Perjuangan Tokoh Tempatan Menentang Penjajahan British. Senarai nama pemimpin dan pahlawan Tanah Melayu yang berjuang melawan Inggeris.

Perjuangan Tokoh Tempatan Menentang Penjajahan British

perjuangan tokoh tokoh tempatan menentang british

Pernahkah anda sebagai murid tertanya-tanya bagaimana kehidupan datuk, nenek dan moyang anda terdahulu? Mata pelajaran Sejarah yang dipelajari merupakan salah satu kaedah pembelajaran yang dapat memberikan gambaran kepada murid tentang kehidupan masyarakat terdahulu. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan nota-nota untuk topik Perjuangan Tokoh Tempatan Menentang British.

Penentangan oleh penduduk tempatan berlaku disebabkan kedatangan kuasa asing. Mereka telah mencampur tangan dalam urusan pentadbiran dan memperkenalkan peraturan baru seperti cukai yang membebankan rakyat tempatan. Maka, lahirlah pejuang yang mempertahankan kedaulatan tempat tinggal mereka daripada ketidak adilan yang berlaku akibat kedatanagn kuasa asing.

Senarai Tokoh Pemimpin Tempatan Yang Menentang Penjajahan British

Murid-murid yang akan menduduki pentaksiran atau ujian yang diberikan oleh guru-guru boleh meneliti perkongsian dibawah berkaitan Perjuangan Tokoh Tempatan Menentang British. Info seperti nama dan asal tokoh serta peristiwa dan sebab penentangan masing-masing dirumuskan dengan ringkas.

1. Dol Said

  • Nama sebenar, Abdul Said Bin Omar atau Penghulu Naning Seri Merah Raja Dol Said
  • Dilahirkan pada tahun 1773
  • berasal daripada suku Semelenggang

Sebab penentangan:

  • Naning merupakan kawasan yang bersempadan dengan Melaka
  • British mendakwa Naning ialah jajahan mereka tetapi Dol Said membantah
  • Dol Said enggan membayar cukai hasil tahunan satu persepuluh kepada British
  • Dol Said berusaha untuk mempertahankan kedaulatan Naning

Peristiwa penentangan:

  • Pada tahun 1831, British menyerang Naning tetapi kalah. Dol Said berjaya kerana menerima bantuan ketenteraan dari Ulu Muar, Sungai Ujang, Seri Menanti dan Rembau
  • Pada Tahun 1832, British menyerang semula Naning dan berjaya mengalahkan Dol Said disebabkan sekutunya membantu British
  • Dol Said menyerah diri, diberi pencen, sebidang tanah dan dibawa ke Melaka

2. Rentap

  • Nama sebenar ialah Libau anak Ningkan
  • Pemimpin orang Iban di Nanga Skrang, Sarawak

Sebab penentangan:

  • James Brooke menghapuskan petempatan orang Iban di Nanga Skrang
  • James Brooke menganggap orang Iban sebagai lanun

Peristiwa penentangan:

  • Pada tahun 1853, Rentap berjaya menyerang kubu James Brooke
  • James Brooke menyerang balas dengan membakar 20 buah rumah panjang di kawasan Rentap
  • Pada tahun 1854, James Brooke menyerang Rentap di Sungai Lang, Rentap berundur dan membina kubu di Bukit Satok
  • Pada tahun 1861, James Brooke menyerang kubu Rentap
  • Rentap berundur ke Ulu Entabai

3. Sharif Masahor

  • Nama penuh ialah Sahrif Masahor Bin Muhammad al-Shahab
  • Berasal dari Kampung Igan
  • Pembesar Sarikei di Sungai Rajang, Sarawak

Sebab penentangan:

  • Sharif Masahor menentang James Brooke kerana menguasai Sarikei
  • Penguasaan James Brooke menyebabkan Sharif Masahor kehilangan hak dan kuasa sebagai pembesar di Sarikei

Peristiwa Penentangan:

  • Pada tahun 1859, Sharif Masahor bersama-sama dengan Datu Patinggi Abdul Ghapur dan pengiran Temenggung Hashim berpakat untuk mengusir keluarga Brooke di Kuching
  • Sharif Masahor menyerang kubu James Brooke di Sungai Rajang, Kanowit. Tetapi keluarga Brooke berjaya menggagalkan serangan tersebut
  • Sharif Masahor dibuang negeri, manakala Datu Patinggi Abdul Ghapur ditangkap oleh Belanda dan dipenjarakan di Betawi

4. Dato’ Maharaja Lela

  • Nama penuh beliau ialah Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam
  • Beliau adalah Orang Besar Berlapan Perak yang mentadbir kawasan Pasir Salak

Sebab penentangan:

  • Residen British J.W.W. Birch campur tangan dalam pentadbiran negeri dan adat resam orang Melayu
  • Kuasa Sultan dan pembesar tempatan diambil alih Residen British
  • British memperkenalkan cukai baharu yang membebankan
  • Residen British bersikap angkuh dan sombong

Peristiwa penentangan:

  • Pada Februari 1875, Sultan Abdullah, Dato’ Maharaja Lela dan pembesar Melayu Perak membuat bantahan terhadap campur tangan British
  • September 1875, Dato’ Maharaja Lela bersetuju mengambil tanggungjawab untuk membunuh Residen British iaitu J.W.W. Birch
  • November 1875, J.W.W. Birch dibunuh oleh Seputum atas arahan Dato’ Maharaja Lela di Sungai Perak, Pasir Salak
  • Pada tahun 1877, Dato’ Maharaja Lela dan Seputum ditangkap dan dijatuhi hukuman gantung

5. Yamtuan Antah

  • Nama sebenar ialah Tunku Antah Raja Radin
  • anak Yamtuan Besar Negeri Sembilan

Sebab penentangan:

  • Menentang British kerana mencampuri urusan pentadbiran di Sungai Ujang
  • British menyokong Dato’ Kelana yang mendakwa Terachi ialah wilayahnya
  • Yamtuan Antah tidak bersetuju dengan tindakan British dan bimbang British akan meluaskan kuasa terhadap wilayah lain

Peristiwa penentangan:

  • Pada tahun 1875, berlaku pertempuran di Paroi
  • Yamtuan Antah berjaya menawan Paroi tetapi British menyerang balas dan mengalahkan Yamtuan Antah
  • Pada Tahun 1876, Yamtuan Antah berunding dengan British untuk menamatkan persengketaan
  • Hasilnya, Yamtuan Antah diiktiraf sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti

6. Dato’ Bahaman

  • Nama sebenar ialah Abdul Rahman Bin Imam Noh
  • Dikenali sebagai Dato’ Bahaman Orang Kaya Semantan

Sebab penentangan:

  • Dato’ Bahaman kehilangan hak memungut cukai dan dilucutkan gelaran sebagai pembesar
  • Dato’ bahaman menentang pembinaan balai polis di Lubuk Terua, kawasan pengaruhnya

Peristiwa penentangan:

  • Pada tahun 1891, Dato’ Bahaman mengetuai serangan terhadap British dan berjaya menawan Lubuk Terua
  • Pada tahun 1892, Dato’ Bahaman mematahkan serangan British di Semantan
  • Pada tahun 1894, Dato’  Bahaman menguasai Kuala Tembeling dan Jeram Ampai
  • Pada tahun 1895, Dato’ Bahaman berundur ke Kelantan setelah British menawan semula Jeram Ampai

7. Mat Salleh

  • Nama sebenar ialah Datu Paduka Mohammad Salleh bin Datu Balu
  • Dilahirkan di Inanam, Sabah
  • Berketurunan Bajau dan Suluk

Sebab penentangan:

  • Menentang Syarikat Borneo Utara British (SBUB) kerana tidak mengiktiraf kedudukannya sebagai pemerintah di Sandakan, Menggatal, Inanam dan Pulau Gaya
  • SBUB mengambil alih hak memungut cukai dan mengadakan peraturan baharu yang membebankan rakyat

Peristiwa penentangan:

  • Pada tahun 1879, Mat Salleh dan pengikutnya menyerang kubu SBUB di Pulau Gaya
  • Mat Salleh mendirikan kubu yang lebih kukuh di Tambunan selepas kubunya di Ranau dimusnahkan oleh SBUB
  • Pada tahun 1900, SBUB melancarkan serangan besar-besaran dan menyebabkan Mat Salleh terkorban
  • Perjuangan tersebut diteruskan oleh Mat Sator yang berpusat di Kampung Kapayan Lama, Tambunan

8. Antenom

  • Nama sebenar ialah Ontoros Bin Buyusan
  • dilahirkan pada tahun 1873 di Silar Pinikit Salangit, Ulu Sungai Tahol, Pensiangan, Sabah

Sebab penentangan:

  • SBUB telah menjadikan kaum Murut sebagai buruh paksa untuk membina jalan
  • SBUB tidak menghiraukan adat dan kepercayaan penduduk dengan menceroboh kawasan hutan yang dianggap menganggu roh nenek moyang mereka
  • Pengenalan cukai baharu yang membebankan rakyat
  • SBUB tidak membenarkan penduduk membuka tanah untuk pertanian

Peristiwa penentangan:

  • Antenom mengetuai pahlawan Murut untuk menentang SBUB dan membina kubu di Silar Pinkit, Salangit, Ulu Sungai Tohol, Pensiangan
  • Pada tahun 1915, Antenom melancarkan serang hendap menggunakan tombak, pedang dan sumpit terhadap SBUB di Pensiangan dan membina kubu di Sungai Salangit
  • Antenom akhirnya menyerah diri kepada SBUB untuk menyelamatkan keluarga, pengikutnya dan kaum Murut.

9. Tok Janggut

  • Nama sebenar ialah Haji Mat Hassan bin Munas
  • dilahirkan pada tahun 1853 di Kampung Jeram, Pasir Puteh Kelantan

Sebab Penentangan:

  • Tidak bersetuju dengan pengenalan Sistem Penasihat British
  • Penduduk tempatan dipaksa menerima sistem cukai dan peraturan tanah baharu yang membebankan
  • Peraturan-peraturan baru British yang menimbulkan kesulitan kepada penduduk tempatan

Peristiwa penentangan:

  • Pada Tahun 1915, Tok Janggut menyerang dan berjaya menguasai Pasir Puteh
  • British menyerang balas Tok Janggut yang berkubu di Kampung Dalam Pupuh
  • Tok Janggut terkorban dalam pertempuran tersebut

10. Haji Abdul Rahman Limbong

  • Nama sebenar ialah Haji Abdul Rahman Bin haji Abdul Hamid
  • dilahirkan pada tahun 1868 dan meninggal dunia pada tahun 1929 di Mekah

Sebab penentangan:

  • British memperkenalkan peraturan seperti peraturan tanah untuk petani menjalankan kegiatan pertanian yang membebankan rakyat
  • British mengancam untuk mengenakan tindakan undang-undang sekiranya penduduk tempatan enggan membayar cukai

Peristiwa penentangan:

  • Pada tahun 1922, Haji Abdul Rahman Limbong bertindak sebagai peguam di mahkamah dan berjaya membela petani yang ditangkap kerana menentang peraturan baharu di Kuala Telemong
  • Pada tahun 1928, petani dan pengikut Haji Abdul Rahman Limbong telah menawan balai polis di Kuala Berang
  • British melancarkan serangan balas, Haji Abdul Rahman Limbong ditangkap atas tuduhan menghasut dan dihukum buang negeri ke Mekah

Semoga nota berkaitan Perjuangan Tokoh Tempatan Menentang British membantu murid untuk mengulangkaji pelajaran Sejarah dengan lebih baik dan berkesan.

Related : keputusan untuk, pihak british,