Langkah Menggalakkan Orang Ramai Menggunakan Pengangkutan Awam. Contoh karangan Cara tingkatkan Penggunaan Public transport di malaysia.

Langkah Menggalakkan Orang Ramai Menggunakan Pengangkutan Awam

contoh karangan langkah menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam

Melalui pembacaan, para pelajar bukan sahaja dapat meluaskan horizon pemikiran tetapi juga menambah perbendaharaan kata untuk digunakan dalam menjawab soalan penulisan karangan Bahasa Melayu. Sebagai latihan, sila tuliskan sebuah karangan bertajuk: Langkah Menggalakkan Orang Ramai Menggunakan Pengangkutan Awam.

Pengangkutan awam adalah satu kaedah pengangkutan yang boleh digunakan oleh masyarakat awam seperti bas dan kereta api. Di kawasan bandar lazimnya terdapat perkhidmatan rel seperti MRT yang menjadi tunjang utama pengangkutan awam bagi penduduk di kawasan tersebut. Manakala kawasan luar bandar di Malaysia masih menggunakan bas yang berhenti dari satu perhentian ke satu perhentian.

Contoh Karangan Cara Menggalakkan Penggunaan Pengangkutan Awam Di Malaysia

Para pelajar boleh merujuk contoh karangan langkah menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam seperti di bawah. Turut dikongsikan adalah isi-isi penting yang berkaitan dengantajuk atau tema soalan yang diberikan.

Isi-isi penting

  • Menyediakan pengangkutan awam yang menyeluruh di setiap kawasan
  • Menggunakan sistem tiket yang mudah dan berpatutan
  • Memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna terjamin
  • Menyediakan ruang hiburan seperti pemasangan TV untuk tontonan pengguna
  • Meningkatkan kekerapan dan ketepatan masa pengangkutan awam
  • Menyediakan aplikasi mudah alih untuk pengangkutan awam

Pendahuluan

Pasca pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah menyebabkan kebanyakan ahli masyarakat untuk memiliki kenderaan persendirian sebagai pengangkutan untuk bergerak berbanding menggunakan pengangkutan awam. Tambahan pula, pemimpin negara sejak dahulu telah menetapkan visi untuk meningkatkan industri automotif negara sehinggakan pengangkutan awam menjadi alternatif kepada mod pengangkutan dalam kalangan masyarakat kita.

Konsep ini sebenarnya sudah tidak relevan dengan penambahan jumlah penduduk serta kepadatan pembangunan dari tahun ke tahun. Kesannya kita boleh lihat pada hari ini apabila berlaku kesesakan lalu lintas yang luar biasa pada waktu bekerja dan hari perayaan. Oleh yang demikian, kita hendaklah melakukan anjakan paradigma dengan menyusun langkah menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam di Malaysia secara khususnya.

Isi 1

Langkah pertama dalam menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam adalah dengan menyediakan pengangkutan awam yang menyeluruh di setiap kawasan. Umum mengetahui, kerajaan pusat sebelum ini menumpukan perhatian terhadap pembangunan di ibu kota negara iaitu Kuala Lumpur sehingga mengabaikan pembangunan di kawasan lain. Kemudahan seperti LRT, Komuter dan MRT dibangunkan di kawasan Lembah Klang dengan menggunakan bajet yang tinggi.

Sebaliknya, kerajaan masa kini perlu bersikap lebih inklusif kepada negeri-negeri lain. Perancangan pengangkutan awam yang efektif seperti bas boleh dibangunkan tanpa kos yang tinggi. Jika kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri serta agensi yang terbabit dapat bekerjasama untuk menghubungkan jaringan pengangkutan awam ke semua destinasi yang diinginkan masyarakat, ia pasti akan menarik minat pengguna. Tuntasnya, pengangkutan awam yang menyeluruh dan menghubungkan jaringan kawasan yang diinginkan masyarakat akan menggalakkan orang ramai untuk menggunakannya.

Isi 2

Pada masa yang sama, pihak berkuasa seharusnya memastikan semua pengusaha pengangkutan awam menggunakan sistem tiket yang mudah dan berpatutan. Sebelum ini, setiap pembelian memerlukan pengguna untuk membayar menggunakan wang dan pemandu bas memberikan tiket fizikal. Dengan kemudahan teknologi dan internet pada hari ini, situasi ini boleh dipermudahkan dengan pembayaran nirtunai dan tiket digital melalui aplikasi khas yang dibangunkan.

Tidak dinafikan terdapat masalah dikalangan pengguna yang tidak celik teknologi tetapi dari masa ke masa, ia wajar untuk dipraktikkan. Kaedah pembayaran yang memonopoli pengangkutan awam perlu dipecahkan dan membuka ruang kepada semua perkhidmatan kewangan untuk memudahkan pengguna membayar tiket. Bak kata pepatah, tidak memandang bulu, tidak melihat rupa. Izharnya, kaedah pembayaran tiket yang mudah dan berpatutan akan menarik orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam dengan lebih kerap.

Isi 3

Anggota masyarakat juga akan tertarik untuk menaiki pengangkutan aaaaawam sekiranya keselamatan dan keselesaan pengguna terjamin. Keadaan yang kurang kondusif seperti kerusi yang koyak, pendingin hawa tidak berfungsi dan lantai yang kotor akan menyebabkan pengguna tidak selesa. Begitu juga dengan pengangkutan awam yang tidak mesra dengan orang kurang upaya (OKU).

Justeru, pihak berkuasa atau pengusaha pengangkutan awam ini harus sentiasa melakukan baik pulih dan penyelenggaraan terhadap perkhidmatan yang disediakan supaya keselamatan dan keselesaan pengguna terjamin. Kita sebagai pengguna juga harus menjaga etika dan peraturan yang ditetapkan oleh pengangkutan awam supaya kebersihan dan keselesaan pengguna lain dapat dipastikan. Intihannya, pengangkutan awam yang selesa dan selamat dapat menggalakkan kehadiran orang ramai.

Isi 4

Akhir sekali, langkah untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam adalah dengan menyediakan ruang hiburan seperti pemasangan televisyen untuk tontonan pengguna. Hiburan dalam bentuk video interaktif mampu untuk menarik minat pengguna terutamanya kanak-kanak. Dalam tempoh masa menunggu untuk sampai ke destinasi masing-masing, pengguna dapat menikmati hiburan yang disediakan.

Walaupun langkah ini dianggap akan memakan kos yang tinggi, tetapi jika pengusaha pengangkutan awam bijak untuk mengurus, mereka boleh mengiklankan atau menjual slot tontonan kepada syarikat pemasaran dan media. Secara langsung ia dapat menarik minat pelabur lain untuk bekerjasama dalam membuat pemasaran di pengangkutan awam dan menjana pendapatan tambahan. Langkah serampang dua mata ini bukan sahaja bermanfaat kepada pengguna tetapi juga pengusaha pengangkutan awam.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak langkah yang boleh diusahakan untuk menarik minat orang ramai dalam menggunakan pengangkutan awam. Pemimpin negara bertanggungjawab untuk merencana kaedah pengangkutan yang terbaik untuk semua lapisan masyarakat di Malaysia. Rancangan pembangunan pengangkutan awam yang menyeluruh tanpa memusnahkan industri automotif negara perlu dilaksanakan dengan segera. Kemakmuran bersama yang diuar-uarkan perlu seiring dengan kemajuan pembangunan infrastruktur untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira kawasan bandar atau luar bandar. Apabila pengangkutan awam negara sudah mencapai tahap yang boleh diharapkan, kita sebagai pengguna hendaklah bersedia dan memanfaatkannya sebaik mungkin sehingga diteruskan oleh generasi akan datang.

Related : rangkaian pengangkutan awam
perkhidmatan pengangkutan awam
sistem pengangkutan awam
untuk memastikan
memudahkan rakyat
menggunakan perkhidmatan
perlu membeli
pengangkutan awam kerana