Usaha Mengelakkan Tekanan Mental Dan Emosi Bagi Remaja. Contoh karangan cara menangani stress yang berkesan.

Usaha Mengelakkan Tekanan Mental Dan Emosi Bagi Remaja

contoh karangan usaha mengelakkan tekanan mental

Selepas pandemik COVID-19 melanda dunia, topik kesihatan mental menjadi salah satu topik yang popular dibincangkan oleh ahli masyarakat. Oleh sebab yang demikian, pelajar digalakkan untuk membuat latihan penulisan karangan bertemakan isu-isu semasa yang berlaku di peringkat negara dan dunia. Di bawah dikongsikan contoh karangan usaha mengelakkan tekanan mental dan emosi bagi remaja untuk panduan semua.

Tekanan mental dan emosi dalam kalangan remaja selalunya berlaku kerana masalah dalam pelajaran, keluarga atau rakan-rakan. Tekanan atau stres yang berpanjangan akan mengakibatkan masalah deperesi dan kemurungan untuk berlaku. Tindak balas yang negatif ini wajar dielakkan khususnya dalam kalangan remaja kerana ia akan membantu mereka apabila menjadi seorang dewasa kerana bakal menghadapi lebih banyak tekanan.

Usaha Menangani Stress/ Tekanan Mental Dan Emosi Bagi Remaja

Contoh karangan usaha mengelakkan tekanan mental dan emosi bagi remaja dikongsikan di bawah boleh menjadi bahan rujukan untuk pelajar menjawab karangan yang berkaitan.

Isi-isi penting

  1. Mengamalkan gaya hidup yang sihat
  2. Bersosial dengan rakan-rakan
  3. Berkongsi masalah yang dihadapi
  4. Melancong ke pusat pelancongan
  5. Memperbaiki ibadat kepada Tuhan
  6. Menyertai kursus motivasi dan kelas kaunseling

Pendahuluan

Dasawarsa ini, pandemik COVID-19 telah menguji pelbagai sudut kekuatan kita sebagai manusia sama ada secara fizikal dan juga spiritual. Pelbagai cabaran yang timbul untuk kita mangubah norma yang sebelum ini kita nikmati dan berusaha melakukan norma kehidupan yang baharu. Golongan dewasa yang diberhentikan kerja perlu mencari kerja yang tidak tetap seperti membawa kereta e-hailing dan menjadi penghantar makanan demi menampung kehidupan diri dan keluarga.

Tidak ketinggalan golongan remaja yang perlu mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran secara atas talian. Cabaran ini mungkin mudah untuk diatasi oleh sesetengah orang yang berkemampuan tetapi bagi mereka yang tidak bernasib baik akan mempunyai masalah untuk menghadapi cabaran seperti ini. Maka, timbul tekanan mental dan tindak balas emosi yang merunsing fikiran kita kerana berdepan dengan dugaan yang sangat mencabar. Oleh sebab yang demikian, penting untuk kita pelajari usaha-usaha mengelakkan tekanan mental dan emosi bagi remaja khususnya agar menjadi manfaat untuk semua.

Isi 1

Pertama sekali, usaha yang boleh dilakukan oleh golongan remaja untuk mengelakkan tekanan mental dan emosi diri yang tidak baik adalah dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Gaya hidup sihat bermaksud seorang individu membahagikan masa yang seimbang untuk belajar atau bekerja, melakukan aktiviti riadah seperti bersukan, tidur yang cukup dan mengamalkan pemakanan yang sihat. Kita dapati golongan remaja hari ini mempunyai rutin yang tidak sihat seperti berjaga pada waktu malam untuk bermain permainan video.

Norma yang tidak sihat ini perlu dielakkan kerana kesihatan fizikal kita mempengaruhi kesihatan mental. Persis kata mutiara, badan sihat, otak cergas. Mustahak untuk kita sebagai manusia menjaga kesihatan diri dengan melakukan aktiviti yang aktif seperti bersukan dan beriadah sekurang-kurangnya tiga puluh minit sehari. Secara saintifiknya, ia dapat mengeluarkan hormon yang membantu kita untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi. Perkara ini jelas membuktikan bahawa amalan gaya hidup sihat dapat mengurangkan masalah tekanan mental dalam kalangan remaja.

Isi 2

Pada masa yang sama, remaja digalakkan untuk bergaul atau bersosial dengan rakan-rakan yang baik untuk mengatasi masalah tekanan mental. Sebagai contoh, setiap sekolah mempunyai pembimbing rakan sebaya yang dilantik oleh guru untuk menjadi pembimbing kaunseling kepada para pelajar yang lain. Kemudahan ini wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar untuk berkongsi masalah yang dihadapi kepada rakan dan mereka pasti dapat memahami dan membantu memberikan cadanagn penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.

Tambahan pula, pergaulan bersama rakan-rakan dapat mengelakkan golongan remaja menghabiskan masa bersendirian dan terlalu berfikir akan masalah yang dihadapi. Apabila mereka menghabiskan masa berbual dan bersosial dengan rakan, mereka mungkin akan menjumpai rakan yang menghadapi masalah yang sama dan dapat bersama-sama menghadapi cabaran yang mendatang. Nilai persahabatan ini penting dalam mewujudkan nilai kebahagiaan dalam diri apabila banyak perkara lain yang memberikan tekanan. Intihannya, memperuntukkan masa bergaul dengan rakan dapat mengurangkan tekanan mental yang dihadapi para remaja.

Isi 3

Dari sudut pandang yang lain, tekanan mental dan emosi ini kadang kala dipandang entang oleh masyarakat kita. Lebih-lebih lagi daripada golongan dewasa yang membandingkan kesusahan yang mereka lalui pada waktu dahulu lebih sukar jika dibandingkan dengan sekarang. Stigma ini perlu diubah kerana ia tidak membantu golongan muda untuk menghadapi tekanan yang dihadapi. Kita sebagai ahli masyarakat perlu lebih terbuka dalam mendengar masalah atau tekanan yang dihadapi oleh sesiapa sahaja yang berkongsi masalah kepada diri kita.

Sifat empati dan simpati memainkan peranan yang penting kerana ia bukan sahaja dapat membantu mengurangkan tekanan yang ditanggung oleh seseorang tetapi juga boleh menyelamatkan nyawa. Tragedi bunuh diri yang semakin meningkat tahun ini menjadi bukti bahawa kita perlu berkongsi masalah yang dihadapi supaya bebanan tersebut dikongsi dan boleh diselesaikan. Tuntasnya, golongan remaja perlu berani untuk meluahkan tekanan yang dihadapi kepada individu yang dipercayai sama ada ibu, bapa, adik-beradik, rakan-rakan dan juga guru.

Isi 4

Akhir sekali, salah satu inisiatif untuk mengelakkan tekanan mental dan emosi dalam kalangan remaja adalah berehat dan melancong ke pusat pelancongan. Golongan remaja yang lazimnya mempunyai tekanan mental untuk mencapai kecemerlangan akademik sewajarnya mendapatkan percutian. Justeru, ibu dan bapa seharusnya menggunakan kesempatan sewaktu cuti sekolah untuk membawa anak-anak melancong dan melawat pusat pelancongan yang menarik.

Misalnya, perkunjungan ke taman tema dapat memberikan keseronokan kepada golongan remaja kerana menikmati aktiviti yang dilakukan sehingga melupakan tekanan yang dihadapi. Manakala kunjungan ke kawasan alam semula jadi seperti air terjun dan pantai dapat menenangkan fikiran serta menikmati keindahan alam. Dengan melakukan aktiviti baharu yang menarik di luar kawasan kebiasaan kita diami pasti dapat mengurangkan tekanan mental dan mengubah emosi diri menjadi lebih positif dan bahagia.

Penutup

Konklusi daripada perbincangan di atas, pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh para remaja untuk mengelakkan tekanan mental dan emosi diri. Setiap individu perlu menerima hakikat bahawa tekanan merupakan perasaan dan fitrah kita sebagai manusia untuk merasai tekanan itu. Manakala tahap kekuatan seseorang terhadap tekanan yang dihadapi adalah berbeza.

Dengan perkembangan masyarakat hari ini yang lebih sedar akan topik kesihatan mental ini, ia mampu menjadikan usaha yang dibincangkan di atas menjadi norma masyarakat kita untuk menjadi lebih aman dan sejahtera. Setiap pihak perlu menjalankan peranan masing-masing bagai aur dengan tebing untuk memastikan motivasi dan kesihatan masyarakat sejagat terjamin serta membentuk negara yang lebih harmoni.

Related : berfikiran positif, tubuh badan, terdapat pelbagai, masalah keluarga, untuk membantu, terbaik untuk,