Faktor-Faktor Pemilihan Kerjaya Yang Baik (Remaja/ Pelajar). Huraikan contoh karangan sebab utama seseorang itu memilih halatuju pekerjaan.

Faktor-Faktor Pemilihan Kerjaya Yang Baik (Remaja/ Pelajar)

contoh karangan faktor faktor pemilihan kerjaya yang baik

Untuk pengetahuan pelajar, penulisan karangan Bahasa Melayu merupakan satu kaedah untuk menguji penguasaan bahasa serta pengetahuan am pelajar. Oleh itu, tema dan soalan yang diberikan lazimnya bersifat umum dan dekat dengan pelajar supaya anda dapat memberikan isi penting dan huraian yang menarik. Berikut dikongsikan contoh karangan faktor-faktor pemilihan kerjaya yang baik sebagai rujukan untuk menjawab soalan yang berkaitan.

Kerjaya dari segi definisi bermaksud perjalanan atau kemajuan seseorang dalam sesuatu lapangan seperti pekerjaan. Pelajar hari ini pasti berada dalam keadaan dilemma untuk memilih kerjaya yang bakal diceburi pada alam pekerjaan kelak. Hal ini kerana persaingan yang tinggi dalam sektor profesional dan mungkin akan ada pekerjaan yang masih belum dicipta pada hari ini menjadi kerjaya pelajar suatu hari nanti. Justeru, penting untuk pelajar menjawab soalan di bawah sebagai persediaan dan juga latihan untuk menulis karangan Bahasa Melayu.

Faktor-Faktor Pemilihan Kerjaya Yang Baik Buat Remaja/ Pelajar

Di bawah dikongsikan contoh karangan faktor-faktor pemilihan kerjaya yang baik untuk panduan pelajar. Pelajar boleh menggunakan rujukan di bawah dan menulis karangan yang menggunakan frasa menarik dan peribahasa yang sesuai.

Isi-isi penting

  1. Minat terhadap bidang yang akan diceburi
  2. Berkait dengan latar belakang akademik yang dipelajari
  3. Menjamin kestabilan kewangan yang kukuh
  4. Mendapat ruang pertumbuhan kerjaya
  5. Sokongan daripada ahli keluarga
  6. Mempunyai mentor atau idola untuk dicontohi

Pendahuluan

Sebelum mengecapi kemerdekaan, masyarakat dahulu hanya tertumpu kepada pertanian dan perdagangan untuk meneruskan kehidupan. Selepas dijajah dan mendapat kemerdekaan, rakyat di Malaysia mendapat pelbagai peluang pekerjaan untuk diceburi sebagai kerjaya. Perkembangan setiap sektor seperti perindustrian, perdagangan dan pendidikan telah membuka peluang pekerjaan yang baik dalam meningkatkan ekonomi masyarakat dan juga negara.

Walau bagaimanapun, generasi masa kini menghadapi masalah dari segi persaingan yang tinggi untuk mendapatkan kerjaya yang terbaik. Tambahan pula dengan kenaikan kos sara hidup serta ketidak tentuan ekonomi telah menjadikan masyarakat muda untuk memastikan kerjaya pilihan mampu untuk menampung kehidupan mereka. Oleh itu, penting untuk kita bincangkan, apakah faktor-faktor pemilihan kerjaya yang baik supaya generasi muda cakna dan melakukan persediaan yang diperlukan untuk masa hadapan mereka.

Isi 1

Faktor pertama yang perlu dipertimbang oleh setiap individu sebelum memilih kerjaya adalah mengetahui sama ada mempunyai minat atau kecenderungan terhadap bidang yang akan diceburi. Fitrah kita sebagai seorang manusia untuk mempunyai minat dan cita-cita yang ingin dikecapi pada satu tempoh masa. Percaya atau tidak, kita akan mempunyai semangat dan motivasi apabila melakukan satu perkara yang kita minat berbanding melakukan kerja yang kita tidak gemar. Jika moraliti dan kesihatan mental berada pada tahap yang baik, nescaya kerja dapat dilakukan dengan seronok serta membuahkan hasil yang cemerlang.

Pepatah melayu ada berkata di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan. Jika mempunyai keinginan yang tinggi terhadap sesuatu perkara khususnya dalam kerjaya yang akan diceburi, pasti ada cara untuk kita mencapainya. Tamsilnya, atlet negara seperti Datuk Misbun Sidek yang menjadikan minat bermain badminton sebagai kerjaya hidupnya daripada seorang atlet profesional kepada jurulatih terkemuka dunia. Minat merupakan faktor jelas dalam pemilihan kerjaya seseorang.

Isi 2

Selepas menentukan minat dan kecendurungan diri, anak muda perlu memilih aliran akademik yang berkaitan dengan kerjaya yang akan diceburi. Baru-baru ini timbul perkongsian tular yang menunjukkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih untuk bekerja berbanding menyambung pengajian di peringkat universiti atau kolej. Ramai di antara mereka berpendapat memulakan kerjaya pada usia muda adalah lebih baik daripada menyambung pengajian di universiti yang tidak menjamin pekerjaan di industri.

Stigma yang merunsingkan pelbagai pihak ini perlu dihentikan kerana pembelajaran di peringkat kolej dan universiti penting untuk perkembangan pendidikan pelajar. Anda akan mempelajari teori yang berkenaan dengan bidang yang dipilih serta melakukan latihan praktikal sebelum menamatkan pengajian. Dalam masa yang sama juga pelajar boleh menilai sama ada bidang yang dipilih menepati kemampuan diri ataupun sebaliknya. Tuntasnya, pemilihan kerjaya seseorang bergantung kepada kelayakan akademik yang dipelajari.

Isi 3

Faktor lain yang wajar diambil kira oleh setiap individu dalam memilih kerjaya adalah kestabilan kewangan terjamin atau tidak. Dalam mendepani kenaikan kos sara hidup serta kepincangan ekonomi dunia, kita digalakkan untuk memilih bidang kerjaya yang memberikan gaji yang bermaruah untuk kita menjalankan kehidupan yang selesa. Sebagai contoh, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyatakan bahawa individu bujang yang menetap di Lembah Klang dan mempunyai kenderaan memerlukan sekurang-kurangnya RM2,570 sebulan pada tahun 2021 untuk menampung perbelanjaan kehidupan.

Data ini jelas menunjukkan bahawa kita perlu bijak dalam memilih bidang kerjaya untuk mengecapi kemampuan kewangan yang selesa. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Siapa yang ingin bekerja berhempas pulas tetapi hanya mendapat bayaran yang sedikit? Kita sewajarnya menggunakan kemudahan Internet untuk mengkaji bidang-bidang mempunyai potensi pada masa kini dan hadapan di mana mampu untuk memberikan kerjaya yang stabil jika kita ingin ceburi. Intihannya, jaminan kestabilan kewangan adalah salah satu faktor dalam memilih kerjaya pada masa ini.

Isi 4

Kerjaya yang baik adalah kerjaya yang memberi ruang pertumbuhan kepada kita sebagai seorang individu. Faktor ini merupakan salah satu faktor yang wajar diambil kira oleh setiap orang kerana kita tidak mahu kekal berada di takuk yang sama. Sebagai contoh, seorang anggota polis yang bermula sebagai seorang konstabel wajar diberi peluang untuk menjadi seorang inspektor, superintenden dan juga komisioner. Kita yang bekerja secara komited dan jujur ingin dihargai dan ditawarkan pangkat yang lebih tinggi.

Dari segi pertumbuhan sebagai seorang individu pula, kerjaya tersebut wajar memberi ruang untuk kita mendirikan rumah tangga, berkeluarga dan bercuti. Mutakhir ini, banyak perkongsian tular yang menunjukkan majikan yang tidak bertanggungjawab yang enggan memberi cuti dan mengerah pekerja untuk bekerja. Situasi yang tidak sihat ini perlu diatasi kerana kesihatan mental merupakan satu aspek penting di samping kesiahtan fizikal. Izharnya, kerjaya yang memberikan ruang untuk kita tumbuh lebih baik sebagai pekerja dan juga individu adalah faktor pemilihan sesebuah kerjaya.

Penutup

Konklusi kepada perbincangan di atas ialah banyak faktor yang perlu diambil kira dalam memilih kerjaya masing-masing. Golongan muda khususnya para remaja perlu diberikan pendedahan dan pendidikan tentang alam pekerjaan seawal mungkin supaya mereka dapat gambaran jelas akan kehidupan yang ingin mereka kecapi pada masa hadapan. Bimbingan dan sokongan daripada ahli keluarga serta guru sekolah memainkan peranan penting dalam penentuan kerjaya mereka.

Pihak kerajaan pula seharusnya sentiasa bersikap proaktif dalam memastikan kadar peluang pekerjaan mencukupi untuk masyarakat. Penyelarasan bidang di intitusi pengajian tinggi dengan pihak industri perlu ditambah baik supaya graduan mendapat peluang pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian. Apabila kadar pengangguran berkurang maka ekonomi negara akan meningkat dan aspirasi serta wawasan yang selama ini ingin kita kecapi mampu menjadi satu realiti.

Related : ibu bapa, anak anak, mata pelajaran, pemilihan kerjaya bagi seseorang remaja, mencari nafkah hidup,