Kepentingan Kitar Semula Kepada Manusia (Kebaikan). Contoh karangan faedah yang boleh diperoleh dengan mengitar semula kepada alam sekitar.

Kepentingan Kitar Semula Kepada Manusia (Kebaikan)

contoh karangan kepentingan kitar semula kepada manusia

Adakah anda tahu tentang tong-tong kitar semula yang dikenali dengan warna oren, biru dan coklat? Tong tersebut membantu kita untuk mengasingkan jenis-jenis sisa pepejal supaya mudah untuk dikitar semula tetapi adakah kita mengamalkannya? Di bawah dikongsikan contoh karangan kepentingan kitar semula kepada manusia (Kebaikan) untuk rujukan.

Secara definisi, kitar semula adalah kaedah atau teknik memproses bahan seperti tin, botol dan kertas yang telah digunakan supaya dapat digunakan semula atau memberikan fungsi yang lain. Malah di negara kita telahpun memperkenalkan tong-tong kitar semula tetapi semakin tidak mendapat sambutan atau dilupakan oleh masyarakat pada hari ini.

Contoh Karangan Kepentingan Amalan Kitar Semula Kepada Manusia Dan Alam Sekitar (Kebaikan)

Tema atau tajuk karangan yang berkaitan dengan kepentingan kitar semula kepada manusia dan alam sekitar boleh dirujuk di bawah. Turut dirangkumkan adalah isi-isi penting, pendahuluan dan juga penutup kepada karangan.

Isi-isi penting

  1. Memelihara dan memulihara sumber alam semula jadi
  2. Mengurangkan pencemaran alam sekitar (tempat buang sampah
  3. Menjimatkan perbelanjaan kewangan
  4. Memastikan kelangsungan hidup generasi akan datang

Pendahuluan

Sampah-sarap merupakan satu perkara yang tanpa kita sedar semakin bertambah dari hari ke hari. Menurut sebuah petikan akhbar Berita Harian pada tahun 2019, rakyat Malaysia dianggarkan menghasilkan 37,000 tan sisa sampah setiap hari. Tidak mustahil satu hari nanti tiada lagi kawasan untuk pelupusan sampah sehingga menyebabkan kawasan penempatan atau rumah kita dikelilingi sisa sampah ini.

Pasti kita tidak mahukan situasi tersebut daripada berlaku. Di sini datangnya kesedaran untuk kita mengamalkan kitar semula di setiap aspek kehidupan kita. Botol-botol yang sebelum ini dibuang setelah kita menggunakannya boleh dikitar semula untuk menjadi bahan kepada satu produk lain seterusnya dapat mengurangkan sampah serta memberikan fungsi lain. Maka, mari kita huraikan kepentingan-kepentingan kitar semula kepada manusia yang memberikan kebaikan untuk kita semua.

Isi 1

Kitar semula membantu usaha memelihara dan memulihara sumber alam semula jadi. Setiap detik, jumlah kelahiran manusia bertambah dari hari ke hari tetapi keluasan muka bumi kekal dan tidak boleh ditambah-tambah. Hampir keseluruhan aspek kehidupan kita menggunakan sumber tenaga yang diproses bertahun-tahun oleh alam semula jadi. Misalnya penghasilan kertas yang memerlukan pokok ditebang sehingga mengakibatkan hutan ditarah demi kepentingan manusia sahaja.

Flora dan fauna akan kehilangan habitat atau tempat tinggal mereka dan akhirnya pupus dek kerana kerakusan manusia mengejar apa yang dianggap sebagai kemajuan. Oleh itu, amalan kitar semula seperti menggunakan produk atau bahan yang boleh diperbaharui adalah penting untuk memelihara alam semula jadi yang dikurniakan Tuhan. Pepatah melayu berkata, sudah terhantuk baru terngadah. Sebelum kita kehilangan alam semula jadi yang menjadi sumber kehidupan kita, inilah masanya untuk kita menyelamatkannya daripada musnah.

Isi 2

Pada masa yang sama, amalan kitar semula dapat mengurangkan kadar pencemaran alam sekitar. Kitar semula secara langsung dapat mengurangkan pembuangan sampah. Acapkali kita melihat di laporan berita aduan oleh masyarakat tentang pencemaran bau, udara dan air akibat daripada pembuangan sampah yang tidak terurus. Dengan jumlah penghasilan sampah yang dinyatakan di atas, pengurusan sisa pepejal di dalam negara adalah tugas yang sukar.

Berdasarkan satu kenyataan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, tanah yang dijadikan tapak pelupusan sampah pula tidak boleh digunakan untuk sebarang pembangunan atau projek kerana ia perlu dirawat sekurang-kurangnya selama 20 tahun selepas itu berikutan ada air larutan serapan (leachate) dan gas berbahaya dengan kadar pencemaran sangat tinggi. Oleh sebab itu, masyarakat perlu membuka mata dan mengamalkan kitar semula bermula hari ini untuk mengurangkan kawasan pelupusan sampah dalam negara ini. Natijahnya, kitar semula membantu usaha mengurangkan pencemaran terhadap alam sekitar.

Isi 3

Di samping itu, penjimatan perbelanjaan kewangan dapat dipraktikkan di setiap peringkat sekiranya kita mengamalkan kitar semula. Apabila kita kitar semula, kita akan kurang membeli barang baharu dan secara asasnya menjimatkan perbelanjaan. Dari sudut yang lebih besar, kos pengurusan sampah bagi tujuh negeri iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur; Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Perlis mencecah RM2 bilion setiap tahun.

Anggaran kos oleh SWCorp yang merupakan syarikat pengurusan sisa pepejal ini menunjukkan pihak berkuasa tempatan telah membelanjakan sejumlah peruntukkan yang banyak hanya untuk menguruskan sampah yang kita hasilkan. Oleh yang demikian, bagi mengelakkan pembaziran dan memastikan peruntukkan kerajaan digunakan kepada perkara yang lebih bermanfaat, kita hendaklah mengubah tabiat kita yang suka menghasilkan sampah dan lebih menghargai setiap perkara. Sebagai contoh, sisa makanan kita boleh menjadi baja kepada tanaman. Izharnya, banyak wang yang kita boleh jimatkan jika mempraktikkan amalan kita semula.

Isi 4

Akhir sekali, kitar semula adalah amalan yang penting untuk memastikan kelangsungan hidup generasi akan datang. Mutakhir ini, bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh berlaku tanpa sebarang amaran dan meragut nyawa serta memusnahkan tempat tinggal. Ia berlaku kerana perubahan iklim yang semakin ekstrem dan diluar kawalan kita sebagai manusia yang lemah. Kenaikan suhu bumi akibat daripada pelepasan gas dan bahan kimia oleh manusia saban hari boleh diselamatkan dengan amalan kitar semula.

Penghasilan produk dan proses industrisasi akan menjadi perlahan dan pendekatan teknologi yang mesra alam perlu digunakan sepenuhnya. Adakah kita bersedia apabila bekalan petrol dan gas asli dari perut bumi habis digali? Bak kata pepatah, inagt sebelum kena, jimat sebelum habis. Tegasnya, amalan kitar semula sedikit sebanyak menyumbang kepada kelangsungan generasi akan datang untuk terus menikmati kehidupan yang tenang dimuka bumi ini.

Penutup

Berdasarkan huraian-huraian di atas, kita dapat simpulkan kepentingan dan kebaikan yang diperoleh daripada malan kitar semula. Sebagai generasi yang terdedah kepada dunia globalisasi ini, kita dapat lihat negara-negara lain sudah mengorak langkah untuk memastikan amalan kitar semula dipupuk dalam kalangan masyarakat kita. Namun, di Malaysia, ia masih kurang mendapat kesedaran yang jelas dalam setiap ahli masyarakat. Golongan pemimpin negara seharusnya sebulat suara berusaha untuk memastikan amalan kitar semula menjadi budaya dalam kalangan penduduk di negara ini. Semoga setiap di antara kita sedar bahawa kita hanya mempunyai satu sahaja planet untuk didiami iaitu bumi. Jika musnah ekosistem, ke mana kita akan pergi? Di mana anak dan cucu kita ingin tinggal secara aman dan sejahtera?

Related : sisa yang di buang, hasilkan daripada bahan bahan, tapak pelupusan disebabkan sebahagian, kitar semula adalah penting, sebahagian besar meliputi kawasan, untuk menghasilkan, kurang sesuai untuk membina, didapati kurang sesuai untuk, produk daripada bahan mentah, kerana sisa buangan memberikan, sisa buangan memberikan kesan,