Kebaikan Kelas Tambahan Dan Tuisyen Kepada Pelajar. Contoh karangan kelebihan mengikuti kelas tuisyen kepada murid sekolah.

Kebaikan Kelas Tambahan Dan Tuisyen Kepada Pelajar

contoh karangan kebaikan menyertai kelas tambahan tuisyen kepada pelajar

Selain pendidikan konvensional di dalam bilik darjah di sekolah, terdapat juga kaedah pendidikan lain seperti mendapatkan tutor peribadi untuk mengajar di rumah. Namun kaedah tersebut lazimnya dilakukan oleh mereka yang mempunyai kemampuan kewangan yang tinggi. Bagi kebanyakan masyarakat kita, mereka memilih untuk menghantar anak-anak ke kelas tambahan atau tuisyen untuk memastikan pencapaian akademik anak cemerlang. Oleh itu, di bawah dikongsikan contoh karangan kebaikan kelas tambahan dan tuisyen kepada pelajar.

Sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia, kelas tambahan secara bersemuka dilakukan di ruangan seperti lot rumah kedai dan rumah tenaga pengajar tersebut. Namun, pasca pandemik, telah mengubah norma kelas tambahan secara atas talian dan memberikan kemudahan yang lebih baik kepada pelajar dan juga guru yang mengajar kelas tambahan tersebut. Bagaimanapun kaedah yang digunakan, adakah kelas tambahan atau tuisyen memberikan manfaat yang sepatutnya kepada pelajar?

Kebaikan Kelas Tambahan Dan Tuisyen Kepada Pelajar (Kelebihan Mengikuti)

Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh karangan serta cadangan isi-isi penting yang bertepatan dengan tajuk  Kelebihan Mengikuti Kelas Tuisyen atau Kelas Tambahan kepada murid sekolah.

Isi-isi penting

  1. Mendapat perhatian yang lebih daripada pengajar
  2. Terdedah kepada kaedah atau teknik pembelajaran yang berbeza
  3. Sebagai persediaan sebelum menduduki peperiksaan awam
  4. Mengisi masa lapang pelajar
  5. Membendung masalah gejala sosial dalam kalangan pelajar

Pendahuluan

Era pasca globalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah membuatkan sektor pendidikan di negara kita dipertingkatkan dari tahun ke tahun. Jumlah universiti awam ditambah bagi melahirkan graduan berkelulusan pendidikan tinggi yang mampu bersaing untuk menjadi tenaga kerja professional di dalam mahupun luar negara. Wawasan yang telah diuar-uarkan olah pemimpin negara untuk menjadikan anak bangsa Malaysia berkemahiran dalam bidang sains dan teknologi menjadikan ruang pendidikan di peringkat rendah sangat kompetitif.

Para pelajar bersaing untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan atau pentaksiran. Ibu dan bapa pula berusaha untuk menghantar anak-anak menyertai tuisyen atau kelas tambahan supaya anak mereka mendapat keputusan yang cemerlang. Persoalannya, apakah kelebihan mengikuti kelas tambahan dan tuisyen kepada pelajar?

Isi 1

Salah satu kebaikan menyertai kelas tambahan atau tuisyen kepada pelajar adalah mendapat perhatian yang lebih daripada pengajar. Umum mengetahui bahawa nisbah anak murid dan guru di kebanyakan sekolah tidak seimbang dan sesuai kerana kita kekurangan tenaga kerja dan infrastruktur sekolah. Kesan daripada situasi tersebut, anak-anak murid di dalam bilik darjah tidak mendapat perhatian penuh daripada guru kerana guru perlu memberi tunjuk ajar kepada 30 hingga 40 orang pelajar dalam satu tempoh masa yang singkat.

Oleh yang demikian, pelajar yang menyertai kelas tambahan boleh mendapat perhatian yang lebih baik dengan pengajar atau guru apabila tidak memahami sesuatu topik pembelajaran. Jika perhatian secara bersemuka diperoleh daripada pelajar, mereka mampu untuk memahami setiap mata pelajaran dengan baik dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Bak kata pepatah, belakang parang pun kalau diasah nescaya tajam. Izharnya, pelajar akan mendapat perhatian yang penting daripada pengajar jika menyertai kelas tambahan.

Isi 2

Pada masa yang sama, pelajar akan terdedah kepada kaedah atau teknik pembelajaran yang berbeza apabila menyertai tuisyen. Hal ini kerana, setiap pelajar mempunyai cara untuk memahami dan menghadam sesuatu pengajaran yang berbeza. Kita tidak boleh memukul rata kaedah pengajaran guru di bilik darjah akan difahami oleh pelajar secara seratus peratus. Inisiatif menyertai tuisyen akan membantu pelajar untuk mengetahui kaedah atau teknik yang lebih mudah untuk difahami untuk menjawab soalan.

Sebagai contoh, soalan matematik mempunyai banyak formula yang boleh digunakan untuk pelajar mencari jawapan kepada soalan yang diberikan. Justeru, ibu dan bapa boleh menghantar anak-anak ke tuisyen sekiranya mereka mempunyai masalah pembelajaran di sekolah. Manfaatnya anak-anak akan dibuka mata untuk memahami mata pelajaran yang mereka sukar fahami sebelum ini menjadi mudah dengan kaedah atau teknik pembelajaran yang lain.

Isi 3

Di samping itu, pelajar digalakkan menyertai kelas tambahan sebagai persediaan sebelum menduduki peperiksaan awam. Kita sedia maklum bahawa peperiksaan awam seperti Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) merupakan satu ujian yang penting bagi menentukan masa hadapan pelajar. Jika keputusan yang cemerlang berjaya diperoleh, permohonan untuk melanjutkan pelajaran diperingkat universiti atau kolej akan menjadi lebih mudah. Maka, ramai di antara ibu dan bapa akan menghantar anak-anak ke kelas tambahan sebagai persediaan.

Dari sudut pelajar pula, ia akan membantu dari segi fokus dan norma untuk menghadapi peperiksaan yang besar. Pelajar akan diberi contoh-contoh soalan tahun sebelum untuk dijawab dan soalan yang dijangka keluar pada peperiksaan tahun tersebut. Apabila pelajar berusaha memberikan perhatian kepada setiap mata pelajaran yang akan diuji dan melakukan latihan yang banyak, nescaya pelajar mampu mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan yang bakal dihadapi. Tuntas, menyertai kelas tambahan sangat signifikan sebelum menduduki peperiksaan awam atau pentaksiran sekolah.

Isi 4

Akhir sekali, manfaat menyertai tuisyen oleh pelajar adalah mereka dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang sangat berfaedah. Mutakhir ini, ledakan teknologi telah menjadikan kita terjerumus dalam lembah hiburan yang mudah dinikmati hanya dengan pilihan di hujung jari. Generasi muda gemar untuk menonton video di internet dan bermain permainan di virtual world. Perilaku ini tidak sehaursnya dilarang tetapi perlu dikawal supaya mereka menumpukan perhatian yang lebih baik kepada perkara seperti pencapaian akademik mereka.

Oleh sebab itu, ibu dan bapa boleh menghantar anak-anak untuk menyertai tuisyen yang dianjurkan oleh pihak sekolah atau swasta dalam menjamin masa yang digunakan oleh anak-anak ke arah sesuatu yang bermanfaat. Masa itu diibaratkan seperti emas, jika dibazirkan maka kita akan kerugian. Tambahan pula, gejala sosial dalam kalangan anak-anak dapat dibendung kerana mereka sibuk dalam menyertai kelas tuisyen. Jelasnya, pengisian masa lapang dengan menyertai tuisyen adalah salah satu faedah yang diperoleh pelajar.

Penutup

Kesimpulan daripada perbincangan di atas, banyak kebaikan yang diperoleh apabila seorang pelajar menyertai kelas tambahan atau tuisyen. Seiring dengan visi negara untuk menjadi peneraju ekonomi di rantau Asia dan dunia, sektor pendidikan dalam kalangan generasi muda wajar diberi perhatian. Pihak berkuasa perlu menyediakan infrastruktur yang lengkap dan pelan yang jelas dalam perkembangan sektor pendidikan negara.

Jika polemik seperti nisbah guru dan murid yang tidak seimbang tidak diselesaikan maka pendidikan di negara ini tidak akan ke mana. Ibu dan bapa pula perlu menambah pendapatan untuk menghantar anak ke kelas tambahan di dalam tempoh ketidak tentuan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup masa kini. Semoga setiap pihak berganding bahu memastikan nusa bangsa kita memperoleh pendidikan yang terbaik kerana ilmu boleh diibaratkan seperti laut yang ditimba tidak akan kering.

Related : murid untuk menghadapi realiti, dikenali sebagai latih tubi, menghadiri kelas, kelas tambahan untuk, untuk menghadapi realiti peperiksaan, murid itu untuk menjawab, faedah menyertai, pengalaman menjawab yang dialami, guru guru, pergi ke kelas, waktu sekolah biasa menyukarkan, membuat soalan, turut memberikan satu pengalaman, meningkatkan keupayaan murid,