Tradisi Kejiranan Dalam Masyarakat (Langkah Memupuk Semangat Kejiranan). Contoh karangan cara mengeratkan hubungan sesama jiran.

Tradisi Kejiranan Dalam Masyarakat (Langkah Memupuk Semangat Kejiranan)

langkah memupuk semanagat kejiranan contoh karangan

Sebelum membuat pilihan tajuk karangan Bahasa Melayu, pelajar pastinya memahami kehendak soalan dan memastikan dapat menyenaraikan isi-isi penting yang diperlukan. Oleh itu, pelajar perlu banyak membuat latihan dan membaca sebagai sumber pengetahuan untuk menjawab saoalan karangan dengan lebih baik. Berikut dikongsikan contoh karangan Tradisi Kejiranan Dalam Masyarakat (Langkah Memupuk Semangat Kejiranan) sebagai panduan untuk semua.

Semangat kejiranan merujuk aspek kesefahaman dan hubungan erat sesama jiran. Sebagai anggota masayarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama, banyak perbezaan dari segi kefahaman dan budaya. Namun, perbezaan tersebut diraikan dan berjaya mewujudkan perpaduan yang tidak pernah dijangka oleh penjajah dahulu sehingga Malaysia berjaya mengecapi kemerdekaan.

Contoh Karangan Tradisi Kejiranan Dalam Masyarakat (Langkah Memupuk Semangat Kejiranan)

Sekiranya anda ingin menulis karangan yang berkaitan dengan kejiranan dalam masyarakat, sila rujuk perkongsian di bawah:

Isi-isi penting

  1. Menubuhkan jawatankuasa antara jiran tetangga
  2. Beriadah atau bersukan bersama-sama
  3. Menganjurkan aktiviti kebajikan atau sukarelawan
  4. Menyambut perayaan atau majlis keraian bersama-sama
  5. Menyokong perusahaan setempat seperti restoran dan sebagainya
  6. Menghasilkan kandungan hiburan atau seni berkaitan dengan semangat kejiranan

Pendahuluan

Mutakhir ini, semangat kejiranan dalam masyarakat di Malaysia kelihatan semakin pupus dari masa ke masa. Perubahan cara sosial antara manusia yang lebih gemar melayari alam maya daripada berhadapan dengan realiti sedikit sebanyak telah menyumbang kepada isu ini. Faktor kesibukan mengejar kerjaya dan menguruskan hal masing-masing juga menyebabkan semangat kejiranan semakin pudar dalam kalangan anggota masyarakat. Jika diimbau kembali pada zaman nenek dan moyang kita, tradisi kejiranan mereka sangat kukuh dan diraikan.

Hasil daripada mengamalkan nilai saling hormat menghormati dan toleransi antara satu sama lain, negara kita kekal harmoni dan sejahtera sehingga hari ini. Walau bagaimanapun, pasti ada segelintir individu yang merasakan keharmonian antara satu sama lain adalah perkara yang tidak menguntungkan mereka. Timbul batu api yang cuba melagakan hubungan antara jiran atau satu sama lain sehingga menyebabkan pergaduhan. Maka, wajar untuk kita mencari langkah-langkah yang boleh diamalkan untuk memupuk semangat kejiranan agar keamanan yang kita nikmati kekal utuh dan bertambah teguh.

Isi 1

Langkah pertama yang boleh diusahakan oleh kita untuk memupuk semangat kejiranan adalah dengan menubuhkan jawatankuasa antara jiran tetangga. Perkara ini sebenarnya telah pun diusulkan oleh kerajaan dan berjaya menghasilkan jawatankuasa yang dikenali sebagai Rukun Tetangga di kebanyakan komuniti. Malahan konsep ini telahpun dilaksanakan di kawasan-kawasan kampung yang melantik ketua kampung,  tok batin bagi orang asli dan tuai rumah di Sarawak sebagai wakil masyarakat setempat untuk mentadbir.

Organisasi pentadbiran secara kecil dan tertumpu kepada kawasan yang kita diami ini penting untuk kita mengenali jiran tetangga dan seterusnya menyuarakan isu-isu yang membelenggu penduduk. Misalnya anggota rukun tetangga boleh bersama-sama menjaga keselamatan tempat tinggal dengan melakukan rondaan pada waktu malam serta menganjurkan aktiviti kebajikan bagi membantu jiran yang dalam kesusahan. Persis peribahasa Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Intihannya, penubuhan jawatankuasa antara jiran tetangga dapat meningkatkan lagi semangat kejiranan antara satu sama lain.

Isi 2

Dari sudut pandang yang berlainan, semangat kejiranan boleh dipupuk melalui aktiviti kesukanan atau riadah. Temasya sukan Olimpik yang merupakan penganjuran sukan antarabangsa berjaya mengumpulkan ribuan atlet sukan di seluruh pelusuk dunia pada setiap empat tahun sekali. Konsep ini membuktikan bahawa sukan adalah salah satu ejen penyatuan masyarakat. Oleh sebab itu, pihak berkuasa seharusnya membangunkan dan memelihara infrastruktur sukan dan riadah di setiap kawasan supaya dapat diguna pakai oleh komuniti setempat.

Apabila masyarakat mempunyai ruangan untuk melakukan aktiviti riadah atau bersukan, mereka berpeluang untuk mewujudkan pasukan tempatan dan seterusnya menyertai kejohanan-kejohana yang dianjurkan. Secara tidak langsung, semangat kejiranan akan bertambah utuh dan melahirkan masyarakat yang sihat. Dengan itu, aktiviti sukan dan riadah pasti dapat memupuk semangat kejiranan khususnya dalam kalangan generasi muda.

Isi 3

Langkah seterusnya dalam memupuk semangat kejiranan adalah dengan menganjurkan aktiviti kebajikan atau menyertai aktiviti sukarelawan. Dalam sesebuah kampung atau taman perumahan pastinya mempunyai kawasan awam seperti taman permainan, dewan serbaguna dan juga rumah ibadah. Aktiviti seperti gotong-royong boleh dianjurkan secara berkala untuk membersihkan tempat-tempat awam yang digunakan bersama-sama. Hasilnya nanti kita dapat menikmati kawasan persekitaran dan kemudahan awam yang bersih dan selamat.

Baru-baru ini, bencana banjir yang melanda kebanyakan negeri di Malaysia telah membuatkan kebanyakan rakyat untuk menyertai aktiviti pembersihan secara sukarela. Sifat simpati dan empati yang dimiliki oleh anggota masyarakat kita membuktikan rakyat Malaysia baik hati dan tidak bersifat prejudis. Jelaslah dengan melakukan aktiviti kebajikan atau sukarelawan membantu untuk memupuk semangat kejiranan.

Isi 4

Usaha lain untuk memupuk semula tradisi kejiranan adalah dengan menyambut perayaan atau majlis keraian bersama-sama. Sebagai contoh penganjuran rumah terbuka pada hari perayaan di mana, setiap orang dijemput untuk hadir ke rumah penganjur dan menikmati hidangan perayaan bersama-sama. Bak kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta. Jikalau kita tidak berkunjung jiran tetangga kita, bagaimana kita hendak mengenali mereka? Umum mengetahui masyarakat pada hari ini sibuk bekerja dan kurang bergaul antara satu sama lain.

Justeru, waktu perayaan adalah masa yang terbaik untuk menjalinkan hubungan dengan jiran tetangga kita. Kenyataan ini dikukuhkan lagi apabila sebuah kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia yang menunjukkan keberhasilan penganjuran rumah terbuka untuk mengukuhkan hubungan kejiranan di sekitar kawasan perumahan di Pulau Pinang.

Penutup

Sebagai kesimpulan, banyak langkah yang boleh dilaksanakan untuk memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat di Malaysia. Kita dapat lihat bahawa kebanyakan di antara kita masih lagi memegang utuh nilai kejiranan dan hidup harmoni walaupun berbeza warna kulit dan latar belakang. Hanya mereka yang terlalu mementingkan diri sendiri ingin melihat perpisahan dan perbezaan antara masyarakat di Malaysia. Situasi ini perlu dibendung agar perpaduan yang dibina oleh masyarakat terdahulu terjamin demi kesejahteraan masyarakat masa kini dan masa hadapan. Pemimpin negara sehingga ke setiap institusi keluarga di Malaysia perlu memainkan peranan masing-masing agar visi untuk melihat masyarakat kita kekal harmoni dapat direalisasikan. Persis peribahasa Melayu, serumpun seperti serai, seikat seperti sirih.

Related : masyarakat di negara, membersihkan kawasan, jiran sepakat membawa berkat, orang yang tinggal, hidup berjiran, bertegur sapa, amalan ziarah menziarahi, hari raya aidilfitri tahun,