Sajak Senja Di Palang Besi : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran. Nota merangkumi Gaya Bahasa, Nada dan contoh soalan.

Sajak Senja Di Palang Besi : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran

Sajak Senja Di Palang Besi Maksud Tema Persoalan Nilai Pengajaran

Berita baik kepada pelajar Tingkatan 3 yang bersekolah di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Adakah anda mencari kaedah atau teknik untuk mengulang kaji mata pelajaran khususnya mata pelajaran Bahasa Melayu bahagian Komponen Sastera (KOMSAS)? Sekiranya ya, di bawah dikongsikan nota-nota berkaiatan Sajak Senja Di Palang Besi meliputi Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran, Gaya Bahasa, Nada untuk rujukan semua,

Untuk pengetahuan semua, sajak ini merupakan karya Pena Alam sebagai sebuah puisi moden. Sajak adalah puisi Melayu moden yang berbentuk bebas dan tidak terikat. Maka penulis lazimnya menggunakan kreativiti untuk menulis sebuah karya yang mempunyai maksud yang tersurat dan tersirat. Justeru, menguji keupayaan pelajar untuk memahami dan mengkaji karya sasatera ini dan meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu.

Nota Sajak Senja Di Palang Besi : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Gaya Bahasa, Nada & Pengajaran

Ikuti perkongsian nota-nota berkaitan Sajak Senja Di Palang Besi : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran seperti di bawah.

Turut disertakan beberapa soalan latihan sebagai panduan untuk para pelajar menghadapi ujian atau peperiksaan yang berkenaan.

Maksud

Rangkap 1

Senja mula menangis
remang membongkar sendu
mengutus kuntum-kuntum serakan cahaya
berlari di celah jambangan bungan dedawai
menari mengikat ramah kekosongan
dalam kotak tidur sepi nan pedar hati

  • Penyajak yang berada di dalam sel penjara berasa sedih kerana dia hanya dapat melihat melalui celah-celah tirai besi penjara yang memisahkannya dengan dunia luar. Dia berasa kekosongan dan kesal di dalam hatinya.

Rangkap 2

Pilu wajahmu sang senja
yang dulu melakar bahagia
kini merayap sayu membelai jemari malam
dalam keterbuangan yang merangkum
dalam keterasingan yang mencengkam
dalam kesakitan yang membungkam

  • Penyajak merasakan waktu senja yang kesayuan tetapi dahulunya waktu yang memberikannya kebahagiaan. KIni dia terpaksa hidup di dalam sel penjara yang terpinggir, terasing dan terbuang dari dunia luar

Rangkap 3

Tanpa pasir pantai atau silir angin
rentet susun bibir palang besi dingin itu menjerut
resah berteleku dalam hening bernyanyi rakus
dalam kelu rasa keterkongkongan
menghantar pergi erti keriuhan
jauh di balik redup senja yang mula mengundurkan diri
bersama riak samudera jiwa bernama kesunyian
hukuman terhebat hikayat kemanusiaan

  • Di dalam penjara, tiada tilam dan kipas angin yang memberi keselesaan. Penyajak resah dengan suasana yang sunyi di dalam penjara. Pada waktu senja, penyajak merasakan jiwanya sunyi dan hukuman penjara ini adalah hukuman manusia terhebat yang perlu ditempuhi.

Tema

Sajak ini bertemakan perasaan seorang banduan yang hidup di dalam penjara.

Persoalan

1) Penyesalan hidup yang tiada berpenghujung

  • Penyajak menyesal dengan kehidupannya yang terperangkap di dalam penjara

2) Kehidupan di dalam sel penjara yang amat memilukan

  • Penyajak berasa sangat sunyi dan pilu apabila menghabiskan sisa-sisa kehidupan di dalam penjara

3) Hidup bebas membawa erti kebahagiaan

  • Penyajak mengenang kebahagiaannya dahulu ketika hidup bebas di luar penjara

4) Manusia yang mengakui keadilan undang-undang

  • Penyajak mengakui kesalahannya dan menerima hukuman penjara yang dijatuhkan dengan pasrah

Bentuk Sajak

  • Sajak ini mempunyai bentuk bebas
  • Terdiri daripada tiga rangkap
  • Terdapat tujuh hingga lapan belas suku kata setiap baris
  • Bilangan perkataan bagi setiap baris sajak antara tiga hingga sembilan patah kata
  • Manakala bilangan baris pada setiap rangkap tidak sama:
    • Rangkap satu : enam baris
    • Rangkap dua : enam baris
    • Rangkap tiga : lapan baris
  • Nada sajak ini adalah melankolik (rintihan)

Gaya Bahasa

  • Asonansi : Tanpa pasir pantai atau silir angin
  • Aliterasi : kini merayap sayu membelai jemari malam
  • Anafora : dalam keterasingan yang mencengkam, dalam kesakitan yang membungkam
  • Metafora : bersama riak samudera jiwa bernama kesunyian, rentet susun bibir palang besi dingin itu
  • Personifikasi : Perlambangan sifat manusia seperti Senja mula menangis
  • Kata Ganda : kuntum-kuntum, dedawai
  • Inversi : Pilu wajahmu sang senja
  • Sinkope : Pilu wajahmu sang senja
  • Responsi : dalam keterasingan yang mencengkam, dalam kesakitan yang membungkam
  • Rima akhir :
    • Rangkap 1 : abcdef
    • Rangkap 2 : aabcbb
    • Rangkap 3 : abcddedd

Nilai

  • Reda : Penyajak menerima hukuman penjara dengan pasrah selepas kesalahan yang dibuatnya dahulu
  • Tabah : Penyajak tabah menghadapi situasi yang sunyi dan gelap di dalam penjara setibanya waktu malam
  • Kebebasan : Penyajak mengenang kehidupan lamanya yang bebas di luar penjara dan bahagia

Pengajaran

  1. Kita hendaklah berfikir secara rasional dalam membuat sebarang tindakan agar tidak tersilap langkah melakukan perkara yang negatif
  2. Kita mestilah mematuhi undang-undang walau di mana kita berada
  3. Kita seharusnya menghargai nnikmat kebebasan hidup yang dikurniakan oleh Tuhan
  4. Kita hendaklah menghindarkan diri daripada terjebak dengan gejala negatif yang boleh menjerumuskan diri ke dalam penjara

Soalan Latihan

1) Apakah maksud rangkai kata hukuman terhebat hikayat manusia?

Maksud rangkai kata hukuman terhebat hikayat manusia adalah azab yang menyakitkan bagi seorang manusia

2) Apakah pula maksud rangkai kata palang besi?

Maksud rangkai kata palang besi adalah penjara

3) Sebagai seorang murid, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk mengelakkan diri daripada terjerumus dalam kes pelanggaran disiplin di sekolah?

Sebagai seorang murid, saya boleh mengelakkan diri daripada terjerumus dalam kes pelanggaran disiplin sekolah dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Selain itu, saya juga hendaklah mematuhi arahan yang diberikan oleh guru-guru. Akhir sekali, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang juga menjaga disiplin di sekolah.

4) “Bekas banduan lazinya dipandang serong oleh masyarakat.” Pada pandangan anda, apakah cara untuk mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap bekas banduan?

Pada pandangan saya, persepsi negatif ini boleh diubah apabila masyarakat mengetahui hukuman yang sewajarnya telah diterima oleh banduan. Selain itu, masyarakat harus bersikap lebih positif dengan memberikan peluang kedua dan semangat kepada mereka untuk terus melakukan kebaikan. Akhir sekali, masyarakat adalah contoh teladan kepada bekas banduan untuk menjadi lebih baik daripada sebelum ini.

5) Apakah nada sajak ini?

Nada sajak adalah melankolik, kesedihan atau rintihan oleh penyajak.

6) Berikan pendapat anda tentang cara terbaik untuk menebus kesalahan yang telah dilakukan pada masa lalu?

Saya berpendapat bahawa kita hendaklah bertaubat dan memohon keampunan daripada Tuhan dan sesama manusia. Kita perlu berdepan dan memohon kemaafan daripada individu yang pernah disakiti kerana mengakui kesalahan akan membuka hati individu tersebut untuk memaafkan. Akhhir sekali, kita perlu mengelilingi diri dengan orang yang bersikap positif agar kita tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Semoga perkongsian nota-nota Sajak Senja Di Palang Besi : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran ini membantu semua.

Related : celah tirai besi penjara, resah berteleku dalam kotak tidur sepi nan pedar hati, bahagia dan kini bertukar sayu tatkala terpaksa,