Kepentingan TVET Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional. Contoh karangan kelebihan sambung belajar dalam bidang kemahiran selepas spm.

Kepentingan TVET Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional

Contoh Karangan Kepentingan TVET Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional

Adakah anda merupakan salah seorang pelajar yang menyertai aliran pendidikan teknikal dan latihan vokasional? Sekiranya ya, pasti anda boleh kaitkan soalan dan memberikan jawapan yang menarik kepada persoalan yang diutarakan di bawah. Bagi pelajar aliran lain pula, berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan TVET Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional sebagai rujukan.

Untuk makluman, TVET merupakan proses pendidikan dan latihan yang berhala tuju dengan pekerjaan dan penekanan uatam terhadap amalan dalam industri. Hasilnya, tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang tertentu dapat dibentuk serta memenuhi kehendak industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kemahiran praktikal merupakan kelebihan yang bakal dimiliki oleh lepasan TVET dan menarik minat majikan berbanding lulusan program akademik.

Contoh Karangan Kepentingan TVET Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional

Perkongsian berkenaan contoh karangan Kelebihan menyambung pengajian dalam bidang TVET Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional di bawah merangkumi isi-isi penting dan huraian yang menjelaskan isi-isi tersebut dengan jelas dan terperinci.

Isi-isi penting

  1. Membuka peluang kepada pelajar yang kurang cemerlang
  2. Melahirkan tenaga kerja yang mahir dalam bidang teknikal
  3. Meningkatkan daya saing dan potensi industri dalam negara
  4. Sebagai alternatif kepada pendidikan pengajian tinggi

Pendahuluan

Sejak meniti arus kemerdekaan, negara kita telah mencapai pelbagai kemajuan dalam sektor dan industri tertentu. Antaranya adalah sektor pendidikan negara yang berkembang sejajar dengan pertumbuhan tanah air sebagai negara membangun. Jumlah graduan yang dihasilkan oleh Institusi Pengajian Tinggi awam dan swasta setiap tahun mencerminkan kemampuan generasi muda kita untuk mendapatkan pendidikan pada tahap tertiari demi merebut peluang pekerjaan.

Namun begitu, kebelakangan ini pihak kerajaan telah menggalakkan lebih ramai golongan muda untuk menyertai Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional atau dikenali sebagai TVET. Hal ini kerana, negara memerlukan tenaga kerja yang bertepatan dengan kehendak industri yang semakin membangun di Malaysia secara khususnya. Oleh yang demikian, mari kita kupas apakah kelebihan TVET Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional agar generasi muda yang digalakkan untuk sertai mendapat manfaatnya.

Isi 1

Kepentingan utama pendidikan teknikal dan vokasional adalah untuk membuka peluang kepada pelajar yang kurang cemerlang dalam bidang akademik. Umum mengetahui bahawa dalam usaha untuk mendapatkan peluang pekerjaan profesional seperti doktor perubatan, jurutera dan akauntan memerlukan pelajar mendapat keputusan yang cemerlang dalam bidang akademik masing-masing. Sebaliknya, terdapat anak-anak yang tidak mampu untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dan sebaliknya lebih meminati pekerjaan yang berkaitan dengan teknikal dan vokasional.

Misalnya dalam bidang kulinari di mana pelajar yang menyertai TVET berpeluang untuk mempelajari bagaiman untuk menjadi seorang chef secara praktikal. Peluang dan ruang ini secara tidak langsung memberikan gambaran kepada pelajar bagaimana corak pekerjaan mereka pada masa hadapan dan seterusnya mampu mencari pekerjaan sejurus tamat pembelajaran. Tuntasnya, pendidikan dan latihan vokasional adalah penting demi memberi peluang kepada pelajar yang tidak cemerlang dalam bidang akademik.

Isi 2

Selain itu, pendidikan teknikal dan latihan vokasional penting untuk melahirkan tenaga kerja yang mahir dalam bidang teknikal dan tertentu. Sebagai contoh, pelajar boleh memilih untuk mempelajari bidang seperti pertukangan, kimpalan, elektrikal, kulinari, perhotelan dan juga automotif. Bidang-bidang ini memerlukan pekerja yang mahir dalam aspek teknikalnya supaya kerja di setiap peringkat dilaksanakan dengan baik. Apabila pelajar mempunyai kemahiran teknikal seperti dalam bidang automatif, mereka dapat bekerja sebagai mekanik di kedai-kedai servis kenderaan ataupun membuka sendiri pusat servis kenderaan.

Begitu juga dengan graduan dalam bidang kulinari yang boleh membuka restoran sendiri apabila berkemampuan. Secara tidak langsung, pendidikan TVET juga mampu menghasilkan usahawan tempatan yang menyediakan servis terbaik untuk masyarakat setempat. Intihannya, penting untuk kita memperkasa pendidikan teknikal dan latihan vokasional demi melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan kompeten

Isi 3

Pada waktu yang sama, potensi industri dalam negara dan daya saing dalam kalangan tenaga kerja dapat ditingkatkan dengan pendidikan TVET. Jerman merupakan antara contoh negara maju yang memartabatkan pendidikan teknikal dan vokasionalnya sehingga melahirkan tenaga kerja yang baik seterusnya menghasilkan jenama terkenal di dunia iaitu Mercedes-Benz, BMW dan Volkswagen. Mereka melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam industri yang mereka kuasai dan membawa jenama negara mereka ke tahap antarabangsa dan diketahui segenap pelusuk dunia.

Jika kita ingin menaikkan imej negara di tahap dunia, maka usaha untuk meningkatkan pendidikan teknikal dan latihan vokasional wajar disokong dengan penuh komitmen. Mungkin satu hari nanti negara kita mampu menghasilkan sebuah pasukan permotoran yang bersaing di peringkat tertinggi iaitu Formula One dan Moto GP. Tegasnya, kepentingan pendidikan teknikal dan vokasional bukan sahaja untuk golongan pelajar tetapi juga penting untuk meningkatkan kemampuan negara untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.

Isi 4

Dari sudut pandang yang lain, pendidikan teknikal dan latihan vokasional ini penting sebagai alternatif kepada pendidikan tertiari yang tidak meyakinkan. Dalam mendepani situasi ekonomi yang tidak menentu ketika ini, golongan pelajar tersepit untuk meneruskan pelajaran di peringkat pengajian tinggi atau bekerja demi mendapatkan wang untuk membantu sara hidup diri dan keluarga. Oleh itu, pendidikan teknikal dan latihan vokasional ini mustahak sebagai alternatif kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk menyambung pelajaran di universiti atau kolej dan mampu untuk mendapatkan pekerjaan secara terus selepas tamat pengajian. Malahan golongan pelajar TVET kini diiktiraf setaraf dengan pemegang diploma dan mampu mendapatkan gaji yang bermaruah. Bak kata pepatah,  di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan. Izharnya, pendidikan TVET penting sebagai alternatif kepada aliran pengajian lain yang tidak menepati situasi atau minat seseorang.

Penutup

Kesimpulannya, pelbagai kepentingan pendidikan teknikal dan latihan vokasional bukan sahaja untuk pelajar tetapi juga untuk negara. Selaras dengan revolusi industri yang bakal mendatang serta penggunaan teknologi dalam rutin kehidupan kita, wajar untuk kita memperkasa TVET. Sebagai rakyat yang ingin melihat negara kita berkembang maju dan bercambah dalam pelbagai industri yang dicipta pada masa ini, pihak bertanggungjawab seperti pemimpin negara wajar memperkenalkan dasar pendidikan yang seiring dengan kehendak industri masa kini dan masa hadapan.

Hasilnya nanti kadar pengangguran berkurangan dan rakyat mampu untuk bekerja dalam setiap peluang yang diberikan berdasarkan latar belakang pendidikan masing-masing. Hasil kerja yang bermutu tinggi juga akan diperoleh kerana golongan tenaga kerja yang betul-betul mahir atau pakar dalam bidangnya melakukan kerja bukan seperti bidang terjun yang mengucar-ngacirkan tanggungjawabnya. Semoga segala inisiatif mendukung pendidikan teknikal dan vokasional disokong secara seimbang dengan aliran pendidikan yang lain.

Related : bidang tvet mempunyai, ibu bapa, kolej komuniti, menyambung pengajian, melanjutkan pengajian,