Langkah-Langkah Mengatasi Isu Pemanasan Global. Contoh karangan cara mengurangkan masalah perubahan iklim melalui gaya hidup lestari.

Langkah-Langkah Mengatasi Isu Pemanasan Global

langkah mengatasi isu pemanasan global

Salah satu tema yang popular untuk menjadi tajuk karangan penulisan Bahasa Melayu adalah soalan bertemakan bencana alam. Pemanasan global merupakan antara bencana alam yang sering dibincangkan dan mempunyai banyak isi yang boleh dikupas serta dihuraikan. Berikut dikongsikan contoh karangan langkah-langkah mengatasi isu pemanasan global.

Penulisan karangan Bahasa Melayu diperkenalkan bagi menguji penggunaan dan pemahaman bahasa pelajar terhadap sesuatu topik. Selain itu, ia juga menguji kemampuan pelajar untuk menghuraikan isi penting atau idea yang ingin diketengahkan. Dengan pembacaan dan latihan yang baik, pelajar pasti dapat menulis karangan yang cemerlang.

Contoh Karangan Langkah-Langkah Mengatasi Isu Pemanasan Global (Cara Mengurangkan)

Di bawah adalah isi-isi penting dan contoh karangan langkah-langkah dalam mengurangkan atau mengatasi masalah pemanasan global untuk rujukan semua.

Isi-isi penting

  1. Menguatkuasakan undang-undang berkaitan alam sekitar
  2. Menggunakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui
  3. Memastikan pembangunan lestari dilaksanakan di setiap peringkat
  4. Menganjurkan kempen kesedaran untuk setiap lapisan masyarakat
  5. Mewartakan lebih banyak hutan simpan
  6. Mengamalkan budaya kitar semula

Pendahuluan

Saban tahun, pelbagai bencana alam yang berlaku seperti banjir kilat dan pembakaran hutan sehingga meragut nyawa yang tidak bersalah. Kerakusan manusia mengejar keuntungan dengan menjalankan pembangunan tanpa mengambil kira risiko terhadap persekitaran bakal mengundang padah. Perkembangan teknologi dan perindustrian komersial telah menyebabkan peningkatan gas rumah hijau dalam atmosfera bumi sekaligus meningkatkan suhu bumi. Fenomena ini diberi nama pemanasan sejagat atau pemanasan global yang akan menyebabkan perubahan iklim dan cuaca serta peleburan kutub-kutub ais di hemisfera utara dan selatan.

Paras air laut akan meningkat dan kawasan penempatan manusia di pinggir laut berisiko untuk tenggelam dalam jangka masa tertentu. Masyarakat konvensional perlu membuka mata dan mengambil serius terhadap isu ini kerana ia melibatkan kelangsungan hidup generasi akan datang. Maka, penting untuk orang awam mengetahui langkah-langkah dalam mengatasi isu pemanasan global di setiap peringkat.

Isi 1

Langkah ulung bagi mengatasi polemik ini adalah dengan menguatkuasakan undang-undang terhadap sebarang tindakan yang menyumbang kepada pemanasan global. Setiap pihak dari setiap peringkat sama ada pengawai penguatkuasa sehingga menteri yang diamanahkan oleh rakyat hendaklah menjalankan tugas dengan tegas dan komited. Tidak bersikap seperti hangat-hangat tahi ayam dalam menegakkan undang-undang serta menghukum mereka yang bersalah. Golongan pemimpin negara seharusnya aktif menyertai konvensyen dan forum antarabangsa bagi menyuarakan serta menyokong usaha mengatasi pemanasan global.

Di peringkat domestik pula, penggubal undang-undang perlu menggubal akta-akta yang berkaitan secara berkala agar hukuman yang setimpal akan dikenakan kepada mereka yang bersalah. Sehingga hari ini, kita masih boleh melihat aktiviti pembalakan haram yang menyebabkan pemanasan global dek menebang pokok-pokok di hutan masih berlaku. Tegasnya, isu pemanasan global dapat diatasi sekiranya undang-undang yang digubal dihormati serta dipatuhi oleh setiap ahli masyarakat tanpa pengecualian.

Isi 2

Usaha lain yang boleh menyumbang kepada pengurangan kadar pemanasan global adalah dengan menggunakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui. Untuk makluman, Malaysia masih lagi menggunakan pembakaran arang sebagai sumber penghasilan tenaga elektrik. Kaedah ini seharusnya diubah kerana kita mempunyai banyak sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga hidroelektrik dan tenaga solar. Sebagai rakyat marhaen pula, kita oleh beralih kepada pengunaan tenaga solar dirumah bagi menjimatkan penggunaan elektrik konvensional.

Selain itu, langkah seperti menutup suis dan menanggalkan plag elektirk apabila tidak digunakan adalah langkah kecil yang mengurangkan penggunaan elektrik sekaligus mengurangkan pemanasan global. Tidak dinafikan negara kita masih banyak bergantung kepada sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui. Tetapi pembina polisi dan dasar negara sudah perlu merencana langkah untuk mengalihkan kebergantungan kepada sumber tenaga yang boleh diperbaharui sebagai usaha mengatasi pemanasan global.

Isi 3

Seterusnya, langkah untuk mengatasi isu pemanasan global adalah dengan memastikan pembangunan lestari dilaksanakan di setiap peringkat. Pembangunan lestari bermaksud membina pusat komersial, perindustrian atau perumahan di samping mengekalkan kelestarian kawasan persekitaran. Langkah ini mustahak untuk diimplementasikan kerana antara punca pemanasan global adalah penebangan kawasan hutan yang luas hanya untuk menampung perkembangan dan keperluan manusia sejagat.

Pokok merupakan agen penyerap gas karbon semula jadi yang selama ini mengekalkan kestabilan ekosistem di muka bumi. Jika jumlah pokok semakin berkurang dari hari ke hari, jumlah gas karbon yang dilepaskan akan meningkat dan mengakibatkan pemanasan global. Oleh itu, pihak berkuasa perlu memperkenalkan mekanisme kawalan terhadap pembangunan di dalam negara agar isu pemanasan global dapat diatasi dengan baiknya.

Isi 4

Bagi memastikan langkah-langkah di atas dapat dilaksanakan, kempen kesedaran tentang pemanasan global perlu diperkasa. Hal ini demikian kerana masih terdapat kurang kesedaran dalam masyarakat tentang pemanasan global. Kita masih boleh lihat segelintir orang awam yang membakar sampah secara terbuka dan membazirkan tenaga elektrik tanpa berasa serba salah. Melalui pesanan khidmat masyarakat dalam iklan di televisyen atau kandungan digital di media elektronik, isu pemanasan global boleh ditularkan.

Mutakhir ini, penggunaan media sosial yang sangat kerap oleh masyarakat di dunia secara amnya memudahkan mereka terpengaruh dengan sesuatu perkara. Justeru, pihak berkuasa perlu berganding bahu dengan penggiat kreatif tanah air untuk menghasilkan kempen kesedaran yang malar dalam minda masyarakat sampai bila-bila. Intihannya, langkah untuk mengatasi pemanasan global adalah dengan mendidik ahli masyarakat tentang keburukan dan langkah terbaik untuk mengatasinya.

Penutup

Konklusinya, semua pihak perlu berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk mengatasi isu pemanasan global ini. Pemimpin negara seharusnya mengetuai usaha untuk mengatasi pemanasan global di peringkat domestik agar menjadi contoh kepada negara-negara asing yang lain. Jika kita berjaya melakukan segala saranan yang diberikan oleh para saintis dan cendiakawan, nescaya kelangsungan hidup generasi akan datang akan terjamin. Kita perlu mengenang kembali susah-payah nenek dan moyang kita dahulu dalam memastikan kita menikmati kehidupan yang lebih baik pada hari ini. Motivasi dan semangat yang sama perlu dipupuk dalam pemikiran setiap ahli masyarakat pada hari ini. Persis kata peribahasa, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Related : mengatasi masalah, untuk membagi, kesan negatif, kesan pemanasan global, cara mengatasi pemanasan global, ramah lingkungan, untuk mengurangkan, gas karbon dioksida,