Peranan Pengawas Di Sekolah (Tugas & Tanggungjawab). Contoh karangan peranan seseorang murid yang dilantik oleh guru disiplin.

Peranan Pengawas Di Sekolah (Tugas & Tanggungjawab)

contoh karangan peranan pengawas di sekolah tugas tanggungjawab

Apabila menjawab soalan penulisan karangan Bahasa Melayu, apakah tajuk atau tema pilihan kegemaran pelajar? Antara teknik untuk memilih tema atau tajuk yang selamat untuk dijawab adalah dengan memilih soalan yang umum seperti berkaitan sekolah atau kehidupan pelajar. Berikut dikongsikan contoh karangan peranan pengawas di sekolah (tugas & tanggungjawab).

Seperti semua sedia maklum, setiap sekolah mempunyai pengawas yang dilantik dalam kalangan pelajar. Mereka dikehendaki menjalankan beberapa tugas yang berbeza dengan pelajar biasa yang lain. Malah terdapat juga pengawas khas untuk perpustakaan sekolah dan pengawas asrama. Walaupun tugasnya berbeza tetapi nilai kepimpinan dan jati diri yang bakal dipupuk adalah mustahak demi pembangunan diri, masyarakat dan negara.

Contoh Karangan Tugas Dan Tanggungjawab Seorang Pengawas Di Sekolah (Peranan Pemimipin Murid)

Sebagai panduan, di bawah dikongsikan contoh karangan peranan pemimpin sekolah atau pengawas di sekolah. Turut disertakan adalah isi-isi penting dan huraian dari pendahuluan sehingga penutup karangan.

Isi-isi penting

  1. Menjadi contoh terbaik kepada pelajar lain
  2. Memastikan peraturan sekolah dipatuhi oleh pelajar
  3. Menjadi pengantara pelajar dan guru dalam pelbagai perkara
  4. Memantau kebersihan dan keselamatan sekolah
  5. Membantu menjayakan aktiviti-aktiviti sekolah
  6. Melaporkan salah laku disiplin pelajar

Pendahuluan

Sekolah merupakan satu institusi pembangunan masyarakat yang sangat penting. Dalam mendepani era globalisasi yang penuh cabaran ketika ini, pembentukan ahli masyarakat yang mampu berdaya saing perlu bermula di bangku sekolah. Hari ini, kita dapat lihat pembongkaran korupsi dan kesalahan etika yang berleluasa dalam masyarakat kita sehingga merugikan peluang untuk masyarakat kita berkembang dengan jayanya.

Budaya yang tidak sihat ini perlu dihentikan dengan menerapkan nilai kepimpinan dalam diri para pelajar. Apabila mereka menjadi seorang individu yang dewasa, pelabagi amanah dan tanggungjawab yang wajib dipikul. Oleh sebab yang demikian, wujudnya jawatan pengawas dalam sekolah sebagai cara untuk mencungkil dan memupuk nilai kepimpinan dalam diri pelajar di sekolah. Maka, mari kita rungkaikan peranan seorang pemimpin pelajar di sekolah yang merangkumi tugas dan tanggungjawab mereka.

Isi 1

Lazimnya, pengawas yang dilantik terdiri daripada pelajar yang bersahsiah tinggi dan cemerlang dari sudut akademik serta kokurikulum. Perkara ini jelas menunjukkan peranan mereka iaitu menjadi contoh terbaik kepada pelajar lain. Salah satu ciri kepimpinan yang ulung adalah dengan menjadi yang terbaik dari setiap segi supaya dapat menjadi ilham atau memberi semangat kepada orang sekeliling untuk berjaya bersama.

Apabila pengawas di sekolah menunjukkan contoh terbaik seperti memakai seragam sekolah dengan lengkap dan kemas atau mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, pelajar lain pasti akan terinspirasi. Pelajar yang terpilih untuk menjawat jawatan ini hendaklah bersedia dengan amanah dan tanggungjawab tersebut supaya dapat membimbing rakan-rakan sebaya menggapai kejayaan. Tuntasnya, peranan seorang pengawas di sekolah adalah untuk menjadi teladan terbaik kepada pelajar yang lain.

Isi 2

Seterusnya, peranan pemimpin pelajar yang dilantik oleh guru disiplin adalah memastikan peraturan sekolah dipatuhi oleh para pelajar. Kita semua mengetahui bahawa pelajar khususnya di sekolah rendah agak sukar untuk memebentuk disiplin yang baik. Lebih-lebih lagi situasi hari ini di mana kebanyakan ibu dan bapa bekerja dan mengharapkan guru di sekolah untuk mendidik anak mereka. Bagi membantu bebanan yang ditanggung oleh guru, pengawas perlu maminkan peranan untuk memastikan pelajar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.

Misalnya, pastikan pemakaian pelajar lengkap dan kemas, beratur dalam barisan apabila bergerak dalam kelompok yang ramai serta hadir ke sekolah pada waktu yang dibenarkan. Situasi ini bakal mendidik para pengawas untuk menjadi penguatkuasa undang-undang pada peringkat sekolah. Secara tidak langsung, ia memberi pengalaman yang berguna kepada mereka sekiranya perlu menjalankan tugas yang sama pada masa hadapan. Izharnya, pengawas perlu bersikap seperti bumi dipijak, langit dijunjung supaya rakan-rakan turut serta mematuhi peraturan sekolah.

Isi 3

Pada masa yang sama, pengawas perlu menjadi pengantara pelajar dan guru dalam pelbagai perkara. Peranan ini cukup signifikan kerana kadang kala, masalah yang dihadapi oleh pelajar kurang difahami oleh guru dan akan menybabkan salah faham. Sebagai contoh, pemakaian baju sukan ketika kelas pendidikan jasmani perlu ditukar ke pakaian seragam setelah tamat kelas. Situasi ini memberikan ketidak selesaan kepada pelajar kerana perlu membawa pakaian seragam kemudian tidak mempunyai ruang yang selesa untuk menukar pakaian.

Justeru, pengawas yang terdiri dalam kalangan pelajar perlu menjelaskan masalah yang dihadapi oleh pelajar kepada guru atau pihak pentadbir supaya satu simbiotik dapat dibina antara pelajar dan pihak sekolah. Apabila hubungan antara warga sekolah harmoni, pasti suasana di sekolah akan menjadi selesa dan kondusif untuk semua pihak menjalankan tanggungjawab masing-masing. Intihannya, pengawas berperanan untuk memastikan hubungan antara pelajar dan guru harmoni agar tugas hakiki untuk belajar dan mendidik berjalan dengan lancar.

Isi 4

Akhir sekali, memantau kebersihan dan keselamatan sekolah juga adalah salah satu tanggungjawab pengawas sekolah. Tidak dinafikan bahawa menjaga kebersihan dan keselamatan merupakan peranan setiap warga sekolah. Tetapi jika terdapat beberapa pelajar yang tidak bertanggungjawab dengan melakukan vandalisme terhadap harta sekolah, ia perlu dilaporkan kepada pihak pentadbir sekolah. Tugas ini perlu dilaksanakan oleh para pengawas yang dilantik supaya pelajar lain dapat menikmati segala kemudahan di sekolah dengan baik dan selesa.

Sekiranya kebersihan sekolah tidak dijaga, pelajar akan berasa tidak seronok untuk hadir ke sekolah apatah lagi memberikan perhatian di dalam bilik darjah. Persis kata mutiara, rumahku syurgaku. Sekolah juga boleh dianggap sebagai rumah kedua kepada pelajar dan guru kerana banyak meluangkan masa di institusi tersebut. Jelas bahawa pengawas berperanan untuk menjaga kebersihan dan keselamatan sekolah demi kemaslahatan semua.

Penutup

Kesimpulannya, pelajar yang dilantik menjadi pengawas di sekolah mempunyai banyak peranan yang perlu dilaksanakan. Amanah yang mencabar ini seharusnya dipikul oleh mereka yang betul-betul layak dan mempunyai kredibiliti. Pihak sekolah perlu membuat sesi pemilihan dan tapisan latar belakang pelajar supaya yang mampu memikul tanggungjawab sahaja yang layak untuk menjadi seorang pengawas. Proses yang sama juga sepatutnya dilalui oleh setiap individu yang bakal memikul tugas untuk memimpin di setiap peringkat. Akhirnya nanti, kita akan mendapat golongan pemimpin yang berkredibiliti dan mampu membawa diri, masyarakat, bangsa dan negara ke arah yang lebih baik. Ibarat peribahasa Melayu, belakang parang kalau diasah nescaya tajam. Jika kita berusaha memupuk nilai kepimpinan yang baik kepada masyarakat sejak kecil pasti dewasa kelak akan memberi hasil yang menguntungkan.

Related : untuk mengejar, imej sekolah, seorang murid, melanggar peraturan sekolah, murid yang, kesalahan disiplin,