Usaha Memartabatkan Bahasa Melayu (Cara & Langkah). Contoh karangan cara memperkasakan bahasa malaysia di persada dunia.

Usaha Memartabatkan Bahasa Melayu (Cara & Langkah)

contoh karangan usaha martabatkan bahasa melayu

Untuk makluman, para pelajar diwajibkan untuk lulus dalam mata pelajaran bahasa Melayu di peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Langkah ini jelas untuk memastikan pelajar memahami, menguasai dan bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan jelas. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh karangan usaha memartabatkan bahasa Melayu

Secara definisi, bahasa bermaksud sistem lambang bunyi suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam sesuatu kelompok manusia untuk melahirkan perasaan dan fikiran. Selain itu, bahasa adalah kata-kata yang disusun menurut tatabahasa dan digunakan oleh seseorang dalam percakapan atau tulisan. Bahasa juga berbeza dari satu kawasan ke kawasan atau negera lain atas pelbagai faktor geografi dan penjajahan.

Usaha Memartabatkan Bahasa Melayu (Bahasa Malaysia)

Di bawah dikongsikan contoh karangan bertajuk cara atau langkah memartabatkan bahasa Melayu untuk rujukan pelajar.

Isi-isi penting

  1. Menetapkan identiti Bahasa Melayu
  2. Menghasilkan banyak karya seni dan penyiaran dalam Bahasa Melayu
  3. Memastikan urusan rasmi negara dalam Bahasa Melayu (jadikan bukan isu politik)
  4. Memansuhkan sekolah berbentuk vernakular
  5. Menyertai acara antarabangsa berkaitan budaya dan bahasa
  6. Menganjurkan pertandingan dan anugerah sastera dengan lebih banyak dan berprestij

Pendahuluan

Mutakhir ini, ledakan teknologi telah membuatkan kkebanyakan di antara generasi muda gemar untuk menonton kandungan yang terdapat di alam maya. Namun kandungan yang ditonton majoriti menggunakan bahasa asing atau Bahasa Inggeris. Kesannya, anak-anak muda lebih fasih berbahasa asing dan Bahasa Inggeris berbanding bahasa ibunda mereka iaitu Bahasa Melayu.

Seperti kacang yang melupakan kulit, generasi muda yang merupakan warisan bangsa untuk masa hadapan akan lupa akan asal usul mereka dan Bahasa Melayu akan pupus ditenggelam zaman. Bahasa yang merupakan salah satu khazanah kita miliki sepatutnya menjadi imej sesebuah negara kini semakin dilupakan. Justeru, setiap di antara kita bertanggungjawab untuk mengetahui cara memperkasakan Bahasa Melayu agar khazanah ini dirai semula dan kekal relevan untuk generasi akan datang.

Isi 1

Usaha sulung yang wajar dilaksanakan untuk memartabatkan bahasa ibunda kita adalah dengan menetapkan identiti bahasa Melayu. Sebelum ini, timbul polemik apabila terdapat segelintir pihak yang ingin menukar perkataan bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia. Tetapi perkara tersebut tidak kekal lama kerana masyarakat kita telah biasa dengan Bahasa Melayu. Polemik seperti ini yang menjadikan martabat bahasa kita kurang dihargai.

Tambahan pula, kata-kata pinjaman bahasa asing yang digunakan dalam bahasa Melayu seperti zalim daripada bahasa Arab dan asimilasi daripada bahasa Inggeris perlu dikurangkan. Kita mempunyai pakar-pakar bahasa dan sasterawan yang mampu memberikan pilihan perkataan yang sesuai untuk digunakan berbanding meminjam bahasa asing. Jika isu seperti ini dapat diselesaikan, pasti martabat bahasa Melayu akan terjamin kerana mempunyai identiti yang jelas dan unik.

Isi 2

Pada masa yang sama, langkah memartabatkan bahasa Melayu boleh digiatkan dengan menghasilkan banyak karya seni dan penyiaran dalam bahasa Melayu. Seiring dengan peredaran zaman, karya sastera tidak boleh kekal di takuk lama iaitu hanya dilakukan di atas media cetak dan fizikal. Para penerbit dan usahawan sastera perlu berkecimpung dalam dunia elektronik supaya kekal relevan dengan generasi masa kini dan akan datang.

Usaha ini boleh direalisasikan dengan bantuan pihak berkuasa seperti kerajaan untuk memberikan geran kepada penggiat seni bagi menghasilkan karya yang memartabatkan bahasa Melayu. Apabila media cetak dan media elektronik dipenuhi dengan karya-karya yang mengutamakan penggunaan bahasa Melayu pastinya penonton akan menikmati karya tersebut serta menghargai bahasa ibunda dengan lebih baik. Di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan untuk kita memartabatkan bahasa Melayu melalui seni di media cetak ataupun media elektronik.

Isi 3

Inisiatif lain yang wajar dilaksanakan demi menaikkan semula martabat penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat kita adalah dengan memastikan urusan rasmi negara menggunakan bahasa Melayu. Sejak mengecapi kemerdekaan, bahasa Melayu telah diisytiharkan sebagai bahasa rasmi. Oleh sebeb itu, kakitangan awam khususnya wajib untuk menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan demi menampilkan kepentingan bahasa rasmi tersebut.

Pihak berkuasa tempatan juga boleh memainkan peranan dengan memastikan papan iklan, jalan raya dan juga nama perumahan yang dibina dipaparkan dalam bahasa Melayu. Pengenalan kawasan seperti Bangsar South adalah tidak relevan kerana ia menenggelamkan identiti kawasan tersebut dan usaha menamakannya semula sebagai Kampung Kerinchi wajar disokong. Jelasnya, bahasa Melayu boleh dimartabatkan semula dengan memastikan urusan rasmi berkaitan kerajaan persekutuan mahupun negeri dilakukan dalam bahasa Melayu.

Isi 4

Akhir sekali, langkah drastik yang boleh dilakukan untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memansuhkan sekolah berbentuk vernakular seperti sekolah jenis kebangsaan cina dan tamil. Hal ini kerana apabila wujudnya sekolah yang mengasingkan kaum dan menggunakan bahasa yang berbeza, ia akan memecah belahkan masyarakat apatah lagi dalam menggunakan bahasa Melayu.

Jika sekolah di peringkat rendah hanya mempunyai satu jenis iaitu sekolah kebangsaan, setiap pelajar di sekolah akan bertutur dalam bahasa perantara utama iaitu bahasa Melayu. Dalam masa yang sama, bahasa lain seperti bahasa cina dan tamil booleh dipelajari sebagai bahasa kedua di samping bahasa Inggeris.  Pemansuhan ini bukan bertujuan untuk merendahkan potensi kaum lain tetapi jika kita disatukan bawah institusi pendidikan yang sama, pastinya masyarakat yang mampunyai nilai perpaduan yang utuh akan terhasil. Izharnya, memansuhkan sekolah vernakular dapat membantu memartabatkan bahasa Melayu.

Penutup

Kesimpulan kepada perbincangan di atas, banyak usaha boleh dilakukan oleh setiap pihak untuk memartabatkan bahasa ibunda kita iaitu bahasa Melayu. Masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dengan menjayakan inisiatif-inisiatif yang memelihara martabat bahasa kebangsaan kita. Usaha mengangkat martabat bahasa ini perlu selaras dengan usaha membina pencakar-pencakar langit di ibu kota Malaysia.

Tiada bukit yang tidak boleh didaki dan tiada lurah yang tidak boleh dituruni, peribahasa Melayu yang menunjukkan bahawa tiada apa yang mustahil untuk kita memastikan martabat bahasa Melayu dipelihara. Kepentingan ini bukan sahaja untuk warisan bangsa tetapi sebagai identiti dan imej masyarakat kita untuk dipersembahkan kepada masyarakat asing yang mempunyai bahasa mereka tersendiri dan berbeza daripada apa yang kita miliki.

Related : perdana menteri, negara negara, dato sri, lingua franca, bahasa ilmu, peringkat antarabangsa, pendidikan tinggi, brunei darussalam, undang undang, dewan bahasa dan pustaka, bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan,