Novel Jendela Menghadap Jalan : Sinopsis, Tema, Persoalan. Nota dan soalan beserta Sinopsis, kupasan ulasan ikut bab Komsas bagi Tingkatan 4.

Novel Jendela Menghadap Jalan : Sinopsis, Tema, Persoalan

Novel Jendela Menghadap Jalan Sinopsis Tema Persoalan Nilai Pengajaran

Pelajar Tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pastinya memerlukan bahan untuk mengulangkaji pelajaran. Lebih-lebih lagi, dalam matapelajaran Bahasa Melayu yang mempunyai penulisan karangan dan juga Komponen Sastera atau (KOMSAS). Di bawah dikongsikan nota yang berkaitan Novel Jendela Menghadap Jalan : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran untuk rujukan semua.

Novel ini merupakan karya penulisan Ruhaini Matdarin yang berasal daripada Kota Kinabalu, Sabah. Beliau merupakan graduan Sarjana Pengurusan Kewangan dan telah berkhidmat sebagai juruaudit sebelum berhenti untuk bekerja secara sendiri untuk menulis karya-karya penulisan yang lain pada tahun 2016. Hasil penulisan novel ini juga beliau telah menjadi pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan pada tahun 2010 dalam ketegori novel remaja.

Nota Novel Jendela Menghadap Jalan : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran

Kepada pelajar yang mencari rujukan untuk Novel Komsas bagi Tingkatan 4 untuk tajuk di atas meliputi Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran ikuti perkongsian berikut. Turut dirangkumkan adalah contoh-contoh soalan beserta jawapan sebagai panduan.

Tema

Novel ini menceritakan tentang perihal yang berlaku dalam sesebuah masyarakat dan penyelesaian kepada masalah tersebut adalah dengan muafakat dan nilai-nilai murni.

Persoalan

1) Persoalan kasih sayang seorang anak terhadap keluarganya

  • Lili yang enggan untuk menghabiskan cuti sekolah di kampungnya hanya menurut permintaan ibunya

2) Persoalan masyarakat yang masih mengamalkan perubatan tradisional

  • Datuk Lili, Haji Abdul Rahman merupakan pengamal perubatan tradisional dan pernah merawat ibu Geetha, Letchumi

3) Persoalan masyarakat yang suka menyebarkan fitnah atau berita palsu

  • Orang kampung menyebarkan cerita kubah surau telah dilarikan oleh anak-anak Che Jah yang sebelum ini sering terlibat dengan masalah sosial

4) Persoalan keganasan rumah tangga dalam masyarakat

  • Che Jah dan anak-anaknya sering dipukul oleh suaminya, Seman yang panas baran, kaki judi dan pemabuk

5) Persoalan masyarakat yang prihatin terhadap sesuatu masalah

  • Lili yang prihatin terhadap nasib Che Jah telah membantu Che Jah untuk mendapatkan bantuan daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat

Sinopsis

Novel ini dimulakan dengan kisah Lili yang berat hati untuk pulang bercuti ke kampung datuk dan nenek kerana mahu memanfaatkan cuti sekolah terakhirnya bersama rakan-rakan. tetapi demi menjaga hati ibunya, Lili akur dan pulang ke kampung. Dalam perjalanan pulang ke kampung, Lili bertemu dengan Geetha dan Danel di dalam bas. Tanpa sedar, mereka berkongsi kisah-kisah kehidupan penduduk kampung kepada Lili. Datuk Lili enggan menjawab pertanyaan Lili berkenaan corak dan binaan jendela kampungnya. Lili mula tertarik dengan suasana kampung yang bertentangan dengan gaya hidup di bandar.

Datuk Lili merupakan pengamal rawatan tradisional telah memanjangkan pertemuan Lili dengan Danel dan Geetha. Ibu Geetha dan Bapa Danel telah lama menggunakan khidmat datuk Lili. Sejak hari pertama tiba di kampung, Lili disambut dengan isu memasang kubah surau dan pembinaan masjid dalam kalangan penduduk kampung. Lili juga mendengar tentang isu anak-anak Che Jah yang terlibat dengan penyalah gunaan dadah serta gemar mencuri. Lili memikirkan tentang masalah yang dihadapi Kampung Sentosa dan menyuarakannya kepada nenek tetapi neneknya selalau meminta agar jangan masuk campur hal-hal orang dewasa.

Semasa pulang dari pekan, Lili telah diculik oleh Rafik dan Haziq yang merupakan anak Che Jah. Lili telah berjaya diselamatkan oleh Danel. Lili tidak marah sebaliknya bersimpati dengan keluarga Che Jah dan sikap keterbukaan Lili berjaya mengubah pendirian datuk dan neneknya untuk mula mengambil berat denagn keadaan sekeliling. Cuti ini bermakna kepada Lili kerana pandangannya diterima oleh datuk dan orang-orang kampung yang lebih dewasa untuk membantu keluarga Che Jah mendapatkan pengadilan dari segi undang-undang dan isu pemasangan kubah surau.

Lili, Geetha dan Danel menghabiskan sisa cuti mereka di kampung dengan menikmati suasana matahari terbit. Lili enggan pulang ke rumahnya kerana gembira dengan pengalaman yang dihadapi. Begitu juga dengan neneknya yang mulai bercerita tentang jendela menghadap jalan. Setelah berpisah, Danel menulis surat kepada Lili dan menceritakan tentang Geetha dan rencana-rencana tentang pisang yang ditulisnya

Watak dan perwatakan

1) Lili

  • Cucu kepada Haji Abdul Rahman dan hajah Aisyah Tan Abdullah
  • Pelajar Sekolah Menengah
  • Mudah untuk berkawan dan seorang peramah sepertimana dia berkawan dengan Danel dan Gheeta
  • Bersifat prihatin dan empati terhadap keluarga Che Jah dan Rafiq dan Haziq yang bermasalah

2) Datuk (Haji Abdul Rahman)

  • Datuk kepada Lili
  • Pengamal perubatan tradisional berunsurkan akar kayu dan herba
  • Seorang yang taat dengan perintah Tuhan kerana rajin beribadah
  • Berjaya menyembuhkan Letchumi merupakan ibu kepada Gheeta yang sakit sebelum ini
  • Menjadi sumber rujukan penduduk kampung apabila terdapat masalah kesihatan

3) Nenek (Hajah Aisyah Tan Abdullah)

  • Nenek kepada Lili
  • Soerang yang kurang yakin dengan ubat tradisional datuk tetapi mempercayai pantang larang seperti terbalikkan semua cermin untuk terbalikkan mata kilat

4) Danel

  • Anak kepada William
  • Seorang yang berterus terang dengan memperjelaskan isu pembinaan Kubah Surau dan kebaikan rawatan kesihatan moden
  • Seorang yang baik hati kerana menyelamatkan Lili daripada diculik

5) Geetha

  • Kenalan kepada Lili di dalam bas sewaktu perjalanan ke Dungun, Terengganu
  • Anak kepada Letchumi yang merupakan pesakit yang dirawat oleh Datuk Lili

6) Ibu Lili

  • Ibu kepada Lili
  • Seorang yang cemerlang dalam pelajaran dan melanjutkan pelajaran keluar negara
  • Kurang mendalami ilmu Agama akibat kecuaian Datuk Lili

Plot

Permulaan

Lili pulang ke kampung datuknya dengan menaiki bas di Dungun, Terengganu. Lili tidak gembira dengan percutiannya tetapi mengikut sahaja kehendak ibunya. Lili telah bertemu dengan Danel dan Geetha dalam bas yang menuju ke destinasi yang sama. Rumah datuk dan nenek Lili di Kampung Sentosa sungguh nyaman, cantik dan dipenuhi dengan bendang.

Perkembangan

Setibanya di kampung, Lili menemui neneknya sedang menyemai benih padi di petak semaian. Nenek memberitahu Lili bahawa datuknya ke surau. Lili tekun menunggu datuknya pulang dan kemudian mendengar cerita oleh datuknya tentang kepentingan susunan rumah dan jendela menghadap jalan. Beliau juga bercerita tentang rawatan penyakit secara tradisional.

Konflik

Datuk Lili mengimbau kisah silam tentang kecuaian mendidik Ibu Lili dengan sempurna kerana walaupun cemerlang dalam pelajaran tetapi jarang pulang ke kampung. Datuk Lili juga berhadapan dengan kekecohan yang berlaku surau kerana terdapat kedatangan pemaju perumahan untuk mendapatkan tanah. Selain itu, Datuk Lili berkecil hati dengan Danel yang seolah-olah mempertikaikan kemampuan rawatan tradisional berbanding rawatan moden. Lili telah diculik oleh Rafiq dan Haziq tetapi berjaya diselamatkan oleh Danel

Klimaks

Che Jah menceritakan kejadian malangnya kepada dua orang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat tentang keganasan rumah tangga. Dia juga bersetuju jika suaminya dibawa ke muka pengadilan kerana melarikan Kubah Surau. Lili juga mencadangkan Haziq dan Rafiq dihantar ke pusat pemulihan akhlak dan cadangannya dipersetujui oleh Kak Mimah

Peleraian

Che Jah berjaya untuk membuat laporan polis berhubung kes keganasan rumah tangga. Datuk Lili pula bersikap rasional dan tidak melatah dengan semua tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Sugi, abang kandung kepada Danel tidak terlibat dengan wakil pemaju perumahan yang memujuk orang kampung untuk menjual tanah mereka. Lili dan Danel berasa amat gembira kerana suara mereka didengari oleh orang kampung yang dewasa. Nenek menceritakan kepada Lili sebab mengapa jendela dibina menghadap jalan. Danel menulis surat kepada Lili dan Lili tidak sabar untuk kembali ke Kampung Sentosa

Latar

Latar Tempat

  • Dungun : Daerah asal datuk, nenek dan ibu Lili
  • Pekan Sejahtera : Tempat tinggal Geetha
  • Kampung Sentosa : Tempat tinggal datuk dan nenek Lili
  • Kedai Runcit Ah Kwan : Kedai Lili membeli barangan dapur berhampiran kampungnya
  • Balai Raya : Tempat penduduk kampung berkumpul bagi menyelesaikan masalah pembelian tanah orang kampung oleh

Latar Masa

  • Waktu pagi : Lili meminta izin daripada nenek untuk keluar melihat Kubah Surau
  • Waktu maghrib : Menjelang waktu Isyak, Lili melihat melalui jendela sebuah lori membawa kubah di puncaknya terdapat Bulan Sabit
  • Musim cuti sekolah : Tempoh Lili pulang ke kampung datuk dan neneknya

Latar Masyarakat

  • Masyarakat yang mempercayai rawatan kesihatan tradisional : Datuk Lili iaitu Haji Abdul Rahman merupakan pengamal perubatan tradisional menggunakan herba dan pernah merawat ibu Geetha, Letchumi
  • Masyarakat yang mempunyai masalah dalam institusi kekeluargaan : Suami kepada Che Jah suka berjudi, berhutang, menipu dan memarahi isteri dan anak-anaknya. Kesannya anak-anak Che Jah juga terpengaruh untuk melakukan masalah-masalah sosial
  • Masyarakat yang prihatin : Lili yang prihatin dengan nasib keluarga Che Jah dan meminta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu Che Jah.

Gaya Bahasa

  1. Inversi : Tidak berapa lama kemudian dia pun terlena
  2. Peribahasa : menjaga tepi kain orang dan biar lambat asalkan selamat
  3. Metafora : garis kebimbangan, perut bas ekspres
  4. Simile : kencang, seperti nafas orang diserang asma
  5. Personafikasi : jauh di sudut hatiku terpancar nilai-nilai seni yang sengaja dirumitkan, dan tidak tumpah ke pipinya

Nilai

1) Nilai Kasih Sayang : Datuk dan Nenek yang melayan Lili dengan baik walaupun ibunya tidak mendengar nasihat datuk dan neneknya

2) Nilai Prihatin : Lili prihatin dengan nasib yang menimpa Che Jah apabila anak-anaknya terlibat dengan masalah sosial dan suaminya yang bermasalah

3) Nilai Baik Hati : Danel yang menyelamatkan Lili daripada diculik oleh Rafiq dan Haziq

4) Nilai Jati Diri : Haji Abdul Rahman kekal mengamalkan perubatan tradisional sebagai alternatif kepada pesakit yang memerlukan perkhidmatannya

5) Nilai Tanggungjawab : Penduduk Kampung Sentosa bergotong royong membantu menyelesaikan masalah kubah surau

Pengajaran

1) Kita seharusnya taat dan mendengar nasihat daripada ibu dan bapa kita : Lili yang akur dengan suruhan ibunya untuk pulang bercuti ke kampung mereka di DUngun, Terengganu

2) Kita mestilah prihatin dengan masalah yang melanda ahli keluarga dan juga masyarakat : Lili yang prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh Che Jah dan membantunya dengan pertolongan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat

3) Kita perlu bertindak berani dalam menghadapi cabaran hidup : Danel memberanikan diri untuk menyelamatkan Lili yang diculik oleh Haziq dan Rafiq

Koleksi Soalan Dan Jawapan

Sebagai rujukan kepada pelajar, berikut dikongsikan contoh-contoh soalan dan jawapan yang berkaitan dengan Novel Jendela Menghadap Jalan:

1) Dalam setiap novel yang anda kaji, pengarang pasti mewujudkan peristiwa-peristiwa yang dapat dijadikan sebagai teladan. Jelaskan satu peristiwa tersebut.

  • Datuk Lili menyembuhkan penyakit Letchumi, ibu Geetha menggunakan rawatan tradisional. Peristiwa ini memberi iktibar supaya kita bersedia untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan perkhidmatan kita tanpa mengira latar belakang mereka

2) Sila huraikan dua bukti kecekalan watak utama dalam novel yang anda telah kaji

  • Berdasarkan novel yang saya kaji, watak utama iaitu Lili cekal dalam menuruti kehendak ibunya untuk menghabiskan cuti sekolahnya di kampung berbanding kehendaknya untuk bercuti bersama rakan-rakan sekolah
  • Lili juga telah diculik oleh Haziq dan Rafiq semasa pulang dari pekan tetapi kekal tabah sebelum diselamatkan oleh Danel

3) Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan latar masyarakat yang dipaparkan

  • Berdasarkan novel yang saya kaji, latar masyarakat yang dipaparkan adalah masyarakt kampung yang masih berpegang pada tradisi seperti datuk Lili yang masih mengamalkan perubatan tradisional
  • Selain itu, latar masyarakat yang saling membantu juga dipaparkan dimana Lili dan Kak Mimah membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Che Jah
  • Akhir sekali, novel ini memaparkan latar masyarakat yang terlibat dengan masalah sosial dimana anak-anak Che Jah iaitu Haziq dan Rafiq yang terlibat dengan penyalah gunaan dadah

4) Huraikan dua perwatakan watak sampingan yang terdapat dalam novel yang anda kaji

  • Novel yang saya kaji dan watak sampingan yang ingin dihuraikan adalah datuk Lili iaitu Haji Abdul Rahman.
  • Beliau merupakan seorang yang mempunyai jati diri yang kuat kerana masih mengamalkan perubatan tradisional sebagai alternatif kepada mereka yang memerlukan
  • Selain itu, datuk juga seorang yang kuat beribadah. Contohnya, apabila Lili tiba di kampung, datuk masih berada di surau untuk beribadah
  • Akhir sekali, datuk merupakan seorang yang menghargai nilai sejarah kerana mementingkan binaan rumahnya dan rumah-rumah di sekeliling Kampung Sentosa

5) Berdasarkan novel yang anda pelajari, jelaskan dua latar tempat dalam novel tersebut

  • Stesen bas – tempat dimana Lili menaiki bas untuk ke kampung datuk dan neneknya di Dungun Terengganu
  • Pekan Sejahtera – merupakan tempat tinggal Geetha
  • Surau – tempat dimana orang kampung berkumpul untuk menyelesaikan masalah

Sekian sahaja perkongsian berkaitan Novel Jendela Menghadap Jalan : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran. Diharapkan anda mendapat rujukan dan nota penting yang bermanfaat untuk diri masing-masing.

Related : menghabiskan masa, komsas tingkatan 4, masalah yang berlaku, isu kubah surau,