Kebaikan Rukun Tetangga Kepada Masyarakat (Kepentingan). Contoh karangan peranan KRT bertujuan menjaga keselamatan komuniti setempat.

Kebaikan Rukun Tetangga Kepada Masyarakat (Kepentingan)

contoh karangan kebaikan rukun tetangga kepada masyarakat

Tema kemasyarakatan merupakan salah satu tema umum yang boleh dikaji oleh pelajar sebelum menjawab penulisan karangan Bahasa Melayu. Tema ini bukan sahaja dekat dengan pelajar tetapi juga membolehkan anda untuk menggunakan frasa-frasa menarik serta peribahasa yang berkaitan dengan huraian yang ditulis. Oleh itu, berikut dikongsikan contoh karangan kebaikan rukun tetangga kepada masyarakat untuk rujukan semua.

Secara definisi, rukun tetangga merupakan satu jawatankuasa sukarela oleh penduduk setempat untuk memastikan keamanan dan keselamatan kejiranan mereka. Selain itu, rukun tetangga juga melaksanakan program untuk membangunkan komuniti, pendidikan sosial dan sukan yang meningkatkan perhubungan antara kaum dalam komuniti setempat.

Kepentingan Rukun Tetangga Kepada Masyarakat (Kelebihan RKT)

Untuk merujuk contoh karangan kepentingan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) kepada masyarakat di bawah, lihat dahulu isi-isi penting yang berkaitan dengan tajuk untuk dihuraikan mengikut penulisan karangan masing-masing.

Isi-isi penting

  1. Menjadi ejen kesatuan sesebuah masyarakat
  2. Menangani permasalahan yang berlaku dalam masyarakat
  3. Memastikan keselamatan antara satu sama lain terjamin
  4. Menjadi organisasi jika masyarakat memerlukan bantuan
  5. Menganjurkan aktiviti komuniti seperti sukan
  6. Melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab

Pendahuluan

Tanah air kita terdiri daripada penduduk yang berbilang kaum, agama dan bangsa. Selepas lebih enam puluh tahun kita mengecapi kemerdekaan, keharmonian dan kesatuan rakyat masih kekal utuh walaupun mempunyai banyak perbezaan. Identiti ini wajar dikekalkan dan diperkukuh supaya generasi hari ini dan akan datang dapat terus menikmati kehidupan yang sejahtera di Malaysia.

Pada tahun 1975, Tun Abdul Razak yang merupakan Perdana Menteri Malaysi kedua telah menubuhkan sebuah organisasi bernama Rukun Tetangga untuk menjaga keselamatan penduduk setempat. Kini, rukun tetangga ditubuhkan untuk memberikan fokus terhadap kebajikan dan pembangunan masyarakat setempat. Oleh yang demikian, penting untuk kita mempelajari peranan dan kepentingan rukun tetangga kepada masyarakat untuk makluman dan pengetahuan masyarakat awam.

Isi 1

Antara kebaikan yang diperoleh masyarakat terutamanya masyarakat kita di Malaysia adalah rukun tetangga mampu menjadi ejen kesatuan sesebuah masyarakat. Seperti sedia maklum, penduduk kita terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berbeza. Namun, sejak nenek dan moyang kita dahulu, pelbagai budaya dan adat yang telah dikongsi dan dihormati sehingga semua di antara mereka hidup aman dan sentosa. Tetapi mutakhir ini, banyak pihak yang mengancam perpaduan masyarakat demi mendapatkan kepentingan diri mereka sahaja.

Isu rasis dan perkauman yang timbul dan menjadi perbualan kadang kala tidak mencerminkan suasana sebenar di dunia realiti. Dengan adanya organisasi seperti rukun tetangga, masyarakat setempat yang tinggal di dalam kawasan perumahan yang sama bersatu untuk membentuk jawatankuasa yang mengambil peranan berbeza. Ibarat perumpamaan ikan di laut, asam di darat, dalam periuk bikin muafakat. Begitulah juga kita sebagai manusia, walaupun mempunyai perbezaan, dalam kehidupan kita pasti mempunyai persamaan yang membawa kita ke arah kebaikan.

Isi 2

Selain itu, penubuhan rukun tetangga memberikan manfaat kepada masyarakat kerana dapat membantu dalam menangani permasalahan yang berlaku di kawasan sekitar. Sebagai contoh, kes demam denggi di sebuah kawasan perumahan meningkat secara mendadak. Pihak jabatan kesihatan boleh bekerjasama denagn rukun tetangga di kawasan rumah tersebut untuk menyampaikan isu dan merancang tindakan yang sewajarnya.

Aktiviti seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar boleh dianjurkan oleh rukun tetangga bagi memastikan tiada takungan air untuk nyamuk aedes membiak sekaligus mengurangkan ancaman demam denggi. Rukun tetangga dapat memudahkan proses untuk mengumpul tenaga sukarela, pengurusan logistik dan urusan lain yang berkaitan. Jelaslah bahawa organisasi seperti rukun tetangga membantu masyrakat untuk menangani masalah yang berlaku dalam kalangan mereka dan kawasan yang mereka diami.

Isi 3

Pada masa yang sama, rukun tetangga dapat memastikan keselamatan antara satu sama lain terjamin. Penubuhan rukun tetangga yang pertama pada tahun 1975 di Kampung Kasipillay, Kuala Lumpur bertujuan untuk menjamin keselamatan penduduk setempat. Peranan ini wajar diteruskan oleh rukun tetangga pada hari ini kerana ancaman keselamatan yang lebih merbahaya jika dibandingkan pada masa dahulu. Bak kata pepatah lain dahulu, lain sekarang.

Penjenayah hari ini lebih ganas dan bijak untuk melakukan jenayah seperti pecah masuk rumah di mana alat keselamatan seperti mangga dan penggera keselamatan tidak mampu membendung. Justeru, ahli rukun tetangga boleh menjalankan peranan untuk melakukan rondaan keselamatan di kawasan rumah masing-masing untuk memastikan keselamatan penduduk sekitar. Kebergantungan kepada manusia adalah lebih baik jika dibandingkan dengan alat elektronik yang mempunyai kelemahan. Izharnya, rukun tetangga dapat menjamin keselamatan masyarakat setempat.

Isi 4

Akhir sekali, manfaat yang diperoleh ahli masyarakat daripada rukun tetangga adalah ia berfungsi sebagai organisasi jika masyarakat memerlukan bantuan. Tamsilnya berlaku kejadian banjir yang melanda kawasan perumahan sekitar. Pihak berkuasa seperti bomba dan jabatan kebajikan memerlukan informasi seperti jumlah penduduk sebelum melakukan proses penyelamatan. Dengan adanya rukun tetangga dan penduduk yang aktif, informasi penting seperti ini dapat disalurkan dengan mudah dan membantu proses bantuan.

Selain itu, pihak berkuasa seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ahli dewan undangan negeri boleh berunding dengan mudah melalui ahli rukun tetangga untuk menghulurkan bantuan seperti makanan dan pakaian. Begitu juga apabila ahli masyarakat yang memerlukan bantuan kewangan daripada pihak berkuasa, mereka juga boleh meminta bantuan rukun tetangga untuk membuat permohonan ke saluran yang tepat. Tanggungjawab ini kadang kala dipandang remeh oleh segelintir ahli masyarakat tetapi jika ia dilihat dengan mata hati, tugas rukun tetangga adalah mulia dan memudahkan ramai orang. Intihannya, rukun tetangga penting untuk berfungsi sebagai organisasi yang membantu kebajikan masyarakat setempat.

Penutup

Konklusinya, rukun tetangga merupakan satu organisasi yang memberikan pelbagai manfaat kepada penduduk setempat. Jalinan silaturrahim yang terjalin akan menjadi satu bentuk perpaduan yang menjadi tunjang keharmonian negara kita. Secara tidak langsung, isu rasis dan perbezaan kaum akan terhapus dan masyarakat kita bergerak ke hadapan sebagai satu bangsa yang sama. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Peribahasa tersebut jelas menunjukkan kepentingan untuk kita bersatu menjamin keharmonian masyarakat kita agar tempat tinggal kita ini menjadi lebih maju dan menjadi contoh kepada masyarakat asing. Nilai-nilai seperti toleransi dan hormat-menghormati perlu terus diamalkan serta visi melahirkan masyarakat berminda kelas pertama diberi perhatian oleh pemimpin negara. Hanya dengan keterbukaan dan keraian perbezaan kita mampu menjulang negara kita di persada antarabangsa dengan bangga.

Related : bertugas pada waktu malam, kawasan kejiranan, pelbagai kaum, untuk kebaika,n sekurang kurangnya, kawasan rukun tetangga, ahli ahli, menganjurkan kumpulan kumpulan rondaan, kumpulan rondaan yang bertugas, jiran tetangga, untuk kebaikan, integrasi nasional, menunjukkan bahawa,