Kepentingan Negara Menjalinkan Hubungan Baik Dengan Negara Luar. Contoh karangan Kepentingan Hubungan Luar Malaysia.

Kepentingan Negara Menjalinkan Hubungan Baik Dengan Negara Luar

contoh karangan kepentingan negara menjalin hubungan baik dengan negara luar

Di sekolah, para pelajar digalakkan untuk menjaga hubungan yang baik sesama rakan sekelas, guru dan kakitangan sekolah. Begitu juga dalam kehidupan seharian kita seharusnya mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga, rakan-rakan dan ahli masyarakat yang lain. Sebagai rujukan, di bawah dikongsikan contoh karangan kepentingan negara menjalinkan hubungan baik dengan negara luar.

Soalan yang mungkin sukar untuk dijawab oleh pelajar sekiranya tidak mempunyai pengetahuan am yang mendalam berkaitan hal ehwal negara. Oleh itu, pelajar perlu banyakkan membaca dan membuat latihan supaya terdedah kepada soalan sebegini dan mampu untuk menjawab jika diuji dalam peperiksaan.

Contoh Karangan Kepentingan Hubungan Luar Malaysia

Berikut dikongsikan isi-isi penting dan huraian mengikut rangka karangan Bahasa Melayu untuk tajuk, kepentingan negara menjalinkan hubungan baik dengan negara luar.

Isi-isi penting

  1. Menjamin keselamatan dan kedaulatan negara
  2. Mengembangkan potensi ekonomi negara
  3. Membuka ruang perkongsian penyelidikan dan pendidikan
  4. Memudahkan bantuan jika berlaku krisis atau bencana alam
  5. Meningkatkan industri pelancongan
  6. Menjadi contoh keamanan kepada negara lain

Pendahuluan

Diplomasi dari segi definisi bermaksud amalan mengurus hubungan antara satu sama lain. Kemahiran yang cukup penting ini merupakan satu cabang dalam pentadbiran sesebuah negara masa kini untuk tampil secara baik di antara negara-negara lain. Menurut catatan sejarah, Kerajaan Melayu Melaka mempunyai hubungan yang baik dengan Dinasti Pemerintah Cina yang menjadikan mereka selamat daripada ancaman penjajah sehinggalah kedatangan Portugis.

Mutakhir ini, kerajaan Malaysia memperuntukkan sebuah kementerian untuk menjaga hubungan diplomatik dengan negara-negara asing. Dengan persekitaran politik dunia yang dinamik dan berubah-rubah, negara kita perlu mempunyai sepasukan pegawai yang mampu untuk memastikan dasar luar negara kita menjamin kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka. Justeru, penting untuk setiap diantara kita untuk mengetahui apakah kepentingan negara menjalinkan hubungan baik dengan negara luar.

Isi 1

Kepentingan utama menjalinkan hubungan yang baik dengan negara luar adalah untuk menjamin keselamatan dan kedaulatan negara. Selepas mengecapi kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia telah berjaya mengekalkan kedaulatan negara sehingga kini. Walaupun negara kita kecil dan mempunyai pelbagai sumber asli seperti minyak dan gas asli yang menjadi rebutan negara-negara yang lebih berkuasa, kekuatan diplomasi dan pentadbiran menjamin hak milik negara kita.

Hubungan yang baik dengan negara serantau juga dapat mengelakkan ancaman keselamatan dan memastikan rantau asia tenggara khususnya aman dan berkecuali. Penubuhan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) mengukuhkan lagi hubungan serantau di samping keahlian Malaysia di pertubuhan-pertubuhan kesatuan negara yang lain. Ingat antara belum kena, hemat antara belum habis. Perumpamaan ini jelas menunjukkan Kepentingan Hubungan Luar Malaysia untuk kita menjalinkan hubungan yang baik dengan negara lain agar keselamatan dan kedaulatan negara terjamin

Isi 2

Pada masa yang sama, jalinan hubungan yang baik antara negara-negara asing dapat mengembangkan potensi ekonomi negara. Di mana ada gula, di situ pasti ada semut. Peribahasa yang membawa maksud jika  sesuatu tempat itu mudah untuk menjalankan ekonomi pasti ramai akan datang berkunjung. Apabila kita menjalinkan hubungan dengan negara luar, kita dapat memasarkan produk tempatan dan melakukan aktiviti import dan eksport.

Sebagai contoh, sumber asli petroleum dan gas asli yang digali di perairan negara diproses dan diperdagangkan ke pasaran antarabangsa. Syarikat yang mengendali industri ini kini menjadi salah satu syarikat tempatan terkemuka di dunia iaitu Petronas. Kesannya, masyarakat tempatan mendapat peluang pekerjaan dan mampu meningkatkan ekonomi diri, keluarga dan juga negara.

Isi 3

Di samping itu, hubungan yang baik antara dua atau pelbagai hala dapat membuka ruang perkongsian penyelidikan dan pendidikan. Sejak dahulu lagi, dasar luar negara yang dijalinkan oleh pemimpin negara telah membuka peluang untuk rakyat Malaysia menyambung pelajaran di negara luar. Begitu juga dengan institusi-institusi pengajian tinggi dalam negara yang menawarkan pengajian kepada pelajar asing.

Perkongsian penyelidikan dan pendidikan ini penting untuk melahirkan tenaga kerja tempatan yang boleh menyumbang kepada penyelesaian masalah yang dihadapi oleh negara kita. Tambahan pula, kemajuan dari segi pendidikan akan meningkatkan imej negara di tahap antarabangsa kerana negara lain akan merujuk kajian atau pendapatan yang diperoleh daripada para akademik negara. Bak kata pepatah, laut yang ditimba tidak akan kering. Begitu juga ilmu dan kemahiran di mana usaha untuk mengembangkan boleh dicapai dengan adanya hubungan yang baik dengan negara-negara asing.

Isi 4

Akhir sekali, Kepentingan Hubungan Luar Malaysia dan tindakan menjalinkan hubungan yang baik antara negara luar dapat memudahkan bantuan jika berlaku krisis atau bencana alam. Baru-baru ini, kita digemparkan dengan bencana gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria. bencana tersebut mengorbankan banyak nyawa serta memusnahkan pelbagai infrastruktur mereka. Oleh sebab Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan kedua-dua negara, pasukan bantuan dari tentera dan pelabagi NGO dapat dihantar ke sana untuk misi bantuan kebajikan.

Sekiranya, Malaysia menghadapi sebarang bencana alam yang teruk, pasti negara-negara yang pernah dibantu oleh negara kita akan datang menawarkan pertolongan daripada pelbagai segi. Bagai aur dengan tebing, itulah semangat yang cuba kita amalkan di peringkat antarabangsa dalam menghadapi zaman globalisasi ketika ini. Tuntasnya, hubungan pelbagai hala yang baik diamalkan oleh Malaysia akan membantu memudahkan bantuan jika berlaku krisis atau bencana alam.

Penutup

Konklusi daripada perbincangan di atas berkaitan kepentingan hubungan luar Malaysia adalah menjalinkan hubungan yang baik antara negara-negara asing menjamin pelabagai kepentingan negara. Sebagai rakyat marhean, kita dilihat tidak mempunyai peranan dalam perkara ini tetapi sedarlah bahawa kita bertanggungjawab dalam memilih pemimpin negara yang akan mencorak pentadbiran negara. Kita hendaklah peka dan cakna dengan tindakan pemimpin negara di peringkat antarabangsa supaya hubungan diplomatik yang sebelum ini berjaya dilaksanakan kekal kukuh dan berfungsi dengan baik. Semoga kedaulatan dan keamanan negara kita terjamin dalam menghadapi sosio ekonomi dan geo politik yang semakin mencabar ketika ini.

Related : perdana menteri malaysia, malaysia mengamalkan dasar, pelabur asing, tunku abdul rahman, kuasa besar, keselamatan negara,