Cara-cara Mengatasi Masalah Banjir Di Malaysia (Menangani). Contoh karangan langkah mengelakkan isu bah klilat di bandar-bandar dan kampung.

Cara-cara Mengatasi Masalah Banjir Di Malaysia (Menangani)

contoh karangan cara mengatasi masalah banjir di malaysia

Kebelakangan ini, kejadian banjir telah menjadi antara tajuk utama siaran berita di media cetak dan media elektronik. Isu semasa ini berpotensi besar untuk menjadi tajuk ataupun tema yang akan dipersoalkan kepada pelajar di dalam peperiksaan. Sebagai panduan kepada semua, berikut dikongsikan contoh karangan Cara-Cara Mengatasi Masalah Banjir Di Malaysia.

Bah atau banjir adalah salah satu bencana alam yang terjadi secara mengejut, bersifat kompleks dan mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda atau alam sekitar. Untuk membendung bencana ini daripada terjadi, ia melibatkan sumber kewangan, kekerapan dan tenaga manusia yang ekstensif daripada banyak agensi serta penyelarasan yang berkesan daripada pihak berkuasa.

Cara-cara Mengatasi Masalah Banjir Di Malaysia

Di bawah adalah isi-isi penting yang berkaitan dengan tajuk Cara-cara mengelakkan atau menangani Banjir Di Malaysia untuk rujukan pelajar. Contoh huraian juga boleh dirujuk seperti berikut:

Isi-isi penting

  1. Menyediakan dan menyelenggara sistem perparitan
  2. Mengawal pembangunan dan pembalakan di kawasan hutan
  3. Mendalamkan sungai atau menyediakan kolam takungan air
  4. Menaik taraf sistem amaran banjir
  5. Mengadakan ruang perbincangan antara mangsa banjir dan pihak berkuasa tempatan
  6. Memastikan pengurusan sisa sampah dilaksanakn dengan baik

Pendahuluan

Malaysia merupakan salah satu negara yang bertuah kerana tidak terletak dalam Lingkaran Api Pasifik di mana terletaknya punca gempa bumi dan gunung berapi berlaku. Namun, ia tidak bermakna negara kita bebas daripada sebarang ancaman bencana alam. Fenomena Pemanasan Global telah menyebabkan berlakunya perubahan iklim dan menjadikan hampir semua negara di pelusuk dunia berpotensi menghadapi bencana alam seperti kemarau dan banjir.

Di Malaysia, kita dapat lihat apabila berlakunya hujan yang lebat dalam masa beberapa hari, banyak kawasan yang dilanda banjir sehingga ada yang melibatkan kehilangan nyawa. Jika polemik ini dibiarkan tanpa sebarang solusi, masyarakat kita akan menghadapi musibah yang sama dari tahun ke tahun. Maka, penting untuk kita bincangkan apakah cara-cara untuk mengatasi masalah banjir di tanah air ini?

Isi 1

Salah satu langkah untuk memastikan kejadian banjir tidak berlaku di kawasan bandar dan juga luar bandar adalah dengan menyediakan serta menyelenggara sistem perparitan dengan baik. Sebagai negara yang menerima taburan hujan yang banyak kita memerlukan jaringan atau sistem perparitan yang efisien. Hal ini kerana ia dapat membantu mengalirkan air lebihan seperti air hujan ke kawasan yang selamat seperti sungai dan laut. Persis kata mutiara, sediakan payung sebelum hujan.

Kejadian banjir kilat yang berlaku di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia adalah berpunca daripada longkang atau parit yang tersumbat dan tidak mengalirkan air ke kawasan yang telah dikhaskan. Pihak berkuasa tempatan perlu bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk memastikan kontraktor yang diberikan tanggungjawab untuk membina dan menyelenggara sistem perparitan di kawasan masing-masing menjalankan tugas mengikut piawai dan tahap yang ditetapkan. Jelasnya, sistem perparitan yang baik dapat membantu kita megatasi masalah banjir.

Isi 2

Langkah seterusnya dalam memastikan kejadian banjir tidak berulang adalah dengan mengawal pembangunan dan pembalakan di kawasan hutan. Kejadian banjir yang berlaku di kawasan luar bandar atau pedalaman kebanyakannya berpunca daripada aktiviti pembangunan di kawasan hutan sekitar. Tamsilnya aktiviti pertanian, pembalakan dan pembinaan pusat peranginan.  Apabila kawasan hutan ditebang, pokok-pokok yang sebelum ini berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan telah hilang dan air hujan yang turun akan mengalir sehingga menaikkan paras air sungai seterusnya melimpah ke kawasan perumahan yang berdekatan.

Inisiatif ini bergantung kepada komitmen daripada pihak berkuasa untuk memastikan tiada aktiviti yang berlaku tanpa lesen di kawasan hutan dan membuat polisi untuk memelihara alam semula jadi yang kita warisi. Jika setiap individu menjalankan tugas dengan tidak memandang bulu, tidak melihat rupa pastinya pemeliharaan alam dapat dijamin dan mengelakkan daripada bencana banjir berlaku.

Isi 3

Selain daripada solusi di atas yang perlu dilakukan secara jangka masa panjang, solusi jangka masa pendek untuk masalah banjir adalah dengan mendalamkan sungai atau menyediakan kolam takungan air. Kita mungkin menghadapi masalah birokrasi apabila ingin melakukan sesuatu penyelesaian masalah yang melibatkan pihak berkuasa dan juga kerajaan. Justeru, pihak berkuasa atau individu yang mempunyai sumber kewangan dan kemudahan boleh membantu untuk mendalamkan sungai sekitar dan juga menyediakan kolam takungan air.

Sebagai contoh di Kuala Lumpur, pihak berkuasa tempatan telah menetapkan beberapa kawasan sebagai kawasan takungan air sekiranya berlaku hujan lebat dan banjir kilat. Kawasan ini telah digazetkan dan tidak boleh dibangunkan untuk menjadi kawasan kediaman, riadah dan juga komersial. Solusi seperti terowong SMART juga adalah salah satu penyelesaian yang bijak kerana membantu mengurangkan dua masalah di kawasan Lembah Klang iaitu banjir kilat dan aliran trafik yang tinggi. Ibarat menyelam sambil minum air. Intihannya, mendalamkan sungai dan menyediakan kolam takungan air dapat mengatasi masalah banjir di Malaysia,

Isi 4

Akhir sekali, kaedah untuk mengatasi masalah banjir adalah dengan menaik taraf sistem amaran banjir. Marcapada ini penggunaan telefon pintar dalam kalangan masyarakat adalah kebiasaan demi menyelami arus modenisasi pada hari ini. Tetapi, sistem amaran banjir kita masih lagi menggunakan teknologi lapuk seperti amaran siren di kawasan berdekatan sungai. Apabila hujan turun dengan lebat, bunyi siren dan amaran tidak akan kedengaran dan menyebabkan ramai penduduk tidak sedar.

Maka, pihak berkuasa seharusnya melakukan anjakan paradigma dengan menggunakan teknologi yang kita miliki hari ini untuk menyediakan sistem amaran banjir yang terbaik. Tamsilnya, perkongsian amaran cuaca buruk daripada jabatan kaji cuaca melalui sistem pesanan ringkas atau di media sosial. Apabila masyarakat diberikan amaran dan mereka sedar akan potensi berlakunya banjir, pasti mereka akan bertambah waspada dan melakukan persiapan untuk menghadapi musibah tersebut.

Penutup

Kesimpulannya, pelbagai cara yang boleh dilaksanakan untuk memastikan masalah banjir tidak berulang di Malaysia. Setiap tindakan yang dirancang pastinya ada kesan baik dan juga buruknya. Oleh itu, semua pihak seharusnya berganding bahu mencari mekanisme terbaik untuk menyelesaikan masalah banjir yang kompleks dan berbeza di setiap kawasan.

Hanya dengan dedikasi yang ikhlas dan niat untuk memastikan setiap antara ahli masyarakat hidup dengan selamat akan membawa kita ke meja penyelesaian kepada masalah ini. Ikan di laut, asam di darat, dalam periuk, bikin muafakat. Perumpamaan ini jelas menunjukkan jika kita bermuafakat untuk mencapai satu visi yang sama iaitu mengatasi masalah banjir, pastinya kita akan menjumpai solusi yang terbaik untuk semua pihak. Semoga kaedah-kaedah yang dibincangkan dapat dipraktikkan dan seterusnya memastikan masyarakat kita hidup dengan selamat, selesa dan harmoni.

Related : longkang tersumbat, bersih dan,