Kepentingan Kegiatan Kokurikulum Kepada Pelajar. Contoh karangan faedah menyertai aktiviti koko untuk murid di sekolah.

Kepentingan Kegiatan Kokurikulum Kepada Pelajar

Kepentingan Kegiatan Kokurikulum Kepada Pelajar

Salah satu aktiviti yang menarik minat pelajar untuk hadir ke sekolah adalah aktiviti kokurikulum. Berbeza dengan kurikulum, kokurikulum membolehkan pelajar untuk keluar dari bilik darjah dan bergaul dengan rakan yang berbeza kelas, umur dan latar belakang tetapi mempunyai minat yang sama. Pelajar boleh memilih untuk menyertai sukan, persatuan kelab atau pasukan seragam masing-masing. Oleh itu, berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan kegiatan kokurikulum kepada pelajar untuk rujukan semua.

Untuk makluman semua, Akta Pendidikan 1996 (Akta 55) telah mewartakan kegiatan kokurikulum sebagai salah satu kegiatan wajib disertai oleh pelajar di institusi pengajian tinggi. Seiring dengan akta tersebut, aktiviti kokurikulum telah diperkenalkan sejak di peringkat sekolah rendah. Walaupun terdapat perbezaan pendapat tentang penganjuran aktiviti ini namun kepentingannya memberikan faedah yang sangat berguna kepada pelajar dan mereka yang akan rugi jika tidak melibatkan diri dalam salah satu aktiviti kokurikulum.

Contoh Karangan Kepentingan Kegiatan Kokurikulum Kepada Pelajar

Di bawah dikongsikan contoh karangan faedah menyertai aktiviti kokurikulum dan isi-isi penting yang berkaitan dengan tajuk Faedah Menyertai Aktiviti Kokurikulum Kepada Murid.

Pelajar boleh merujuk isi-isi penting dan cuba menghuraikan mengikut gaya penulisan masing-masing.

Isi-isi penting

  1. Mengembangkan kemahiran diri dan nilai seorang pelajar
  2. Meningkatkan kesihatan fizikal dan mental
  3. Memupuk minat dan menyerlahkan bakat yang dimiliki
  4. Mengukuhkan hubungan dan pergaulan antara satu sama lain
  5. Memanfaatkan masa terluang dengan aktiviti berfaedah
  6. Memupuk daya kepimpinan dalam kalangan pelajar

Pendahuluan

Definisi kokurikulum merujuk kepada aktiviti-aktiviti luar bilik darjah yang dilaksanakan di sekolah selain daripada pembelajaran akademik. Aktiviti ini merangkumi pelbagai bidang seperti sukan, kelab, persatuan dan kumpulan atau pasukan pakaian beruniform. Misalnya menyertai kumpulan beruniform pengakap, salah satu kumpulan beruniform yang terkenal dalam kalangan orang ramai kerana ia mempunyai kumpulan di seluruh dunia. Ia adalah satu aspek penting dalam sistem pendidikan yang memberi dimensi lain atau dinamik kepada suasana persekolahan di Malaysia.

Kebanyakan pelajar seronok untuk mengikuti aktiviti kokurikulum kerana mereka tidak perlu duduk di dalam kelas dan fokus sepenuhnya kepada guru. Malah mereka boleh menjalankan aktiviti kokurikulum tersebut tanpa bimbingan menyeluruh daripada guru. Tanpa disedari oleh pelajar, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum memberikan pelbagai manfaat yang berguna. Oleh yang demikian, kita perlu bincang dan ketahui signifikan aktiviti kokurikulum yang diadakan di sekolah kepada para pelajar.

Isi 1

Salah satu kepentingan utama kegiatan kokurikulum adalah ia membantu dalam pengembangan pelbagai kemahiran diri. Semasa kita terlibat dalam aktiviti luar bilik darjah, kita akan belajar tentang kepimpinan, kerjasama pasukan, komunikasi, dan pengurusan masa. Contohnya, jika kita menjadi ketua dalam sukan atau kelab, kita perlu memimpin dan mengatur aktiviti dengan cekap. Pastikan rakan-rakan lain mendengar arahan dan melaksanakan aktiviti mengikut ketetapan atau undang-undang.

Kokurikulum juga membantu dalam pembentukan karakter dan pupukan nilai-nilai positif. Aktiviti seperti kembara, program khidmat masyarakat dan perkhemahan memupuk sikap kepimpinan, kerjasama dan kebertanggungjawaban. Ia mengajar kita tentang nilai-nilai seperti kesederhanaan, keterampilan, dan empati. Ini membentuk keupayaan kita dalam menguruskan tanggungjawab, sesuatu yang berguna dalam kehidupan seharian dan masa depan serta menjadi individu yang berwawasan dan bertanggungjawab.

Isi 2

Di samping itu, aktiviti sukan dalam kokurikulum adalah cara yang baik untuk meningkatkan kesihatan fizikal dan mental para pelajar. Semasa kita berlatih dan bermain sukan, kita mengikut rutin yang ditetapkan untuk menggerak-gerikan tubuh badan sekaligus menjaga kecergasan tubuh kita. Kesihatan fizikal yang baik akan membantu kita bertenaga dan bermaya dalam aktiviti harian serta meningkatkan daya tumpuan kita semasa pembelajaran.

Tambahan pula, kokurikulum juga membantu dalam peningkatan kesihatan mental. Aktiviti seperti seni, persembahan dan perbualan awam membantu kita meluahkan emosi dan meningkatkan keyakinan diri. Pelajar yang berasa tertekan dengan pembelajaran akademik boleh melakukan aktiviti kokurikulum sebagai salah satu cara untuk bertenang dan merehatkan minda. Izharnya, aktiviti kokurikulum penting untuk meningkatkan kesihatan fizikal dan mental.

Isi 3

Dari sudut pandang yang berbeza, setiap pelajar pasti memiliki minat dan bakat yang tersendiri. Kokurikulum memberi peluang kepada pelajar untuk mengenalpasti minat dan bakat mereka dengan menyertai kelab atau aktiviti seperti seni lukisan, muzik, atau sukan tertentu. Pelajar akan dibimbing oleh guru untuk menyerlahkan bakat dan mendapat ruang yang selesa bagi memilih aktiviti kokurikulm yang menarik hati dan nurani masing-masing.

Sebagai contoh, pelajar yang meminati muzik berpeluang untuk mempelajari muzik dengan menyertai kelab muzik atau pancaragam sekolah pada waktu kokurikulum. Dengan mengejar minat yang kita gemari, kita dapat mencapai pencapaian yang tinggi dalam bidang tersebut. Persis kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Intihannya, kokurikulum dapat membantu pelajar mengenal pasti minat dan bakat mereka di usia muda lagi.

Isi 4

Akhir sekali, kokurikulum juga membuka pintu kepada peluang untuk berkenalan dengan rakan-rakan dari pelbagai latar belakang. Apabila kita menyertai kelab atau persatuan, kita akan berinteraksi dengan pelajar-pelajar yang berkongsi minat yang sama. Situasi ini secara tidak langsung telah membina rangkaian sosial yang lebih luas. Bayangkan jika pelajar hanya bergaul dengan rakan sekelas sahaja, perkembangan minda mereka mungkin akan terbatas dan terhad.

Aktiviti kokurikulum secara tidak langsung dapat membantu pelajar memahami budaya dan pandangan yang berbeza. Dalam mendepani abad ke-21 ini, perkara seperti ini sangat signifikan dalam mengukuhkan perpaduan antara kaum di Malaysia lebih-lebih lagi dalam kalangan golongan muda. Tuntasnya, kokurikulum penting untuk menambah kenalan dan mengukuhkan perpaduan antara satu sama lain.

Penutup

Secara kesimpulan, kegiatan kokurikulum adalah penting dalam pengalaman seorang pelajar. Sebagai seorang pelajar, kita perlu mengambil kesempatan sepenuhnya untuk terlibat dalam aktiviti kokurikulum yang menarik minat masing-masing. Ia bukan hanya memperkayakan pengalaman kita di sekolah, tetapi juga membentuk kita menjadi individu yang lebih baik untuk masa depan. Persis kata peribahasa Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Semoga guru-guru memberi peluang yang baik kepada semua pelajar untuk mencuba aktiviti yang menepati personaliti masing-masing dan mendapat manfaat yang memberi 1001 pengajaran berguna kepada mereka. Seterusnya melahirkan pelajar yang serba boleh, cemerlang dan seimbang dari semua sudut akademik, sosial, rohani dan intelek.

Related : aktiviti yang dijalankan, ibu bapa, memegang sesuatu jawatan, pelbagai kaum seperti melayu cina india
pendapat serta bekerjasama, pelajar menyertai, bekerjasama dalam melakukan sesuatu aktiviti, berbincang untuk bertukar, masa lapang, masa hadapan, anak anak, menjadi ketua dan menguruskan aktiviti persatuan, sukan dan permainan, pihak sekolah hendaklah mengadakan aktiviti, pengerusi setiausaha bendahari ahli,