi penting dan huraian mengikut rangka karangan Bahasa Melayu yang berkaitan dengan Faedah bekerja sambilan kepada pelajar.

Isi-isi penting

  1. Membantu kewangan diri dan keluarga
  2. Menambah kemahiran dan ilmu pada diri sendiri
  3. Membentuk disiplin dan ketrampilan diri
  4. Menambah kenalan untuk kepentingan masa hadapan

Pendahuluan

Selepas menamatkan pengajian di sekolah, rata-rata golongan remaja ini akan meneruskan pengajian di peringkat tinggi samada di kolej atau universiti. Dengan langkah ini, mereka dapat memilih bidang pengajian yang berkaitan dengan kerjaya yang ingin mereka ceburi. Pembelajaran secara teori dan praktikal di pusat pengajian tinggi melayakkan mereka untuk mendapat sijil seperti diploma, ijazah sarjana muda dan setaraf dengannya. Setelah memiliki kelayakan akademik yang cemerlang, mereka berpeluang untuk memohon kerja di syarikat swasta atau kakitangan awam.

Namun disebalik itu, peningkatan kos pengajian di institusi pengajian tinggi awam ataupun swasta telah menjadi satu isu yang membelenggu masyarakat pada hari ini. Salah satu alternatif yang popular untuk dilakukan oleh golongan remaja adalah dengan bekerja sambil belajar. Justeru, mari kita rungkaikan apakah manfaat yang diterima oleh seseorang individu apabila mereka mengambil keputusan untuk bekerja sambil belajar.

Isi 1

Antara kebaikan yang diperoleh pelajar apabila melakukan kerja sambilan adalah dapat membantu kemampuan kewangan diri dan keluarga. Umum mengetahui ketidaktentuan ekonomi telah mengakibatkan kos sara hidup meningkat dan membebankan. Sekiranya seorang pelajar ingin melakukan kerja sambilan ketika dalam pengajian, ia merupakan salah satu tindakan yang positif. Selain dapat mengisi masa terluang, pelajar tersebut akan mendapat gaji atau upah yang sesuai dengan kerja yang dilakukan.

Imbuhan kewangan tersebut pula boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan diri seperti amakn dan minum, kos pengangkutan, yuran pengajian dan sewa bilik atau rumah. Ibu dan bapa khususnya mereka yang tergolong dalam kumpulan B40 berpeluang untuk menggunakan wang menampung pelajar tersebut kepada tujuan lain yang lebih bermanfaat. Ibarat peribahasa Melayu, kecil tapak tanga, nyiru ditadahkan. Tuntasnya, kerja sambil belajar membantu diri dan keluarga pelajar dari segi kewangan yang lebih baik.

Isi 2

Faedah lain yang diperoleh apabila melakukan kerja sambilan ketika belajar adalah pelajar dapat menambah kemahiran dan ilmu pada diri sendiri. Hal ini kerana lazimnya kerja sambilan yang dilakukan oleh pelajar merupakan kerja di luar bidang atau tidak berkait dengan apa yang dipelajari di pusat pengajian. Tetapi pelajar didedahkan dengan kemahiran lain seperti melayan pelanggan, menguruskan mesin peti wang atau pun membersihkan sesuatu yang kotor.

Kemahiran ini bukan sahaja digunakan pada masa kerja sambilan ini sahaja, ia juga boleh dipraktikkan jika pelajar ingin menjadi seorang usahawan atau melakukan kerja kedua sebagai usahawan. Anda juga akan mempelajari kemahiran komunikasi sesama manusia tanpa mengira umur dan latar belakang. Kemahiran ini adalah mustahak supaya pelajar mampu berkomunikasi dengan baik menjelang kedewasaan serta penting dalam bidnag kerjaya yang menanti. Izharnya, ilmu pengetahuan dan kemahiran yang bermanfaat akan diperoleh apabila seorang pelajar melakukan kerja sambilan ketika dalam pengajian.

Isi 3

Pada masa yang sama, disiplin dan ketrampilan diri yang lebih baik akan terbentukl sekiranya pelajar melakukan kerja sambilan. Pengurusan masa yang baik amat diperlukan oleh pelajar kerana perlu membahagikan masa untuk belajar dan bekerja. Pepatah melayu berkata, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Bagi mengelakkan daripada situasi seperti yang disebut dalam pepatah tersebut, pelajar harus memastikan diri mampu memberikan kepada pembelajaran kerana itu adalah perkara yang lebih utama daripada mendapatkan kerja sambilan.

Pastikan diri anda mampu untuk mengerah tenaga untuk bekerja dan mengerah otak untuk mengulang kaji pelajaran menjelang peperiksaan. Jika pelajar berjaya mengimbangi dua perkara ini, nescaya disiplin diri pelajar berada pada tahap yang terbaik dan akan menghasilkan individu yang produktif menjelang kedewasaan. Tegasnya, pelajar yang melakukan kerja sambilan ketika dalam pengajian dapat membentuk disiplin diri dan ketrampilan yang tinggi.

Isi 4

Akhir sekali, kepentingan bekerja sambil belajar adalah untuk menambah kenalan yang berguna untuk rangkaian pekerjaan di masa akan datang. Sebagai contoh, pelajar yang bekerja di sebuah restoran makanan segera dapat berkenalan dan memberikan hasil kerja yang terbaik kepada pengurus restoran tersebut. Apabila pelajar tamat pengajian, mereka boleh berhubung dan memohon kerja sambil menunggu tawaran kerja yang lebih baik.

Selain itu, pengurus restoran tersebut juga boleh memberikan rekomendasi kepada bakal majikan pelajar tentang nilai kerja dan peribadi yang terdapat pada pelajar. Bukan sahaja kecemerlangan di atas kertas sahaja yang diperlukan untuk mendapat kerja dalam era yang penuh persaingan ini tetapi pelajar boleh mendapat rekomendasi untuk meyakinkan bakal majikan dengan potensi yang anda miliki. Intihannya, menambah kenalan merupakan salah satu kepentingan dalam melakukan pekerjaan sambilan ketika dalam pengajian.

Penutup

Kesimpulannya, pelajar yang melakukan kerja sambilan ketika dalam pengajian akan memperoleh banyak faedah dan kepenting untuk diri. Tidak dinafikan bahawa adalah lebih baik untuk seorang pelajar hanya menumpukan kepada pengajian yang diambil tetapi kadang kala setiap individu mempunyai situasi yang berbeza. Oleh itu, pihak kerajaan seharusnya memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan terutamanya pelajar yang berasal dari kelompok B40 untuk meneruskan pengajian di peringkat tinggi agar mereka dapat mengubah tahap kehidupan diri dan keluarga mereka. Pemberian biasiswa merupakan salah satu cara yang menguntunkan golongan pelajar dan memberi indikasi untuk mereka mencapai keputusan yang cemerlang supaya biasiswa tersebut tidak perlu dibayar semula pada masa akan datang. Diharap setiap mekanisme yang digunakan untuk membantu pelajar dalam menamatkan pengajian di peringkat tinggi, memberikan hasil kepada mereka dalam bentuk kerjaya yang baik dan kemampuan untuk menampung diri dan keluarga.

Related : bekerja kerana, pelajar sekolah, mengurus masa, secara tidak langsung,