Peranan Ibu Bapa Memupuk Sikap Hormat Menghormati. Contoh Karangan tanggungjawab ibubapa dalam menyemai sikap menghormati dalam masyarakat.

Peranan Ibu Bapa Memupuk Sikap Hormat Menghormati

contoh karangan peranan ibu bapa memupuk sikap hormat menghormati

Ibu dan bapa adalah insan yang berperanan penting dalam membentuk keperibadian anak-anak. Perkara ini penting kerana ia bakal membentuk ahli-ahli masyarakat secara tidak langsung. Oleh itu, memupuk nilai-nilai murni seperti nilai hormat-menghormati adalah mustahak dalam generasi muda. Berikut dikongsikan contoh karangan peranan ibu bapa memupuk sikap hormat menghormati.

Permasalahan sosial adalah satu masalah yang membelenggu setiap masyarakat di dunia. Tambah-tambah lagi perkembangan teknologi dan sosial media telah memberikan pendedahan budaya masyarakat asing kepada masyarakat tempatan. Kesannya pengaruh buruk menjadi ikutan dan nilai-nilai murni semakin dilupakan oleh generasi muda dan tua.

Contoh Karangan Peranan Ibu Bapa Memupuk Sikap Hormat Menghormati

Di bawah adalah contoh karangan peranan ibu bapa memupuk sikap hormat menghormati. Anda boleh merujuk frasa-frasa menarik serta huraian sebagai rujukan kepada penulisan masing-masing.

Isi-isi penting

  1. Menjadi contoh teladan kepada anak-anak
  2. Menganjurkan aktiviti kekeluargaan
  3. Memupuk nilai keagamaan dan moral
  4. Menyertai aktiviti kemasyarakatan bersama-sama

Pendahuluan

Dewasa ini, banyak disiarkan berita di kaca televisyen yang menunjukkan kes-kes gejala sosial melibatkan golongan muda. Lebih teruk lagi sehingga mencederakan atau membunuh orang tua mereka kerana tidak memberikan wang atau kemahuan mereka. Insiden ini memaparkan kekurangan nilai hormat-menghormati dalam diri individu terbabit terhadap orang yang lebih tua apatah lagi ibu dan bapa mereka. Kita tidak boleh menyalahkan ibu dan bapa mereka secara sepenuhnya kerana gagal mendidik anak yang hormat kepada orang tua mereka.

Pengaruh asing daripada rakan-rakan atau tekanan yang dihadapi menyebabkan perkara buruk seperti kes pembunuhan boleh berlaku. Justeru, untuk mengelakkan perkara ini daripada berulang, wajar untuk kita bincangkan apakah peranan ibu bapa memupuk sikap hormat-menghormati dalam diri anak anak?

Isi 1

Peranan utama dalam memastikan nilai hormat dipupuk dalam diri anak-anak adalah dengan menjadi contoh teladan terbaik kepada anak-anak. Sekiranya anda telah bersedia untuk mendirikan rumah tangga, anda juga perlu bersedia untuk menjadi insan yang terbaik bukan sahaja untuk pasangan tetapi untuk anak-anak, masyarakat dan negara. Ramai di antara kita yang melupakan tanggungjawab ini dek kerana sibuk mengejar kerjaya atau lalai dengan tanggungjawab sebenar sebagai seorang ibu atau bapa. Anak-anak meluangkan masa paling banyak bersama ibu dan bapa. Mereka akan perhati setiap perilaku kita dari pelbagai segi.

Bak kata pepatah, bapa borek anak rintik. Maka, untuk menerapkan nilai hormat-menghormati dalam kalangan anak-anak, ibu dan bapa perlu sentiasa menunjukkan dan mempraktikkan nilai tersebut kepada semua orang. Apabila jumpa orang tua, bersalam dan menegur dengan bahasa serta nada yang sesuai. BIla berjumpa dengan orang lain misalnya penjual di kedai makan, panggil dengan bahasa yang sesuai dan sabar dalam menunggu makanan yang dipesan dihidangkan. Izharnya, peranan yang perlu dilaksanakan oleh ibu dan bapa untuk memupuk nilai horamt adalah dengan menjadi contoh kepada anak-anak.

Isi 2

Dalam masa yang sama, ibu dan bapa juga seharusnya kerap menganjurkan aktiviti kekeluargaan seperti sambutan hari kelahiran atau kenduri-kendara. Hal ini kerana apabila sesebuah majlis keraian dianjurkan, anak-anak dapat melihat sikap ahli-ahli keluarga dalam melayani sesama sendiri dan juga tetamu yang hadir. Mereka akan belajar untuk menyantuni dan menghormati tetamu dan memuliakan mereka dengan hidangan yang telah disediakan. Perkara ini bukan sahaja dapat memupuk sifat hormat-menghormati tetapi juga merapatkan hubungan kekeluargaan bagai isi dengan kuku.

Tambahan pula apabila ada tetamu yang lebih tua seperti datuk dan nenek, mereka pastinya akan meluangkan masa bersama cucu-cucu kesayangan dan memberikan pelbagai nasihat kehidupan yang berguna untuk mereka. Tuntasnya, merancang dan melaksanakan aktiviti kekeluargaan seperti majlis menyambut hari jadi dapat memupuk nilai hormat-menghormati anatara satu sama lain.

Isi 3

Bertitik tolak daripada itu, amalan hormat menghormati boleh disemai oleh ibu dan bapa dengan menyemat nilai keagamaan dan moral dalam diri anak-anak. Setiap kepercayaan dan agama yang kita anuti mengajak kita ke arah kebaikan dan dalam kebaikan pastinya ada nilai hormat-menghormati. Sebagai contoh, umat Islam digalakkan untuk menghormati ibu dan bapa dengan sentiasa mendoakan mereka walaupun mereka sudah meninggal dunia. Kesibukan ibu dan bapa hari ini yang bekerja dan tiada masa untuk memastikan anak-anak diajar ilmu keagamaan menyukarkan usaha ini. Hanya dengan mendalami ilmu agama, anak-anak dapat belajar cara untuk menjadi insan yang lebih baik dan bermoral tinggi.

Malahan di sekolah juga terdapat subjek pendidikan Islam dan pendidikan moral. JIka pengajian teori telah dilakukan di bilik darjah, maka pengamatannya di rumah perlu dipastikan oleh ibu dan bapa. Tegasnya, ibu dan bapa berperanan memupuk nilai hormat dengan memastikan didikan agama dan moral yang baik kepada anak-anak.

Isi 4

Peranan lain yang boleh dilakukan oleh ibu dan bapa untuk memupuk nilai hormat menghormati adalah dengan menyertai aktiviti kemasyarakatan bersama-sama. Tamsilnya menyertai aktiviti goton-royong membersihkan kemudahan awam di kawasan perumahan. Anak-anak akan belajar cara untuk mendengar arahan suapaya tugasan yang diberikan dapat diselesaikan pada masa yang ditetapkan. JIka gagal, mereka akan mendapat iktibar dimana mendengar arahan adalah salah satu nilai kehidupan yang penting yang juga melibatkan nilai hormat kepada ketua yang memberikan tugas.

Selain itu, penyertaan dalam aktiviti kemasyarakatan dapat membantu anak-anak melihat pelbagai kerenah dan perangai manusia lain yang turut serta. Persis kata peribahasa, rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. Walau apa pun rupa, umur dan latar belakang, anak-anak perlu hormat mereka yang melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan seperti menyediakan makanan untuik mangsa banjir dan sebagainya. Jelas bahawa menyertai aktiviti kemasyarakatan adalah peranan yang perlu dijalankan oleh ibu dan bapa untuk menyemai sifat hormat-menghormati.

Penutup

Konklusinya, banyak peranan ibu dan bapa yang perlu dilaksanakan untuk menyemat sifat hormat-menghormati dalam diri anak-anak muda. Untuk memupuk masyarakat supaya kaya dengan nilai-nilai murni seperi nilai hormat- menghormati, ibu dan bapa memainkan peranan yang penting di samping rakan-rakan dan para guru. Obligasi ini bukan sahaja berlaku dirumah tetapi dimana-mana sahaja kita berada. Ibarat peribahasa, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. NIlai murni seperti hormat-menghormati ini mustahak untuk menghasilkan masyarakat yang berminda kelas pertama dimana jati diri dan budaya menjadi imej penting bagi negara untuk bersaing dengan negara maju yang lain.

Related : penting untuk, menyebabkan anak anak, kasih sayang, untuk membawa, menghormati orang, membawa anak anak, gotong royong,