Kepentingan Hutan Kepada Kehidupan/ Manusia. Contoh karangan antara kepentingan perdana adalah untuk mengawal suhu bumi.

Kepentingan Hutan Kepada Kehidupan/ Manusia

Contoh Karangan Kepentingan Hutan Kepada Kehidupan Manusia

Karangan bertemakan alam sekitar adalah salah satu tema yang sering digunakan sebagai soalan kepada para pelajar. Anda seharusnya mempunyai pengetahuan am yang baik untuk menjawab soalan yang berkaitan supaya fakata dan huraian yang diberikan adalah tepat serta menepati kehendak soalan. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan hutan kepada kehidupan/ manusia.

Malaysia yang terletak di garisan khatulistiwa mempunyai iklim panas dan sejuk sepanjang tahun serta mempunyai kelembapan yang tinggi. Oleh sebab itu, kita ditumbuhi dengan pelbagai tumbuhan yang kemudian menjadi lapisan hutan menghiasi kawasan gunung-ganang di negara kita. Dalam mengejar pembangunan, kawasan hutan sering kali terkorban dan diancam sehinggakan kita lupa bahawa khazanah alam ini sangat signifikan kepada kehidupan manusia dan makhluk lain di muka bumi ini.

Contoh Karangan Kepentingan Hutan Kepada Kehidupan/ Manusia

Malaysia merupakan negara yang amat bertuah kerana memiliki hutan hujan tropika semula jadi yang kaya dengan kepelbagaian sumber biologi. Hutan tropika ini merupakan khazanah negara yang tidak ternilai yang menyediakan habitat semula jadi flora dan fauna, perkhidmatan ekosistem dan produknya. Malaysia komited untuk terus mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara sebagai hutan dan litupan pokok.

Pengurusan hutan secara berkekalan adalah pendekatan holistik yang melibatkan faktor-faktor seperti keseimbangan ekologi, ekonomi dan sosio-budaya yang berkaitan dengan hutan. Ia turut merangkumi aspek perlindungan biodiversiti, ekosistem semula jadi oleh hutan, dan langkah mitigasi beberapa kesan daripada perubahan iklim. Oleh itu, hutan hendaklah dinilai bukan untuk tujuan kayu-kayan semata-mata. Piawaian Malaysian Criteria and Indicators for Sustainable Forest Management (MC&I SFM) adalah untuk memastikan hutan diuruskan secara lestari. Pensijilan tersebut adalah proses mengikut kehendak sukarela oleh pihak ketiga yang mengenal pasti dan mengesahkan hutan yang diurus dengan baik.

Ikuti perkongsian contoh karangan berkaitan Pentingnya Hutan Kepada Kehidupan serta Manusia di bawah beserta isi-isi penting yang boleh dirujuk. Para pelajar digalakkan untuk mengolah sendiri penulisan karangan masing-masing menggunakan isi dan hujah yang lebih baik dan menepati kehendak soalan yang diberikan.

Isi-isi penting

  • Memberi keseimbangan kepada ekosistem dunia
  • Merupakan habitat flora dan fauna
  • Sebagai pusat tadahan hujan
  • Sebagai kawasan eko pelancongan
  • Bekalan bahan mentah dan perubatan
  • Bertindak sebagai penghalang hakisan tanah

Pendahuluan

Umum mengetahui bahawa hutan merupakan anugerah semula jadi daripada Tuhan yang tiada galang gantinya. Hutan lazimnya memerlukan masa yang lama untuk tumbuh dan berkembang dan menjadi suatu ekosistem yang lengkap dan penting untuk kita yang mendiami bumi ini. Di Malaysia, hampir 60 hingga 70 peratus bentuk muka bumi diliputi kawasan hutan yang menyumbangkan pelbagai kepentingan kepada masyarakat sejagat.

Namun begitu, kawasan-kawasan hutan sering kali diceroboh dan digondolkan demi kepentingan untuk mendapat keuntungan daripada pembangunan. Situasi ini memberikan banyak impak yang negatif kepada kita seperti kejadian tanah runtuh, banjir kilat dan kenaikan suhu bumi dari hari ke hari. Oleh sebab itu, penting untuk kita pelajari serta mengetahui pentingnya hutan kepada kehidupan dan manusia supaya khazanah alam ini lebih dihargai oleh kita semua.

Isi 1

Salah satu kepentingan paling utama hutan kepada kehidupan dan manusia adalah ia berfungsi untuk memberi keseimbangan kepada ekosistem bumi ini. Hutan yang terdiri daripada ribuan malah jutaan pokok berperanan untuk menstabilkan peratusan oksigen di permukaan bumi dengan menyerap kardbon dioksida dan melepaskan gas oksigen. Proses yang bernama fotosintesis ini sangat penting supaya kita dapat bernafas dengan selesa serta suhu di permukaan bumi tidak panas hasil daripada pancaran matahari.

Tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh orang tertentu yang menceroboh kawasan hutan dan menebang pokok demi kepentingan sendiri akan menyebabkan kita kekurangan pokok untuk menyerap karbon dioksida yang meningkat dari hari ke hari. Penanaman semula pokok perlu dilaksanakan dengan kerap supaya isu pemanasan global yang mengancam pelbagai masalah ekosistem serta perubahan cuaca di bumi ini dapat dikurangkan. Jelaslah bahawa hutan penting dalam menstabilkan ekosistem bumi yang kita diami pada hari ini.

Isi 2

Hutan juga merupakan habitat flora dan fauna. Sebagai manusia, fitrah kita untuk mendapatkan makanan daripada sumber flora dan fauna. Tetapi, perkembangan dunia sains dan teknologi telah banyak membantu kita untuk menghasilkan sumber makanan baharu secara komersial tanpa memusnahkan hutan untuk perladangan. Pokok-pokok serta haiwan liar perlu dipelihara khususnya habitat mereka demi kelansungan spesis-spesis yang diancam kepupusan.

Ketika ini, Kawasan Hutan Simpan Belum, Perak merupakan satu-satunya hutan simpan di Semenanjung Malaysia yang mempunyai bunga pakma atau rafflesia. Khazanah alam seperti ini perlu dipelihara untuk tatapan masyarakat akan datang dan mencerminkan kekayaan alam semula jadi yang kita miliki. Natijahnya, hutan perlu dipelihara kerana ia merupakan habitat flora dan fauna yang memberikan kepentingan kepada ekosistem bumi dan juga kehidupan kita sebagai manusia.

Isi 3

Pada masa yang sama, hutan juga penting untuk berfungsi sebagai pusat tadahan hujan. Tahukah anda bahawa sumber air yang kita gunakan untuk mandi, minum dan melakukan aktiviti cucian di rumah berpunca dari kawasan hutan? Hujan yang lazimnya turun dengan lebat di kawasan hutan akan mengalirkan airnya ke dalam sungai-sungai dan diproses di pusat rawatan air sebelum disalirkan kepada kita sebagai pengguna di rumah.

Maka, jika hutan dimusnahkan, digondolkan malah dicemari dengan bahan-bahan terlarang, ia akan menjejas sumber air yang kita nikmati pada hari ini. Kegiatan seperti pembalakan haram perlu dibanteras dan pesalah dihukum dengan hukuman yang berat kerana mengancam sumber utama air kita. Dalam masa yang sama juga, hutan yang dimusnahkan akan mengakibatkan tanah runtuh atau banjir kilat kerana tanah tidak mempunyai akar pokok yang menyokong kedudukannya sebelum ini. Justeru, bagi mengelakkan bencana alam dan gangguan bekalan air, kita perlu memelihara hutan kita dengan komited.

Isi 4

Akhir sekali, hutan sangat penting kepada manusia khususnya di Malaysia adalah sebagai kawasan eko pelancongan. Sektor pelancongan di negara kita merupakan antara penyumbang ekonomi yang besar dan memberi impak kepada penduduk kawasan luar bandar. Hal ini kerana kita di Malaysia dikurniakan dengan keindahan alam semula jadi yang pelbagai dan menjadi tarikan kepada pelancong asing khususnya daripada Eropah dan Asia Barat.

Kecantikan panorama di pantai dan pulau-pulau, kehijauan yang mengelilingi Banjaran Titiwangsa dan Puncak Gunung Kinabalu menawan hati pelancong-pelancong untuk berkunjung di Malaysia. Aktiviti persiaran di dalam kawasan hutan-hutan simpan yang berusia jutaan tahun menjadi pilihan pelancong untuk mengamati keindahan alam semula jadi dengan lebih dekat. Tuntasnya, hutan merupakan salah satu sektor pelancongan yang penting kepada negara kita dan masyarakat setempat.

Penutup

Konklusinya, hutan merupakan aset yang sangat penting kepada semua jenis kehidupan di muka bumi ini. Kita seharusnya menghargai khazanah ini dengan lebih baik dan menjauhi segala ancaman yang akan memusnahkan hutan-hutan. Pemimpin negara perlu melaksanakan dasar pembangunan yang lebih lestari dan memastikan hutan di negara kita dipelihara dan dipulihara supaya segala kepentingan yang telah dihuraikan terjamin dengan baiknya. Pepatah Melayu ada mengatakan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jika kita benar-benar sedar bahawa kita hanyalah pemegang amanah kepada generasi akan datang, pasti kita akan melakukan sedaya upaya kita untuk memelihara sumber-sumber penting untuk generasi akan datang meneruskan kehidupan mereka dengan sentosa. Marilah kita bersama-sama mendukung tindakan pemeliharaan hutan kita sebelum terlambat kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Rel : kerana akar, menjadi habitat, hutan hujan tropika, hutan paya bakau, taman negara, kehilangan kawasan, air hujan,