Kepentingan Menjaga Kebersihan Diri Dalam Kehidupan Seharian. Contoh karangan pentingnya menjaga kebersihan dalam memberi keselesaan.

Kepentingan Menjaga Kebersihan Diri Dalam Kehidupan Seharian

kepentingan menjaga kebersihan diri contoh karangan isi penting

Adakah pelajar tahu, soalan-soalan karangan Bahasa Melayu lazimnya memberikan tema atau tajuk yang umum seperti kebersihan diri. Hal ini supaya pelajar mampu memberikan idea yang menarik dan berbeza dengan pelajar lain. Sebagai rujukan untuk semua, berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan menjaga kebersihan diri dalam kehidupan.

Kebersihan merupakan satu fitrah manusia yang wajib dipelihara. Jika kebersihan diri dan persekitaran tidak dijaga, pasti ada padah yang menunggu untuk menimpa. Sebagai makhluk yang dikurniakan akal, kita seharusnya tahu bahawa kebersihan adalah penting demi kemaslahatan bersama. Oleh itu, pastikan huraian dan isi-isi penting yang dihuraikan dapat memebri penjelasan yang terbaik tentang kepentingan atau manfaat menjaga kebersihan diri.

Contoh Karangan Kepentingan Menjaga Kebersihan Diri Dalam Kehidupan Seharian

Perkongsian dibawah adalah contoh karangan yang disertakan dengan isi-isi penting serta huraian. Pelajar boleh merujuk sekiranya tajuk soalan berkaitan dengan pentingnya penjagaan kebersihan diri dalam kehidupan.

Isi – Isi Penting

  1. Menjamin kesihatan diri
  2. Mewujudkan suasana yang kondusif
  3. Memberikan imej yang berketrampilan tinggi
  4. Melatih diri untuk berdisiplin
  5. Melahirkan masyarakat yang sihat dan sejahtera
  6. Memberi kelapangan minda dan kesihatan mental

Pendahuluan

Antara rutin asas sebagai seorang manusia adalah untuk menjaga kebersihan diri. Sejak kecil lagi kita diajar untuk mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan memastikan setiap najis yang keluar daripada diri dibersihkan dengan tatatertib yang betul. Norma ini telah menjadikan tamadun manusia lebih beretika jika dibandingkan dengan masyarakat pada zaman purba dahulu. Tambahan pula, kemudahan untuk menjaga kebersihan diri lebih mudah untuki didapatkan dan dijual pada harga yang murah.

Persoalan yang timbul dalam minda kanak-kanak atau generasi muda hari ini adalah apakah pentingnya dalam menjaga kebersihan diri dalam kehidupan? Sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab dan berperanan besar memastikan golongan muda dibekalkan dengan ilmu pengetahuan yang betul dan bermanfaat untuk diri mereka, wajar untuk kita bincangkan polemik ini dengan lebih terperinci.

Isi 1

Kepentingan utama menjaga kebersihan diri adalah supaya kesihatan fizikal dan mental terjamin. Setiap kali kita ingin membersihkan diri seperti mandi atau mencuci tangan, pasti kita akan menggunakan sabun yang berfungsi sebagai ejen pembersih bakteria-bakteria atau bahan yang mengancam kesihatan diri kita. Aktiviti memberus gigi juga memerlukan ubat gigi yang bertindak untuk membersihkan gigi dan mulut kita daripada sisa makanan dan minuman yang kita makan serta minum.

Perlakuan menjaga kebersihan ini dapat mengelakkan kita daripada dijangkiti penyakit dan juga merebakkan kepada orang lain. Virus Covid-19 yang melanda dunia telah memberikan satu fenomena yang jelas tentang pentingnya kita menjaga kebersihan diri demi menjamin kesihatan dan nyawa diri dan orang sekeliling. Persis kata mutiara, mencegah lebih baik daripada merawat.

Isi 2

Manfaat lain daripada menjaga kebersihan diri adalah ia dapat mewujudkan suasana yang kondusif kepada diri dan orang sekeliling kita. Bayangkan jika anda atau kenalan anda tidak mandi, tidak memberus gigi dan memakai pakaian yang sama selama beberapa hari. Kita pasti akan berasa tidak selesa dengan bau-bauan yang terhasil daripada peluh dan daripada persekitarannya. Bak kata pepatah, buang yang keruh, ambil yang jernih. Sekiranya kita menjaga kebersihan diri dengan baik, diri kita akan berasa selesa begitu juga dengan orang sekeliling.

Kesannya, setiap perkara seperti pembelajaran di sekolah bagi anak-anak dan suasana bekerja di pejabat bagi ibu dan bapa akan lebih kondusif dan menenangkan. Sedikit sebanyak ia membantu kita untuk lebih fokus dengan tugasan atau tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Izharnya, kebersihan diri memberikan kita keselesaan yang diperlukan untuk diri dan orang sekeliling.

Isi 3

Pada masa yang sama, menjaga kebersihan diri dapat memberikan imej yang baik dan keyakinan diri yang tinggi. Apabila kita menjaga kebersihan diri, secara langsung ketrampilan diri akan menjadi lebih baik. Misalnya kuku dipotong kemas, rambut disikat rapi dengan meletakkan minyak rambut dan memakai minyak wangi yang menyegarkan atau mengharumkan. Pakaian pula digosok dengan seterika dan terletak rapi pada tubuh badan.

Kekemasan pada diri akan menaikkan imej kita kerana orang sekililing lebih selesa untuk bergaul dengan penampilan yang kemas dan segak. Jika kebersihan ini dititik beratkan oleh setiap diantara kita, pasti masyarakat kita akan mempunyai penampilan yang lebih baik dan dipandang tinggi oleh masyarakat asing mirip seperti apa yang anak-anak muda hari ini memandang masyarakat di Korea Selatan. Intihannya, kebersihan diri menjadi faktor utama kepada penampilan dan keyakinan diri.

Isi 4

Seiring dengan faedah di atas, kebersihan diri penting untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan sejahtera. Hal ini demikian kerana setiap individu yang menjaga kebersihan diri akan menggalakkan orang sekeliling untuk melakukan perkara yang sama supaya manfaatnya dapat dikongsi. Rutin yang dilakukan secara individu ini dapat memberi impak kepada komuniti kerana ia merupakan satu perkara yang jika tidak diikuti, kebanyakan di antara kita akan berasa ketinggalan. Bayangkan jika seorang pengusaha kosmetik boleh mempengaruhi berjuta masyarakat untuk membeli produknya.

Apatah lagi kalau orang yang mempunyai pengaruh ini menggalakkan  orang ramai untuk menjaga kebersihan diri. Pastinya keadaan persekitaran kita akan menjadi lebih indah dan bersih. Janganlah kita bersikap seperti anak dibangku kelaparan, kera dihutan disusukan. Tegasnya, kebersihan diri yang mula dari rumah dapat memupuk masyarakat yang sihat dan hidup sejahtera antara satu sama lain.

Penutup

Kesimpulan daripada perbincangan ini, pelbagai kepentingan yang perlu dipelihara sekiranya kita menjaga kebersihan diri. Golongan muda yang berumur setahun jagung hendaklah mendengar nasihat orang tua yang menyeru ke arah kebaikan. Persis peribahasa Melayu, dimana bumi dipijak, disitu langit dijunjung. Budaya yang diamalkan oleh generasi terdahulu seperti bergotong royong dan mencuci kaki sebelum masuk ke dalam rumah wajar diteruskan dan menjadi bukti bahawa menjaga kebersihan adalah budaya kita. Amalan ini perlu dipupuk dan disematkan dalam diri dan minda setiap ahli masyarakat agar keharmonian dan keamanan yang kita nikmati di tanah air ini kekal terjamin untuk generasi-generasi akan datang.

Related : amalan kebersihan, cara menjaga kesihatan, kepentingan kebersihan, penyakit berjangkit,