Sebelum menduduki peperiksaan atau pentaksiran di sekolah, pelajar pastinya akan mengulang kaji pelajaran sebagai persediaan. Antara salah satu caranya adalah dengan menulis nota-nota ringkas berdasarkan mata pelajaran yang dipelajari. Pelajar Tingkatan 3 yang mencari bahan rujukan untuk Komponen Sastera Bahasa Melayu boleh merujuk perkongsian berkaitan Novel Chot : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran
Karya Azizi Haji Abdullah ini merupakan pemenang Kategori Novel Kanak-kanak dalam Anugerah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011. Ia terpilih untuk menjadi rujukan Komponen Sastera bagi pelajar Tingkatan 3 bermula pada tahun 2017. Pengarang yang menggunakan bahasa yang mudah, menambah nilai pengajaran dan berlatarkan budaya Melayu tipikal di kampung mampu menarik perhatian pelajar untuk membaca dan mengkajinya.
Nota Novel Chot : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran
Berikut dikongsikan nota-nota penting yang dipelajari dalam Novel Chot : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran. Selain itu, pelajar juga boleh merujuk nota berkenaan plot, latar, watak dan perwatakan serta koleksi latihan soalan sebagai panduan.
Tema
Novel ini bertemakan kasih sayang antara manusia dengan haiwan yang ditunjukkan oleh Alias dan Chot.
Persoalan
1) Persoalan masyarakat miskin yang tinggal di kawasan pedalaman
- Alias dan ibunya mendiami sebuah pondok buruk dan bergantung pada upah memetik kelapa
2) Persoalan kanak-kanak yang menyara hidup keluarga.
- Alias yang baru berusia 11 tahun telah bekerja mengambil upah memetik buah kelapa untuk menyara hidupnya dan ibunya
3) Persoalan masyarakat kampung yang mengamalkan semangat saling bantu membantu.
- Mak Su Kiah menyediakan makanan tengah hari untuk Alias dan ibunya.
Sinopsis
Alias, watak utama di dalam novel Chot ini merupakan murid tahun lima yang tinggal bersama ibunya yang lumpuh setelah kematian ibunya. Alias telah memelihara seekor beruk yang dinamakan Chot yang sebelum ini dijaga oleh bapanya. Alias bergantung hidup dengan mengambil upah memetik buah kelapa melalui Chot. Bapanya sebelum ini meninggal dunia kerana terjatuh daripada pokok kelapa lima tahun yang lepas. Suatu hari Chot menghilangkan diri dan Alias tetap ingin mencarinya sehingga lewat untuk hadir ke sekolah.
Dalam perjalanan pulang dari sekolah, Alias berjaya menemui Chot dan berasa gembira. Keesokannya, Alias dimarahi oleh Cikgu Sunan sehingga dia terkejut lalu terjatuh dan terkena pada meja sekolah. Ekoran peristiwa tersebut, Alias tidak hadir ke sekolah sehingga seminggu dan hanya pergi memetik kelapa bersama Chot. Alias memberikan alasan untuk membeli beras kepada ibunya kerana dia tidak ke sekolah sepanjang minggu. Alias tidak mahu ke sekolah juga kerana diejek berbau busuk oleh murid lain. Cikgu Sunan bertanya kepada Som, kawan baik Alias kenapa dia tidak hadir dan baru dia tahu bahawa Alias sakit telinga hingga bernanah.
Cikgu Sunan mengambil keputusan untuk melawat Alias dan disambut baik oleh ibu Alias. Alias juga tidak berdendam dengan Cikgu Sunan dan melayaninya dengan ramah. Tetapi kedatangan Cikgu Sunan tidak disenangi Chot. Ketika Cikgu Sunan memeriksa telingan Alias yang bernanah, Chot melompat sehingga rantai yang mengikatnya putus dan menerkam kemudian menokak lengan Cikgu Sunan. Keadaan yang kelam kabut itu telah menyebabkan Alias untuk mengambil lembing dari bawah rumahnya dan menyodok perut Chot selepas segala usaha untuk melepaskan Chot daripada menokak lengan Cikgu Sunan Tidak berjaya. Alias berasa sedih kerana beruk yang selama ini membantunya mencari rezeki telah mati dan dia tiada punca pendapatan untuk ke sekolah. Cikgu Sunan menenangkan Alias dan telah berjanji untuk menanggung segala kos persekolahan Alias sehingga ke universiti.
Watak dan perwatakan
1) Alias
- Watak utama yang berumur 11 tahun dan murid tahun lima di sekolah
- Menetap bersama ibunya yang lumpuh di Kampung Dingin
- Seorang yang bertanggungjawab setelah mengambil alih peranan bapanya yang meninggal dunia dan menyara hidup ibunya dan dirinya sendiri
- Seorang yang penyayang dimana dia menyayangi Chot, seekor beruk yang sebelum ini dipelihara oleh bapanya
- Seorang yang pemaaf kerana walaupun dia sakit telinga akibat terjatuh selepas ditengking oleh Cikgu Sunan, dia tidak menyimpan dendam dan melayan cikgunya dengan baik
2) Chot
- Seekor beruk peliharaan Alias dan peninggalan bapanya.
- Ekornya pendek dan giginya tajam dan putih
- Tinggal di dalam kotak sabun di atas pokok langsat
- Seekor binatang yang patuh pada arahan dan menyayangi tuannya
- Bertindak ganas dan garang apabila dalam situasi tertentu
3) Som
- Kawan baik kepada Alias
- Berumur 11 tahun dan merupakan murid tahun lima
- Anak bongsu kepada Pak Din
- Seorang yang mempunyai semangat setiakawan
- Seorang yang prihatin dan baik hati
4) Cikgu Sunan
- Guru matematik di sekolah yang dihadiri Alias dan Som
- Berasal dari bandaraya dan mempunya sebuah kereta Volvo
- Seorang yang garang dan tegas apabila muridnya tidak dapat menjawab soalan atau menyiapkan kerja rumah yang diberikan
- Seorang yang sedar akan kesilapannya kerana menyesal atas perlakuannya menengking Alias sehingga nuridnya itu cedera
5) Leha
- Merupakan ibu kepada Alias dan tidak sihat secara fizikal kerana lumpuh
- Seorang yang menitik beratkan pendidikan agama kerana selalu mengingatkan Alias tentang kewajipan menunaikan solat
Plot
1) Permulaan
Novel ini bermula dengan Alias yang berumur 11 tahun, tinggal bersama ibunya yang lumpuh diperkenalkan. Selepas mandi, Alias telah menunaikan solat Subuh bersama-sama ibunya dan bacaan qunutnya tidak lancar. Kehidupan mereka sangat miskin dan Alias hana memiliki sebuah beg yang koyak dan lusuh hasil pemberian Tok Penghulu pada tiga tahun lepas. Alias juga memiliki seekor beruk yang bernama Chot yang sebelum ini dijinakkan oleh ayahnya sebelum meninggal dunia.
2) Perkembangan
Alias yang hendak ke sekolah telah mendapati Chot hilang daripada rumahnya di atas pokok langsat. Alias yang risau kerana Chot membantunya memetik buah kelapa untuk mendapatkan duit kini hilang dan terus mencari Chot di sekeliling kampung. Tanpa dia sedari, dia telah lewat untuk ke sekolah dan gagal menjumpai Chot pada pagi itu.
3) Perumitan
Setibanya Alias di sekolah, dia dipanggil oleh Cikgu Sunan dan ditanya kenapa datang lewat ke sekolah. Alias berdiam diri tetapi setelah didesak, Alias berterus terang mencari beruknya yang hilang. Cikgu Sunan berasa marah dengan alasan yang diberikan Alias dan menengkingnya. Alias terkejut kemudian terjatuh dan telinganya terkena bucu meja sebelum terlentang di lantai. Alias enggan untuk datang ke sekolah kerana diejek oleh rakan-rakannya kerana telinganya bengkak dan berbau busuk. Miah dan Budin pula menudih Chot telah merosakkan setandan pisang milik mereka tetapi Pak Din bersetuju untuk membayar ganti rugi bagi meredakan kemarahan mereka
4) Klimaks
Cikgu Sunan berkunjung ke rumah Alias setelah seminggu Alias tidak hadir ke sekolah dan dengan bantuan Som. Dia berasa bersalah kerana telah menyebabkan telinga Alias bengkak dan bernanah sehingga dia tidak mahu ke sekolah. Ketika cikgu Sunan yang ingin memeriksa dengan lebih dekat telinga Alias, Chot meronta-ronta sehingga rantainya putus dan bertindak menerkam lengan Cikgu Sunan. Alias cuba untuk melepaskan gigitan Chot tetapi gagal kemudian mengambil lembing di bawah rumahnya dan merodok perut Chot sampai terkulai dan mati dalam dakapan Alias
5) Peleraian
Cikgu Sunan berjanji untuk membiayai kos persekolahan Alias sehingga ke universiti. Alias menguburkan Chot di tepi pokok langsat dan mencacakkan papan yang tertulis “Tunggu aku di pintu universiti, Chot”. Alias memberitahu ibunya tentang hasrat untuk ke sekolah pada hari esoknya.
Teknik Plot
- Kejutan : Cikgu Sunan telah menengking Alias kerana marah selepas Alias memeberikan alasan mencari beruknya yang hilang sehingga lewat datang ke sekolah
- Imbas Kembali : Alias teringat pesanan Som pada tiga hari lalu, Pak Din yang menyuruhnya memetik buah kelapa sebanyak yang mungkin
- Imbas Muka : Som membayangkan perkara yang dilakukan oleh rakan sekelasnya terhadap Alias selepas ditengking oleh Cikgu Sunan
- Monolog : Alias bermonolog sewaktu dia tidak mahu hadir ke sekolah kerana berbelah bahagi untuk memberitahu ibunya tentang telinganya yang sakit.
- Dialog : Alias dan ibunya berbual tentang kehilangan Chot sebelum Alias ke sekolah dan ibunya berkata untuk tidak risau serta bimbang Som akan menunggu Alias lama di persimpangan jalan
Latar
1) Latar Tempat
- Kampung Dingin : kampung yang didiami oleh Alias
- Rumah Alias : Som belajar mengaji Al-Quran dan membuat latihan Matematik bersama Alias
- Rumah Pak Din : Alias meminta tolong Pak Din untuk membeli ubat batuk untuk ibunya serta memberitahu Pak Din tentang bilangan biji kelapa yang dipetik
- Halaman Perhimpunan : Som tiba lewat kerana menunggu Alias pada hari perhimpunan sekolah diadakan
- Bilik darjah lima : Cikgu Sunan menengking Alias kerana lewat ke sekolah dengana alasan yang tidak boleh diterimanya
2) Latar Masa
- Waktu pagi : Perhimpunan sekolah, Alias dan Chot memetik kelapa
- Waktu petang : Alias dan Som belajar membaca al Quran daripada ibu Alias
- Tengah hari : Mak Su Kiah menghantar nasi bersama gulai kepada Alias dan ibunya
3) Latar Masyarakat
- Masyarakat yang tabah dalam menghadapi dugaan hidup : Alias yang hidup dalam kemiskinan tidak pernah merungut tetapi berusaha untuk bekerja mencari pendapatan untuk keluarganya
- Masyarakat yang baik hati dan prihatin : Mak Su Kiah yang mengambil berat ke atas kebajikan Leha dan Alias
- Masyarakat yang berdikari : Alias mengambil upah memetik buah kelapa untuk menyara yuran persekolahannya dan kebajikan keluarganya
- Masyarakat yang mengutamakan pendidikan agama : Leha mengajar anaknya Alias dan rakan Alias, Som membaca Al-Quran
- Masyarakat yang jujur : Alias memberitahu perkara sebenar yang berlaku selepas lewat hadir ke sekolah kerana mencari beruknya yang hilang
Gaya bahasa
- Simile : Jiwa Cikgu Sunan tersentak bagai ditikam lembing yang berkarat
- Sinkope : “Kenapa kamu tak datang kelmarin?” herdik Cikgu Sunan
- Peribahasa : naik minyak, berat mulut
- Personafikasi : Angin malam di kampung itu bagaikan mati
- Bahasa Arab : Qunut, Al-Quran, assalamualaikum
Nilai
- Nilai Tanggungjawab : Alias bertanggungjawab mencari rezeki selepas bapanya meninggal dunia dan ibunya pula lumpuh
- Nilai Kasih Sayang : Alias mencari beruk peliharaannya Chot sehingga sanggup lewat ke sekolah sehingga dimarahi gurunya
- Nilai Sabar : Alias yang diejek oleh rakan-rakannya selepas dimarahi Cikgu Sunan kekal bersabar
- Nilai Keinsafan : Cikgu Sunan insaf atas kesilapannya yang memarahi dan tidak memberi perhatian yang sepatutnya kepada Alias
- Nilai Berdikari : Alias memetik buah kelapa menggunakan Chot untuk mendapat duit bagi membeli barangan dapur dan ubat kepada ibunya.
Pengajaran
- Kita seharusnya bersikap jujur supaya tidak berlaku sebarang salah faham. Alias berterus terang kepada Cikgu Sunan mengatakan bahawa dia mencari beruknya yang hilang
- Kita hendaklah mengutamakan pendidikan dalam kehidupan. Alias bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga ke universiti untuk mengubah hidupnya ke arah yang lebih baik
- Kita perlu berdikari dan tidak mengharapkan belas ihsan daripada orang lain. Alias mengambil upah memetik buah kelapa di kebun Pak Din untuk menyara kehidupannya
- Kita hendaklah mengakui kesilapan yang telah dilakukan dan insaf. Cikgu Sunan sedar dan insaf akan tindakannya terhadap Alias setelah mengetahui perkara yang berlaku
- Kita mestilah menjauhi sifat dendam kerana ia akan mensia-siakan masa sahaja. Alias tidak berdendam dengan Cikgu Sunan dan melayan gurunya dengan baik selepas kejadian Cikgu Sunan menengkingnya
Koleksi Soalan
1) Kekuatan sebuah penceritaan dalam sebuah novel berkaitan dengan binaan plot, Bincangkan puncak penceritaan dalam novel yang anda kaji
- Novel yang saya kaji adalah Novel Chot hasil penulisan Azizi Haji Abdullah. Plot puncak atau klimaks dalam novel ini adalah apabila Cikgu Sunan yang melawat ke rumah Alias dengan bantuan Som. Ibu Alias dan Alias melayani kedatangan Cikgu Sunan dengan ramah tetapi tidak disenangi oleh Chot. Cikgu Sunan ingin melihat keadaan telinga Alias dengan lebih dekat. Chot yang tidak senang telah melompat-lompat sehingga rantainya putus lalu menerkam Cikgu Sunan dan menggigit lengan Cikgu Sunan dengan bengis. Alias cuba untuk meleraikan gigitan Chot tetapi gagal dan dia bertindak mengambil lembing di bawah rumahnya dan merodok perut Chot yang terkulai sehingga mati
2) Jelaskan latar masyarakat berserta contoh peristiwa yang berkaitan dalam novel yang anda kaji
- Berdasarkan novel yang saya kaji iaitu novel Chot, antara latar masyarakat yang diceritakan adalah latar masyarakat yang berdikari. Alias yang duduk bersama ibunya yang lumpuh selepas bapanya meninggal dunia telah mengambil upah memetik buah kelapa untuk menyara hidupnya tanpa mengharapkan belas ihsan orang lain. Selain itu, latar masyarakat yang mementingkan ilmu pengetahuan juga telah digambarkan oleh pengarang. Alias menyedari kepentingan ilmu pengetahuan dan membawa buku ketika pergi memetik kelapa dan mengulang kaji pelajaran ketika waktu rehat.
3) Huraikan perwatakan watak utama yang terdapat dalam novel yang anda kaji
- Novel Chot karya Azizi Haji Abdullah merupakan novel yang saya kaji dan watak utamanya bernama Alias. Alias seorang pelajar Tahun Lima sebenarnya seorang yang bijak dalam mata pelajaran Matematik kerana seringkali membantu Som dalam mata pelajaran tersebut. Selain itu, Alias juga seorang yang berdikari kerana mengambil upah memetik kelapa untuk menyara hidupnya dan ibunya. Akhir sekali, Alias seorang yang pemaaf kerana apabila Cikgu Sunan datang melawatnya di rumah, dia melayan cikgu yang menengkingnya sebelum ini dengan baik dan ramah
4) Berdasarkan beberapa peristiwa daripada novel yang anda pelajari, jelaskan teladan yang diperoleh
- Novel yang saya pelajari semasa di Tingkatan 3 adalah Chot. Terdapat peristiwa yang memberikan teladan kepada saya iaitu apabila Alias yang berterus terang kepada cikgunya tentang kelewatan hadir ke sekolah kerana mencari beruk kesayangannya. Teladan yang diperoleh adlah kita perlu bersikap jujur agar tidak berlaku sebarang salah faham. Selain itu, peristiwa Mak Su Kiah yang menghantar makanan kepada Alias dan ibunya memberikan teladan supaya kita mengambil berat terhadap jiran tetangga kita. Akhir sekali, teladan yang diperoleh daripada peristiwa Alias yang membantu Som dalam mata pelajaran Matematik adalah kita perlu sentiasa membantu orang lain demi kebaikan semua pihak
5) Berdasarkan novel yang anda kaji, jelaskan tema yang diketengahkan dalam novel tersebut
- Novel yang telah saya pelajari adalah novel Chot karya Azizi Haji Abdullah. Novel ini menceritakan tema bereknaan kasih sayang sesama makhluk ciptaan Tuhan. Kasih sayang yang ditunjukkan oleh Alias kepada Chot seekor beruk menjadi satu teladan kepada kita selain kasih sayang yang ditunjukkan sesama manusia.
Semoga perkongsian berkenaan Novel Chot : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran membantu pelajar dalam menghadapi ujian atau peperiksaan.
Related : telinga alias yang bernanah,
Senarai Tajuk Kecil Artikel