Cara Mengatasi Masalah Penyakit Berjangkit (Mencegah)

contoh karangan cara mengatasi masalah penyakit berjangkit

Selalunya, soalan pilihan bagi penulisan karangan Bahasa Melayu terdiri daripada pelbagai tema dan tajuk. Salah satunya pasti akan menyentuh tema yang berkaitan dengan isu-isu semasa bagi menguji pengetahuan am para pelajar. Oleh itu, berikut dikongsikan contoh karangan cara mengatasi masalah penyakit berjangkit (cara mencegah atau menangani).

Sebelum pandemik COVID-19 melanda, kita di Malaysia sebenarnya pernah menghadapi satu penularan penyakit berjangkit yang dikenali sebagai H5N1. Virus influenza yang mempunyai ciri rebakan yang agak sama dengan Covid-19 ini telah berjaya dibendung dengan pemakaian pelitup muka, dan juga kuarantin. Walaupun ia tidak berbahaya seperti Covid-19, tetapi ia menunjukkan bahawa terdapat cara yang ditentukan secara saintifik untuk mengatasi masalah penyakit berjangkit ini.

Contoh Karangan Cara Mengatasi Masalah Penyakit Berjangkit

Sekiranya anda menulis karangan yang berkaitan dengan langkah dan cara menangani masalah penyakit berjangkit, contoh karangan di bawah yang disertakan dengan isi-isi penting boleh dijadikan sebagai rujukan

Isi-isi penting

  1. Memupuk nilai kebersihan dalam setiap individu
  2. Mengamalkan gaya hidup sihat
  3. Menjaga kebersihan persekitaran
  4. Meningkatkan sektor kesihatan
  5. Mengubah norma kehidupan

Pendahuluan

Secara definisi, penyakit berjangkit adalah penyakit yang boleh merebak secara langsung atau tidak langsung daripada satu orang kepada orang lain. Pada tahun 2020, seluruh dunia telah dikejutkan dengan ancaman satu penyakit berjangkit yang dikenali sebagai COVID-19. Disebabkan penyakit ini tidak boleh dilihat dengan mata kasar, ia telah merebak ke serata dunia dengan cukup pantas dan mengakibatkan jutaan kematian. Kebanyakan di antara kita diarahkan untuk berkuarantin di rumah agar rantaian jangkitan dapat diputuskan sehingga vaksin yang mampu membunuh virus ini dihasilkan.

Tragedi ini bukan sahaja meragut nyawa manusia tetapi telah menggugat ekonomi dunia secara langsung. Ramai golongan marhaen yang kehilangan kerja atau punca pendapatan dalam tempoh masa tersebut. Sebagai langkah berjaga-jaga, kita sewajarnya mempelajari cara-cara mengatasi masalah penyakit berjangkit supaya dapat menjamin nyawa dan kehidupan diri kita serta orang-orang tersayang.

Isi 1

Antara cara untuk mengatasi masalah penyakit berjangkit adalah dengan memupuk nilai kebersihan dalam setiap individu. Fitrah kita sebagai manusia adalah untuk membersihkan diri jika terdapat sebarang kotoran pada mana-mana anggota badan ataupun pakaian kita. Lumrah ini perlu dipupuk dalam diri setiap manusia kerana ia adalah asas kehidupan manusia yang paling penting. Jika nilai kebersihan diri ini dipupuk sejak kecil, pasti setiap individu yang telah membesar akan menjaga kebersihan diri dengan teliti.

Ibarat peribahasa Melayu, malaentur buluh biarlah dari rebungnya. Sebagai contoh, sewaktu kecil kita hanya perlu menggosok gigi dan mandi di waktu pagi dan petang. Tetapi apabila menjelang dewasa, kita hendaklah berdikari dengan mencuci pakaian sendiri dan membuat pemeriksaan kesihatan diri secara berkala. Jelasnya, jika kita menjaga kebersihan diri, penyakit berjangkit dapat diatasi secara kendiri dan tidak memudaratkan orang sekeliling.

Isi 2

Pada waktu yang sama, masalah penyakit berjangkit dalam kalangan masyarakat boleh dibendung dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Mutakhir ini, ahli masyarakat lebih gemar bermain permainan video atau menonton kandungan di Internet melalui telefon bimbit. Malah terdapat statistik yang membuktikan bahawa rakyat Malaysia merupakan antara yang paling gemuk di rantau Asia tenggara. Kenyataan tersebut memberi bayangan bahawa masyarakat kita tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti makan secara seimbang dan bersukan sehingga memudahkan penyakit untuk menyerang tubuh badan kita.

Inisiatif seperti Hari Sukan Negara wajar disokong dan disertai oleh setiap lapisan bangsa agar kesihatan diri dan juga masyarakat sekeliling terjamin. Tamsilnya, individu yang mempunyai tahap kesihatan diri yang cergas akan memiliki imuniti badan yang lebih baik untuk melawan virus seperti penyakit berjangkit berbanding dengan individu yang tidak cergas. Oleh itu, untuk membendung masalah penyakit berjangkit, amalan gaya hidup sihat adalah salah satu caranya.

Isi 3

Demam denggi adalah salah satu penyakit berjangkit yang dibawa oleh nyamuk aedes dan telah membelenggu masyarakat kita sejak bertahun-tahun. Punca berlakunya pembiakan nyamuk aedes dalam negara kita adalah disebabkan kawasan persekitaran yang tidak bersih dan mempunyai takungan air yang terbiar. Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan telah pun berkempen kepada masyarakat untuk memastikan kebersihan kawasan persekitaran dijaga secara berkala bagi mengelakkan pembiakan nyamuk aedes. Namun begitu, pelaksanaannya agak mengecewakan kerana masyarakat pada hari ini sibuk dengan kerjaya dan kurang gemar untuk bergotong royong membersihkan kawasan persekitaran masing-masing.

Ungkapan rumahku syurgaku seharusnya menjadi matlamat kepada semua kerana ialah tempat paling utama dalam kehidupan kita. Apabila rumah kita dijaga kebersihan dan kecantikannya, secara tidak langsung, kawasan persekitaran juga akan kita bersihkan demi mendapatkan suasana yang selesa. Izharnya, menjaga kebersihan kawasan persekitaran samada di rumah, sekolah mahupun tempat kerja mampu mengurangkan masalah penyakit berjangkit.

Isi 4

Selain itu, masalah penyakit berjangkit dapat dielakkan sekiranya kita meningkatkan sektor kesihatan di dalam negara. Pandemik yang melanda akibat penularan Covid-19 menjadi satu pembuka mata kerana situasi tersebut menunjukkan bahawa sektor kesihatan awam mahupun swasta di dalam negara kita tidak mampu menampung jumlah yang sepadan dengan jumlah rakyat Malaysia. Isu ini seharusnya dititik beratkan dan berlaku kehendak politik untuk merubah keadaan tersebut supaya kita bersiap siaga jika apa-apa berlaku di masa akan datang.

Nisbah pegawai perubatan dengan jumlah penduduk di dalam negara hendaklah seimbang supaya setiap warganegara berpeluang mendapatkan rawatan kesihatan. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Intihannya, sektor kesihatan yang lengkap seperti hospital yang selesa dan cukup untuk menampung jumlah rakyat Malaysia mampu mengelakkan masalah penyakit berjangkit lebih berleluasa.

Penutup

Kesimpulannya, pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah penyakit berjangkit. Di Malaysia, kita bukan sahaja menghadapai masalah penyakit berjangkit dalam kalangan masyarakat tetapi juga masalah penyakit-penyakit lain khususnya penyakit tiga serangkai iaitu darah tinggi, kencing manis dan serangan jantung. Penubuhan institusi khas seperti Institut Jantung Negara telah banyak membantu mengurangkan penyakit tersebut dek kerana ruang yang diperoleh pakar-pakar kesihatan untuk menjalankan rawatan yang terbaik kepada pesakit. Semoga setiap pihak khususnya pihak berkuasa memastikan sektor kesihatan di dalam negara sentiasa diberi perhatian. Selain itu, memastikan saluran maklumat kepada masyarakat dilaksanakan dengan tepat dan difahami oleh setiap lapisan umur. Hanya dengan mendidik masyarakat dengan maklumat yang betul mampu menyelamatkan kita daripada sebarang kesan buruk daripada penyakit berjangkit. Persis kata peribahasa, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Related : masyarakat untuk mengamalkan, membasuh tangan, kempen kesedaran, langkah pencegahan, penularan wabak, baik daripada mengubati, mencegah penyakit berjangkit, untuk mencegah, untuk mengubah, jangkitan penyakit, kementerian kesihatan malaysia,