Cara-Cara Mengisi Masa Lapang (Aktiviti Berfaedah). Contoh karangan perkara yang boleh dilakukan di waktu yang terluang.

Cara-Cara Mengisi Masa Lapang (Aktiviti Berfaedah)

contoh karangan cara cara mengisi masa lapang

Sekiranya pelajar ingin menjawab soalan atau tajuk penulisan karangan Bahasa Melayu yang umum, anda perlu memberikan isi-isi penting yang menarik dan bernas. Selain itu, penggunaan bahasa yang betul dan penambahan frasa-frasa menarik seperti peribahasa dan penanda wacana di dalam penulisan anda dapat membantu untuk mendapatkan markah yang lebih baik. Berikut dikongsikan contoh karangan cara-cara mengisi masa lapang (Aktiviti Berfaedah) untuk panduan semua.

Masa lapang adalah masa yang terluang selepas waktu persekolahan atau waktu bekerja begitu juga dengan hari minggu dan cuti umum. Setiap orang pastinya mempunyai aktiviti masing-masing untuk dilakukan tetapi adakah ia memberikan manfaat kepada diri? Persoalan ini penting bukan sahaja untuk diri tetapi juga manfaat tersebut memberi kepentingan kepada masyarakat dan juga negara.

Contoh Karangan Cara-Cara Mengisi Masa Lapang (Aktiviti Berfaedah)

Anda boleh merujuk perkongsian contoh karangan dan isi-isi penting berkaitan tajuk cara-cara mengisi masa lapang dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah.

Isi-isi penting

  1. Membantu ibu dan bapa melakukan kerja-kerja di rumah
  2. Melakukan aktiviti riadah di luar rumah seperti bersenam atau bersukan
  3. Menyertai aktiviti komuniti setempat seperti sukarelawan
  4. Melakukan kerja sambilan
  5. Melancong atau menziarahi keluarga dan saudara
  6. Menyertai seminar atau kem kemahiran/ ibadah untuk menambah ilmu dan kemahiran diri

Pendahuluan

Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lataran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita seringkali disentak oleh pelbagai isu sosial yang dicetuskan oleh masyarakat kita sendiri. Di dada akhbar dan kaca televisyen, banyak berita mengenai permasalahan sosial dalam kalangan remaja yang memburukkan potensi generasi masa hadapan negara ini. Misalnya aktiviti merempit dan basikal lajak yang telah pun meragut nyawa ramai manusia tetapi masih lagi dilakukan oleh mereka.

Tanggungjawab ini bukan sahaja terletak pada bahu ibu dan bapa mereka tetapi kita sebagai anggota masyarakat juga berperanan untuk memastikan golongan muda ini tidak terjebak dengan perkara yang sia-sia ini. Pepatah Melayu berkata masa itu emas, Oleh yang demikian, mari kita senaraikan cara-cara mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah demi kemaslahatan semua.

Isi 1

Pada hemat saya, aktiviti utama yang wajar dilakukan oleh anak-anak di rumah di masa lapang adalah untuk membantu ibu dan bapa melakukan kerja-kerja rumah. Ibu dan bapa merupakan insan yang banyak berkorban melahirkan dna membesarkan kita daripada bayi sehinggalah boleh berdikari. Jasa mereka yang besar dan sukar untuk kita balas dengan wang ringgit di usia muda ini menguatkan lagi kenyataan untuk kita meringankan beban mereka dalam hal ehwal di rumah. Sebagai contoh, aktiviti menjemur pakaian, melipat pakaian, memasak dan membersihkan kawasan rumah merupakan perkara asas dalam sebuah keluarga.

Apabila kita sudah membiasakan diri melakukan aktiviti ini di masa lapang dengan niat membantu ibu dan bapa kita, pastinya bila kita menjadi dewasa, ia bukan suatu kerja yang sukar untuk dilakukan. Dalam masa yang sama, hubungan silaturahim antara ahli keluarga juga akan bertambah erat dalam melakukan kerja-kerja rumah bersama. Persis peribahasa Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Tuntasnya, membantu ibu dan bapa dengan kerja di rumah dapat mengisi masa lapang secar berfaedah.

Isi 2

Selain itu, cara untuk memanfaatkan masa lapang dengan aktiviti berfaedah adalah dengan melakukan aktiviti riadah di luar rumah seperti bersenam atau bersukan. Dewasa ini, hampir setiap kawasan perumahan dilengkapi dengan kawsan untuk kita melakukan aktiviti riadah. Malah di sekolah juga murid-murid telah digalakkan untuk bersukan apabila melakukan aktiviti kokurikulum. Dengan pencapaian atlet-atlet sukan kita di persada antarabangsa, ia memberi impak kepada ramai ahli masyarakat kita untuk turut sama melakukan aktiviti sukan tersebut.

Misalnya apabila Datuk Lee Chong Wei menjadi pemain badminton nombor satu di dunia, kebanyakan di antara kita juga turut turun ke gelanggang badminton untuk meniru aksi jaguh badminton itu. Kesannya, lebih banyak fasiliti sukan dibuka untuk menampung permintaan dan masyarakat kita menjadi lebih sihat. Persis slogan yang diuar-uarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, badan sihat, otak cerdas. Intihannya, menyertai aktiviti riadah seperti bersenam atau bersukan dapat mengisi masa lapang dengan kesan yang berfaedah kepada diri kita secara fizikal dan juga spiritual

Isi 3

Perkara lain yang boleh dilakukan oleh anggota masyarakat untuk mengisi masa lapang adalah dengan menyertai aktiviti komuniti seperti sukarelawan. Aktiviti kemasyarakatan ini bukan sahaja dapat mengisi masa terluang tetapi memberikan manfaat kepada pelabagai pihak terutamanya peserta. Sebagai contoh, apabila kita menyertai sukarelawan untuk membantu mangsa banjir, kita dapat melihat dengan mata kita sendiri kesusahan yang dihadapi oleh mangsa. Situasi ini akan menimbulkan sifat empati dalam diri kita dan memberikan kesedaran untuk kita sentiasa mensyukuri nikmat yang kita perolehi dalam kehidupan masing-masing.

Tambahan pula, mangsa yang menerima bantuan juga akan berasa lebih baik kerana mendapat pertolongan ketika mereka ditimpa kesusahan. Bak kata pepatah, yang elok itu budi, yang indah itu bahasa. Apabila kita mencurahkan tenaga untuk membantu seseorang, pastinya berkat tersebut akan dikembalikan kepada kita dalam bentuk kebaikan pada masa akan datang. Izharnya, mengisi masa lapang dengan aktiviti kemasyarakatan memberikan manfaat kepada sesiapa yang menyertainya.

Isi 4

Dalam mendepani situasi ekonomi yang tidak menentu dan peningkatan kos sara hidup, melakukan kerja sambilan adalah salah satu cara untuk mengisi masa lapang. Golongan remaja yang mempunyai masa lapang seperti di waktu cuti sekolah atau cuti semester boleh melakukan kerja sampingan untuk menambah wang perbelanjaan dan meringankan beban ibu dan bapa. Industri makanan dan minuman atau lebih dikenali sebagai “Food and Beverage” memerlukan pekerja sambilan untuk menampung kekosongan yang berlaku pasca pandemik COVID-19.

Golongan remaja juga boleh menjadi ejen jualan secara dalam talian yang kini menjadi norma masyarakat kita untuk membeli-belah. Wang diperoleh daripada melakukan kerja sambilan boleh digunakan untuk membeli barang atau makanan yang diidamkan selama ini. Selain itu, golongan pelajar terutamanya boleh menggunakan wang untuk melancong ke pusat pelacongan untuk beristirehat dan menenangkan fikiran sebelum kembali fokus dalam menamatkan pengajian. Tegasnya, mengisi masa lapang dengan melakukan kerja sambilan adalah salah satu perkara yang memanfaatkan diri dan orang sekeliling.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan oleh bukan sahaja remaja tetapi semua lapisan umur masyarakat di negara ini pada masa lapang. Melaburkan masa kita di usia muda terutamanya dalam melakukan aktiviti berfaedah adalah signifikan supaya ia tidak terbuang dengan perkara yang sia-sia atau tidak sihat. Mereka yang bijak membahagi dan menghargai masa pasti akan mengecapi kejayaan dalam hidup dan memudahkan urusan diri serta orang sekeliling. Semoga setiap di antara kita mengambil peduli dengan aktiviti yang dilakukan pada masa lapang dan seterusnya melahirkan generasi minda kelas pertama. Masyarakat yang bijak menguruskan masa pasti dapat menghasilkan produktiviti yang terbaik untuk diri, komuniti dan negara.

Related : aktiviti yang boleh kita lakukan, menambahkan ilmu pengetahuan, perkara yang berfaedah, mengeratkan hubungan kekeluargaan, membaca buku, membaca bahan bacaan, menggunakan masa lapang,