Novel Silir Daksina : Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak, Nilai. Nota komsas form 5 meliputi pengajaran, plot, latar, konflik & Perwatakan.

Novel Silir Daksina : Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak, Nilai

novel silir diksina tema persoalan nilai pengajaran koleksi soalan

Perhatian kepada pelajar Tingkatan 5 yang berada di Wilayah Persekutuan Labuan, negeri Sabah, Sarawak dan Johor. Sudahkah anda membuat rujukan nota bagi komponen sastera Bahasa Melayu? Jika belum, sila rujuk perkongsian nota Novel Silir Daksina : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai yang dikongsikan di bawah.

Penulis novel ini menampilkan watak remaja yang unggul serta mempunyai jati diri yang tinggi dan berakhlak mulia. Ciri-ciri mewajarkan pemilihannya untuk memenangi temapat kedua hadiah sastera Utusan-Exxon Mobil tahun 2009 dan menjadi novel rujukan KOMSAS Tingkatan 5. Tambahan pula, cerita mengenai seni tarian zapin dan integrasi antara kaum merupakan nilai tambah kepada pembaca terutamanya pelajar di sekolah.

Nota Novel Silir Daksina : Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak, Plot, Latar & Nilai

Sebagai rujukan, dibawah dikongsikan nota berkenaan Novel Silir Daksina : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai dan pengajaran. Selain itu, terdapat juga nota untuk watak dan perwatakan, plot serta contoh soalan-soalan.

Tema

Novel Silir Diksina mengetengahkan tema pengorbanan dalam memperjuangkan kebudayaan dan kesusasteraan.

Persoalan

1) Persoalan seorang anak yang ingin menjejaki kehidupan ayah kandungnya yang telah meninggal dunia

  • Haiqal yang berusaha untuk menjejaki sejarah kehidupan ayah kandungnya selepas mendapat kiriman manuskrip yang dikirim oleh Ong See Hwa

2) Persoalan kasih sayang ibu dan bapa terhadap anak-anak

  • Abduillah Kayan merindui anaknya setelah dipisahkan oleh bekas isterinya sehingga menghasilkan manuskrip kepada anaknya. Umi datang ke Kampung Seri Purnama untuk melihat persembahan zapin oleh Haiqal

3) Persoalan masyarakat yang bekerjasama walaupun berbeza kaum dan agama

  •  Haiqal, Tauke Lim dan penduduk kampung yang lain bekerjasama menjayakan persembahan zapin

4) Persoalan kegigihan dalam kehidupan

  • Tauke Lim yang datang ke Kampung Seri Purnama gigih bekerja menoreh getah diwaktu pagi dan menjual pinang di waktu petang untuk menampung kehidupan keluarganya yang susah

5) Persoalan semangat setia kawan dalam persahabatan

  • Haiqal menenangkan Ratna yang menangis dan bersedih setelah mendapat keputusan SPM yang tidak begitu cemerlang

Sinopsis

Haiqal yang merupakan watak utama di dalam novel Silir Diksina ini, telah menerima sebuah manuskrip lama yang mengandungi hasi penulisan ayah kandungnya. Haiqal kini menetap di Kuala Terengganu bersama Umi dan Walid iaitu ayah tirinya serta adik tirinya. Teruja dengan manuskrip tersebut, Haiqal tekad untuk menjejaki bapa kandungnya di Batu Pahat, Johor walaupun ayahnya telah meninggal dunia.

Umi melarang Haiqal untuk ke Batu Pahat Johor kerana hubungannya bersama ayah kandung Haiqal tidak bahagia. Umi telah membawa haiqal ke Kuala terengganu dan meninggalkan suaminya Abdullah Bin Kayan tinggal kesepian di Johor. Walaubagaimanapun, Haiqal telah membuat keputusan untuk ke Batu Pahat, Johor.

Setibanya Haiqal di Kampung Seri Purnama, dia disambut mesra oleh penduduk kampung. Dia mendapati ayah kandungnya merupakan seorang yang sangat disegani oleh penduduk kampung dan sedikit sebanyak membantu Haiqal untuk mengetahui cerita mengenai ayahnya. Seorang penggiat aktiviti kebudayaan yang mencintai sastera dan telah memperkenalkan tarian zapin kepada penduduk kampung. Ayah Haiqal juga seorang guru yang aktif menulis sehingga mewujudkan aksaara di kampungnya

Haiqal telah membuat persembahan zapin D’Purnama dan berpasangan dengan See Hwa. Dia terharu kerana umi, walid dan adik tirinya hadir memberi sokongan dan penduduk kampung juga berasa terharu kerana terkenang arwah Abdullah Kayan. Dendam uminya terhadap Abdullah Kayan lebur dan telah menziarahi kuburnya untuk mengaku kesilapan memisahkan anaknya daripada bapanya. Setelah menetap beberapa bulan di Kampung Seri Purnama, Haiqal melanjutkan pelajaran dalam bidang keguruan di sebuah universiti di Sarawak.

Watak dan Perwatakan

1) Haiqal

  • Watak utama dan merupakan anak kandung kepada Umi dan Abdullah Kayan
  • Merupakan seorang remaja yang mempunyai bakat dalam bidang seni kerana memenangi pertandingan mendeklamasikan puisi dan menulis sajak
  • Seorang yang taat pada perintah agama apabila menunaikan solat Subuh sebaik tiba di stesen bas Batu Pahat
  • Seorang yang penyayang kerana umi, walid dan adik tirinya turun ke Batu Pahat Johor untuk melihat dia mempersembahkan tarian zapin

2) Umi/ Rafiqah 

  • Ibu kepada Haiqal dan telah bercerai dengan bapa kandung Haiqal, Abdullah Kayan
  • Mengusahakan kedai batik di Pasar Payang, Kuala Terengganu
  • Seorang yang ego dengan perasaanya kerana tidak suka atau menghargai bakat seni bekas suaminya
  • Seorang yang penyayang sehingga tidak membenarkan ayah kamdung Haiqal untuk menjaga anaknya itu

3) Abdullah Kayan/ Cikgu Zam/ Amirulnizam

  • Bapa kandung haiqal
  • Merupakan seorang guru yang aktif dalam menggiatkan seni budaya di Kampung Seri Purnama, Batu Pahat, Johor
  • Seorang yang terlalu mencintai sastera sehingga sanggup berpisah daripada isterinya berbanding bidang sastera
  • Seorang yang penyayang kerana merindui anak kandungnya Haiqal

4) Ong See Hwa/ Ai Ling

  • Anak kepada Tauke Lim
  • Seorang yang fasih berbahasa Melayu walaupun berbangsa Cina
  • Seorang yang pandai mendeklamasikan puisi kerana pernah memenangi pertandingan mendeklamasikan sajak semasa di sekolah rendah
  • Seorang yang pandai memasak kerana gemar memasak makanan yang pedas

5) Tauke Lim/ Tauke Ong

  • Bapa kepada See Hwa dan melakukan dua kerja iaitu menoreh getah di waktu pagi dan menjual pisang dan pinang pada waktu petang
  • Seorang yang jujur dan amanah kerana menguruskan harta peninggalan ayah Haiqal dengan baik
  • Seorang yang murah hati kerana suka membelanja rakan di warung setelah menerima bantuan daripada mereka

Plot

1) Permulaan

Haiqal, seorang remaja yang menetap di Kuala Terengganu telah menerima sebuah manuskrip lama daripada pengirim bernama Ong See Hwa dari Johor. Haiqal mendapati kisah yang terdapat dalam manuskrip tersebut seakan-akan benar berlaku dan menceritakan kisah hidup arwah ayahnya, Abdullah Bin Kayan. Haiqal bertekad untuk menjejaki warisan ayahnya di Batu Pahat Johor walaupun ditentang oleh ibunya.

2) Perkembangan

Setibanya di Kampung Seri Purnama, Haiqal telah disambut baik oleh penduduk kampung terutamanya Tauke Lim. Haiqal juga turut mengenali anak Tauke Lim iaitu Ong See Hwa yang mempunyai perwatakan mirip dengan watak Ai Ling dalam manuskrip yang diterimanya. Lazim dan Ong See Hwa telah menunjukkan kisah hidup Abdullah Bin Kayan kepada Haiqal melalui pameran di balai raya lama. Haiqal mendapati bahawa arwah bapanya merupakan seorang yang terkenal dalam bidang seni dan sastera malah diiktiraf oleh kerajaan negeri.

3) Perumitan

Penduduk kampung seperti Pak Cik Bakar, Haji Salim dan Tauke Lim berharap supaya Haiqal mengembalikan kegemilangan kegiatan budaya terutamanya tarian zapin di kampung mereka. Haiqal dilihat mempunyai semangat kepimpinan yang mirip dengan ayahnya. Oleh kerana tidak ingin mengecewakan mereka yang telah melayan kehadirannya dengan baik, Haiqal dan penggiat tarian zapin yang lain bersepakat untuk mengadakan persembahan tarian zapin.

4) Klimaks

Lazim telah ditimpa kemalangan ketika hari persembahan zapin dan dia sepatutnya menjadi pasangan kepada Haiqal. Pada saat akhir, Ong See Hwa menggantikan Lazim pada saat akhir. Sebilangan penduduk kampung berasa terharu kerana terkenang arwah Abdullah bin Kayan. Umi, walid dan adik tirinya turut hadir menyaksikan persembahan zapin tersebut. Umi juga telah menziarahi kubur Abdullah Kayan dan mengakui kesilapannya memisahkan Haiqal daripada ayah kandungnya.

5) Peleraian

Haiqal telah meninggalkan Kampung Seri Purnama kerana mendapat tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang keguruan di sebuah universiti di Sarawak.

Teknik plot

  1. Imbas Kembali : Tauke Lim memberitahu ayah Haiqal memberi manuskrip kepada Swee Hwa dua hari sebelum ayah Haiqal meninggal dunia untuk diserahkan kepada Haiqal apabila dia dewasa
  2. Pemerian : Pengarang novel menceritakan keadaan di kawasan Pantai Batu Buruk yang terdapat gerai-gerai yang dibina dengan tersusun. Alunan ombak yang gemersik seakan-akan memanggil-manggil para pengunjung agar memijakkan kaki di pantai yang mulus itu
  3. Monolog : Haiqal yang berkata dalam hatinya apabila mendengar cerita Ong See Hwa tentang kepandaian ayahnya memasak terutama ikan haruan yang menjadi kegemaran See Hwa.
  4. Dialog : Perbualan antara cikgu Amirulnizam dengan cikgu Latifah di bilik guru, “budak-budak sekelah ni terlalu dimanjakan. Zaman kita dulu kalau buat kerja macam ni, kalau tak rotan berbekas di tapak tangan, penampar singgah di muka. Apalah nak jadi”
  5. Saspens : peristiwa Haiqal ke Batu Pahat, Johor yang merupakan kali pertamanya dan seorang diri

Latar

1) Latar tempat

  • Kuala Terengganu : Rumah Umi dan Walid
  • Stesen Bas Batu Pahat : Haiqal tiba di stesen bas Batu Pahat dari Terengganu untuk menjejaki kampung ayahnya
  • Kampung Seri Purnama : Kampung asal Haiqal dan rumah ayah kandungnya
  • Balai Raya Kampung Seri Purnama : Tempat dimana Haiqal mendapat tahu tentang latar belakang ayah kandungnya kerana terdapat simpanan album, novel dan bahan sastera milik ayah Haiqal
  • Pusara Abdullah Kayan : Haiqal telah menziarahi arawah bapanya dan membacakan yasin serta doa agar ayahnya ditempatkan di sisi orang yang baik-baik

2) Latar masa

  • Petang : peristiwa dimana Haiqal teringat dia hampir terlanggar seorang budak kecil
  • Malam : Cikgu Zam berbual-bual semasa tamat laihan zapin
  • Pagi : Tauke Lim dan isterinya keluar menoreh getah
  • Lapan belas tahun : Tempoh Tauke Lim menetap di Kampung Seri Purnama

3) Latar masyarakat

  • Masyarakat yang cinta akan sastera, seni dan budaya bangsa : Cikgu Zam, Pak Cik Bakar dan Haji Salim menggiatkan diri dalam seni tari zapin bagi memperkasa seni warisan tersebut
  • Masyarakat yang berniaga dengan gigih : Umi, ibu kepada Haiqal mengusahakan kilang dan butik batik di Kuala Terengganu
  • Masyarakat yang hidup berbilang kaum dan agama : Tauke Lim dan Pak Cik Bakar serta semua penduduk Kampung Seri Purnama hidup harmoni dan sejahtera walaupun berbeza kaum dan agama

Gaya bahasa

  1. Peribahasa : Alah bisa tegal biasa
  2. Simpulan bahasa : mereka berdua berdiri di gigi pantai
  3. Personafikasi : Pantai Batu buruk pastinya tersenyum, Aku damai melihat ombak yang membelai pantai
  4. Simile : Jantungnya berdegup kencang seperti injap kereta yang menderum
  5. Perlambangan : Haiqal melambangkan kehidupan ibu bapanya : Ada ketikanya ombak lembut mengelus-ngelus pantai, penuh kasih sayang. Namun, adakalanya mereka juga bertengkar. Ombak yang mengganas, seolah-olah ingin melenyapkan pantai
  6. Metafora : apa yang pasti karya sasteraku seperti kehilangan rohnya
  7. Bahasa asing : Sentimental, omong kosong, mendiang

Nilai

1) Nilai menghargai seni dan budaya : Haiqal membuat persembahan zapin sebagai salah satu cara memperkasa warisan arwah bapa kandungnya dan juga warisan bangsa

2) Nilai kegigihan : Tauke Lim berusaha bekerja di Kampung Seri Purnama sehingga mampu memiliki sebidang tanah untuk membina rumahnya

3) Nilai budi bahasa : See Hwa melayani Haiqal dengan penuh budi bahasa yang tiba berseorangan di Kampung Seri Purnama

4) Nilai setiakawan : Haiqal berkawan baik dengan Ratna dan mereka saling menasihati antara satu sama lain

5) Nilai kasih sayang : Umi Haiqal yang pada mulanya melarang Haiqal untuk ke Johor telah menghadiri persembahan zapin Haiqal kerana menyayangi anaknya

Pengajaran 

1) Kita seharusnya menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita dengan sebaiknya. See Hwa telah memberikan manuskrip milik Abdullah Kayan kepada Haiqal walaupun dia menyayangi manuskrip tersebut

2) Kita hendaklah menghargai seni dan budaya warisan kita. Haiqal membuat persembahan zapin sebagai satu penghargaan kepada arwah ayah kandungnya yang memelihara seni tarian tersebut kepada penduduk kampung

3) Kita perlu gigih menghadapi ujian dalam kehidupan. Tauke Lim bekerja lebih dari satu pekerjaan untuk menampung keperluan keluarganya.

4) Kita seharusnya mengakui kesilapan yang dilakukan dan memaafkan kesalahan orang lain. Ibu Haiqal yang pada mulanya melarang anaknya untuk menjejaki ayah kandungnya telah mengakui kesilapannya dan menziarahi kubur Abdullah Kayan untuk meluahkan penyesalannya.

5) Kita sewajarnya menghargai persahabatan yang terjalin. Haiqal dan Ratna yang berkawan baik dan saling menasihati antara satu sama lain menghargai persahabatan mereka.

Koleksi Soalan

Di bawah adalah contoh soalan dan jawapan yang lazimnya dikeluarkan berkaitan dengan novel Silir Diksina untuk rujukan semua

1) Berdasarkan novel yang anda kaji, apakah kesan positif yang memberikan teladan kepada pembaca?

Pada tingkatan 5, saya telah mengkaji Novel Silir Diksina karya Nizar Parman. banyak peristiwa yang memberikan teladan kepada pembaca antaranya adalah peristiwa Cikgu Zam yang menghidupkan kembali kumpulan zapin D’Purnama bersama penduduk kampung. Kesannya kegiatan budaya dan sastera dalam kalangan penduduk kampung kembali aktif dan mengembangkan warisan seni dan budaya kita.

Kesan positif yang yang akan diperoleh pembaca adalah peristiwa Cikgu Zam memberikan pertolongan kepada Tauke Lim. Tauke LIm yang beru berpindah ke kampung tersebut mengambil upah menoreh getah di kebun ayah Cikgu Zam dan kini berjaya mengubah kehidupan keluarganya yang susah dahulu.

Akhir sekali, peristiwa yang meninggalkan teladan dan kesan positif kepada pembaca adalah Haiqal yang menunaikan solat Subuh apabila sampai di Stesen Bas Batu Pahat. Walaupun dalam keadaan bermusafir, Haiqal tetap melakukan perintah agama dengan menunaikan solat lima waktu

2) Huraikan konflik yang dihadapi oleh watak utama dalam novel yang anda kaji

Berdasarkan novel yang saya kaji iaitu Novel Silir Diksina karya Nizar Parman, watak utama menghadapi pelbagai konflik. Antaranya adalah apabila dia mendapat sebuah kiriman manuskrip daripada ayah kandungnya. menerusi manuskrip tersebut, dia mendapati ayahnya hidup dalam kesunyian dan kesedihan kerana berpisah dengan orang yang tersayang. Dia merasa amat rindu kepada arwah ayahnya tetapi takut mengguris hati uminya. Akhirnya, Haiqal memberitahu keinginannya untuk menjejaki arwah ayahnya di Johor kepada uminya dan telah ditentang kehendaknya

3) Jelaskan latar masyarakat yang dipamerkan dalam novel yang telah anda pelajari?

Novel Silir Diksina karya Nizar Parman merupakan novel yang telah saya kaji. Antara latar masyarakat yang diceritakan adalah masyarakat yang cinta akan seni warisan dan budaya bangsa. Latar ini ditunjukkan oleh Abdullah Kayan dan penduduk Kampung Seri Purnama yang memperkasa tarian zapin dalam kalangan mereka.

Selain itu, latar masyarakat yang ditonjolkan adalah masyarakat yang hidup harmoni walaupun berbeza bangsa dan agama. Penduduk Kampung Seri Purnama menunjukkan perpaduan antara mereka untuk mempergiat aktiviti kebudayaan dan juga perayaan seperti kemerdekaan

Akhir sekali, latar masyarakat yang terdapat dalam novel yang saya kaji adalah masyarakat yang berniaga. Tauke Lim yang berniaga pisang dan pinang di pekan serta Umi Haiqal yang menguruskan perusahaan batik di Kuala Terengganu sebagai punca rezeki.

4) Nyatakan tiga gaya bahasa yang terdapat dalam novel yang anda pelajari

Berdasarkan novel yang telah saya kaji iaitu novel Silir Diksina karya Nizar Parman, terdapat banyak gaya bahasa yang digunakan oleh pengarang. Antaranya adalah bahasa asing seperti sentimental dan omong kosong. Selain itu, peribahasa juga terdapat dalam novel ini seperti alah bisa, tegal biasa. Akhir sekali, gaya bahasa yang digunakan dalam novel Silir Diksina adalah personafikasi. Contohnya, Pantai Batu Buruk pastinya tersenyum.

5) Berdasarkan novel yang anda kaji, apakah nilai yang diperoleh dan sertakan contoh peristiwa yang berkaitan dengan nilai tersebut

Berdasarkan novel yang telah saya pelajari iaitu novel SDilir Diksina karya Nizar Parman, banyak nilai yang kita peroleh. Antaranya adalah nilai kasih sayang. Contohnya, kasih sayang antara Abdullah Kayan terhadap anaknya walaupun telah dipisahkan, dia tetap merindui anaknya dan menghasilkan sebuah manuskrip untuk bacaan anaknya. Nilai lain adalah nilai budi bahasa. Apabila Haiqal tiba di kampung Seri Purnama, dia dilayani dengan penuh budi dan bahasa daripada See Hwa dan Ratna walaupun baru berkenalan. Akhir sekali, nilai yang terdapat dalam novel ini adalah nilai kegigihan. Haiqal menunjukkan kegigihannya menjejaki kisah ayah kandungnya dan seterusnya menyemarakkan warisan yang ditinggalkan oleh ayahnya.

Diharapkan perkongsian mengenai Novel Silir Daksina : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai memudahkan anda untuk mengulangkaji.