Kesan Pembalakan Haram Di Malaysia (Karangan). Contoh huraian akibat buruk aktiviti penebangan hutan tidak terkawal kepada negara.

Kesan Pembalakan Haram Di Malaysia (Karangan)

contoh karangan kesan pembalakan haram

Topik berkaitan alam sekitar selalunya dikeluarkan dalam soalan penulisan karangan bagi mata pelajaran bahasa Melayu. Selain dapat menimba ilmu tentang kaedah pengurusan alam sekitar di Malaysia, pelajar dapat mengasah kemahiran menulis karangan. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh karangan Kesan Pembalakan Haram Di Malaysia untuk panduan semua.

Kegiatan membalak secara haram merupakan salah satu jenayah yang berleluasa di negara ini. Modus operandi mereka sukar untuk dikesan kerana aktiviti tersebut dilakukan di kawasan hutan yang dalam dan jauh daripada mata orang awam. namun, saban hari kita pasti dapat melihat lori-lori yang membawa kayu balak seperti bekalannya tidak akan putus. Oleh yang demikian, tajuk yang dibincangkan penting untuk pengajaran dan iktibar kepada para pelajar.

Contoh Karangan Kesan Pembalakan Haram Di Malaysia

Di bawah dikongsikan contoh karangan yang bertajuk kesan-kesan pembalakan secara haram di Malaysia. Turut disertakan adalah isi-isi penting yang boleh dirujuk untuk menjawab soalan yang berkaitan :

Isi-isi penting

  1. Flora dan fauna diancam kepupusan
  2. Mengurangkan kawasan tadahan hujan
  3. Menyebabkan peningkatan suhu dan pemanasan global
  4. Kekerapan bencana alam seperti banjir berlaku

Pendahuluan

Sebagai seorang rakyat Malaysia, kita seharusnya bersyukur kerana dikelilingi pelbagai sumber alam semula jadi seperti gas asli, air dan tanah yang subur. Daripada khazanah alam ini, pelbagai manfaat yang kita peroleh seperti punca ekonomi, tempat tinggal yang selamat serta keindahan alam untuk dinikmati. Namun, segelintir daripada masyarakat kita telah mengambil kesempatan dengan menghancurkan sebahagian daripada khazanah alam ini

Keunikan hutan di negara kita kaya dengan kayu-kayu balak yang tinggi nilainya. Pembalakan sebenarnya dibenarkan di Malaysia tetapi perlu mendapatkan lesen dan mematuhi syarat yang ditetapkan. Tetapi apabila telah dikaburi dengan kekayaan wang ringgit, mereka yang tidak bertanggungjawab telah memilih jalan mudah dengan melakukan pembalakan secara haram. Bagi membuka mata masyarakat awam, wajar untuk kita huraikan kesan-kesan pembalakan haram di Malaysia untuk kepentingan kita bersama.

Isi 1

Antara kesan pembalakan haram di Malaysia adalah flora dan fauna diancam kepupusan. Apabila pembalakan haram dibuat di hutan simpan yang telah digazet untuk pemeliharaan flora dan fauna, gejala ini telah memusnahkan habitat haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Pembalakan haram lazimnya berlaku di kawasan hutan yang dalam agar tidak dilihat oleh orang awam dan juga penguatkuasa. Lokasi tersebut pula adalah dimana haiwan dan tumbuh-tumbuhan hidup dengan baik kerana jauh daripada populasi manusia.

Sebelum menebang kayu-kayu balak, mereka pasti perlu membuat laluan masuk dan keluar untuk jentera berat mereka. Bukan sahaja kayu balak yang haram diambil tetapi juga kawasan sekitar yang dimusnahkan untuk memberi laluan kepada kegiatan haram ini. Jika flora dan fauna ini pupus, ekosistem hutan akan terganggu di mana tanah menjadi kurang subur dan sebagainya. Tegasnya, pembalakan haram akan meninggalkan kesan yang sangat buruk kepada ekosistem kita iaitu ancaman kepupusan flora dan fauna.

Isi 2

Pada masa yang sama, kegiatan pembalakan haram meninggalkan kesan seperti mengurangkan kawasan tadahan hujan. Negara kita yang terletak di garisan Khatulistiwa mempunyai iklim tropikal dimana jumlah hujan yang turun adalah tinggi berbanding negara lain. Maka, pokok-pokok yang bertaburan di hutan menjadi kawasan tadahan air hujan dan mengurangkan risiko banjir kepada kawasan yang rendah dan berdekatan sungai. Pembalak haram pula pasti akan menebang pokok yang berdiameter besar dan berusia dimana akar dan rimbunannya memberikan fungsi terbaik untuk menyerap air hujan.

Selepas pembalakan di buat, hujan yang turun akan terus meresap ke tanah sehingga mengakibatkan tanah runtuh. Manakala air sungai akan bertambah deras dan berlaku kejadian kepala air dimana sejumlah air yang banyak turun dari kawasan air terjun dengan begitu deras. Kawasan yang berdekatan dengan sungai akan diancam kejadian banjir dan kawsan rekreasi di sungai dan air terjun menjadi bahaya untuk dilawati. Jelaslah bahawa kawasan tadahan hujan merupakan kesan buruk daripada kegiatan pembalakan haram.

Isi 3

Kesan lain pembalakan secara haram oleh individu yang tidak bertanggungjawab adalah berlaku peningkatan suhu bumi. Setelah aktiviti menebang pokok secara haram dilakukan, proses penanaman semula tidak dilakukan kerana mereka membalak secara haram. Kesannya bukit-bukau yang ditarah akan terdedah dan jumlah pokok akan berkurangan. Perkara ini menyumbang kepada peningkatan kandungan karbon dioksida di atmosfera bumi kerana tiada pokok untuk menyerap gas tersebut.

Secara langsung, suhu bumi akan meningkat dan seterusnya mengakibatkan glasier di kutub utara dan selatan untuk mencair dan meningkatkan paras air laut. Kesan daripada peningkatan paras laut pula akan menyebabkan hakisan pantai yang teruk kemudian menenggelamkan kawasan-kawasan persisiran pantai. Kesan berganda ini hanya bermula daripada kegiatan membalak kayu hutan demi keuntungan sendiri tetapi akhirnya merugikan ramai pihak yang lain. Bak kata pepatah, kerana nila setitik, rosak sesusu belanga. Intihannya, Pembalakan haram akan menyebabkan kenaikan suhu bumi dan pemanasan global.

Isi 4

Akhir sekali, kesan yang terjadi hasil daripada kerakusan membalak hasil hutan yang diberikan secara percuma oleh Tuhan adalah akan berlakunya kejadian bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh. Mutakhir ini, kerap kali kita dikejutkan dengan berita bencana banjir berlaku di kawasan yang tidak pernah dilanda banjir sebelum ini. Sekiranya pembalakan haram dilakukan di kawasan hutan simpan atau kawasan yang telah ditetapkan bukan untuk membalak, kawasan tadahan hujan akan berkurangan.

Perkara ini membawa kepada hakisan tanah ke dalam sungai dan menjadikan mendapan di dalam sungai. Sekiranya berlaku hujan yang lebat maka paras air sungai akan meningkat dan melimpah ke kawasan sekitar sehingga menyebabkan banjir. Keadaan akan bertambah teruk apabila kayu-kayu balak yang telah ditebang hanyut bersama air sungai dan melanggar rumah di kawasan sekitar. Bayangkan jika situasi ini berlaku di kediaman anda? Oleh itu, gejala pembalakan haram harus diabnteras demi kesejahteraan masyarakat. Izharnya, membalak secara haram akan menyebabakan kejadian seperti banjir dan bencana alam yang lain untuk berlaku.

Penutup

Sebagai kesimpulan, pelbagai kesan buruk yang akan diperoleh daripada kegiatan pembalakan haram di negara kita khususnya. Sebagai rakyat marhaen, kita tahu bahawa kita tidak mampu untuk melakukan aktiviti seperti pembalakan haram dan mereka yang mempunyai sumber kewangan yang kukuh sahaja melakukan aktiviti ini demi mengaut keuntungan. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab melakukan penguatkuasaan seharusnya mempunyai integriti yang tinggi dan tidak melakukan layanan mengikut darjat. Selain penguatkuasaan undang-undang dan hukuman yang berat kepada pembalak-pembalak haram, pendidikan mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat perlu diperkasa. Semoga warkah perbincangan ini memberi impak kepada pembaca dan melakukan obligasi masing-masing untuk menjaga khazanah kurniaan Tuhan kepada tanah air kita.

Related : permukaan bumi, kesan rumah hijau, hidupan liar, orang asli, kayu kayan,