Kata Adjektif: Jenis, Maksud & Contoh (Sifat Atau Keadaan). Jenis perkataan yang membawa pengertian keadaan kelakuan atau ragam.

Kata Adjektif: Jenis, Maksud & Contoh (Sifat Atau Keadaan)

Kata Adjektif Jenis Maksud Contoh

Pelbagai kata yang perlu di pelajari dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Antaranya kata nama, kata kerja, kata tugas dan kata adjektif. Pembelajaran tatabahasa ini akan membantu pelajar untuk memahirkan diri dalam penggunaan bahasa Melayu yang lebih baik. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan nota berkaitan meliputi Jenis, Maksud & Contoh.

Untuk pengetahuan semua, Kata Adjektif adalah kata yang menerangkan sifat atau keadaan sesuatu benda, orang, tempat dan sebagainya. Ianya juga boleh disertai dengan kata penguat seperti “sangat”, “amat”, “sekali”, “sungguh” dan “paling”. Selain itu, definisi kata-kata dalam golongan kata ini ialah menerangkan keadaan atau sifat sesuatu nama atau frasa nama.

Jenis Kata Adjektif: Maksud & Contoh

Di bawah dikongsikan nota-nota berkaitan meliputi Jenis, Maksud & Contoh untuk rujukan semua. Selain itu, turut disertakan nota berkenaan pangkat adjektif dan perbandingan dalam frasa adjektif.

Jenis-Jenis Kata Adjektif

Terdapat sembilan jenis kata seperti berikut:

1. Kata Adjektif Sifat – perkataan yang digunakan bagi menerangkan sifat atau keadaan sebagai unsur keterangan kepada kata nama

  • Contoh perkataan : kuat, cantik, kemas, lemah, kukuh, baik, pandai, berani
  • Contoh ayat : Pengantin itu sangat cantik, Razak merupakan insan yang sangat baik

2. Warna – sebagai unsur keterangan kepada kata nama ialah perkataan yang memberi pengertian warna

  • Contoh perkataan : putih, ungu, jingga, merah
  • Contoh ayat : Motosikal baharu yang dibeli Ismail berwarna merah, Baju pengapit pengantin itu berwarna kuning langsat

3. Ukuran – Sebagai unsur keterangan kepada kata nama ialah perkataan yang memberi pengertian ukuran

  • Contoh perkataan : besar, kecil, panjang, pendek, tebal, nipis
  • Contoh ayat : Rumah yang didiami Perdana Menteri sangat besar, Rambut Farid dipotong nipis oleh penggunting rambut

4. Waktu – yang memberi pengertian konsep masa

  • Contoh perkataan : lewat, lama, segera, lambat, lampau
  • Contoh ayat : Masa semakin suntuk untuk Rahman menyiapkan tugasan itu, Penghantaran barang itu terlalu lewat sehingga Ibu telah membatalkan pesanan tersebut

5. Kata Adjektif Jarak – memberi makna kepada konsep ruang

  • Contoh perkataan : hampir, jauh, dekat
  • Contoh ayat : Jarak antara rumah Borhan dengan Nora sangat dekat. Pejalanan untuk pergi ke tempat itu sangat jauh

6. Cara – memberi pengertian keadaan kelakuan atau ragam

  • Contoh perkataan : laju, lambat, deras, jarang, kerap, selalu, jelas
  • Contoh ayat : Keputusan yang dibuat oleh pengadil itu lambat, Air sungai itu deras menyebabkan usaha menyelamat mangsa yang terkandas diberhentikan

7. Pancaindera : membawa konsep sentuh, dengar, pandang, bau dan rasa

  • Contoh perkataan : manis, pahit, pedas, sedap, cantik, buruk, bising, senyap, wangi, busuk, halus, kasar
  • Contoh ayat : Nasi Lemak Pak Abu sangat sedap sehingga pelanggan beratur pada setiap pagi, Bangkai binatang di tepi taman permainan itu berbau busuk, Kelas 4 melur sangat bising pada pagi tadi

8. Perasaan – perkataan yang memberi pengertian atau konsep perasaan

  • Contoh perkataan : gembira, marah, rindu, takut
  • Contoh ayat : Razman rindu kepada ibu bapanya di Malaysia sepanjang belajar di Jepun, Latif marah apabila mendapat tahu pasukan yang disokong olehnya kalah

9. Bentuk : memberi maksud rupa bentuk

  • Contoh perkataan : petak, bulat, bujur, lonjong
  • Contoh ayat : Kuih yang dibeli ibu tadi berbentuk petak, Bola ragbi berbentuk lebih bujur daripada bola sepak

Pangkat-pangkat adjektif

Pangkat atau tahap adjektif pula terbahagi kepada empat iaitu:

1) Pangkat biasa

  • Baju ini cantik, buah betik itu manis

2) Pangkat perbandingan 

Perbandingannya sama, lebih atau kurang

  • tenaga sekuat badang, Ali lebih tua daripada rakannya, Burhan kurus, kurus lagi Samad

3) Pangkat menyangat

menerangkan adjektif yang keterlaluan

  • cuaca hari ini sangat panas
  • buah pisang itu terlalu masak

4) Pangkat penghabisan

menerangkan adjektif paling atau penghabisan

  • Ruventhran berjaya mendaki gunung paling tinggi di dunia iaitu Gunung Everest
  • Chong bekerja di bangunan tertinggi di Malaysia iaitu menara Merdeka 118

Perbandingan dalam frasa adjektif

Terdapat perbandingan frasa adjektif perkataan yang digunakan adalah seperti se, lebih, paling, ibarat dan laksana.

Contoh ayat :

  1. Fatimah pandai
  2. Fatimah pandai seperti Kancil (membawa maksud hampir sama, kesamaan)
  3. Fatimah sepandai Syahirah (membawa maksud yang sama)
  4. Fatimah lebih pandai daripada Amira (menunjukkan darjat atau tahap yang lebih tinggi)
  5. Fatimah merupakan seorang yang paling pandai dalam kalangan murid di kelas 5 Bijak (kata penguat paling menunjukkan sangat pandai)

Soalan Latihan

Sebagai latihan, pilih kata adjektif yang sesuai dengan ayat-ayat yang diberikan di bawah:

1) Zulrahman sedang mengasah sabit kelapa sawit itu kerana sudah _____ .

A. tajam
B. kasar
C. kesat
D. tumpul

2) Semua seluar Kamil sudah menjadi _____ kerana badannya sudah berisi.

A. ketat
B. besar
C. singkat
D. longgar

3) Cuaca malam ini _____ kerana petang tadi hujan turun dengan lebatnya.

A. sejuk
B. damai
C. panas
D. nyaman

4) Air sungai itu _____ kerana terdapat sampah sarap dibuang ke dalamnya.

A. jernih
B. hitam
C. kotor
D. bersih

5) Buah-buahan di pasar itu sungguh _____ dan berpatutan pula harganya.

A. kelat
B. enak
C. manis
D. masam

6) Udara di pusat peranginan itu sungguh _____ .

A. baik
B. cergas
C. nyaman
D. indah

7) Masyitah berasa _____ semasa meraikan hari jadinya.

A. pilu
B. mahu
C. cemas
D. gembira

8) Walaupun umur adik Fadil baru berusia empat tahun, dia sangat _____ bercakap.

A. laju
B. petah
C. bising
D. pandai

9) _____ sungguh pemandangan hutan di kawasan Air Terjun Sungai Pandan itu.

A. Indah
B. Muram
C. Kelam
D. Sayup

10) Ibu memesan untuk menggunakan asam jawa bagi menghilangkan bau _____ ikan air tawar.

A. hapak
B. hanyir
C. tengik
D. hancing

11) Murid-murid sangat _____ dan hormat kepada arahan guru-guru mereka.

A. baik
B. malu
C. takut
D. patuh

12) Sazali menjolok buah mangga itu dengan menggunakan sebatang galah yang ______ .

A. tinggi
B. besar
C. kontot
D. panjang

13) Mereka meneruskan pendakian dalam ______ pagi tanpa berputus asa.

A. kegelapan
B. kedinginan
C. kemalapan
D. kepanasan

14) Menjelang hari raya, jalan di Bandaraya Kuala Lumpur menjadi ______ .

A. lengang
B. senyap
C. muram
D suram

15) Jambatan yang _______ itu akan dibesarkan bagi kemudahan penduduk.

A. luas
B. sempit
C. senang
D. besar

16) Fatimah berasa _____ apabila seekor ulat keluar daripada buah mangga yang dikupasnya.

A. geli
B. haru
C. kelam
D. gundah

17) Selepas berlakunya gegaran tanah, tiang-tiang elektrik di tebing itu _____ .

A. serong
B. bengkok
C. bongkok
D. condong

18) Motosikal yang dipandu laju itu _____ melanggar kereta yang datang dari arah bertentangan.

A. jauh
B. cepat
C. dekat
D. nyaris

19) Bangunan yang _____ itu akan dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya kerana membahayakan keselamatan orang ramai.

A. baru
B. antik
C. retak
D. runtuh

20) Amirul berjalan dengan _____ kerana ingin cepat sampai ke rumahnya.

A. tertib
B. gopoh
C. pantas
D. cermat

21) Ibu pulang dari pasaraya dengan memikul sebuah bakul yang _____ dengan barang-barang dapur

A. sarat
B. sendat
C. sumbat
D. sendal

22) Fahmi bercakap dengan nada yang _____ kerana pak ciknya mengalami masalah pendengaran

A. kuat
B. kasar
C. tinggi
D. kesat

23) Ayah melarang kami untuk bermain berhampiran dengan tasik yang _____ itu.

A. jauh
B. cetek
C. dalam
D. dangkal

24) Jalan raya di selekoh tersebut sangat _____ selepas hari hujan

A. laju
B. rata
C. licin
D. lekuk

25) Anak puan Salmah yang berusia tujuh tahun itu _____ menggunakan komputer.

A. geliga
B. cekap
C. petah
D. fasih

26) Pemerintah negara itu sangat _____ kerana telah menindas perjuangan rakyatnya

A. baik
B. keras
C. kejam
D. waras

27) Wajah Ismail _____ selepas disindir oleh rakan-rakannya

A. masam
B. masin
C. manis
D. manja

28) Hayani berasa _____ untuk berpisah dengan rakan sekerjanya

A. pilu
B. gusar
C. geram
D. marah

29) Bunga itu telah digubah dengan _____ menjadikannya begitu cantik

A. teliti
B. lemah
C. sopan
D. lembut

30) Nasi yang dimasak oleh nenek terlalu _____ .

A. mentah
B. lembik
C. hangit
D. tengik

Semoga perkongsian nota berkenaan Kata Adjektif: Jenis, Maksud & Contoh membantu anda memahami dan menguasai tatabahasa Melayu dengan lebih baik.

related : kata sifat, menjadi inti dalam frasa adjektif, diikuti oleh kata sendi nama, kata adjektif menerangkan, lemah kukuh kemas, kata sifat ialah kata dalam golongan kata, 1 kata adjektif, memberi pengertian keadaan sesuatu benda orang tempat,