Usaha Memupuk Perpaduan Kaum Di Malaysia. Karangan cara memperkukuh perpaduan di antara rakyat berbilang kaum di negara ini.

Usaha Memupuk Perpaduan Kaum Rakyat Malaysia

usaha memupuk perpaduan antara kaum di malaysia

Antara tema yang lazim menjadi persoalan untuk penulisan karangan Bahasa Melayu adalah tema berkaitan kemasyarakatan. Di Malaysia, kita hidup bersama-sama dengan anggota masyarakat lain yang berasal dari pelbagai kaum, bangsa dan agama. Maka tidak hairan untuk guru bertanyakan soalan ini untuk mendapat tindak balas dan pengetahuan pelajar tentang masyarakat mereka sendiri.

Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh karangan usaha memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia. Selain contoh di bawah, pelajar juga boleh merujuk bahan bacaan lain seperti surat khabar dan buku-buku yang berkaitan untuk menambah pengetahuan tentang tema kemasyarakatn di Malaysia.

Usaha Memupuk Perpaduan Kaum Di Malaysia

Di bawah dikongsikan contoh karangan beserta isi-isi penting yang berkaitan dengan tajuk yang disoal.

  1. Menyatukan institusi pendidikan dari peringkat rendah
  2. Menyambut hari perayaan bersama-sama melalui rumah terbuka
  3. Memperkasa aktiviti sukan dan rekreasi dalam komuniti
  4. Mempergiat aktiviti sukarelawan dan kebajikan
  5. Menerbitkan drama atau filem yang mempunyai elemen perpaduan kaum dengan lebih banyak
  6. Membendung diskriminasi antara kaum dalam peluang pendidikan, pekerjaan dan ekonomi.

Pendahuluan

Sejak mengecapi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Malaysia yang dahulu dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu telah menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan dalam mencapai keamanan pada hari ini. Hasil usaha pemimpin terdahulu yang mewakili setiap kaum dan bangsa di tanah air ini telah berjaya memberikan kebebasan daripada penjajahan. Namun begitu, keharmonian yang dinikmati oleh nenek dan moyang kita dahulu semakin hari semakin goyah. Jurang ekonomi dan pendidikan menjadi antara faktor yang menyumbang kepada isu ini selain gerakan politik negara yang terlalu berteraskan kaum dan agama. Tidak dinafikan bahawa kita mempunyai rambut yang sama hitam tetapi hati masing-masing lain. Justeru, meraikan perbezaan dan sikap toleransi hendaklah dipupuk dalam setiap individu yang ingin melihat negara kita maju ke hadapan. Mari kita bincangkan apakah usaha dalam memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia?

Isi 1

Salah satu usaha yang pasti membuahkan perpaduan antara kaum di Malaysia adalah dengan  menyatukan institusi pendidikan dari peringkat rendah. Umum mengetahui kita mempunyai sekolah vernakular yang dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) dan Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SJKT). Pembahagian ini bukan sahaja mejejaskan perpaduan antara kanak-kanak malah mewujudkan jurang pendidikan antara mereka kerana pelaksanaan kurikulum yang tidak sama. Oleh itu, kita hendaklah mewujudkan satu jenis sahaja sekolah kebangsaan yang menghimpun kanak-kanak dan remaja tanpa mengira latar belakang mereka dan memberikan pendidikan yang terbaik. Secara langsung dan tidak langsung, mereka akan berinteraksi dan bergaul sesama mereka dan melahirkan kesefahaman serta kekitaan dalam menghadapi persekolahan. Tegasnya, dengan menyatukan institusi pendidikan di bawah satu sistem sahaja semangat perpaduan antara kaum dapat dilahirkan persis kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Isi 2

Usaha lain yang dapat direncana untuk memupuk perpaduan antara kaum di Malaysia adalah dengan menyambut hari perayaan bersama-sama. Konsep ini sebenarnya telahpun diperkenalkan iaitu penganjuran rumah terbuka. Negara kita merupakan antara masyarakat yang banyak meraikan perayaan sepanjang tahun daripada Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, Deepavali, Wesak, Hari Gawai, Pesta Kaamatan dan Hari Natal. Dengan pengajuran rumah terbuka, bangsa lain yang tidak mengetahui budaya dan tradisi kaum yang menyambut perayaan tersebut boleh memepelajari dan menikmati hidangan yang lazimnya dihidangkan. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Pada masa yang sama, aktiviti kunjung mengunjung semasa hari perayaan dapat mengeratkan hubungan antara jiran tetangga dan komuniti. Jelasnya, penganjuran rumah terbuka dapat memupuk perpaduan antara kaum menerusi perayaan yang disambut.

Isi 3

Dari kaca mata yang lain, perpaduan antara kaum boleh dipupuk dengan memperkasa aktiviti sukan dan rekreasi dalam komuniti. Selain manfaat kesihatan, aktiviti sukan dan rekreasi juga mampu melahirkan sifat bekerjasama dan toleransi antara satu sama lain. Nilai ini penting bagi kita untuk saling memahami budaya dan adat resam yang diamalkan oleh setiap kaum dan bangsa di Malaysia. Aktiviti sukan dan rekreasi sangat mudah untuk disertai dan boleh dilakukan pada setiap hari tanpa mengira waktu dan lapisan umur masyarakat. Oleh itu, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan persekutuan hendaklah berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam menyediakan dan menyelenggara infrastruktur rekreasi dan sukan untuk masyarakat umum. Intihannya, dengan menyertai aktiviti sukan dan rekreasi, masyarakat bukan sahaja dapat bersatu padu malah menjadi lebih sihat dan cergas.

Isi 4

Seiring dengan itu, mempergiat aktiviti sukarelawan dan kebajikan dalam komuniti juga dapat melahirkan perpaduan antara kaum. Usaha ini telapun dipraktikikan oleh masyarakat kita dari zaman dahulu iaitu dengan mengadakan gotong-royong. Dalam mendepani situasi ekonomi yang tidak menentu pada hari ini, kita tidak boleh sahaja mengharapkan bantuan atau insentif daripada kerajaan. Tetapi masyarakat yang mempunyai rezeki berlebihan seharusnya turut sama membantu melakukan aktiviti kebajikan untuk membantu mereka yang dalam kesusahan. Ibarat kata peribahasa, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Nilai kemanusiaan ini jika diterapkan dalam setiap individu pastinya perpaduan antara kaum tidak akan menjadi masalah kepada masyarakat kita. Intihannya, penyertaan dan penggiatan yang aktif dalam aktiviti sukarelawan atau kebajikan dapat menambah nilai perpaduan antara kaum.

Penutup

Hasil perbincangan di atas, kita dapat simpulkan bahawa banyak usaha yang boleh dijalankan untuk memastikan perpaduan antara kaum kekal utuh. Seperti lirik lagu yang dipopularkan oleh penyanyi Adibah Noor, ikan di laut, asam di darat, dalam periuk, bikin muafakat. Kita sebenarnya mempunyai banyak perbezaan tetapi jika disatukan dalam prinsip dan nilai kemanusiaan yang baik, pastinya perpaduan dapat dilahirkan dan dikekalkan. Ahli-ahli politik hendaklah menghentikan diskriminasi antara kaum yang mereka jaja henya demi kepentingan diri sendiri. Masyarakat hari ini sudah mempunyai minda yang terbuka dan luas pengetahuan untuk menerima dan menghormati kaum atau bangsa lain serta hidup dengan aman dan harmoni di bawah satu bendera. Semoga usaha-usaha di atas dapat direalisasikan dan menjadi tunjang kemajuan negara untuk duduk sma rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.

Related : perdana menteri, aktiviti yang dijalankan, mengeratkan perpaduan, usaha untuk memupuk perpaduan, masyarakat majmuk, sambutan hari, memupuk semangat, aktiviti gotong royong, penerapan nilai, semangat kerjasama, rukun negara, sistem pendidikan, pelbagai aktiviti, integrasi nasional, pendidikan malaysia, perpaduan negara, hubungan antara kaum,