Sajak Pesan Lelaki Kecil Kepada Gadis Kampus (Maksud). Nasihat seorang bapa kepada anak yang bakal melanjutkan pelajaran di menara gading.

Sajak Pesan Lelaki Kecil Kepada Gadis Kampus (Maksud)

sajak pesan lelaki kecil kepada gadis kampus maksud tema persoalan nilai pengajaran

Perhatian kepada para pelajar Tingkatan Lima yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Adakah anda telah membuat ulangkaji pelajaran yang secukupnya untuk setiap mata pelajaran khususnya Bahasa Melayu? Sekiranya belum, berikut dikongsikan nota berkaitan Sajak Pesan Lelaki Kecil Kepada Gadis Kampus untuk panduan semua.

Sajak ini merupakan karya penggiat sastera tanah air, Sazalee Yacob yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Karya Sajak Pesan Lelaki Kecil Kepada Gadis Kampung telah meraih Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2003. Antara karya lainnya adalah Landskap Sebuah Taman Merdeka di Halaman Kembang, Sepatu Ini dan Sejahtera Selamanya Warga Tua.

Maksud Sajak Pesan Lelaki Kecil Kepada Gadis Kampus

Di bawah dikongsikan nota berkaitan Sajak Pesan Lelaki Kecil Kepada Gadis Kampus untuk rujukan semua. Nota merangkumi maksud rangkap, tema, persoalan, gaya bahasa, nilai, pengajaran serta koleksi soalan yang berkaitan.

Maksud Sajak

Rangkap Pertama

Kuhantar kau mengecapi angin baru
udara lain dari kampung bendang kuningmu
bumantara asing dari yang sering kaumesrai
yang sama sekali berbeza
dengan suasana suntimu
kau nikmatilah angin dan udara ilmu itu
memesrai azimat dan tangkal
dari tangga gading.

Penyajak menghantar anak dara suntinya ke tempat baharu yang jauh berbeza kehidupannya supaya anaknya itu menimba ilmu dan pengalaman di menara gading

Rangkap Kedua

Kulepaskan kau menjadi burung putih
dengan sayap berkembang
menongkah awan perak dan kabut dingin
mengenal kalimat hujan dan bilah petir
menyelit antara sembilu nasib
dan waras akal.

Penyajak melepaskan anak gadisnya untuk mengenali kehidupan yang banyak dugaan dan cabaran serta memerlukan pertimbangan akal yang waras

Rangkap Ketiga

Di awan kampus yang sarat ilmu
hadir sihir angin bernafas api
di pohon kampus yang tegar status
berceracak selumbar noda mengabur fikir
di padang kampus yang hijau pertimbangan
tumbuh gunung ego menghalau pekerti.

Penyajak mengingatkan anak gadisnya bahawa kehidupan di kampus bukan sahaja pemuh dengan ilmu pengetahuan, bahkan juga sarat dengan dugaan yang mampu menghanyutkan budi pekerti dan meninggikan ego

Rangkap Keempat

Pandai-pandailah kau terbang
menongkah awan mulus dan kabus dingin
jangan kau pulang
dengan percikan duka dan balutan luka
di sayapmu yang patah

Penyajak menasihati anak gadisnya agar pandai membawa diri dalam mengharungi kehidupan baharu. Penyajak berharap agar anaknya itu tidak pulang dengan kedukaan dan kegagalan

Tema

Sajak ini bertemakan nasihat ibu bapa kepada anak perempuan yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi

Persoalan

1) Persoalan harapan ibu dan bapa kepada anak-anak untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi 

  • Penyajak berharap anaknya dapat menyambung pelajaran di peringkat tertinggi dan pandai untuk membawa diri

2) Persoalan perbezaan kehidupan di kampung dan di kampus atau universiti

  • Penyajak memberitahu kepada anaknya bahawa kehidupan di bandar berbeza dengan kehidupan di desa dan berharap agar anaknya dapat menyesuaikan diri dengan baik.

3) Persoalan pengorbanan seorang bapa yang menghantar anak perempuan untuk menuntut ilmu di menara gading

  • Penyajak berasa berat hati untuk melepaskan anaknya ke alam kehidupan yang baharu tetapi memberikan pesanan yang diharap membantu anaknya

4) Persoalan kehidupan di universiti yang mempunyai banyak cabaran

  • Penyajak menjelaskan kepada anaknya bahawa di universiti merupakan tempat yang mempunyai pelbagai cabaran bukan sahaja dari apek pembelajaran tetapi juga kehidupan

5) Persoalan kebijaksanaan dalam menghadapi cabaran dan dugaan di kampus atau universiti

  • Penyajak berharap anaknya dapat membuat keputusan yang waras agar dapat mengelak daripada perkara negatif dan masalah di kampus atau universiti

6) Persoalan kepentingan pendidikan demi masa hadapan

  • Penyajak menghantar anak perempuannya untuk melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi kerana menyedari kepentingan ilmu pengetahuan

Bentuk

  • Sajak terdiri daripada empat rangkap
    • rangkap pertama : lapan baris
    • rangkap kedua : enam baris
    • rangkap ketiga : enam baris
    • rangkap keempat : lima baris
  • Bilangan baris dalam setiap rangkap tidak sama
  • Jumlah patah kata dalam setiap baris antara tiga hingga enam patah kata dalam satu baris
  • Bilangan suku katanya antara lima hingga lima belas suku kata
  • Rima akhirnya :
    • rangkap pertama : aabcaade
    • rangkap kedua : abcdef
    • rangkap ketiga : abcdeb
    • rangkap keempat : abacd

Gaya Bahasa

  1. Sinkope : kuhantar kau mengecapi angin baru, udara lain dari kampung bendang kuningmu
  2. Responsi : kau nikmatilah angin dan udara ilmu itu
  3. Metafora : Buktinya mengenal kalimat hujan dan bilah petir menyelit antara sembilu nasib.
  4. Anafora : di pohon kampus yang tegar status, di padang kampus yang hijau pertimbangan
  5. Aliterasi : dengan suasana suntimu
  6. Asonansi : ku lepaskan kau menjadi burung putih
  7. Hiperbola : hadir sihir angin bermafas api
  8. Diksi : tumbuh gunung ego menghalau pekerti, menongkah awan perak dan kabut dingin
  9. Bahasa klasik atau sanskrit : bumantara, azimat
  10. Inversi : waras akal, dingin kabus

Nada

Sajak Pesan Lelaki Kecil Kepada Gadis Kampus ini bernadakan melankolik

Nilai

1) Nilai Kasih Sayang : Penyajak yang menyayangi anak perempuannya telah menasihatinya supaya menjaga diri dengan baik ketika menyambung pelajaran di institut pengajian tinggi.

2) Nilai Kebijaksanaan : Anak kepada penyajak bijak untuk melanjutkan pelajaran supaya dapat memastikan masa hadapan yang lebih baik

3) Nilai Kegigihan : Penyajak mengingatkan anaknya bahawa cabaran hidup di bandar yang berbeza daripada luar bandar

4) Nilai Hemah Tinggi : Penyajak menasihati anaknya sebelum melangkah ke alam kehidupan yang baru dan memberikan pesanan-pesanan yang bermanfaat

5) Nilai Kesungguhan : Penyajak menasihati anaknya supaya belajar bersungguh-sungguh untuk mengecapi kejayaan hidup yang lebih baik

6) Nilai ketabahan : Penyajak tabah menghantar anaknya untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading walaupun berasa berat hati

Pengajaran

1) Kita seharusnya menyayangi ahli keluarga kita dan mendoakan yang terbaik buat mereka

2) Kita hendaklah mendengar nasihat atau pesanan yang diberikan oleh ibu dan bapa kita kerana mereka menyayangi kita sebagai anak-anak mereka

3) Kita perlu bersungguh-sungguh dalam melakukan pekerjaan atau tanggungjawab kita kerana akhirnya akan memberikan kepuasan hati pada diri kita sendiri

4) Kita mesti gigih hidup berdikari kerana tidak selamanya kita boleh hidup bergantung kepada orang lain

5) Kita seharusnya memberi sokongan dan kebebasan kepada anak-anak dalam mengecapi cita-cita mereka

6) Kita hendaklah bijak dalam menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan agar dapat menghadapi cabaran untuk hidup dengan baik dan sejahtera.

Koleksi Soalan Latihan

Di bawah adalah soalan-soalan yang berkaitan dengan sajak di atas beserta jawapan sebagai latihan untuk pelajar.

1) Berdasarkan maksud rangkap ketiga sajak, apakah nasihat penyajak kepada anak gadisnya? 

Berdasarkan rangkap ketiga sajak, penyajak menasihatkan anak gadisnya bahawa kehidupan di kampus bukan sahaja penuh dengan ilmu pengetahuan, bahkan sarat dengan dugaan. Di kampus juga menyebabkan seseorang berasa ego sehingga mengetepikan budi pekerti.

2) Berikan maksud dengan percikan duka dan balutan luka.

Maksud dengan percikan duka dan balutan luka adalah dengan kesedihan dan kekecewaan.

3) Pada pendapat anda, nyatakan tiga sebab mengapakah penyajak menasihati anak gadis suntinya agar pandai membawa diri ketika berada di kampus? 

Penyajak menasihati anak gadis suntinya agar anak gadis suntinya tidak terpengaruh dengan sebarang anasir negatif  dan agar anak gadis suntinya boleh menempuh sebarang cabaran dan dugaan hidup. Selain itu, penyajak menasihatinya agar anak gadis suntinya boleh hidup berdikari dan sentiasa cekal

4) Sebagai pelajar, apakah yang sepatutnya anda lakukan untuk memenuhi impian kedua-dua ibu bapa?

Sebagai pelajar, antara perkara yang perlu saya lakukan untuk memenuhi impian kedua-dua ibu bapa ialah belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga memperoleh kejayaan. Selain itu, saya hendaklah memastikan supaya tidak melibatkan diri dalam masalah sosial. Akhirnya, saya juga perlu berusaha untuk mencapai cita- cita yang menjamin kehidupan yang baik.

5) Apakah masalah-masalah yang biasa dihadapi oleh golongan mahasiswa pada pendapat anda?

Pada pendapat saya, antara masalah yang biasa dihadapi oleh golongan mahasiswa ialah masalah kewangan untuk menampung kos sara hidup di universiti. Selain itu, terdapat mahasiswa yang sukar untuk membahagikan masa antara pembelajaran dengan aktiviti sosial secara seimbang. Akhir sekali, mahasiswa juga kadang kala mudah terikut-ikut dengan budaya yang tidak sihat.

6) Jelaskan dua gaya bahasa yang terdapat dalam sajak di atas.

Antara gaya bahasa yang terdapat dalam sajak di atas ialah Personifikasi. Contohnya, hadir sihir angin bernafas api. Gaya bahasa yang lain adalah unsur alam. Contohnya, angin, burung putih dan kabut.

Sekian perkongsian mengenai Sajak Pesan Lelaki Kecil Kepada Gadis Kampus, semoga membantu pelajar dan guru untuk tujuan rujukan atau persediaan menghadapi pentaksiran.

Related : penyajak beranggapan bahawa banyak pengaruh negatif,