Sajak Kijang Yang Lelah : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran. Nota meliputi gaya bahasa, bentuk dan soalan latihan.

Sajak Kijang Yang Lelah : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran

Sajak Kijang Yang Lelah Maksud Tema Persoalan Nilai Pengajaran

Perhatian kepada pelajar Tingkatan 3 yang mengkaji Antologi Bintang Hati untuk mata pelajaran Bahasa Melayu. Adakah anda telah membuat ulang kaji dan nota yang beolh digunakan sebagai persediaan menghadapi ujian atau peperiksaan? Sekiranya belum, berikut dikongsikan nota-nota ringkas bagi Sajak Kijang Yang Lelah : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Gaya Bahasa, Bentuk dan Pengajaran sebagai rujukan semua.

Untuk makluman, sajak ini adalah karya penulis Wan Marzuki Wan Ramli yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan. Beliau yang bekerja sebagai guru telah menceburi juga bidang penulisan dan merupakan mantan graduan Minggu Penulis Remaja DBP 1988. Pelajar yang ditugaskan untuk mengkaji karya ini perlu bijak mencari maksud yang tersurat dan tersirat supaya iktibar yang cuba disampaikan oleh penulis berjaya difahami dengan baik.

Nota Sajak Kijang Yang Lelah : Maksud, Tema, Persoalan, Bentuk, Gaya Bahasa, Nilai Dan Pengajaran

Di bawah dikongsikan nota-nota berkaitan sajak di atas merangkumi Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Bentuk, Gaya Bahasa & Pengajaran untuk panduan semua. Pelajar juga boleh merujuk soalan-soalan yang berkenaan sebagai latihan masing-masing.

Maksud

Rangkap 1

Suara nyaringnya tidak lagi gah bergema
Ketika temulang kudratnya bergetar di tengah rimba
Dia tidak lagi mampu menobat takhta
Mengorak telapak di tanah menghijau

  • Penyajak menceritakan kehidupan kijang tua yang semakin hilang kekuasaan dan berasa dipinggirkan

Rangkap 2

Saat itu
Sebak menyentap dahan kalbu
Dedaun resah mula berguguran
Pepohon batin akhirnya tumbang
Akarya menguncup di perdu harap

  • Sang kijang berasa sangat sedih dan risau pada masa itu, sang kijang sudah uzur hanya tinggal harapan kerana kekuatan dalamannya semakin hilang

Rangkap 3

Hari ini
Dia cuba bangkit dengan kekuatan kaki
Menghambat waktu yang bersisa
Walau dalam jera lelah
Seakan dibelenggu setiap inci jiwa raga

  • Pada satu hari, sang kijang cuba menguatkan dirinya bagi mengharungi sisa-sia kehidupannya walaupun penat dan tidak berdaya selepas keinginannya terhalang

Rangkap 4

Bimbang tersadung akar dan jerat
Sang kijang lebih berhati-hati menapak
Meski dalam peribadi yang keruh
Diredah belantara yang mula teduh
Nun jauh di batas nuraninya
Dia tetap menjinjing tekad dan tabah
Terus mengorak penuh berhemah
Dengan akal dan hati
Dia tidak lagi gundah
Menyusun gerak dan langkah

  • Sang kijang takut terkena jerat manusia dan tersadung akar. Dengan penuh hati-hati, sang kijang meneruskan perjalanan ke dalam hutan walaupun dirinya berasa lemah. Pelbagai rintangan dan cabaran yang perlu ditempuh tetapi sang kijang berazam untuk meneruskan perjalanan dengan akal dan kewarasan yang dimiliki.

Tema

Sajak ini bertemakan cabaran yang dihadapi oleh seekor kijang tua menempuh kehidupannya dalam kudratnya lemah. Kijang tersebut kekal positif dan bersemangat meneruskan kehidupannya ke dalam hutan dengan berhati-hati.

Persoalan

1) Perasaan seorang yang sudah tua

  • Kijang yang sudah tua sedih dengan nasibnya yang semakin hilang kuasa

2) Ketabahan menghadapi kehidupan yang penuh cabaran

  • Walaupun semakin lemah, sang kijang tetap meneruskan kehidupan walaupun banyak cabaran dan rintangan

3) Sikap berhati-hati dalam menempuh kehidupan

  • Dalam mendepani kehidupan, sang kijang berhati-hati takut terkena jerat atau tersadung pada akar pokok

4) Sedar akan realiti kehidupan

  • Kijang yang sudah tua menyedari keadaannya tetapi tetap bersemangat untuk meneruskan kehidupan dengan tenaga yang ada

Bentuk Sajak

  • Sajak ini berbentuk bebas
  • Terdiri daripada empat rangkap
  • Perkataan terdiri daripada empat hingga tujuh belas suku kata
  • Setiap baris sajak mempunyai bilangan patah perkataan antara dua hingga tujuh patah perkataan
  • Bilangan baris pada setiap rangkap adalah tidak sama:
    • Rangkap 1 : empat baris
    • Rangkap 2 : lima baris
    • Rangkap 3 : lima baris
    • Rangkap 4 : sepuluh baris
  • Nada saja ini adalah Melankolik

Gaya Bahasa

  • Asonansi : Diredah belantara yang mula teduh
  • Aliterasi : Dia cuba bangkit dengan kekuatan kaki
  • Metafora : Dedaun resah mula berguguran, Pepohon batin akhirnya tumbang
  • Personifikasi : Menghambat waktu yang bersisa, Sebak menyentap dahan kalbu
  • Responsi : Suara nyaringnya tidak lagi gah bergema, dia tidak lagi mampu menobat takhta
  • Rima Akhir:
    • Rangkap 1 : aaab
    • Rangkap 2 : aabcd
    • Rangkap 3 : aabcd
    • Rangkap 4 : abccdeefee

Nilai

  • Ketabahan : Sang kijang yang sudah tua tabah menghadapi kehidupannya
  • Berwaspada : Sang kijang berhati-hati ketika berjalan supaya dirinya tidak tersadung jerat atau akar pokok
  • Berhemah tinggi : Sang kijang menggunakan akal fikiran dan kewarasannya untuk melaksanakan tindakan yang sepatutnya
  • Bersemangat tinggi : Walaupun sudah tidak mempunyai kudrat, sang kijang tetap meneruskan perjalanannya

Pengajaran

  • Kita hendaklah tabah menghadapi kehidupan walaupun sudah menjelang usia tua
  • Kita perlu bersemangat menempuh segala cabaran dan rintangan dalam kehidupan
  • Kita seharusnya berwaspada dalam melaksanakan apa juga tugasan dan tanggungjawab kerana amalan ini dapat mengelak daripada keburukan
  • Kita mesti mempunyai tekad dan semangat untuk hidup di dunia kerana setiap manusia mempunyai nilai dan tujuannya

Soalan Latihan

1) Berdasarkan sajak ini, apakah maksud rangkai kata “Perdu”?

Maksud rangkai kata perdu adalah pangkal pokok

2) Berikan pula maksud rangkai kata kudrat?

Maksud rangkai kata kudrat adalah kuasa atau tenaga yang dimiliki

3) Huraikan perasaan yang dihadapi oleh sang kijang apabila kekuasaannya semakin lenyap?

Sang kijang berasa sedih kerana kuasanya semakin lemah. Namun, dia bertekad untuk berkuasa semula berbekalkan apa sahaja kekuatan yang dia miliki. Segala cabaran dan rintangan akan dihadapinya dengan lebih berhati-hati.

4) Berikan dua gaya bahasa yang menarik beserta contoh yang terdapat dalam sajak ini.

Antara gaya bahasa yang terdapat dalam sajak ini adalah metafora, contohnya menjinjing tekad. Selain itu, terdapat juga personifikasi seperti dedaun resah, pepohon batin dan asonansi seperti Bimbang tersadung akar dan jerat.

5) Dalam mendepani era pembangunan yang pesat, apakah langkah yang perlu dilakukan untuk mengelakkan kemusnahan flora dan fauna di negara Malaysia?

Langkah untuk mengelakkan kemusnahan flora dan fauna adalah dengan memastikan pembangunan lestari dilaksanakan. Selain itu, pihak berkuasa perlu memastikan hutan simpan kekal dikawal daripada penceroboh dan dipelihara untuk kesihatan flora dan fauna. Akhir sekali, kemusnahan flora dan fauna boleh dielakkan sekiranya pembangunan di kawasan bandar dimaksimakan dengan menghidupkan semula pembangunan terbiar atau usang.

6) Berikan pendapat anda tentang cara generasi muda pada hari ini untuk menghadapi masa depan yang penuh dengan cabaran?

Pada pendapat saya, generasi muda pada hari ini perlu mengutamakan pembelajaran ilmu pengetahuan dan kemahiran diri. Berbekalkan ilmu yang tinggi, generasi muda mampu membuat keputusan yang betul dalam mendepani cabaran dan seterusnya mampu untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar apabila menjadi dewasa.

Diharapkan perkongsian nota-nota Sajak Kijang Yang Lelah : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran membantu para pelajar.

Related : sajak kijang tua dalam mengharungi kehidupan, lemah sang kijang tua dalam mengharungi kehidupan, kewarasan berfikir dalam menempuhi cabaran dan rintangan, keperitan hidup seekor kijang tua dalam mengharungi kehidupan, ketabahan hidup seekor kijang tua dalam mengharungi kehidupan,