Kesan Pencemaran Kepada Manusia Dan Alam Sekitar

contoh karangan pencemaran kepada manusia dan alam sekitar

Tema berkaitan alam sekitar merupakan antara tema yang popular dalam penulisan karangan Bahasa Melayu. Sebagai pelajar, anda perlu memastikan bahawa anda fahami dahulu kehendak soalan dan menulis berdasarkan kehendak soalan dengan tepat. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh karangan Kesan Pencemaran kepada Manusia dan Alam Sekitar.

Isu semasa yang masih membelenggu masyarakat seperti isu pencemaran alam sekitar akan terus menjadi topik dalam pendidikan di sekolah. Hal ini kerana pelajar dapat mempelajari atau mengambil iktibar daripada perkara yang dibincangkan di samping menggunakan penguasaan dalam bahasa untuk menghuraikannnya. Ibarat pepatah melayu, sambil menyelam, minum air.

Contoh Karangan Kesan Pencemaran Kepada Manusia Dan Alam Sekitar

Berikut adalah isi-isi penting dan contoh huraian mengikut isi yang berkaitan dengan tajuk kesan kepada manusia dan alam sekitar akibat pencemaran untuk rujukan semua.

Isi-isi penting

  1. Terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan
  2. Mengancam punca rezeki para nelayan dan petani
  3. Tragedi bencana alam akan berlaku dengan lebih kerap
  4. Menyumbang kepada pemanasan global
  5. Habitat dan kelangsungan flora dan fauna terancam

Pendahuluan

Marcapada ini, nilai-nilai material semakin memberkas dan meluas dalam masyarakat global. Pembangunan yang pesat seperti cendawan tumbuh selepas hujan berlaku di hampir setiap sudut sesebuah negara sehingga menyebabkan pencemaran terhadap alam sekitar. Dalam dunia yang kaya dengan kajian sains dan teknologi, kebanyakan manusia memilih untuk mengejar kekayaan daripada memelihara satu-satunya alam yang kita boleh diami demi generasi masa hadapan.

Ketamakan dan kerakusan ini perlu dihentikan kerana pelbagai bencana alam dan kejadian yang luar biasa telah berlaku serta meragut nyawa-nyawa yang tidak berdosa. Perindustrian yang tidak menitik beratkan kesannya terhadap alam sekitar bukan sahaja mengancam planet ini tetapi juga semua penghuninya termasuklah kita. Oleh yang demikian, penting untuk kita jelaskan kesan-kesan terhadap manusia dan alam sekitar akibat pencemaran agar perkara ini dapat diubah dengan tindakan dan kesedaran daripada semua pihak.

Isi 1

Antara kesan utama pencemaran alam sekitar kepada manusia adalah terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan. Salah satu pencemaran yang mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan kepada kita adalah pencemaran udara. Sebagai manusia, kita bergantung kepada udara untuk membekalkan oksigen yang optimum bagi proses pernafasan. Apabila udara yang kita hirup dicemari dengan gas-gas kimia yang berbahaya, kita akan jatuh sakit kerana badan kita tidak boleh memproses kandungan udara yang telah tercemar.

Peristiwa ini persis dengan apa yang berlaku di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor. Terdapat individu yang tidak bertangguungjawab membuang sisa kimia ke sungai tersebut tanpa dirawat dahulu dan mengakibatkan kanak-kanak di kawasan berdekatan jatuh sakit. Peristiwa ini jelas menunjukkan kepada kita kesan apabila alam sekitar dicemari dengan perkara yang tidak sepatutnya berada di situ seperti sisa kimia dan sampah sarap. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat.

Isi 2

Di samping itu, pencemaran alam sekitar juga akan mengancam punca rezeki masyarakat kita khususnya bagi golongan nelayan dan para petani. Hal ini demikian kerana pencemaran sering kali berlaku di kawasan sungai dan pantai yang merupakan lokasi pertanian serta penangkapan hasil laut. Tumpahan minyak daripada kapal komersial di laut akan mencemari hidupan akuatik yang berpotensi menjadi punca rezeki kepada nelayan-nelayan yang menangkap ikan di laut lepas.

Apabila berlaku tumpahan minyak, hidupan akuatik tidak mendapat oksigen kerana permukaan air ditutupi dengan lapisan minyak. Manakala, kejadian banjir yang berlaku kerana pembalakan di kawasan hulu sungai akan mengakibatkan kawasan pertanian di persisiran sungai ditelenggami dan musnah. Kerugian yang tidak boleh diganti ini akan mengakibatkan nelayan dan petani hilang punca rezeki mereka. Tegasnya, pencemaran alam sekitar meninggalkan kesan yang teruk seperti nelayan dan petani hilang punca pendapatan mereka.

Isi 3

Dari sudut alam sekitar pula, pencemaran akan mengakibatkan tragedi bencana alam berlaku dengan lebih kerap. Saban tahun kita digelumangkan dengan kejadian banjir kilat dan banjir besar yang menimpa kawasan tertentu. Mangsa akan kehilangan tempat tinggal, kenderaan dan harta benda dalam sekelip mata sahaja. Jika bencana ini berlaku pada setiap tahun, mangsa yang terjejas tidak akan mempunyai masa untuk memulihkan keadaan hidup mereka dan menanggung kerugian sepanjang tahun.

Perkara yang memudaratkan masyarakat kita ini seharusnya dibendung dan pihak berkuasa perlu melaksanakan tindakan yang sepatutnya. Agenda pembangunan lestari dan teknologi mesra alam kini mudah untuk didapati dan hanya memerlukan implementasi yang menyeluruh di setiap peringkat. Bak kata pepatah, dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Intihannya, pencemaran akan menyebabkan bencana alam untuk berlaku dan kita terpaksan menanggung akibatnya.

Isi 4

Pada masa yang sama, pencemaran alam sekitar akan mengakibatkan pemanasan global atau kenaikan suhu bumi. Kerancakan sektor perindustrian dunia yang semakin pesat telah mencemari kandungan udara di dalam atmosfera sehingga menyebabkan penipisan lapisan ozon. Kesannya, cahaya matahari yang menembusi atmosfera akan terus sampai ke permukaan bumi. Selain meningkatkan suhu bumi, pancaran matahari ini akan mengakibatkan radiasi UV yang boleh menjadi asbab kepada penyakit kanser kulit dalam kalangan manusia.

Selain itu, pemanasan global akan menyebabkan peningkatan paras air laut kerana berlaku pencairan glasier di kutub utara dan selatan. Peningkatan paras air laut akan menenggelamkan kawasan-kawasan persisir pantai dan kebanyakan pusat pelancongan kita seperti pantai dan pulau turut terancam. Natijahnya, pencemaran alam sekitar menyumbang kepada pemanasan global dan kenaikan suhu bumi.

Penutup

Kesimpulannya, pencemaran meninggalkan pelbagai kesan kepada manusia dan alam sekitar. Kita telahpun menanggung beberapa kesan tersebut pada hari ini kerana perubahan yang diharap masih belum menjelma. Justeru, semua pihak perlu menjalankan obligasi masing-masing dalam memastikan pencemaran alam sekitar dibendung dan setiap tindakan kita tidak menyumbang kepada pencemaran untuk berlaku. KIta perlu bersikap proaktif dan saling bantu-membantu untuk mengelakkan pencemaran daripada berulang. Persis Peribahasa Melayu,, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Semoga wawasan untuk memajukan negara seiring dengan tindakan yang diambil untuk memelihara kesejahteraan masa kini demi kepentingan generasi akan datang.

Related : punca pencemaran, bahan pencemar, pencemaran air, secara semulajadi, langkah langkah mengatasi, sesak nafas, kawasan bandar, mengatasi pencemaran alam, mengelakkan masalah, tumbuh tumbuhan, arang batu, hujan asid, sumber air, pelupusan sampah, kesihatan manusia,