Kepentingan Pengangkutan Awam Kepada Masyarakat (Kebaikan). Contoh karangan faedah dari kemudahan jaringan jalan raya di Malaysia.

Kepentingan Pengangkutan Awam Kepada Masyarakat (Kebaikan)

contoh karangan Kepentingan Pengangkutan Awam Kepada Masyarakat

Perhatian kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan atau pentaksiran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Salah satu cara untuk menambah baik penulisan karangan anda adalah dengan melakukan banyak latihan dan menjawab soalan yang mempunyai tema yang berbeza. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan Kepentingan Pengangkutan Awam Kepada Masyarakat (Kebaikan).

Untuk makluman pelajar, pengangkutan awam adalah sistem pengangkutan yang digunakan bersama orang ramai dan tertumpu di kawasan tertentu. Mod pengangkutan yang digunakan adalah berbeza bergantung kepada populasi sesebuah kawasan di mana kawasan bandar mempunyai rel dan bas manakala kawasan luar bandar hanya mempunyai perkhidmatan bas dan teksi.

Kepentingan Pengangkutan Awam Kepada Masyarakat (Kebaikan)

Di bawah dikongsikan contoh karangan faedah atau kebaikan Pengangkutan Awam Kepada Masyarakat (Kebaikan) beserta isi-isi penting yang berkaitan untuk rujukan semua.

Isi-isi penting

  1. Sebagai alternatif kepada kenderaan persendirian
  2. Memudahkan perjalanan dari satu lokasi ke lokasi lain
  3. Mencambah ekonomi kawasan sekitar
  4. Menyumbang kepada kelestarian alam sekitar
  5. Menjamin keselamatan masyarakat
  6. Menjimatkan masa dan visa

Pendahuluan

Dalam era globalisasi ini, perbandingan sesuatu perkara menjadi suatu kelaziman yang berlaku antara masyarakat di seluruh dunia. Salah satu isu yang sering dibandingkan adalah jaringan pengangkutan awam di Malaysia dengan negara maju yang lain. Sebagai negara yang membangun, pembinaan infrastruktur kita masih muda dan memerlukan lebih banyak penambahbaikan.

Namun, kita tidak menafikan pengangkutan awam sedia ada seperti bas, keretapi dan tren aliran ringan atau lebih dikenali sebagai (MRT) adalah kemudahan yang baik untuk masyarakat. Tetapi jumlah pengguna tidak mencapai sasaran daripada apa yang ditetapkan oleh pengendali pengangkutan awam di negara ini. Oleh yang demikian, penting untuk kita bincangkan kebaikan kepada masyarakat supaya semua pihak membuka mata dan mendapat manfaat daripada perbincangan ini.

Isi 1

Pengangkutan awam adalah penting kepada masyarakat sebagai alternatif kepada kenderaan persendirian. Mutakhir ini kita dapat lihat dan mengalami sendiri kesesakan lalu lintas yang luar biasa berlaku bukan sahaja pada waktu perayaan tetapi hampir setiap hujung minggu. Perkara ini berlaku susulan jumlah pengguna kenderaan persendirian yang meningkat dari tahun ke tahun tetapi alternatif kepada pengangkutan tersebut tidak ditambah baik pada kadar yang selaras.

Persis kata mutiara, lain dahulu, lain sekarang. Dengan peningkatan jumlah pengguna jalan raya, membina lebuhraya atau menambah lorong jalan raya tidak akan menyelesaikan masalah ini sebaliknya menambah pengguna jalan raya. Maka, pihak berkuasa seharusnya menyediakan pengangkutan awam yang membolehkan orang ramai menggunakan kemudahan tersebut sebagai alternatif kepada kenderaan persendirian.

Isi 2

Selain itu, kepentingannya kepada masyarakat ialah memudahkan perjalanan dari satu lokasi ke lokasi lain. Antara faktor yang menyumbang kepada pengurangan kadar pengguna pengangkutan awam di negara ini adalah kerana pengangkutan awam tidak memudahkan orang ramai. Sebagai contoh, pembinaan tren aliran ringan hanya tertumpu di kawasan Lembah Klang sahaja dan kebanyakan stesennya dibina di kawasan yang akan dibangunkan dan bukan kawasan tumpuan penduduk ketika ini.

Kesannya, pengguna harus membawa kenderaan sendiri untuk ke stesen atau menggunakan teksi dan bas sebelum sampai ke stesen. Di luar Lembah Klang pula, masalah seperti stesen bas yang tiada bumbung dan kekurangan kekerapan bas telah menyebabkan orang ramai tidak memilih untuk menaiki pengangkutan awam. Justeru, pihak berkuasa perlu menggembleng tenaga untuk menyediakan jaringan pengangkutan awam yang memudahkan masyarakat dan selesa untuk setiap golongan usia menaikinya tanpa sebarang kegelisahan.

Isi 3

Kepentingan lain pengangkutan awam kepada masyarakat adalah ia dapat mencambah ekonomi di kawasan sekitar. Apabila jaringan pengangkutan awam disediakan oleh pihak berkuasa tempatan atau kerajaan persekutuan, secara langsung aktiviti ekonomi di kawasan sekitar stesen pengangkutan awam berpotensi untuk berkembang. Persis kata mutiara, di mana ada gula, di situ pasti ada semut. Para penjaja boleh membuka gerai menjual makanan atau minuman ringan kepada penumpang yang menunggu ketibaan pengangkutan awam.

Situasi ini telah pun dibuktikan dengan pembangunan yang berlaku di kawasan pantai barat semenanjung Malaysia yang mempunyai jaringan Lebuhraya Utara-Selatan. Kesannya, banyak bandar baharu dan status pekan lama dinaiktaraf menjadi daerah dan kemudian menjadi perbandaran yang menampung peningkatan jumlah penduduk. Sesungguhnya, pengangkutan awam yang dirancang dan dibina dengan pelan yang baik dapat membantu meningkatkan ekonomi masyarakat dan juga negara.

Isi 4

Akhir sekali, manfaat menggunakan pengangkutan awam adalah kita dapat menyumbang kepada kelestarian alam sekitar. Umum mengetahui bahawa perubahan iklim dan fenomena cuaca yang ekstrem semakin kerap berlaku dan mengancam pelbagai sudut kehidupan kita. Oleh yang demikian, kita perlu melakukan satu tindakan untuk memelihara ekosistem bumi yang semakin tenat ini. Bak kata peribahasa, ingat antara belum kena, hemat antara belum habis.

Apabila kita memilih untuk menggunakan pengangkutan awam daripada menggunakan kenderaan persendirian, secara langsung perlepasan gas karbon dapat dikurangkan. Tambahan pula, pengangkutan awam kini telah melalui proses inovasi dimana bas berkuasa elektrik dan tren aliran ringan yang menggunakan tenaga boleh diperbaharui. Intihannya, menggunakan pengangkutan awam adalah penting untuk memastikan kelestarian alam dipelihara demi kelangsungan generasi masa hadapan.

Penutup

Konklusi daripada perbincangan diatas, kita dapat simpulkan bahawa terdapat banyak kebaikan kepada masyarakat. Sebagai negara yang membangun, kita perlu mengambil kesempatan ini dengan merancang jaringan pengangkutan awam yang terbaik demi kemaslahatan masyarakat di seluruh negara. Semua pihak perlu menggembleng tenaga dan mencari mekanisme terbaik dalam menyediakan pengangkutan awam yang efisien dan berpatutan agar masyarakat yang marhaen turut menerima faedah yang sama. Berbekalkan kemampuan tenaga kerja profesional tempatan yang kita miliki, pastinya jaringan pengangkutan awam yang menarik dapat dibangunkan bukan sahaja di kawasan bandar raya tetapi juga menghubungkan kawasan luar bandar di seluruh tanah air kita.

Related : kereta api, perkhidmatan pengangkutan awam, tempat kerja, kemalangan di jalan raya, pencemaran udara, pihak kerajaan,