Sajak Bintang : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran. Nota komponen sastera form 3 meliputi Gaya Bahasa, Nada.

Sajak Bintang : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran

Sajak Bintang Maksud Tema Persoalan Nilai Pengajaran

Adakah anda pelajar Tingkatan 3? Jika ya, pasti anda mempelajari Komponen Sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Sebagai pelajar anda dikehendaki untuk mengkaji karya-karya penulisan dan menghuraikan isi yang tersurat dan tersirat dalam setiap karya yang dibincangkan. Oleh itu, berikut dikongsikan nota KOMSAS bagi karya Sajak Bintang : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran.

Sajak Bintang ini merupakan hasil karya Siti Zaleha M. Hashim yang merupakan penulis sepenuh masa. Beliau lahir di Taiping, Perak pada 6 November 1953 dan memperoleh Ijazah Sebaran AM (Penyiaran) dari UiTM dan Ijazah Sarjana (Komunikasi) dari University of Leeds United Kingdom.  Antara hasil karyanya yang lain adalah Mengenali Cerita Rakyat, Kapal Kertas dan Lautan Api serta Biarkan Kupu-Kupu Itu Terbang.

Sajak Bintang : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran

Di bawah dikongsikan nota-nota berkaitan Sajak Bintang : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran untuk rujukan pelajar. Turut disertakan adalah contoh soalan berkenaan dengan sajak yang dibincangkan.

Maksud Sajak

Rangkap 1

Suatu malam aku duduk
di halaman rumah
kulihat cantiknya bintang-bintang
menghias langit yang terbentang
aku ingin terbang ke sana
membawa pulang bintang-bintang
tentu ibu gembira
tentu ayah bahagia
melihat rumah ini
penuh dengan cahaya.

  • Penyajak menceritakan pada suatu malam, beliau duduk di halaman rumah sambil melihat kecantikan bintang-bintang yang menghiasi langit. Penyajak ingin terbang ke sana dan mengutip bintang-bintang itu untuk dibawa pulang ke rumah agar cahaya bintang itu dapat menggembirakan ibu dan membahagiakan ayahnya

Rangkap 2

Tetapi kata ibu
itu tidak perlu
ayah sudah ada bintang
begitu juga ibu
rumah sudah bercahaya
begitu juga jiwa mereka
bintang itu adalah aku
bintang hati ayah dan ibu.

  • Ibu penyajak tidak bersetuju dengan tindakan penyajak yang ingin membawa bintang itu. Ibu dan penyajak meluahkan bahawa penyajak merupakan bintang hati yang menerangi hidup dan jiwa mereka.

Tema

Sajak di atas mengutarakan tema kasih sayang yang utuh antara anak dengan ibu dan bapanya. Penyajak ingin membahagiakan ibu dan bapanya tetapi ibunya berkata kehadiran anaknya itu sudah cukup membahagiakan mereka.

Persoalan

1) Persoalan tanggungjawab anak kepada ibu dan bapa

2) Persoalan kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anaknya

3) Persoalan keindahan ciptaan Tuhan

4) Persoalan pengorbanan dan jasa ibu bapa terhadap anak-anak

Bentuk/ Ciri-ciri Sajak

  1. Terdiri daripada dua rangkap
  2. Berbentuk bebas
  3. Setiap rangkap jumlah barisnya berbeza, rangkap pertama mempunyai sepuluh baris dan rangkap kedua pula mempunyai lapan baris
  4. Rima akhir bagi rangkap pertama ialah abccdcdded dan rima akhir bagi rangkap kedua ialah aabaccaa
  5. Bilangan perkayaan antara tiga hingga lima patah perkataan
  6. Terdiri daripada enam hingga sepuluh suku kata

Gaya Bahasa

  1. Anafora : tentu ibu gembira, tentu ayah bahagia
  2. Aliterasi : menghias langit yang terbentang (ulang konsonan ‘g’)
  3. Asonansi : ayah sudah ada bintang (ulang vokal ‘a’)
  4. Metafora : bintang hati
  5. Hiperbola : aku ingin terbang ke sana
  6. Kata ganda : bintang-bintang
  7. Unsur alam : bintang, langit
  8. Inversi : tentu ibu gembira, tentu ayah bahagia
  9. Sinkope : kulihat cantiknya bintang-bintang
  10. Epifora : Tetapi kata ibu, begitu juga ibu (perulangan perkataan pada akhir baris)

Nilai

1) Kasih sayang : nilai kasih sayang yang ditunjukkan penyajak kepada ibu dan bapanya

2) Bertanggungjawab : Penyajak menunjukkan nilai tanggungjawab terhadap ibu dan bapanya

3) Rendah diri : Penyajak mengagumi ciptaan Tuhan

4) Rasional : Ibu dan ayah penyajak menyatakan bahawa mereka tidak memerlukan bintang kerana pada mereka annak mereka adalah bintang hati

5) Ketaatan : Penyajak taat kepada ibu dan bapanya

Pengajaran

1) Kita seharusnya menyayangi ibu dan bapa kita kerana mereka telah banyak berjasa membesarkan kita

2) Kita hendaklah bertanggungjawab sebagai seorang anak memastikan kebajikan, kebahagian dan kesejahteraan ibu dan bapa kita

3) Kita perlu mentaati arahan dan nasihat yang diberikan oleh ibu dan bapa selagi ia tidak melanggar perintah agama dan moral seorang manusia

4) Kita mestilah mengenang jasa ibu dan bapa kita dengan membahagiakan atau mensejahterakan hidup mereka

5) Kita seharusnya merendah diri dan mengagumi kehebatan Tuhan yang mencipta alam semesta.

Contoh Soalan

1) Apakah reaksi penyajak apabila melihat bintang-bintang menghiasi langit?

Penyajak terpegun dan ingin terbang ke langit untuk mengutip bintang-bintang bagi membahagiakan ibu dan bapanya

2) Nyatakan dua nilai murni yang anda peroleh daripada sajak di atas

Antara nilai murni yang terkandung dalam sajak di atas adalah nilai kasih sayang yang ditunjukkan penyajak kepada ibu dan bapanya. Nilai rendah diri juga ditunjukkan oleh penyajak apabila mengagumi kehebatan Tuhan mencipta keindahan alam.

3) Pada pendapat anda, apakah usaha yang perlu dilakukan oleh anak-anak untuk mencapai kecemerlangan demi kebahagiaan ibu bapa?

Sebagai seorang anak, usaha seperti belajar bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan mampu membahagiakan ibu dan bapa. Selain itu, usaha seperti melibatkan diri dalam sukan atau aktiviti lain yang bermanfaat serta menjauhi gejala sosial yang negatif pasti membahagiakan ibu dan bapa.

4) Nyatakan tiga ciri bentuk sajak

Sajak Bintang menunjukkan ciri-ciri seperti berbentuk bebas, terdiri daripada dua rangkap dan rima akhirnya bebas.

5) Pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk kita membalas jasa ibu dan ayah kita?

Sebagai seornag anak, cara untuk membalas jasa ibu dan ayah adalah dengan mencuba yang terbaik dalam kehidupan agar berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi. Selain itu, meluangkan masa bersama-sama dan mendengar nasihat ibu dan bapa juga adalah salah satu cara untuk membalas jasa mereka.

6) Apakah yang dimaksudkan dengan rangkai kata penuh dengan cahaya?

Rangkai kata penuh dengan cahaya bermaksud dilimpahi kegembiraan

Diharapkan perkongsian nota-nota Sajak Bintang : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran membantu para pelajar untuk menduduki peperiksaan.

Related : bintang hati ayah dan ibu,