Kepentingan Mempelajari Sejarah Kepada Pelajar & Generasi Muda. Contoh karangan pentingnya belajar mata pelajaran sejarah untuk masyarakat.

Kepentingan Mempelajari Sejarah Kepada Pelajar & Generasi Muda

kepentingan mempelajari sejarah kepada pelajar

Apabila ditanya kepada pelajar, subjek atau mata pelajaran apa yang kurang menariik kepada mereka, pasti ramai yang akan menyatakan subjek Sejarah. Fakta-fakta dan peristiwa yang perlu diingat secara tepat mencabar daya ingatan masing-masing. Di kesempatan itu, berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan mempelajari sejarah kepada pelajar sebagai rujukan.

Bermula tahun 2013, mata pelajaran Sejarah telah diwajibkan lulus kepada semua calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini bermaksud jika pelajar gagal dalam mata pelajaran Sejarah, pelajar akan diberikan status gagal dalam pencapaian SPM anda. Oleh itu, setiap calon perlu berusaha bersungguh-sungguh mempelajari subjek ini bukan untuk melepasi peperiksaan tetapi untuk pengetahuan dan kepentingan kepada diri, masyarakat serta negara.

Contoh Karangan Kepentingan Mempelajari Mata Pelajaran Sejarah Kepada Pelajar

Jika anda menghadapi pilihan soalan atau tajuk yang berkaitan dengan kepentingan mempelajari sejarah kepada pelajar, anda boleh merujuk contoh di bawah yang turut disertakan isi-isi penting serta huraian.

Isi – isi penting

  1. Mengenal asal usul dan corak pentadbiran negara
  2. memperingati tokoh-tokoh dan menghargai jasa serta perjuangan
  3. Mengukuhkan perpaduan antara ahli masyarakat
  4. Mempelajari budaya dan warisan negara
  5. Melahirkan masyarakat yang matang dan bersikap realistik
  6. Membentuk jati diri dan keyakinan dalam setiap individu

Pendahuluan

“Mereka yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya”, ungkapan kata-kata daripada tokoh falsafah George Santayana jelas menunjukkan betapa pentingnya untuk kita mempelajari sejarah. Tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai salah satu subjek yang wajib lulus bagi calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah tepat. Hal ini supaya pelajar mengambil serius terhadap subjek ini dan menghayatinya demi kemaslahatan negara.

Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya yang membawa maksud lebih mudah untuk kita mengajar sesuatu kepada golongan muda dimana akalnya terbuka dan tidak tepu. Ibu, bapa, guru dan pihak yang berkaitan perlu memastikan penyampaian mata pelajaran Sejarah dalam kalangan pelajar berjaya dilaksanakan agar kepentingan-kepentingan mempelajari sejarah kepada pelajar tersemat dalam dada serta minda mereka.

Isi 1

Hanya dengan mempelajari mata pelajaran Sejarah, pelajar dapat mengenal asal-usul nenek dan moyang kita yang menjadikan tanah air ini tempat tinggal mereka. Sejarah merupakan catatan peristiwa-peristiwa penting yang disimpan oleh ahli masyarakat atau hasil kajian sejarawan. Tanpa sejarah, kita tidak akan tahu asal-usul kita dan bagaimana untuk kita menjalani kehidupan yang kita nikmati pada hari ini. Bayangkan jika usaha untuk mendapatkan kemerdekaan oleh pemimpin terdahulu tidak berjaya, mungkin kita tidak hidup dengan bebas seperti hari ini.

Penjajahan merupakan satu perkara yang lepas tetapi kita tidak boleh bersikap seperti lembu dicucuk hidung. Justeru, para pelajar hendaklah membuka mata dan memahami sejarah dengan baik untuk mengenali bagaimana negara kita dibentuk dan corak pentadbiran yang dipraktikkan. Dengan ilmu dan pengetahuan yang nyata, pelajar mampu membawa negara ke arah yang lebih baik daripada apa yang kita miliki pada hari ini.

Isi 2

Seiring dengan usaha menguasai corak pentadbiran negara, mempelajari sejarah juga penting untuk pelajar mengetahui dan menghargai jasa dan perjuangan tokoh-tokoh terdahulu. Jika ditelusuri, masyarakat dahulu tidak mempunyai kemudahan seperti apa yang kita miliki pada hari ini. Sebaliknya mereka mengerahkan segala kudrat yang mereka ada untuk mempertahankan maruah dan daulat pada ketika itu.

Sebagai contoh, Datu Paduka Mohammad Salleh Bin Satu Balu yang dikenali sebagai Mat Salleh adalah tokoh yang terkenal dalam menentang penjajahan British di Sabah sehingga akhir hayatnya. Selain itu, Tunku Abdul Rahman yang merupakan keturunan Sultan Kedah telah berjasa sebagai pegawai kerajaan sebelum berjuang mendapatkan kemerdekaan dan seterusnya menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama. Intihannya, dengan mempelajari sejarah, pelajar akan bersyukur dan mengetahui ciri-ciri pemimpin atau tokoh yang layak disokong serta diberi peluang untuk mentadbir atau memimpin negara.

Isi 3

Kepentingan lain mempelajari mata pelajaran Sejarah adalah ia dapat mengukuhkan perpaduan antara masyarakat. Umum mengetahui Malaysia adalah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk seperti kaum Melayu, India, Cina dan kaum-kaum lain. Malah terdapat perbezaan dari segi kepercayaan agama dan budaya. Oleh sebab inilah pelajar perlu mempelajari Sejarah bagi mengelakkan peristiwa 13 Mei 1969 berulang kembali.

Perselisihan faham antara masyarakat Melayu dan Cina selepas Pilihan Raya 1969 telah mengakibatkan rusuhan dan kematian beratus nyawa. Kematian dan kerugian yang sia-sia ini dapat dielakkan sekiranya masyarakat hari ini khususnya pelajar memahami kepentingan untuk bersikap toleransi dan menghargai keamanan yang wujud antara setiap masyarakat tanpa melibatkan perbezaan kaum, agama ataupaun bangsa. Ibarat peribahasa Melayu, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana bermuafakat. Izharnya, mata pelajaran Sejarah cukup penting dalam memelihara perpaduan di dalam negara.

Isi 4

Melalui mata pelajaran Sejarah juga, pelajar berpeluang untuk mempelajari budaya dan warisan negara. Sebagai contoh, pelajar akan mengetahui penempatan awal masyarakat di Tanah Melayu di mana adanya bukti seperti Batu Bersurat yang dijumpai di Terengganu. Artifak ini menjadi bukti kewujudan masyarakat kita sejak zaman dahulu dan sebagai warganegara yang sayang akan negara, kita seharusnya memelihara khazanah ini.

Terdapat banyak lagi artifak dan warisan yang disimpan kemas di dalam muzium di seluruh negara sebagai bukti kemajuan bangsa dan negara kita dari zaman dahulu sehingga kini. Tambahan pula, budaya toleransi anatra masyarakat yang diamalakan sejak zaman dahulu juga boleh disaksikan melalui sejarah yang dicatit oleh sejarawan dan banyak karya-karya sejarah. Natijahnya, mempelajari sejarah adalah mustahak untuk pelajar mengenali warisan dan budaya masyarakat kita supaya yang lama dikelek, yang baharu didukung.

Penutup

Tuntasnya, banyak kepentingan yang diperoleh pelajar apabila mempelajari dan memahami mata pelajaran Sejarah. Suatu masa nanti, pelajar akan menjadi seorang pemimpin kepada keluarga, masyarakat, sebuah organisasi mahupun negara. Maka, setiap pelajar perlu dipupuk dengan jati diri yang kuat agar setiap nilai-nilai murni menjadi intergriti apabila berhadapan dengan masalah atau membuat keputusan. Malahan semangat patriotisme akan muncul dengan sendirinya apabila pelajar memahami dan menghayati sejarah yang dipelajari. Walaupun kita dilanda kepincangan politik pada ketika ini, percayalah ia bakal membuka lembaran baharu yang lebih baik dimana kesalahan akan menjadi sejarah yang tidak akan diulang untuk mencapai kejayaan. Di mana ada kemahuan, disitu pasti ada jalan.

Related : rakyat malaysia, mengulangi kesilapan, kalangan generasi muda, generasi muda hari, negara malaysia, pejuang tanah air, mencapai matlamat, sejarah negara, bersusah payah, untuk memacu, semangat patriotik, cara cara untuk mengelakkan, negara kita daripada dijajah, langkah langkah, semoga bahan,