Bahagia Sesudah Derita (Prosa Tradisional) : Sinopsis, Tema, Persoalan. Nota meliputi latar, gaya bahasa, nilai dan watak.

Bahagia Sesudah Derita (Prosa Tradisional) : Sinopsis, Tema, Persoalan

Bahagia Sesudah Derita Prosa Tradisional Sinopsis Tema Persoalan

Perhatian kepada semua pelajar Tingkatan 3 yang mencari rujukan untuk mengulang kaji mata pelajaran Bahasa Melayu. Adakah anda mencari nota rujukan untuk komponen sastera (KOMSAS)? Sekiranya ya, berikut dikongsikan nota-nota ringkas Bahagia Sesudah Derita (Prosa Tradisional) : Sinopsis, Tema, Watak, Nilai, Latar & Persoalan untuk rujukan semua.

Prosa Tradisional ini telah dipetik daripada Hikayat Maharaj Marakarma yang merupakan salah satu daripada kesasteraan bahasa Melayu lama. Ia ditulis sekitar tahun 1844 atau 1848. Bahasa klasik dan tradisional yang digunakan dalam karya ini akan membantu pelajar menambah pengetahuan dan pemahaman dalam bahasa Melayu. Tambahan pula, pengajaran yang diperoleh daripada prosa tersebut memberikan iktibar yang berguna kepada pelajar.

Prosa Tradisional : Bahagia Sesudah Derita – Sinopsis, Tema, Latar, Gaya Bahasa, Nilai, Watak Dan Persoalan

Ikuti perkongsian nota-nota berkaitan prosa tradisional di atas beserta latihan soalan untuk pelajar menjawab dengan jawapan yang betul dan tepat.

Tema

Prosa Tradisional ini bertemakan ketabahan hidup sepasang suami dan isteri yang menempuh pelbagai dugaan ketika tinggal di negeri Anta Beranta

Persoalan

1) Memandang rendah terhadap orang lain

  • Penduduk di negeri Anta Beranta telah mengusir sepasang suami isteri yang berpakaian carik-carik walaupun mereka hanya ingin mencari rezeki

2) Kasih sayang yang menjadi tali pengikat ketabahan sepasang suami isteri

  • Walaupun telah dilempar kayu dan batu-bata, si miskin dan isterinya tabah menghadapi dugaan tersebut dan tinggal bersama-sama.

3) Belas kasihan terhadap golongan yang kurang bernasib baik

  • Peniaga buah yang melihat keadaan si miskin telah berasa kasihan dan memberikannya buah-buahan, juadah makanan, nasi dan juga kain.

4) Tanggungjawab seorang suami kepada isteri

  • Si miskin berusaha untuk mendapatkan makanan bagi isterinya yang kelaparan

Sinopsis

Sepasang suami isteri yang miskin telah berjalan mengelilingi negeri dan berhasrat untuk berjumpa dengan Maharaja Indera Dewa. Orang ramai yang melihat pasangan tersebut yang memakai pakaian carik itu telah melemparkan kayu dan batu ke arah pasangan miskin itu. Tubuh mereka bengkak-bengkak dan berdarah selepas peristiwa tersebut. Betara Angkasa Indera Dewa telah mengarahkan orang ramai untuk mengusir pasangan miskin tersebut. Mereka pun telah melarikan diri ke dalam hutan. Pasangan tersebut yang dalam perjalanan pulang telah berjumpa sebuah kawasan orang membuang sampah.Mereka menemui sebiji ketupat basi dan buku tebu lalu dimakan oleh mereka. Pasangan miskin itu kemudian tidur di kawasan pembuangan sampah itu. Keesokannya, pasangan ini pergi meminta makanan lagi tetapi gagal juga.

Isteri kepada Si Miskin jatuh sakit dan dia telah masuk ke dalam hutan untuk mencari ubat dan pucuk kayu sebagai ubat. Tidak lama selepas itu, isteri si miskin telah hamil dan mengidam untuk makan buah mangga. Si miskin telah berkunjung ke sebuah kedai menjual buah-buahan lalu meminta buah yang telah rosak atau ingin dibuang oleh peniaga itu. Hal ini menyebabkan peniaga itu berasa kasihan terhadap si miskin dan memberikannya buah, juadah , nasi dan kain. Selepas memberikan buah tersebut kepada si isteri, dia kemudiannya menangis kerana mengidam buah mangga yang diitanam dalam taman raja.

Si miskin yang sangat menyayangi isterinya telah berjumpa dengan Maharaja Indera Dewa untuk meminta sebiji buah mangga dari taman raja. Baginda yang mendengar permintaan itu telah menyuruh orangnya untuk memberikan setangkai buah mangga. Si miskin pun membawa pulang buah mangga tersebut untuk diberikan kepada isterinya. Selang tiga hari kemudian, si isteri mengidam pula untuk makan buah nangka yang ditanam di taman raja. Si miskin pun berjumpa lagi dengan Maharaja Indera Dewa untuk meminta sehelai daun nangka sahaja. Namun, baginda telah memberikan sebiji buah nangka kepada si miskin itu.

Pasangan suami isteri yang miskin itu sering diberi barangan keperluan oleh orang ramai menjadikan kehidupan mereka lebih senang. Isteri si miskin telah melahirkan seorang bayi lelaki yang dimakan Marakarma pada waktu malam empat belas haribulan. Pasangan ini akhirnya berpindah ke sebuah pondok. Pada suatu hari, si miskin telah menggali tanah untuk mendirikan tiang rumah lalu menjumpai tajau yang mengandungi emas. Si miskin pun membawa emas ke saudagar di negeri Anta Beranta dan mahukan sepasang kasut sahaja. Saudagar itu meminta tempoh selama tujuh tahun untuk menunaikan permintaan si miskin selepas melihat emas yang terlalu banyak, Si miskin bertindak untuk berjumpa dengan saudagar lain dan meminta mereka membelikan tongkat, payung, pedang, otar-otar, keris, pelana kuda dan kain.

Si miskin pulang ke rumah dan bermandikan limau. Dia memangku anaknya selepas itu lalu menyeru jika benar anaknya itu ialah anak dewa, maka dia mahu membina sebuah negeri di dalam hutan tersebut yang lengkap dengan kota, istana, menteri, hulubalang dan rakyat. Dengan takdir Tuhan, jadilah negeri yang lengkap dibangunkan oleh si miskin. Dia menjadi Maharaja Indera Angkasa di negeri Pura yang dinamakan Puspa Sari dan isterinya bernama Tuan Puteri Ratna Dewi. Tidak lama kemudian, Tuan Puteri Ratna Dewi telah mengandung lagi dan melahirkan seorang bayi perempuan bernama Tuan Puteri Nila Kesuma. Sambutan kelahiran secara besar-besara telah diadakan mengikut adat istiadat istana selama empat puluh hari, empat puluh malam.

Watak dan Perwatakan

1) Maharaja Indera Angkasa

  • Merupakan suami kepada Tuan Puteri Ratna Dewi
  • Berasal dari raja keinderaan
  • Telah disumpah oleh Betara Guru kerana membawa isteri turun ke bumi tanpa memberitahunya
  • Sebelum menjadi raja, beliau seorang yang miskin
  • Seorang yang sangat menyayangi isterinya kerana sanggup meminta buah mangga untuk diberikan kepada isterinya yang mengidam
  • Seorang bijak kerana meminta buah yang buruk daripada peniaga hingga menyebabkan peniaga itu belas kasihan kepadanya
  • Seorang yang kekal tabah apabila menghadapi kehidupan kerana walaupun dilemparkan batu dan kayu, dia tetap meminta sedekah daripada Maharaja Indera Dewa.

2) Tuan Puteri Ratna Dewi

  • Isteri kepada Maharaja Indera
  • Berasal dari raja keinderaan
  • Telah disumpah oleh Betara Guru kerana mengikut suaminya turun ke bumi.
  • Sebelum menjadi seorang permaisuri, beliau seorang yang miskin
  • Seorang yang setia kepada suaminya kerana sanggup bersama suaminya selepas dihalau oleh penduduk kampung

3) Maharaja Indera Dewa

  • Raja di negeri Anta Beranta
  • Seorang yang berhati mulia selepas mengarahkan orangnya memberikan setangkai buah mangga dan sebiji nangka kepada si miskin

4) Betara Angkasa Indera Dewa

  • Salah seorang raja juga di negeri Anta Beranta
  • Seorang yang tidak mempunyai perasaan kasihan apabila menyuruh pembantunya menghalau pasangan miskin ketika mereka ingin berjumpa dengan Maharaja Indera Dewa

Binaan Plot

Permulaan

  • Sepasang suami isteri yang datang ke negeri Anta Beranta dan meminta sedekah sebagai cara mencari rezeki

Perkembangan

  • Mereka pergi ke istana Maharaja Indera Dewa tetapi dihalau oleh Betara Angkasa Indera Dewa. Mereka kemudian telah dilempar kayu dan batu oleh orang ramai hingga badan mereka berdarah dan bengkak. Pasangan suami isteri miskin ini kemudia lari ke dalam hutan dan menjumpai sebuah kawasan tempat pembuangan sampah. Mereka menjumpai seketul ketupat yang telah basi dan buku tebu lalu memakan makanan tersebut.

Perumitan

  • Isteri si miskin telah hamil dan mengidam makan buah mangga dan nangka dari taman raja. Semasa membina pondok untuk berteduh, si miskin telah menemui tajau berisi emas di dalam lubang yang digali. Selepas anaknya, Marakarma lahir, dia menyeru kuasa anaknya untuk membina kota yang lengkap.

Peleraian

  • Pasangan suami isteri yang miskin telah menjadi raja dan puteri di sebuah negeri yang dinamakan Puspa Sari. Mereka juga menyambut kelahiran seorang lagi anak perempuan yangg dinamakan Tuan Puteri Nila Kesuma lalu mengadakan keraian selama empat puluh hari, empat puluh malam.

Teknik Plot

  • Dialog : Maka titah baginda “Apakah yang digemparkan di luar itu?”
  • Pemerian : Setelah itu ada selang tiga hari antaranya maka isterinya pun menangis pula hendak makan buah nagka yang di dalam taman raja itu pun
  • Monolog : Seteleah sudah maka diambilnya anaknya itu seraya dipangkunya, demikan katanya, “Jikalau sungguh engkau anak dewa turun hendak menerangkan muka ayahanda kepada segala alam ini, jadilah negeri di dalam hutan rimba ini lengkap dengan kota paritnya dan istananya serta dengan segala menteri, hulubalang, rakyat, segala raja-raja yang di bawah aku betapa adat segala raja-raja yang besar-besar.”
  • Imbas kembali : Adapun akan si miskin itu asalnya daripada raja keinderaan kena sumpah Betara Guru sebab ia turun ke dunia membawa isterinya tiada memberitahu Betara Guru. Itulah maka demikian rasanya.

Latar

Latar tempat

  1. Negeri Anta Beranta : Negeri di mana si miskin meminta sedekah dan mencari rezeki
  2. Tempat Pembuangan Sampah : Si miskin menemui ketupat dan buku tebu untuk dimakan
  3. Hutan : Si miskin dan isterinya lari ke dalam hutan selepas dihalau oleh penduduk kampung
  4. Pasar : Si miskin dan isterinya dihina dan dilempar kayu serta batu sehingga badan mereka cedera
  5. Negeri Puspa Sari : Negeri si miskin dan isterinya bina selepas kelahiran Marakarma

Latar masa

  1. Petang : Si miskin menemui tempat pembuangan sampah dan ketupat bagi serta buku tebu untuk dimakan
  2. Malam : Si miskin dan isterinya tidur di dalam hutan selepas dihalau orang kampung
  3. Tiga bulan : Isteri si miskin telah hamil tiga bulan selepas makan buku tebu dan ketupat basi
  4. Empat puluh hari empat puluh malam : Majlis meraikan kelahiran Tuan Puteri Nila Kesuma

Latar masyarakat

  1. Masyarakat yang miskin suatu ketika dahulu
  2. Masyarakat yang penyayang
  3. Masyarakat yang tidak berperikemanusiaan
  4. Masyarakat yang bertanggungjawab

Gaya Bahasa

  1. Diksi Bahasa Arab : Allah Taala, Wallahualam
  2. Diksi Bahasa Istana : Baginda, Titah, Patik
  3. Anafora : Ada yang memberi juadah, Ada yang memberi nasi
  4. Hiperbola : Hancurlah segala anggotaku
  5. Repitisi : Jikalau ada belas kasihan tuan hamba, hamba hendak akan buah yang seburuk-buruknya
  6. Responsi : Ada yang memberi nasi, Ada yang memberi buah-buahan
  7. Sinkope : Kehendakmu?, Jangan anakku bercerai
  8. Simile : Laparnya dan dahaga seperti akan matilah rasanya
  9. Kata Ganda : Berdarah-darah dan bengkak-bengkak

Nilai

  1. Ketabahan : Si miskin dan isteri tabah bersama walaupun dihina, diusir dan dilemparkan kayu serta batu oleh penduduk kampung ketika meminta makanan
  2. Kasih sayang : Si miskin sangat menyayangi isterinya dan sanggup memenuhi permintaan isterinya
  3. Baik hati : Maharaja Indera Dewa telah memperkenankan permintaan si miskin yang inginkan mempelam dan nangka
  4. Tanggungjawab : Si miskin menyediakan tempat tinggal untuk isterinya dengan membina pondok

Pengajaran

  1. Kita hendaklah tabah dalam menempuhi dugaan hidup kerana pelbagai cabaran yang akan mendatang
  2. Kita seharusnya menjalankan tanggungjawab kita dengan penuh dedikasi seperti seorang suami mencari rezeki untuk keluarganya
  3. Kita perlu bersikap baik hati dalam membantu orang yang dalam kesusahan kerana dalam rezeki kita ada rezeki untuk orang lain
  4. Kita hendaklah menunjukkan kasih sayang antara ahli keluarga bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim

Latihan Soalan

1) Berdasarkan prosa tradisional ini, apakah yang dimaksudkan dengan rangkai kata diusirnyalah dengan kayu?

Maksud rangkai kata tersebut adalah menghalau dengan kayu.

2) Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam prosa tradisional ini

Salah satu persoalan yang didapati dalam prosa tradisional ini adalah sikap memandang rendah terhadap golongan miskin di mana orang di pasar telah mengusir dan membaling kayu apabila melihat si miskin dan isterinya. Selain itu, persoalan cabaran orang dahulu yang miskin untuk hidup. Si miskin cuba untuk meminta sedekah tetapi dihalau sehingga memakan makanan daripada tempat pembuangan sampah

3) Pada pendapat anda, apakah kaedah yang perlu dilaksanakan untuk membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat?

Pada hemah saya, masalah miskin tegar boleh diselesaikan dengan bantuan kebajikan daripada pihak berkuasa. Apabila kebajikan mereka, peluang pekerjaan boleh ditawarkan untuk mereka keluar daripada belenggu kemiskinan. Akhir sekali, masalah kemiskinan boleh diatasi dengan memberikan subsidi kepada golongan kurang berkemampuan untuk meneruskan kehidupan ketika kos sara hidup semakin meningkat.

4) Sebagai seorang pemimpin, apakah tindakan yang anda akan lakukan sekiranya berdepan dengan rakyat yang miskin?

Jika saya diamanahkan sebagai seorang pemimpin, saya akan memberikan bantuan di dalam kemampuan saya, benda-benda asas seperti makanan dan minuman terlebih dahulu. Kemudian saya akan mengusahakan bantuan daripada jabatan kebajikan masyarakat dan juga badan zakat. Akhir sekali saya akan mengusulkan polisi dan dasar pembangunan negara yang membebaskan rakyat daripada kemiskinan.

Semoga perkongsian nota-nota Bahagia Sesudah Derita (Prosa Tradisional) : Sinopsis, Tema, Persoalan membantu semua.

Related : disumpah oleh betara angkasa indera dewa telah mengarahkan, sikap memandang hina terhadap orang miskin, masuk ke istana maharaja indera dewa, persoalan yang diberi nama tuan puteri nila kesuma, baginda telah menggali tanah untuk mendirikan tiang rumah, pasangan suami isteri yang miskin telah berjalan, kasih sayang seorang suami terhadap isteri,