Kepentingan Internet Dan Telefon Pintar Kepada Anda

contoh karangan kepentingan telefon pintar dan internet

Masyarakat pada zaman alaf milenium ini, menikmati pelbagai kemudahan berbanding masyarakat zaman dahulu. Perkembangan sains dan teknologi telah banyak membantu memudahkan kehidupan masyarakat. Antara kemudahan yang dinikmati adalah telefon pintar dan juga Internet. Sebagai rujukan, di bawah dikongsikan kepentingan Internet dan telefon pintar kepada anda (kebaikan kepada masyarakat).

Telefon pintar adalah sebuah peranti yang memberikan pelbagai fungsi kepada penggunanya seperti untuk berkomunikasi, mengambil gambar atau video dan bermain permainan video. Peranti yang telah menjadi satu keperluan pada masa ini memberikan banyak kepentingan dan kemudahan kepada kita malah telah menjadi asbab perubahan norma masyarakat.

Contoh Karangan Kepentingan Internet Dan Telefon Pintar Kepada Anda

Berikut dikongsikan contoh karangan kebaikan Internet dan telefon pintar kepada masyarakat masa kini sebagai rujukan. Pelajar boleh menambah baik huraian dan memberikan isi-isi penting yang dirasakan lebih sesuai untuk penulisan pelajar.

Isi-isi penting

  1. Memudahkan cara komunikasi antara satu sama lain
  2. Memberikan akses kepada informasi dengan cepat dan tepat
  3. Memastikan keselamatan wang dan urusan jual beli
  4. Membuka peluang pemasaran dan pertumbuhan perusahaan
  5. Melahirkan masyarakat yang bersifat global
  6. Membantu pengumpulan data dan maklumat dengan lebih tepat

Pendahuluan

Dalam meniti arus modenisasi pada hari ini, kita perlu cakna dengan perkembangan teknologi dan sains supaya tidak ketinggalan. Evolusi teknologi seperti telefon yang dahulunya adalah satu peranti untuk orang mewah sahaja tetapi kini menjadi satu peranti yang wajib dimiliki oleh setiap individu. Situasi ini berlaku disebabkan perkembangan teknologi telefon dan Internet yang telah digabungkan fungsinya dan memberikan perkhidmatan yang baik untuk manusia. Namun begitu, setiap perkara pasti ada pro dan kontranya.

Peribahasa Melayu berkata, buang yang keruh, ambil yang jernih. Justeru, sebagai masyarakat madani, kita perlu menggunakan kemudahan yang kita miliki untuk perkara-perkara yang bermanfaat. Sebagai satu perbincangan, mari kita huraikan kebaikan Internet dan telefon pintar kepada semua.

Isi 1

Fungsi dan kepentingan utama Internet dan telefon pintar adalah memudahkan cara berkomunikasi antara satu sama lain. Semua sedia maklum telefon digunakan untuk kita berkomunikasi dengan individu lain yang berada jauh dan mempunyai pelbagai batasan. Dengan terciptanya telefon pintar serta penggunaan teknologi Internet, kita boleh berkomunikasi bukan sahaja dengan panggilan suara tetapi juga melalui hantaran mesej dan panggilan video.

Kita boleh menyaksikan secara langsung individu yang ingin dihubungi dan berkongsi suasana atau apa sahaja yang boleh dilihat secara visual dan didengar melalui bunyi. Kemudahan ini penting dan telah mengubah banyak norma kehidupan masyarakat. Antaranya pembelajaran secara atas talian dapat dilaksanakan walaupun kita menghadapi pandemik kesihatan yang memerlukan kita untuk berkuarantin di rumah. Fenomena ini membuktikan bahawa Internet dan telefon pintar adalah penting bagi tujuan komunikasi antara satu sama lain.

Isi 2

Kepentingan lain telefon pintar dan teknologi Internet adalah memberikan akses kepada informasi dengan cepat dan tepat. Pada era globalisasi hari ini, hampir segala maklumat telah dimuat naik ke alam maya dimana kita boleh mencari dan mengakses pada bila-bila masa di mana sahaja. Kita hanya perlu melayari Internet dan mencari maklumat yang dikehendaki di mana-mana carian enjin seperti Google. Namun begitu, kesahihan dan kredibiliti maklumat tersebut tidak boleh dipercaiyai bulat-bulat kerana sesiapa sahaja mempunyai akses untuk memuat naik sebarang maklumat.

Sebagai pengguna, kita perlu memastikan segala sumber maklumat adalah sahih dan boleh dipercayai. Sebagai contoh, maklumat daripada laman web rasmi kerajaan, akhbar atau stesen televisyen serta perkongsian daripada pakar atau individu yang bekerja dalam bidang pengetahuan terhadap perkara yang dikongsikan. Penggunaan aplikasi seperti Twitter dan Facebook di telefon pintar telah menjadikan proses penyampaian maklumat lebih pantas daripada mana-mana kaedah sebelum ini.

Isi 3

Di samping itu, keselamatan wang dan urusan jual beli dapat dijamin dengan penggunaan telefon pintar dan Internet. Hal ini demikian kerana pengenalan perbankan atas talian serta penjualan atas talian atau dikenali sebagai e-dagang telah memberikan pengguna satu alternatif yang baharu. Apabila kita menggunakan perbankan atas talian, kita tidak perlu mengeluarkan duit secara fizikal di bank dan membawanya bersama risiko dicuri atau disamun oleh penjenayah.

Sebaliknya kita boleh menggunakan telefon pintar yang lengkap dengan ciri keselamatan seperti proses identifikasi dan verifikasi sebelum kita melakukan sesuatu transaksi. Secara langsung, keselamatan diri dan wang kita terjamin. Manakala penjualan atas talian pula memudahkan kita untuk membeli atau menjual barangan tanpa perlu ke premis perniagaan yang memakan masa. Bak kata pepatah, masa itu emas. Justeru, masa dapat dijimatkan dengan menjalankan urusan perbankan atau jual beli secara atas talian hanya dengan menggunakan telefon pintar dan Internet.

Isi 4

Sebagai masyarakat yang berminda kelas pertama, telefon pintar dan Internet adalah penting untuk membuka peluang pemasaran dan pertumbuhan perusahaan. Tamsilnya, penggunaan media sosial telah menjadi salah satu keperluan setiap individu di Malaysia khususnya. Sebarang perusahaan boleh menggunakan media sosial untuk mengiklankan produk atau perkhidmatan yang disediakan. Dengan kemudahan yang boleh diakses secara percuma ini membantu pertumbuhan perusahaan tersebut sekiranya mendapat maklum balas yang baik dan testimoni boleh dikongsikan di akaun media sosial masing-masing.

Seiring dengan pertumbuhan e-dagang, setiap perusahaan sewajarnya perlu aktif dalam penggunaan Internet untuk meningkatkan capaian pemasaran serta kekal relevan untuk masa ini. Izharnya, penggunaan telefon pintar dan Internet adalah penting untuk perkembangan perusahaan sama ada kecil atau besar secara domestik dan juga antarabangsa.

Penutup

Sebagai kesimpulan kepada perbincangan di atas, banyak kepentingan telefon pintar dan Internet kepada kita. Masyarakat yang inteligensia seharusnya menggunakan kelebihan yang dimiliki melalui penggunaan telefon pintar dan Internet untuk menambah baik setiap segi dalam kehidupan. Setiap pihak berperanan untuk memastikan penggunaan telefon pintar dan Internet digunakan sebaiknya oleh ahli masyarakat supaya keharmonian dan perpaduan rakyat kekal utuh. Peribahasa Melayu ada berkata, yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran. Dalam mengejar kemajuan, kita hendak sentiasa memastikan masyarakat kita kaya dengan jati diri serta berminda kelas pertama agar etika dan sikap yang terbaik menjadi contoh kepada masyarakat lain di dunia.

Related : untuk mengetahui, hujung jari, teknologi maklumat, menggunakan aplikasi, e mel, menjimatkan masa, sosial seperti facebook, untuk menggunakan, katak di bawah tempurung, untuk menjadi, pihak sekolah, untuk membantu,