Kepentingan Menjaga Alam Sekitar Supaya Kekal Dan Bersih. Contoh karangan pentingnya penjagaan alam sekitar untuk manusia.

Kepentingan Menjaga Alam Sekitar Supaya Kekal Dan Bersih

contoh karangan kepentingan menjaga alam sekitar

Salah satu teknik untuk menjawab soalan penulisan karangan Bahasa Melayu adalah dengan memilih tajuk yang umum. Misalnya tajuk atau tema berkaitan alam sekitar yang pelajar mampu memberikan isi-isi penting serta huraian yang menarik. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan menjaga alam sekitar supaya kekal dan bersih.

Umum sedia maklum, kita mempunyai Jabatan Alam Sekitar yang merupakan agensi kerajaan untuk memastikan pemeliharaan alam sekitar serta pembangunan lestari dalam negara dilaksanakan dengan baik. Walaupun begitu, kakitangan kerajaan sahaja tidak cukup untuk memastikan pemeliharaan alam sekitar kita di mana masyarakat juga perlu turut serta bersama-sama menjaga khazanah dan warisan negara ini.

Contoh Karangan Kepentingan Menjaga Alam Sekitar Supaya Kekal Dan Bersih

Selain daripada isi-isi penting, penggunaan penanda wacana dan frasa-frasa menarik dalam karangan pasti dapat memberikan markah yang lebih baik kepada pelajar. Di bawah dikongsikan contoh karangan pentingnya penjagaan alam sekitar kepada manusia.

Isi-isi penting

  1. Mengekalkan ekosistem dan habitat yang sihat
  2. Membendung masalah pencemaran
  3. Menjamin bekalan sumber alam semula jadi
  4. Menjadi pusat tarikan pelancong
  5. Mewujudkan suasana yang selesa untuk didiami

Pendahuluan

Antara aktiviti kegemaran masyarakat di Malaysia pada hujung minggu adalah berkelah bersama-sama keluarga atau rakan-rakan di tepi pantai dan juga sungai rekreasi. Aktiviti ini menyeronokkan kerana anak-anak dapat bermandi-manda manakala ibu dan bapa dapat beristirehat menikmati keindahan alam setelah penat bekerja sepanjang minggu.

Namun begitu, kebelakangan ini kawasan-kawasan tersebut sering dilanda bencana banjir dan air pasang tinggi di mana aktiviti perkelahan menjadi bahay untuk dilakukan. Situasi ini berlaku kerana sifat tidak bertanggungjawab sesetengah individu yang mangaut keuntungan demi kepentingan diri sehingga mnerosakkan pencemaran alam. Aktiviti seperti membalak, menambak pantai dan pemanasan global adalah faktor yang menyumbang kepada berlakunya kerosakan serta pencemaran kepada alam sekitar. Justeru, mari kita bincangkan pentingnya penjagaan alam sekitar kepada manusia supaya kekal dan bersih.

Isi 1

Menjaga kebersihan dan fungsi alam sekitar adalah sangat penting untuk mengekalkan ekosistem dan habitat yang sihat. Kita semua sedia maklum bahawa alam sekitar seperti hutan belantara, gunung-ganang dan laut merupakan habitat atau tempat tinggal kepada flora dan fauna. Makhluk yang diciptakan oleh Tuhan ini juga sebenarnya menyumbang kepada kehidupan kita tanpa kita sedari. Misalnya pokok yang mampu menyerap gas karbon dioksida dan melepaskan gas oksigen yang sangat diperlukan oleh darah kita untuk kekal hidup.

Proses alam semula jadi ini tidak boleh diganti dengan kemajuan sains atau teknologi yang kita kecapi pada hari ini. Sebaliknya kita hendaklah berusaha memastikan ekosistem yang selama ini kita bergantung sebagai bekalan oksigen serta sumber-sumber lain dikekalkan untuk kelangsungan generasi masa hadapan. Oleh itu, setiap pihak seharusnya memandang serius terhadap isu perubahan iklim dan memastikan alam sekitar kita dijamin untuk kemaslahatan semua makhluk dimuka bumi ini. Bak kata pepatah, angin tidak dapat ditangkap, asap tidak dapat digenggam.

Isi 2

Sejajar dengan kepentingan di atas, menjaga kebersihan alam sekitar adalah mustahak untuk membendung masalah pencemaran. Kita pernah menyaksikan satu insiden di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang dicemari dengan pembuangan bahan kimia sehingga mengakibatkan masyarakat sekitar khususnya kanak-kanak jatuh sakit. Kejadian ini seharusnya menjadi iktibar kepada masyarakat umum kerana pencemaran alam mampu meragut nyawa-nyawa orang yang kita sayangi.

Kawasan-kawasan seperti sungai, laut dan hutan sepatutnya menjadi kawasan larangan kepada sebarang aktiviti pembuangan sampah atau apa jenis sisa. Disebabkan kawasan tersebut tidak dilihat oleh orang awam dan tiada sebarang pemantauan, aktiviti pembuangan sampah secara haram akan tetap berlaku. Di sini sebenarnya fungsi pihak berkuasa diperlukan dalam penguatkuasaan undang-undang serta pemantauan di setiap kawasan yang berisiko untuk dicemari. Sekiranya aktiviti ini dapat dihalang, pasti alam sekitar kita kekal bersih dan tidak rosak dek kerana dicemari oleh perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab.

Isi 3

Kepentingan seterusnya adalah menjamin bekalan sumber alam semula jadi untuk masyarakat hari ini dan masa hadapan. Sebagai contoh, sungai adalah sumber bekalan air bersih yang kita gunakan di rumah kita untuk memasak dan membersih. Walaupun terdapat loji rawatan untuk menapis tahap kebersihan air sebelum ia sampai ke paip dapur kita, pencemaran yang disebabkan oleh sisa-sisa kimia memerlukan proses pembersihan yang lebih rumit. Kesannya, bekalan air terpaksa dipotong bagi memberi laluan kepada proses pembersihan.

Bagaimana pula kesannya terhadap kehidupan akuatik di dalam sungai? Ikan akan mati kerana keracunan dan pengusaha ternakan ikan di sungai-sungai turut akan terjejas. Rantaian bekalan makanan akan terganggu akibat kekurangan bekalan makanan dan harga akan naik sehingga membebankan masyarakat. Jelasnya kita perlu menjaga alam sekitar demi menjamin bekalan sumber alam semula jadi. Persis kata peribahasa Melayu, ingat antara belum kena, hemat antara sebelum habis.

Isi 4

Akhir sekali, penjagaan alam sekitar adalah penting khususnya di negara kita kerana ia merupakan pusat tarikan pelancong asing dan juga tempatan. Sektor pelancongan merupakan antara sektor utama di negara ini yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara. Tanah air kita dikelilingan pantai-pantai yang indah, pulau-pulau yang cantik serta memiliki hutan simpan yang kaya dengan pelbagai flora serta fauna. Keindahan alam semula jadi ini tidak didapati di tempat lain dan menjadi kegemaran pelancong asing untuk meluangkan masa lapang mereka.

Jika kawasan tumpuan pelancong ini musnah atau dicemari, bukan sahaja pelancong tidak akan melawat malah pengusaha pelancongan seperti rumah inap desa, restoran dan kedai sekitarnya akan terjejas. Intihannya, menjaga keindahan alam sekitar dapat menarik pelancong untuk hadir menikmati keindahannya serta meningkatkan ekonomi masyarakat setempat secara tidak langsung.

Penutup

Secara tuntas, banyak kepentingan yang perlu dipelihara dalam menjaga kebersihan alam sekitar. Cuba kita fikirkan, adakah kita mampu untuk hidup tanpa alam sekitar seperti pokok, sengai dan lautan? Pastinya tidak kerana hidup kita bergantung kepada fungsi-fungsi alam sekitar ini. Dengan kemudahan penyebaran maklumat masa kini, setipa pihak khusunya pihak berkuasa hendaklah mengambil kesempatan tersebut untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan penjagaan alam sekitar. Setiap inisiatif ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar wajar disokong dan disertai oleh individu, masyarakat dan juga negara.Tiada gunung yang tidak dapat didaki, tiada lurah yang tidak dapat dituruni. Peribahasa tersebut jelas menunjukkan jika kita beriltizam untuk melakukan sesuatu, pasti ada cara yang terbaik untuk kita merealisasikannya dengan berjaya.

Related : alam sekitar yang bersih, udara yang bersih, hutan yang lengkap, air hujan yang turun, dijaga dengan baik, fauna daripada angkara manusia, alam sekitar di negara, alam sekitar bagi belia, generasi akan datang, tumbuh tumbuhan, dijalankan dalam keadaan bersih, persekitaran yang segar, penting untuk mengelakkan kepupusan, alam sekitar adalah tanggungjawab,