Novel Tirani : Sinopsis, Tema, Persoalan, Plot & Pengajaran

Novel Tirani Sinopsis Tema Persoalan Pengajaran

Komponen sastera di peringkat menengah atas menggunakan bahan yang berbeza mengikut zon. Sebagai contoh, pelajar Tingkatan 5 yang berada di zon Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur mengkaji bahan KOMSAS yang sama. Oleh itu, berikut dikongsikan maklumat berkaitan Novel Tirani : Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran untuk rujukan semua.

Beb Sabariah, atau nama sebenarnya Bibi Sabariah Hj Abang Awet adalah pengarang kepada Novel ini. Penulis ini mula menulis dengan aktif pada tahun 1999 dalam genre cerpen, puisi, rencana dan rencana kritikan sastera. Keunikan etnik Sarawak telah diceritakan dalam novel ini menerusi watak utama yang turt menyelitkan warna budaya dan resam masyarakat setempat.

Nota Novel Tirani : Sinopsis, Tema & Persoalan, Watak & Perwatakan, Plot dan Nilai Pengajaran

Di bawah dikongsikan rangkuman nota yang terkandung dalam Novel Tirani : Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran. Pelajar juga boleh merujuk contoh soalan yang diberikan dalam peperiksaan.

Tema

Sebagai pelajar, tema yang diperoleh daripada Novel ini adalah kecantikan fizikal hanya bersifat sementara, yang kekal adalah ilmu dan pengetahuan yang kita miliki serta kekuatan itu yang akan melindungi kelemahan diri kita

Persoalan

1) Persoalan kegigihan menempuh cabaran untuk mengecapi kejayaan dalam kerjaya

  • Waheeda yang menempuh pelbagai cabaran dalam kerjayanya dan mampu menaikkan syarikat yang diusakan seperti Chalet Aya Sajinah di Cameron Highlands

2) Persoalan semangat setiakawan yang erat

  • Waheeda dan Bazilah bersahabat sejak di universiti dan Bazilah membantu Waheeda untuk menginap di rumahnya di Singapura ketika mendapatkan rawatan pembedahan rekonstruksi di wajahnya

3) Persoalan kasih sayang ibu kepada anaknya

  • Ibu kepada Waheeda, Raidah menunjukkan kasih dan sayangnya kepada anaknya sejak kecil apabila tidak jemu memujuk Waheeda kerana diejek oleh rakan sekolah. Dia juga menemani Waheeda ke Singapura untuk menjalani pembedahan rekonstruksi wajahnya

4) Persoalan menghargai budaya dan warisan

  • Waheeda telah memilih untuk memperagakan pakaian Cheongsam Brooked Merah ketika menyertai Pertandingan Ratu Pelancongan Antarabangsa di The Four Season Hotel

5) Persoalan berikhtiar dalam menyelesaikan masalah

  • Waheeda telah meminta pertolongan rakannya Nurjihan untuk menyerahkan sampel rambut suaminya, dirinya serta anaknya demi menjalankan ujian DNA. Sebagai bukti bahawa Izzati adalah anak kandung mereka.

Sinopsis

Waheeda yang merupakan watak utama dalam novel Tirani ini berhasrat untuk menjadi cantik dan melakukan pembedahan terhadap hidungnya yang pesek. Dia juga ingin menaikkan namanya dalam bidang pekerjaan yang diceburi iaitu pelancongan sehingga mengabaikan batas-batas pergaulan walaupun telah berkahwin dengan Zahid. Hidung Waheeda telah digigit oleh monyet dan dia terus melakukan pembedahan rekonstruksi wajah untuk menjadi lebih cantik.

Susulan pembedahannya maka datanglah kejayaan dalam bidang pekerjaannya. Namun, kecantikan dan kejayaan dalam bidnag kerjayanya tidak menjamin kebahagiaan dalam hidupnya. Rumah tangganya goyah, serta tugasannya bertambah berat kerana harapan orang ramai terhadapnya melambung tinggi. Akhirnya, Waheeda telah diceraikan oleh suaminya dan Waheeda jatuh sakit kerana cintanya terhadap suaminya masih mendalam.

Penceraian mereka berpunca daripada wajah anaknya yang tidak mewarisi kecantikannya dan ditambah rasa cemburu oleh Zahid. Waheeda telah bertekad untuk berdikari dan menguruskan sebuah chalet di Cameron Highland. Kemajuan chaletnya berjaya menarik orang ramai sehingga satu hari Zahid mengunjungi chalet tersebut. pertemuan mereka telah menimbulkan satu falsafah kehidupan iaitu kecantikan hanyalah satu tirani

Watak dan perwatakan

1) Waheeda Nurlyana

  • Watak utama yang merupakan anak kepada Raidah dan Fadhil
  • Seorang mahasiswa lulusan perniagaan dan pelancongan UTM
  • Mendirikan rumah tangga bersama Zahid dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Izzati
  • Seorang yang tidak bersyukur kerana ingin membuat pembedahan kosmetik pada hidungnya untuk menjadi lebih cantik
  • Seorang yang gigih kerana berusaha sedaya upaya untuk mengembangkan perniagaan chaletnya
  • Seorang yang menghargai budaya dan warisan bangsa kerana menggantung Kain Pua Kumbu Sarawak di atas pintu masuk Restoran Iwani dan Kafe di chaletnya

2) Zahid

  • Anak sulung kepada Datuk Yasser dan Datin Hazirah
  • Suami kepada Waheeda dan bapa Izzati
  • Lulusan sarjana undang-undang dari Universiti Chicago, Amerika Syarikat
  • Seorang yang cemburu buta apabila menuduh Waheeda mengadakan hubungan sulit dengan lelaki lain
  • Seorang yang terburu-buru dalam membuat keputusan kerana tidak melihat keputusan DNA anaknya dan menceraikan Waheeda kerana rupa anak mereka berbeza
  • Seorang yang mengakui kesilapannya dan insaf setelah menceraikan Waheeda tanpa usul periksa dan mempertikaikan status anak kandungnya

3) Raidah

  • Ibu kepada Waheeda
  • Seorang yang penyayang kerana telah menemani Waheeda untuk menjalani pembedahan di Singapura walaupun tidak gemar dengan keputusan anaknya
  • Seorang yang berpegang kuat pada adat masyarakat apabila memberi sedekah ketupat ke masjid supaya pembedahan yang dijalani anaknya dipermudahkan Tuhan
  • Menghargai budaya dan warisan bangsa kerana menyediakan hidangan tradisional Sarawak seperti pansuh manok, terubuk panggang dan bubur pedas

4) Izzati

  • Anak kepada Waheeda dan Zahid
  • Seorang yang mendengar kata apabila mengikut arahan ibunya untuk menggantung Kain Pua Kumbu Sarawak di pintu masukRestoran dan Kafe Iwani

5) Datin Hazirah

  • Ibu kepada Zahid dan ibu mertua kepada Waheeda
  • Seorang yang penyayng setelah membawa sejambangan bunga dan kad ucapan kononnya daripada Zahid untuk menjaga perasaan menantunya Waheeda

6) Datuk Yasser

  • Bapa kepada Zahid dan suami kepada Datin Hazirah serta berketurunan arab
  • Merupakan usahawan bumiputera yang mengusahakan syarikat pengangkutan dan juga hotel
  • Seorang yang berpengetahuan luas dan bijak kerana gemar membaca khususnya rencana mengenai ekonomi
  • Seorang yang berpandangan jauh apabila mengemukakan idea untuk menggabungkan syarikatnya dan syarikat Waheeda untuk menjadi lebih maju

6) Pak Cik Aziz

  • Seorang yang bijak kerana telah meminta Waheeda untuk mengambil alih perusahaan chaletnya sebelum pihak bank menyita aset perniagaannya

7) Bazilah

  • Seorang yang mempunyai semangat setiakawan apabila membenarkan Waheeda untuk tinggal bersama-sama denganya ketika berada di Singapura

Plot

1) Pengenalan

Waheeda telah melayari satu alamn sesawang berkaitan kecantikan dan pembedahan kosmetik. Di berazam untuk melakukan pembedahan plastik pada wajahnya supaya kelihatan cantik dan bergaya

2) Perkembangan

Satu hari di tempat kerja Waheeda iaitu Chalet Tajau Emas, Monyet belanda telah  menyerang dan mengakibatkan keadaan kelam kabut. Waheeda juga telah diserang dan digigit pada bahagian mukanya. Waheeda telah dibawa ke hospital dan pipi serta hidungnya yang luka telah dijahit oleh doktor. Selepas itu, Waheeda nekad untuk ke Singapura dan menjalani pembedahan hidung dan matanya di Silicon Medical Center (SMC).

3) Perumitan

Doktor yang menjalankan pembedahan ke atas Waheeda telah mengunjunginya di penginapannya sehingga mencetuskan rasa cemburu suaminya. Waheeda yang berbual panjang dan melayani tetamunya telah menimbulkan krisis dalam rumah tangganya bersama Zahid. Beberapa bulan kemudian, Waheeda selamat melahirkan seorang bayi perempuan di Hospital Pakar Normah dan Zahid tidak datang menjenguk bayinya. Malah dia mempertikaikan status anak tersebut dan Waheeda telah meminta suaminya untuk melihat hasil laporan DNA tetapi diendahkan Zahid.

4) Klimaks

Zahid menceraiakn Waheeda dengan talak satu disebabkan faktor cemburu dan sikap curiga. Akibat daripada penceraian tersebut, Waheeda jatuh murung dan meroyan kerana tindakan Zahid dianggap kejam dan dia terlalu mencintai suaminya

5) Peleraian

Ibu dan bapa Waheeda mendapatkan perkhidmatan rawatan dan kaunseling untuk anaknya di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi). Waheeda bersama Ghazi telah mengambil alih Chalet milik Pak Cik Aziz yang terletak di Cameron Highlands. 20 tahun kemudian, Zahid secara kebetulan menginap di chalet Waheeda yang bernama Aya-Sajinah. Zahid meluahkan penyesalannya terhadap Waheeda dan anaknya, Izzati

Teknik Plot

  1. Saspens : Peristiwa apabila Zahid bertemu anak kandungnya Izzati. Pembaca tertanya-tanya apakah penerimaan Zahid terhadap anaknya yang tidak mempunyai ciri-ciri persamaan dengannya
  2. Monolog : Waheeda bermonolog ketika teruja untuk melakukan pembedahan plastik pada wajahnya
  3. Imbas kembali : Waheeda teringat pada kain sarung birunya terbelah sehingga paras peha seperti busana cheongsam kerana mengejar rakan sekolahnya mengejeknya berhidung pesek
  4. Imbas muka : Bazilah berasa gerun ketika membayangkan meja bedah dan alat perkakasan yang lazim digunakan semasa sesi pembedahan dijalankan sewaktu mendengar penerangan tentang prosedur pembedahan dari Dr. Zahari
  5. Dialog : Perbualan antara Waheeda dengan ibunya, Raidah ketika menyampaikan hasrat untuk menjalani pembedahan plastik kepada ibunya

Latar

1) Latar Tempat

  • Chalet Tajau Emas : Tempat Waheeda mengalami kecederaan di muka da hidungnya setelah digigit oleh monyet belanda
  • Rumah Bazilah di Singapura : Waheeda menumpang rumah Bazilah ketika ingin menjalani pembedahan kosmetik
  • Silicon Medical Centre (SMC) : Tempat dimana Waheeda menjalani pembedahan hidung dan pipinya
  • Aya-Sajinah Cameron Hihgland : Chalet yang diusahakan oleh Waheeda selepas mengambil alih daripada Pak Cik Aziz
  • Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur : Waheeda mendapatkan rawatan kaunseling  selepas kemurungan apabila diceraikan oleh Zahid

2) Latar Masa

  • Waktu tengah hari : Waheeda makan tengah hari di sebuah restoran bersama-sama Nurjihan
  • Waktu pagi : Waheeda disorong ke bilik bedah pada hari Rabu, pukul 11.30 pagi untuk menjalani pembedahan plastik pada wajahnya
  • Waktu petang : Waheeda pergi ke Kafe Iwani pada waktu petang dan melihat Lais serta Izzati sedang berbual-bual dengan Zahid

3) Latar Masyarakat

  • Masyarakat yang berani mengambil risiko dalam kehidupan : Waheeda berani membuat pinjaman daripad abank untuk membeli Chalet milik Pak Aziz
  • Masyarakat yang tabah menghadapi dugaan kehidupan : Waheeda cekal meneruskan kehidupan selepas rumah tangganya musnah
  • Masyarakat yang menghargai budaya dan warisan : Waheeda meminta Izzati menggantung Kain Pua Kumbu Sarawak di atas pintu masuk Restoran Iwani dan Kafe Iwani bagi mengekalkan budaya dan warisan pribumi Sarawak
  • Masyarakat yang insaf dengan kesalahan diri : Zahid mengakui kesalahannya dan menangis teresak-esak atas perbuatan lampaunya menceraikan Waheeda tanpa usul periksa.
  • Masyarakat yang bekerja dalam sektor pelancongan : Waheeda, Datuk Yasser, Pak Aziz mengusahakan chalet dan hotel penginapan kepada para pelancong sebagai sumber pendapatan mereka.

Gaya Bahasa

  1. Paradoks : ” ada orang dilahirkan cantik tetapi otak tidak cerdas. Ada orang sempurna wajahnya, kakinya pula tidak cantik. Ada orang tidak cantik tetapi otaknya nombor satu,” kata Waheeda
  2. Hiperbola : “Tudung kepala yang bertaburkan sulaman bunga emas ialah tudung keringkam bertatah benang emas namanya” terang Waheeda
  3. Peribahasa : Senyum kambing, buah fikiran, ulat buku
  4. Personafikasi : ciuman ibu berdecit singgah di pipi
  5. Diksi Melayu Sarawak : kerisit kerumun, bertekul, mereya, jembuk

Nilai 

1) Nilai Gigih : Waheeda berusaha memajukan chaletnya dengan menawarkan pelbagai pakej pelancongan walaupun menerima saingan sengit daripada pengusaha penginapan sekitarnya

2) Nilai Kasih Sayang : Waheeda kemurungan setelah diceraikan suaminya kerana meragui anak kandungnya yang baru dilahirkan

3) Nilai Tanggungjawab : Ibu dan bapa Waheeda telah membawa anak mereka mendapatkan rawatan di Hospital Pusrawi selepas diceraikan oleh Zahid

4) Nilai keberanian : Waheeda telah membuat pinjaman bank apabila ingin mengambil alih chalet baharu bagi memulakan hidup barunya

5) Nilai keinsafan : Zahid mengakui kesalahannya terhadap salah laku pada masa dahulu menceraikan Waheeda secara terburu-buru dan cemburu buta

Pengajaran 

1) Kita hendaklah mensyukuri ke atas nikmat yang dikurniakan Tuhan kerana melahirkan kita dalam pelbagai rupa dan bentuk. Hal ini kerana kecantikan rupa paras tidak akan kekal selama-lamanya

2) Kita wajar berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya. Waheeda yang mengusahakan pelabagi inisiatif bagi mengembangkan perniagaan chaletnya wajar dicontohi

3) Kita hendaklah bersikap sabar dan menyiasat dahulu dengan teliti jika meragui sesuatu perkara. Hal ini kerana jika kita silap, akibatnya nanti kita yang akan menanggung penyesalan

Soalan

1) Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan satu watak yang anda fikir sesuai untuk dicontohi oleh pembaca daripada novel tersebut.

Berdasarkan novel yang saya kaji iaitu novel Tirani karya beb Sabariah, watak yang boleh dicontohi adalah watak utama iaitu Waheeda.

Salah satu perwatakannya adalah seorang yang berazam tinggi. Beliau berusaha sedaya upaya untuk mengembangkan sebuah pusat peranginan setelah tamat pengajian di universiti.

Perwatakan lain adalah Waheeda seorang yang bijaksana kerana apabila suaminya meragui status anak kandungannya, dia meminta bantuan rakannya untuk melakukan ujian DNA.

Akhir sekali, perwatakan yang boleh dicontohi dariupada Waheeda adalah seorang yang tabah menghadapi dugaan. Setelah diceraikan oleh suaminya, Waheeda berdikari menguruskan sebuah chalet di Cameron Highlands dan membesarkan anaknya Izzati.

2) Bahagian peleraian sesebuah cerita pasti diakhiri dengan kejayaan. Jelaskan dua peristiwa yang membuktikan kejayaan tersebut dalam novel yang anda kaji

Novel karya Beb Zabariah adalah novel yang telah saya kaji. Saya dapati peristiwa Zahid menangis teresak-esak apabila diberitahu bahawa Izzati adalah anak kandungnya menjadi titik kejayaan apabila menemui kembali bekas isterinya Waheeda dan berasa kesal. Peristiwa ini menunjukkan kejayaan Waheeda menegakkan kebenaran yang selama ini tersimpan

Peristiwa lain adalah kejayaan Waheeda dan Ghazi membeli dan mengusahakan Chalet milik Pak Aziz. Chalet yang terletak di Cameron Highlands itu ditukar nama kepada Aya Sajinah dan berjaya menarik ramai pengunjung termasuk Zahid dan Aiman.

3) Huraikan dua teknik plot yang telah digunakan oleh pengarang dalam novel yang anda kaji

Berdasarkan novel yang saya kaji iaitu Tirani karya Beb Zabariah, terdapat beberapa teknik plot antaranya adalah teknik pemerian. Pengarang telah memerihalkan upacara menyarungkan cincin perkahwinan pengantin lelaki di jari pengantin perempuan

Selain itu, teknik imbas muka juga telah digunakan dalam novel ini. Misalnya Waheeda membayangkan suasana mesra yang wujud ketika kakitangan di Chalet Tajau Emas belajar menganyam kelongsong ketupat lepas daripada ibunya ketika membaca e-mel daripada Fatimah

4) Untuk mengembangkan sesebuah cerita, konflik merupakan satu teknik penceritaan yang digunakan. Huraikan dua konflik yang dihadapi oleh watak utama dalam novel yang anda pelajari.

Saya telah mempelajari Novel Tirani, karya Beb Sabariah. Antara konflik yang dihadapi oleh watak utama iaitu Waheeda ialah apabila suaminya Zahid mempersoalkan raut wajah anak mereka yang tidak sama dan status anak tersebut. Waheeda pula telah melakukan ujian DNA bagi membuktikan kesahihan anak kandung mereka tetapi Zahid tetap berasa cemburu buta dan menceraikan Waheeda. Konflik ini telah meruntuhkan rumah tangga mereka.

Konflik lain yang dihadapi oleh watak utama ialah apabila dia ingin melakukan pembedahan plastik pada hidungnya yang pesek tetapi ditentang oleh bapanya. Bapanya menjelaskan bahawa perbuatan tersebut menyalahi hukum agama tetapi Waheeda tidak mempedulikan nasihat tersebut dan tetap meneruskan pembedahan plastik di Singapura

5) Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan tiga latar tempat yang diceritakan dalam novel tersebut

Berdasarkan novel yang saya kaji iaitu novel Tirani, karya Beb Sabariah terdapat banyak latar tempat yang diceritakan. Antaranya adalah Chalet Tajau Emas, tempat di mana Waheeda mula bekerja selepas tamat pengajian dan dia telah diserang oleh monyet belanda

Latar tempat lain yang diceritakan adalah Silicon Medical Centre, Singapura. Hospital ini merupakan tempat di mana Waheeda menjalani pembedahan plastik pada hidung dan matanya. Pembedahan tersebut dijalankan oleh Dr. Shirrim Ghazizadeh dan Dr. Rushdi

Akhir sekali, latar tempat yang diceritakan dalam Novel adalah Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur. Waheeda telah dibawa oleh ibu dan bapanya untuk mendapatkan rawatan dan kaunseling selepas kemurungan kerana diceraikan oleh Zahid sejurus sahaja melahirkan anak pertama mereka.

Semoga perkongsian berkenaan Novel Tirani : Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran membantu pelajar untuk mengulang kaji pelajaran dan menghadapi peperiksaan.

Related : halloway dan dr rushdi, flamingo resort,