Peranan PIBG Persatuan Ibu Bapa Dan Guru Di Sekolah. Contoh karangan fungsi dalam merapatkan hubungan sesama ibu bapa demi kejayaan murid.

Peranan PIBG Persatuan Ibu Bapa Dan Guru Di Sekolah

contoh karangan peranan persatuan ibu bapa guru pibg di sekolah

Antara tema soalan atau tajuk yang lazimnya ditanya kepada pelajar untuk penulisan karangan Bahasa Melayu adalah bertemakan sekolah. Oleh yang demikian, anda perlu cakna dengan perkara yang berlaku disekeliling anda kerana ia berkemungkinan akan menjadi salah satu bahan atau isi penting kepda penulisan karangan anda. Di bawah dikongsikan contoh karangan Peranan PIBG Persatuan Ibu Bapa Dan Guru Di Sekolah untuk rujukan semua.

Para pelajar mungkin tidak mengetahui atau memahami peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sekolah. Justeru, ini adalah peluang untuk anda bertanya kepada guru dan ibu bapa masing-maing tentang peranan dan kepentingannya kepada warga sekolah. Selain dapat mempelajari perkara baharu, pelajar juga akan didedahkan kepada kepentingan sesebuah persatuan yang mampu merencana sebuah pergerakan seperti kemerdekaan negara.

Contoh Karangan Peranan PIBG Persatuan Ibu Bapa Dan Guru Di Sekolah

Sebagai rujukan kepada pelajar, berikut dikongsikan isi penting dan contoh huraian mengikut isi berkaitan peranan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru di sekolah

Isi-Isi Penting

  1. Menjadi perhubungan antara guru dan ibu bapa
  2. Menambah sumber kewangan sekolah
  3. Membantu menjayakan aktiviti dan program pendidikan
  4. Sebagai pemantau dan penilai kepada prestasi sekolah

Pendahuluan

Sebagai pelajar, kita pastinya pernah menyampaikan surat yang diberikan oleh guru kepada ibu dan bapa untuk menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Namun hanya mereka yang berkelapangan dan bertanggungjawab sahaja menghadiri mesyuarat tersebut demi kepentingan anak-anak. Menurut Akta Pendidikan KPM 1996, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) ditubuhkan di semua sekolah kerajaan dengan tujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara ibu bapa dan guru. Permuafakatan ini bukan sahaja penting untuk ibu bapa dan guru tetapi mustahak untuk pelajar-pelajar di sekolah tersebut kerana dengan bantuan PIBG, pelbagai aktiviti dan kebajikan pihak sekolah terjamin. Oleh itu, mari kita bincangkan apakah peranan aktiviti sukarela yang dikenali sebagai Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) di Sekolah?

Isi 1

Salah satu peranan persatuan ini adalah untuk menjadi perhubungan antara guru dan ibu bapa. Ia ditubuhkan supaya dapat menyelesaikan masalah yang timbul melibatkan pelajar, ibu bapa dan juga warga sekolah seperti guru. Sebagai contoh, setiap kali waktu pulang dari sekolah, ibu bapa menghadapi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan persekolahan. PIBG boleh menjalankan tugas untuk memohon bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia atau lebih dikenali sebagai RELA supaya meletakkan anggotanya pada masa tertentu.

Selain dapat melancarkan aliran trafik di kawasan persekolahan, solusi ini dapat memastikan keselamatan pelajar terjamin daripada kemalangan jalan raya dan sebagainya. Situasi yang mungkin tidak dapat dilihat oleh guru di sekolah ini dapat diselesaikan melalui mesyuarat PIBG. Ibarat pepatah Melayu, berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Tegasnya, persatuan ini berperanan sebagai medium perhubungan antara ibu bapa dan guru sekolah.

Isi 2

Peranan lain Persatuan Ibu Bapa dan Guru adalah untuk membantu menjayakan aktiviti dan program pendidikan di sekolah. Ibu dan bapa pasti mahukan segala yang terbaik untuk anak-anak masing-masing. Oleh sebab yang demikian, mereka juga berperanan untuk membantu pihak sekolah dalam menganjurkan aktiviti luar bilik darjah seperti program motivasi atau seminar. Pelajar secara langsung akan mendapat manfaat daripada program tersebut dan seterusnya mendapat keputusan yang cemerlang dan mengharumkan nama sekolah.

Guru-guru telah menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka di dalam bilik darjah, ibu dan bapa juga seharusnya memainkan peranan untuk menaikkan semangat dan iltizam pelajar untuk tidak putus asa dalam pembelajaran.Disiplin dan usaha yang baik daripada ibu bapa mampu mendukung usaha yang dicurahakn oleh guru dalam menghasilkan pelajar yang berperestasi dan berketrampilan tinggi. Intihannya, menganjurkan aktiviti di sekolah juga merupakan peranan Persatuan.

Isi 3

Di samping itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru berperanan untuk menambah sumber kewangan sekolah. Perkara ini mungkin tidak dipersetujui oleh sesetengah pihak kerana ia adalah tanggungjawab Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Tetapi, kebanyakan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang menaik taraf infrastruktur mereka hasil sumbangan PIBG adalah bukti kepentingan peranan ini. Seperti yang telah dijelaskan, persatuan ini ditubuhkan bagi membantu dan menambah usaha sekolah dalam memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan mereka. Selaras dengan itu, sebagai ibu dan bapa yang bertanggungjawab, mereka sewajarnya menyumbang sedikit sumber kewangan untuk membantu pihak sekolah dalam menyediakan infrasturktur yang kondusif untuk pembelajaran anak-anak. Sifat murah hati adalah antara sifat terpuji yang wajar diamalkan lebih-lebih lagi dapat memanfaatkan bukan sahaja anak tetapi juga selurh masyarakat yang hadir ke sekolah. Tuntasnya, menyumbang dana kepada sekolah adalah salah satu peranan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru sekolah.

Isi 4

Akhir sekali, antara peranan yang boleh dimainkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru adalah untuk memantau dan menilai prestasi sekolah. Untuk menambah baik prestasi sekolah, guru dan ibu bapa boleh duduk semeja dan bertukar pendapat atau maklumat berkenaan kaedah pengajaran yang terbaik untuk generasi pada hari ini. Ibu dan bapa juga boleh memberikan gambaran kepada guru terhadap respons para pelajar dalam mengulang kaji pelajaran atau menyiapkan kerja sekolah di rumah.

Agenda mesyuarat seperti ini penting supaya taraf pendidikan anak-anak dapat dinaikkan dan memperbaiki kaedah pengajaran guru di dalam bilik darjah. Secara tidak langsung kita dapat mengelakkan daripada situasi seperti perumpamaan, guru kencing berdiri, murid kencing berlari berlaku. Izharnya, peranan memantau dan menilai prestasi sekolah oleh anggota PIBG wajar untuk dilaksanakan supaya pendapat yang berbeza diperoleh daripada golongan yang bukan pakar akademi tetapi mereka yang meluangkan masa bersama para pelajar lebih lama berbanding guru-guru.

Penutup

Kesimpulannya, banyak peranan yang boleh dimainkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sekolah. Aktiviti sukarela ini seharusnya disertai oleh setiap ibu dan bapa kerana mereka mempunyai tanggungjawab mendidik anak-anak mereka untuk menjadi insan yang berguna pada masa kini dan hadapan. Kita masih lagi mempunyai stigma bahawa persatuan ini akan menganggu tugas guru dan merupakan satu perkara yang sia-sia tetapi jika kita memanfaatkannya dengan baik, hasil yang baik akan diperoleh para pelajar, guru dan juga ibu bapa.

Buang yang keruh, ambil yang jernih, peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa kita perlu sentiasa ambil perkara yang baik dan tidak mengulangi perkara yang tidak berfaedah. Setiap pihak jika mempunyai nilai amanah dan tanggungjawab pasti akan menyahut cabaran untuk menjalankan tugas sebagai anggota persatuan serta memberikan yang terbaik. Semoga jalinan permuafakatan yang dibina demi mendidik anak bangsa ini terus dimartabatkan dan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan masyarakat, bangsa dan juga negara.

Related : memperbaiki taraf pendidikan anak, maklumat mengenai pendidikan, hubungan antara ibu bapa dan guru pibg ditubuhkan di semua sekolah kerajaan, bertujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara ibu bapa dan guru pibg ditubuhkan di semua sekolah kerajaan, kewangan sekolah bagi menambah, meningkatkan kemudahan di sekolah, untuk meningkatkan prestasi akademik, sumber kewangan sekolah bagi menambah, pengajaran dan pembelajaran, masyarakat setempat,