Kesan Penggunaan Telefon Bimbit Kepada Pelajar (Implikasi). Contph karangan kebaikan dan keburukan telefon pintar kepada pengguna.

Kesan Penggunaan Telefon Bimbit Kepada Pelajar (Implikasi)

contoh karangan implikasi penggunaan telefon bimbit kepada pelajar

Sebagai pelajar adakah anda memiliki telefon bimbit sendiri atau hanya menggunakan telefon milik ibu atau bapa? Jika anda memilikinya, adakah ia memberi kesan yang positif atau negatif? Berikut dikongsikan contoh karangan sebagai panduan pelajar yang bertajuk, Kesan Penggunaan Telefon Bimbit Kepada Pelajar (Implikasi).

Kita tidak boleh nafikan bahawa memiliki satu peranti digital seperti telefon pintar adalah keperluan pada masa ini. Alat ini bukan sahaja mustahak untuk digunakan sebagai alat komunikasi tetapi juga berfungsi untuk membuat pembayaran online. Malah penggunaan aplikasi MySejahtera yang diwajibkan oleh kerajaan Malaysia dalam mendepani pandemik Covid-19 memerlukan setiap individu menggunakan telefon bimbit sebagai pengesahan status kesihatan masing-masing.

Contoh Karangan Kebaikan Dan Keburukan Penggunaan Telefon Bimbit Kepada Pelajar

Contoh karangan kesan penggunaan telefon bimbit kepada pelajar (Implikasi) di bawah merangkumi isi-isi penting yang berkaitan dan juga huraian dalam bentuk karangan penuh.

Isi-isi Penting

  1. Terdedah kepada pengaruh atau anasir yang tidak sihat
  2. Leka dengan bermain permainan video atau menonton kandungan hiburan
  3. Menjejaskan kesihatan pelajar khususnya kesihatan mata dan fizikal amnya
  4. Alat komunikasi utama pelajar antara keluarga, guru dan juga rakan-rakan
  5. Dapat mencari sumber rujukan tambahan untuk pelajaran
  6. Berpeluang untuk belajar secara interaktif melalui aplikasi-aplikasi yang menarik

Pendahuluan

Telefon adalah satu peranti yang dicipta oleh Alexander Graham Bell pada tahun 1876 untuk membantu manusia berkomunikasi pada jarak yang jauh. Sehingga hari ini, telefon telah berevolusi seiring dengan kemajuan sains dan teknologi dimana fungsi telefon iaitu untuk berhubung dengan manusia lain pada jarak yang jauh ditambah dengan pelbagai lagi fungsi-fungsi lain. Daripada hanya mendengar suara sahaja, kini kita boleh membuat panggilan video secara langsung dengan sesiapa sahaja tanpa mengira waktu dan tempat asalkan terdapat capaian telekomunikasi.

Perkembangan ini telah mengubah norma masyarakat kita kerana dahulu kala telefon hanya dimiliki oleh orang yang kaya dan berkepentingan sahaja tetapi sekarang hampir keseluruhan manusia memiliki sebuah telefon pintar termasuklah para pelajar. Apakah kesan penggunaan telefon bimbit kepada pelajar? adakah ianya memberikan manfaat atau sebaliknya? Untuk itu, mari kita bincang dan huraikan implikasi pemilikan telefon bimbit oleh pelajar.

Isi 1

Kesan buruk yang akan diperoleh pelajar jika menyalahgunakan telefon bimbit adalah mereka berisiko untuk terdedah kepada pengaruh atau anasir yang tidak sihat. Kehadiran teknologi Internet telah membuatkan pelbagai informasi dari seluruh pelusuk dunia disebarkan dan dicapai oleh sesiapa sahaja tanpa sebarang tapisan. Akibat daripada situasi ini, para pelajar yang terdiri daripada golongan remaja ingin mengambil tahu banyak perkara dan akan mudah dipengaruhi.

Sebagai contoh, budaya di negara asing yang banyak bergaul bebas dan tidak mempunyai pegangan agama yang kuat akan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pelajar. Kemudian mereka yang tidak mempunyai jati diri yang kuat akan terpengaruh dan terjebak dalam gejala-gejala sosial ini. Perkara ini berpunca hanya kerana mereka mempunyai telefon bimbit dan telah dicemari dengan anasir yang tidak baik. Intihannya, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar boleh menjadi duri dalam daging kerana ia mampu mempengaruhi mereka ke arah yang tidak diingini.

Isi 2

Di samping itu, telefon bimbit juga memberikan implikasi yang buruk kepada pelajar apabila mereka leka bermain permainan video atau menonton kandungan hiburan. Tidak dinafikan bahawa grafik dan video yang kita nikmati pada hari ini sangat menarik. Malahan terdapat permainan video yang memberikan grafik dan video secara empat dimensi dimana kita boleh merasai pengalaman bermain dengan lebih realistik. Kesan visual dan efek ini telah membuatkan para pelajar khususnya golongan muda lalai dan melupakan pembelajaran akademik mereka.

Sedangkan pendidikan adalah teras kepada kemajuan masyarakat untuk tampil bersaing dengan masyarakat global pada hari ini. Justeru, ibu dan bapa hendaklah memainkan peranan yang penting agar anak-anak tidak leka bermain permainan video atau menonton kandungan hiburan dan anak-anak pula mendengar nasihat ibu dan bapa serta tidak menjadi seperti mencurahkan air ke daun keladi.

Isi 3

Disebalik kesan-kesan negatif yang dihuraikan di atas, telefon bimbit sebenarnya memberikan pelbagai kebaikan jika diguna pakai dengan cara yang betul. Para pelajar seharusnya menggunakan telefon bimbit sebagai alat komunikasi mereka antara keluarga, guru dan juga rakan-rakan. Kemudahan ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh pelajar kerana jika dibandingkan pada zaman dahulu, cara untuk berkomunikasi adalah sukar dan memakan masa yang lama.

Dengan menggunakan telefon bimbit, pelajar boleh menghubungi rakan atau guru jika mempunyai masalah dalam melakukan tugasan yang diberikan atau tidak faham dalam sesuatu perkara. Bak kata pepatah, hendak belajar berenang dapatkan itik, hendak belajar memanjat dapatkan tupai. Manakala bagi pelajar yang berada di perantauan boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi keluarga yang jauh. Walaupun hanya dengan panggilan suara, ia dapat meningkatkan motivasi dan semangat pelajar ketika menghadapi peperiksaan dan juga hari hari biasa.

Isi 4

Selain itu, implikasi positif penggunaan telefon bimbit oleh pelajar adalah mereka dapat mencari sumber rujukan tambahan untuk tujuan pembelajaran mereka. Kita tidak mahu generasi muda seperti katak di bawah tempurung yang tidak mengetahui banyak perkara dan ketinggalan zaman. Kemudahan yang boleh dicapai hanya dengan menggunakan hujung jari hendaklah digunakan oleh pelajar untuk menambah ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk diri dan masa depan. Pengetahuan seperti cara menguruskan kewangan dan pengalaman bekerja adalah antara pengetahuan yang boleh didapati secara atas talian menggunakan telefon bimbit yang tidak boleh didapati di sekolah.

Pelajar juga boleh menambah kemahiran diri seperti memasak, membaiki peralatan dan juga membina perabot daripada barang terpakai dengan menggunakan telefon bimbit. Secara tidak langsung, situasi ini membuka minda pelajar terhadap pembelajaran di luar bilik darjah yang lebih interaktif dan juga memberi keseronokan kepada mereka yang berminat. Tegasnya, dengan penggunaan telefon bimbit yang betul, pelbagai manfaat yang mampu diperoleh seterusnya memberi faedah kepada pelajar.

Penutup

Secara tuntas, banyak pro dan kontra terhadap penggunaan telefon bimbit oleh pelajar. Namun begitu, jika ciptaan manusia seperti telefon bimbit ini lebih banyak memberikan kebaikan, kita seharusnya menggalakkan penggunaannya di samping menjauhkan kesan negatifnya. Setiap pihak hendaklah memainkan peranan dalam memastikan pelajar yang memiliki telefon pintar tidak menyalah guna peranti tersebut dan memanfaatkannya dengan sepenuh hati. Umum mengetahui bahawa pelajar merupakan tonggak masa hadapan negara maka jika ia tidak dibentuk dengan kaedah dan budaya yang baik maka buruklah padahnya. Ibarat peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya yang bermaksud mendidik anak sejak kecil adalah langkah terbaik. Diharapkan setiap ahli masyarakat membuka mata dan berganding bahu memastikan anak-anak muda memanfaatkan penggunaan telefon bimbit agar wawasan untuk mencapai kemajuan di masa hadapan dapat direalisasikan dengan jayanya.

Related : pelajaran mereka, kerana untuk mengatasinya, perkara penting, alat teknologi, kesimpulannya penggunaan telefon, untuk melayari, laman untuk bertanyakan, menyiapkan tugasan yang diberikan, untuk memilikinya, mengabaikan pelajaran, ahli keluarga, aplikasi permainan,