Kata Bantu: Maksud, Jenis & Contoh Penggunaan. Jenis perkataan yang hadir sebelum frasa dan membantu menimbulkan makna tambahan.

Kata Bantu: Maksud, Jenis & Contoh Penggunaan

Kata Bantu Maksud Jenis Contoh Penggunaan

Umum sedia maklum bahawa tatabahasa merupakan antara perkara asas yang penting untuk dipelajari oleh murid-murid dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Pemahaman yang jelas dalam tatabahasa dapat membantu anda untuk menghasilkan ayat dalam Bahasa Melayu yang tepat dan difahami. Di bawah dikongsikan nota-nota berkenaan Kata Bantu (KB) meliputi Maksud, Jenis dan Contoh Penggunaan untuk rujukan semua.

Murid-murid perlu mengenal pasti jenis-jenis kata ini dan seterusnya membina ayat yang betul dengan menggunakan KB. Objektif ini jelas akan meningkatkan tahap pengetahuan murid dalam tatabahasa serta menyumbang kepada penulisan karangan yang lebih tepat dan memenuhi kriteria pemarkahan. Tanpa tatabahasa yang betul, keseluruhan penulisan dan pemahaman terhadap Bahasa Melayu akan menjadi caca-marba dan tidak difahami.

Kata Bantu: Maksud, Jenis Dan Contoh Penggunaannya

Berikut adalah perkongsian berkaitan meliputi Maksud, Jenis & Contoh Penggunaan sebagai rujukan untuk murid-murid. Turut disertakan adalah soalan-soalan latihan yang berkaitan dengan topik ini.

Maksud Kata bantu

Ianya bermaksud perkataan yang bertugas untuk membantu frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama. Ianya akan menimbulkan makna-makna tambahan dari segi aspek waktu atau ragam.

Frasa kerja ialah binaan ayat yang mengandungi satu perkataan atau lebih dengan kata intinya ialah kata kerja. Frasa kerja wujud dalam predikat.

Frasa adjektif ialah predikat atau mempunyai unsur keterangan dalam predikat.

Frasa sendi nama ialah satu binaan dalam ayat yang mempunyai kata sendi nama dan satu frasa nama yang menjadi pelengkap kepada kata sendi

Jenis Kata Bantu

Terdapat dua jenis iaitu :-

1) Kata Bantu Aspek

Memberitahu sama ada perbuatan itu sudah, sedang atau belum berlaku. Ianya akan menimbulkan suasana perbezaan masa iaitu sama ada masa hadapan, kini atau lampau.

Contoh : telah, baru, pernah, sedang, masih, akan, belum

2) Kata Bantu Ragam

menyatakan atau menerangkan ragam perasaan yang berkaitan denagn perbuatan yang dilakukan oleh seseorang individu atau ramai

Contoh : hendak, mahu, harus, mesti, boleh, dapat

Contoh Penggunaan

Di bawah adalah contoh ayat untuk menggunakan KB mengikut jenis-jenisnya:

1) Kata Bantu Aspek

Menunjukkan perbuatan yang akan berlaku:

  • Mereka akan bertolak ke Pulau Pinang pada esok malam
  • Daniel belum membeli kek untuk majlis hari jadi petang nanti.

Menunjukkan perbuatan yang sedang berlaku:

  • Khairil sedang menunggu rakanya di perhentian bas itu
  • Razak masih mengira jumlah kertas yang digunakan untuk tugasan sekolahnya
  • Semasa ayah tiba, ibu tengah memakai tudung untuk keluar bersama ayah

Menunjukkan perbuatan yang telah berlaku:

  • Mereka sudah meninggalkan lokasi tersebut
  • Safiq pernah menjaringkan gol terhadap pasukan itu
  • Ashraf telah bertolak pada awal pagi untuk ke Kelantan

Sesetengah KB aspek boleh hadir bersama-sama:

  • belum pernah
  • masih belum
  • sudah pernah
  • masih sedang

2) Kata Bantu Ragam

Menunjukkan sesuatu keinginan atau tujuan

  • Dia hendak membeli seebuah motosikal
  • Elma mahu menemani ibunya ke hospital
  • Pegawai Polis itu ingin menahan suspek tetapi ditahan oleh orang awam

Menunjukkan perbuatan yang mesti dilakukan

  • Sebagai orang Islam, kita wajib untuk menunaikan solat fardhu lima waktu sehari
  • Setiap wargamegara mesti menjaga kebersihan alam sekitar
  • Murid-murid harus mematuhi arahan yang diberikan oleh guru sekolah
  • Kita perlu mengutamakan kesihatan diri dalam apa jua aspek kehidupan

Menunjukkan keupayaan memmbuat sesuatu

  • Pelajar itu boleh menyelesaikan tugasan yang diberikan pada waktu rehat
  • Kassim dapat memebli makanan itu selepas ibunya memberi wang saku

Menunjukkan perbuatan kebarangkalian atau kemungkinan

  • Mereka mungkin singgah makan di Melaka kerana lewat tiba di Johor.

3) Gabungan Kata Bantu Aspek dan Kata Bantu Ragam

KB aspek hadir berderetan dengan KB ragam

  • Marlissa sedang hendak menidurkan anaknya ketika ibu tida di rumahnya
  • Ahmad masih belum melawati kawasan tersebut seprti apa yang dijanjikan
  • Jika kita berusaha sedaya upaya, kita pasti akan dapat mencapai apa yang kita inginkan

KB ragam diikuti dengan KB aspek

  • Pegawai bomba itu mesti akan memadamkan api yang terbakar
  • Sebagai seorang dewasa, kita harus sudah mengetahui tanggungjawab terhadap ibu dan bapa masing-masing

Kesalahan Penggunaan

Berikut dikongsikan kesalahan penggunaan KB yang sering berlaku dalam kalangan pelajar:

1) KB mesti diletakkan sebelum kata kerja/ frasa kerja.

  • Contoh Salah : Fify menulis bukunya masih
  • Contoh Betul : Fify masih menulis bukunya

2) KB tidak boleh digunakan untuk menggantikan KB dapat. KB boleh lebih sesua untuk maksud memberi izin manakala KB dapat lebih sesuai untuk maksud keupayaan/ kemampuan

  • Contoh Salah : Masalah Jerebu boleh diatasi jika pembakaran terbuka dihentikan
  • Contoh Betul : Masalah Jerebu dapat diatasi jika pembakaran terbuka dihentikan

3) KB hendak tidak sesuai digunakan dalam ayat tanya tetapi KB mahu lebih sesuai digunakan dalam ayat tanya. KB hendak bermaksud berniat untuk melakukan sesuatu. Manakala, KB mahu bermaksud keinginan yang timbul kerana adanya ajakan atau pelawaan.

  • Contoh Salah : Hendakkah kamu makan bersama saya?
  • Contoh Betul : Mahukah kamu makan bersama saya?

Soalan latihan

Jawab soalan-soalan latih tubi tatabahasa di bawah dengan jawapan yang sesuai.

1) Masa untuk menjawab soalan _____ tamat.

  • A) sudah
  • B) lalu
  • C) mesti
  • D) sedang

2) Pasukan bola sepak kebangsaan _____ kalah kepada pasukan Indonesia

  • A) sudah
  • B) telah
  • C) masih

3) Amir _____ tidur ketika Izaat tiba di rumahnya

  • A) mesti
  • B) harus
  • C) mahu
  • D) sedang

4) Bas itu _____ bertolak ke Ipoh pada pukul 7 pagi tadi

  • A) sedang
  • B) harus
  • C) akan
  • D) telah

5) Fahmi _____ melawat jirannya di hospital

  • A) dapat
  • B) hendak
  • C) boleh
  • D) harus

6) Siapakah yang _____ dipersalahkan dalam peristiwa itu?

  • A) dapat
  • B) mesti
  • C) harus
  • D) sudah

7) Zamir _____ menyiapkan kerja sekolahnya semalam

  • A) masih
  • B) sudah
  • C) pernah
  • D) sedang

8) Hashim, Raju dan Tan _____ menyertai pasukan badminton kebangsaan setelah menjalani beberapa sesi ujian

  • A) dapat
  • B) mesti
  • C) masih
  • D) sedang

9) Walaupun perkara itu telah dijelaskan oleh pihak mahkamah, namun ____ ramai orang awam tidak berpuas hati

  • A) hendak
  • B) masih
  • C) dapat
  • D) akan

10) Semua pelajar Tingkatan 5 _____ menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada bulan Februari ini.

  • A) akan
  • B) perlu
  • C) belum
  • D) masih

11) Setelah seharian mendaki Gunung Kinabalu, peserta ekspedisi itu keletihan dan mereka _____ secukupnya sebelum meneruskan pendakian.

  • A) pernah
  • B) perlu
  • C) akan
  • D) telah

12) Untuk memiliki lesen memandu, seseorang individu itu _____lah berumur lapan belas tahun ke atas sahaja.

  • A) hendak
  • B) sudah
  • C) mahu
  • D) masih

13) Pelajar itu _____ bertutur dalam bahasa jepun dengan baik

  • A) mahu
  • B) dapat
  • C) sudah
  • D) hendak

14) Roti Srdin itu tidak boleh dimakan kerana _____ tamat tarikh luputnya

  • A) akan
  • B) telah
  • C) belum
  • D) pernah

15) Walaupun pekerjaan itu agak sukar, anda _____ melaksanakannya juga.

  • A) mesti
  • B) belum
  • C) masih
  • D) hendak

16) Semua hidupan di muka bumi ini _____ mati.

  • A) mesti akan
  • B) masih belum
  • C) masih sedang
  • D) sudah boleh

17) Puan Aminah _____ melawat suaminya yang sedang sakit di hospital

  • A) akan dapat
  • B) sudah boleh
  • C) masih sedang
  • D) sedang hendak

18) Puan Marina _____ meninggalkan rumah ketika telefon berdering.

  • A) akan dapat
  • B) masih mahu
  • C) sudah dapat
  • D) sednag hendak

19) Elyanna _____ gagal dalam peperiksaan SPM kerana itulah dia tekun belajar sekarang.

  • A) masih belum
  • B) belum pernah
  • C) sudah pernah
  • D) masih sedang

20) Pemain-pemain itu _____ mengaku kalah dalam aksi pusingan akhir pertandingan itu.

  • A) telah pernah
  • B) mesti mahu
  • C) masih akan
  • D) masih belum

Diharapkan perkongsian maksud Kata Bantu beserta jenis dan contoh penggunaannya di atas dapat membantu pemahaman dan penguasaan pelajar terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu.

Related : bertugas membantu frasa kerja, perkataan yang bertugas membantu, bentuk bentuk kata bantu, makna tambahan dari segi, menyatakan atau menerangkan ragam perasaan yang berkait dengan perbuatan yang dilakukan, kata bantu ialah jenis perkataan yang bertugas membantu frasa kerja frasa adjektif dan frasa sendi nama,