Kelebihan Dan Kelemahan Perniagaan Atas Talian. Contoh karangan kebaikan dan keburukan e-dagang yang semakin popular dalam kalangan remaja.

Kelebihan Dan Kelemahan Perniagaan Atas Talian

contoh karangan kelebihan dan kelemahan perniagaan atas talian

Isu semasa sama ada domestik ataupun antarabangsa adalah salah satu tajuk kegemaran pembuat soalan peperiksaan dalam Kertas 1 Peperiksaan Bahasa Melayu. Pelajar yang rajin membaca dan mengambil tahu isu-isu semasa pasti mampu menjawab soalan dengan baik. Sebagai rujukan, di bawah dikongsikan contoh karangan kelebihan dan kelemahan perniagaan atas talian.

Secara definisi, perniagaan adalah aktiviti jual beli yang menggunakan wang ringgit antara peniaga dan pengguna. Hasil daripada perkembangan teknologi pada hari ini, perniagaan boleh dibuat secara maya tanpa perlu bersemuka dengan peniaga. Platform seperti Shopee, Lazada dan banyak lagi telah membuka peluang untuk masyarakat kita menceburi bidang perniagaan online atau dikenali sebagai e-dagang dengan mudah. Tetapi, apakah kebaikan dan keburukan perniagaan secara atas talian ini?

Contoh Karangan Kebaikan Dan Keburukan Perniagaan Atas Talian

Sekiranya pelajar ingin menjawab soalan karangan Bahasa Melayu yang berkaitan dengan kelebihan dan kelemahan perniagaan atas talian, anda boleh rujuk isi-isi penting dan huraian di bawah:

Isi-isi penting

  1. Membuka pasaran yang lebih besar
  2. Mendapat data atau maklumat pelanggan
  3. Mengurangkan kos menjalankan perniagaan
  4. Pelanggan tidak mendapat pengalaman membeli belah konvensional
  5. Bergantung kepada perkhidmatan kiriman cepat atau logistik
  6. Terdedah kepada risiko penipuan oleh peniaga

Pendahuluan

Ledakan penggunaan teknologi Internet telah banyak memberi perubahan kepada rutin harian kehidupan manusia hari ini. Wujud terma seperti bekerja dari rumah dan membeli belah dengan hanya menggunakan hujung jari. Fenomena ini semakin popular dan menjadi kelaziman antara anggota masyarakat kerana kemudahan yang dinikmati. Antara sektor atau industri yang paling cepat berkembang seperti cendawan tumbuh selepas hujanadalah perniagaan atas talian.

Namun begitu, setiap ciptaan manusia ada kebaikan dan keburukannya. Kita sebagai makhluk yang dikurniakan akal seharusnya menggunakan kawarasan yang dimiliki untuk memanfaatkan sebaiknya setiap perkara yang kita hadapi dalam kehidupan masa kini. Oleh itu, sebagai rencana untuk pembacaan orang ramai, mari kita bincangkan, apakah kelebihan dan kelemahan perniagaan atas talian kepada usahawan dan juga pengguna?

Isi 1

Warkah perbincangan ini dibuka dengan kelebihan yang diperoleh melalui perniagaan atas talian. Peniaga yang menjalankan perusahaan secara maya mendapat peluang pasaran yang lebih besar. Hal ini demikian kerana pemasaran produk secara atas talian membolehkan pelanggan di seluruh negara untuk membeli tanpa perlu hadir secara fizikal ke kedai peniaga. Kehadiran aplikasi dan laman e-dagang seperti Shopee, Lazada serta Mudah.my telah membantu peniaga domestik untuk memasarkan produk secara atas talian tanpa kos yang mahal.

Peniaga hanya perlu menghantar produk mereka kepada perkhidmatan logistik seperti Pos Malaysia dan JNT Express yang berdekatan sebelum dihantar kepada pembeli. Malah, ia telah membuka peluang kepada ahli masyarakat untuk mendapatkan pendapatan sampingan. Persis kata peribahasa, berjagung-jagung dahulu sementara menantikan padi masak. Intihannya, perniagaan atas talian membantu peniaga seperti pengusaha keropok lekor di Terengganu untuk menjual produknya dari negeri Perlis sehingga ke negeri di bawah bayu.

Isi 2

Manfaat lain perniagaan atas talian adalah ia membantu peniaga untuk mendapatkan data atau maklumat pelanggan. Dalam mendepani zaman modenisasi pada hari ini, data adalah aset paling utama dalam melaksanakan apa sahaja perkara khususnya perniagaan. Sebagai contoh, apabila pelanggan membeli belah secara atas talian, peniaga mendapat nama, alamat dan juga nombor telefon atau emel pengguna tersebut. Dengan butiran tersebut, peniaga boleh menggunakan emel atau nombor telefon untuk menghantar promosi atau iklan produk baharu kepada pelanggan yang pernah membeli atau menyukai perniagaan terbabit. Alamat pula dapat menjadi rujukan kepada skop pembeli produk.

Peniaga boleh menentukan pembukaan kedai fizikal berdasarkan maklumat ini. Jika dibandingkan dengan pembelian secara fizikal di kedai, pastinya proses untuk meminta nombor telefon atau emel menyusahkan pelanggan tetapi dengan perniagaan e-dagang, rata-rata mereka telah memberikan data ini secara percuma tanpa sebarang kerenah. Jelas bahawa perniagaan atas talian memberi banyak kelebihan kepada peniaga dan juga usahawan.

Isi 3

Dari segi kelemahan pula, perniagaan atas talian tidak dapat memberikan pengguna pengalaman membeli belah seperti pembelian secara fizikal. Sebagai contoh jika pengguna ingin membeli pakaian seperti baju atau kasut, mereka memerlukan maklumat seperti saiz pakaian yang diminati dan mengukur sendiri sama ada ia muat atau tidak. Kadang kala, ukuran yang diberikan berbeza daripada apa yang ditunjukkan di iklan mereka. Bahkan ada produk yang dijual secara atas talian bak peribahasa Melayu, indah khabar dari rupa.

Maka, perniagaan atas talian memberikan risiko kepada pengguna terhadap penipuan oleh peniaga. Kelemahan ini juga memberi kesan kepada produk yang sangat bergantung kepada pembelian secara fizikal misalnya penjualan minyak wangi dan sayur-sayuran serta buah-buahan. Izharnya perniagaan atas talian tidak sesuai untuk digunakan oleh setiap sektor perniagaan tetapi boleh ditambah baik dari semasa ke semasa.

Isi 4

Pada masa yang sama, ramai pengguna kurang gemar menggunakan perkhidmatan perniagaan atas talian kerana ia bergantung kepada perkhidmatan logistik. Hal ini demikian kerana berlaku insiden dimana peniaga telah menghantar produk yang dibeli pelanggan ke perkhidmatan kiriman cepat tetapi produk tersebut mengambil masa yang lama untuk sampai, rosak semasa proses kiriman dan juga dicuri. Situasi ini membuatkan pengguna beralih semula kepada pembelian secara konvensional supaya produk yang mereka ingin beli sampai ke tangan mereka dengan selamat tanpa sebarang orang tengah.

Secara tidak langsung, ia juga menjejaskan peniaga yang jujur dalam perniagaan mereka dek kerana perkhidmatan kiriman cepat yang gagal mengurus. Tegasnya, jika peniaga mempunyai perkhidmatan logistik secara sendirian atau menggunakan syarikat kiriman cepat yang bagus, pasti pengguna tidak mempunyai masalah untuk membeli belah secara atas talian.

Penutup 

Kesimpulan kepada perbincangan ini adalah pelbagai kelebihan dan kelemahan kepada idea perniagaan secara atas talian. Tidak dinafikan ia telahpun menjadi fenomena dalam kalangan masyarakat di Malaysia sekaligus meningkatkan ekonomi negara. Ramai di antara usahawan mikro yang menjadikan perniagaan atas talian sebagai batu loncatan untuk meningkatkan pasaran produk mereka. Oleh itu, kita boleh memperbaiki kelemahan yang timbul dalam polemik ini keran kelebihannya banyak memanfaatkan masyarakat umum. Budaya memberikan testimoni atau maklum balas setelah membuat pembelian secara atas talian sangat membantu peniaga dan juga pengguna lain. Pemberian insentif dan diskaun yang disokong oleh pihak kerajaan juga menggalakkan pengguna untuk membeli belah secara maya dimana dapat mengurangkan interaksi antara manusia dalam mendepani endemik yang masih melanda dunia. Semoga usaha menjadikan perniagaan secara atas talian memanfaatkan segenap lapisan masyarakat kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Related : perniagaan dalam talian, kesan negatif, urusan jual beli, berhati hati, kesimpulannya perniagaan luar negara, kos sewa, turut memberikan, teknologi yang canggih,