Karangan Respon Terhad : Cara & Teknik Menulis/ Menjawab. Format penulisan dan tips-tips menghasilkan penulisan yang terbaik.

Karangan Respon Terhad : Cara & Teknik Menulis/ Menjawab

Cara Teknik Menulis Menjawab Karangan Respon Terhad

Perhatian kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Salah satu mata pelajaran yang wajib lulus adalah mata pelajaran Bahasa Melayu. Oleh yang demikian, pelajar seharusnya membuat persediaan dan ulangkaji sebelum menduduki peperiksaan tersebut. Sebagai panduan kepada calon-calon SPM, berikut dikongsikan Karangan Respon Terhad : Cara & Teknik Menulis/ Menjawab untuk rujukan semua.

Bermula tahun 2021, SPM menggunakan format baharu selaras dengan pertukaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) kepada Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Dalam Kertas 1 Bahasa Melayu Bahagian A, soalan format ini telah diubah format daripada ayat 200 hingga 250 patah perkataan, menjadi 150 hingga 200 patah perkataan sahaja. Maka, format ini menjadi cabaran kepada pelajar yang biasa menulis karangan panjang untuk tidak melebihi patah perkataan yang ditetapkan

Karangan Respon Terhad : Cara & Teknik Menulis/ Menjawab

Di bawah dikongsikan maklumat berkaitan cara & teknik Menulis/ Menjawab atau menghasilkan karangan format ini yang terbaik dan cemerlang untuk rujukan semua.

Teknik Umum Penulisan

  1. Untuk karangan Bahagian A Kertas 1, satu soalan akan diberikan dan wajib dijawab. Tiada pilihan soalan.
  2. Kombinasi pelbagai bahan ransangan yang berbeza tetapi mempunyai tema yang sama akan diberikan sebagai ransangan untuk menulis karangan
  3. Bahan ransangan tersebut boleh terdiri daripada gambar, ilustrasi kartun, iklan, peta, petikan umum, petikan sastera dan sebagainya
  4. Calon dikehendaki untuk menulis antara 150 hingga 200 patah perkataan untuk mendapat markah yang cemerlang
  5. Jumlah markah bahagian ini ialah 30 minit
  6. Masa yang dicadangkan kepada pelajar ialah 30 minit
  7. Perlu ditulis sekurang-kurangnya 5 perenggan
  8. Pendahuluan satu perenggan, Isi (3 – 4 perenggan) dan penutup satu perenggan

Cadangan Pembahagian Masa Menjawab

  1. Memahami dan menganalisis tajuk: 5 minit
  2. Membina rancangan penting karangan: 5 minit
  3. Menulis karangan: 15 minit
  4. Menyemak karangan: 5 minit

Cara mengetahui kehendak soalan

Soalan yang diberikan boleh terdiri daripada pelbagai tema dan tajuk, pelajar boleh mengikuti kaedah dibawah untuk memastikan kehendak soalan dan seterusnya menulis karangan yang tepat:

  • Baca dengan teliti soalan yang diberikan
  • Fahami tema soalan dan garisi tugasan soalan
  • Baca bahan ransangan yang diberikan berulang-ulang kali untuk memastikan tiada kesilapan yang akan dilakukan
  • Pastikan format yang ditulis adalah betul berdasarkan kehendak soalan
  • mencari fokus, kata tugas berkenaan daripada bahan pelbagai rangsangan

Ciri-Ciri Karangan Cemerlang

  • Idea yang relevan dengan tema bahan ransangan dan dihuraikan dengan jelas dan matang
  • Penggunaan tanda baca yang betul dan tepat
  • Tiada kesalahan ejaan dan tatabahasa
  • Penggunaan kosa kata luas dan tepat
  • Penanda wacana yang tepat dan sesuai
  • Penggunaan ungkapan menarik seperti peribahasa
  • Karangan menepati tema bahan ransangan

Berikut adalah teknik menulis mengikut rancangan penting karangan:

Pendahuluan

  1. Kaitkan tema karangan dengan isu semasa
  2. Elakkan menulis semula soalan di dalam pendahuluan
  3. Menulis ayat persoaln mengikut tema atau isu
  4. Gunakan Teknik IMBaP (Isu, Mengapa, Bagaimana, Persoalan)
  5. Atau boleh gunakan teknik (idea utama, huraian, contoh, arahan soalan)

Isi 

  1. Gunakan Teknik IMBaP
  2. Atau boleh gunakan teknik (idea utama, huraian, contoh, kesimpulan kecil)

Penutup

  1. Gunakan Teknik PCH (Pandangan, Cadangan dan Harapan)
  2. Teknik (Ulang arahan soalan, cadangan, harapab, ungkapan menarik/peribahasa)

Contoh Karangan

Apakah kesan penggunaan gajet seperti telefon pintar dan tablet kepada kanak-kanak? Huraikan pendapat anda dalam 150 hingga 200 patah perkataan.

Perenggan Pendahuluan

  1. Isu: Mutakhir ini, penggunaan gajet dalam kalangan kank-kanak semakin tidak terkawal
  2. Mengapa: Ibu dan bapa terpaksa memberikan gajet sebagai alat hiburan kepada anak-anak kerana mereka telah penat bekerjaya
  3. Bagaimana: Sebaliknya, mereka harus bertindak lebih bijak terhadap anak-anak
  4. Persoalan: Penting untuk kita mengetahui kesan-kesan penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak

Perenggan Isi

  1. Isi: Antara kesan penggunaan gajet adalah penglihatan mereka akan terjejas
  2. Mengapa: Hal ini kerana penggunaan gajet membuatkan mata kanak-kanak fokus pada jarak dekat dalam jangka masa panjang
  3. Bagaimana: Oleh itu, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak seperti menatang minyak yang penuh dan menasihati mereka untuk menggunakan gajet pada kadar masa tertentu sahaja

Perenggan Penutup

  1. Pandangan: Kesimpulannya, penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak meninggalkan kesan yang buruk jika tidak dikawal
  2. Cadangan: Setiap pihak perlu memberikan contoh untuk mengawal penggunaan gajet dihadapan kanak-kanak
  3. Harapan: Sesungguhnya, ketagihan terhadap gajet dalam kalangan kanak-kanak wajar dibendung dengan segera.

Contoh Karangan – Huraikan Pendapat

Huraikan pendapat anda tentang pengangkutan awam di Malaysia:

Di Malaysia, pengangkutan awam lazimnya tertumpu di kawasan bandar. Antara jenis pengangkutan yang digunakan adalah bas, teksi, LRT dan keretapi.

Antara kebaikan menggunakan pengangkutan awam adalah mengurangkan kesesakan lalu lintas kerana jumlah kenderaan persendirian di jalan raya akan berkurangan. Selain itu, orang awam dapat menjimatkan masa dan kos pengangkutan apabila menggunakan pengangkutan awam. Tambahan pula, pencemaran alam sekitar juga dapat dikurangkan kerana perlepasan gas karbon berkurangan jika ramai yang menggunakan pengangkutan awam.

Untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, pihak kerajaan perlu memastikan penyelenggaraan pengangkutan awam diurus dengan baik. Pada masa yang sama pembinaan stesen pengangkutan awam perlu berada pada lokasi yang tepat dan jaringan pengangkutan lain dinaik taraf secara sejajar.

Keburukan pengangkutan awam ialah tambang yang mahal dan kekerapan tren atau bas yang lama telah menimbulkan kesulitan dalam kalangan penumpang. Orang ramai juga berasa kurang selasa menaiki pengangkutan awam kerana bersesak dengan orang lain.

Kesimpulannya, pengangkutan awam memberikan banyak kelebihan berbanding menggunakan kenderaan persendirian. Pihak berkuasa perlu menyediakan jaringan pengangkutan awam yang memudahkan masyarakat dan selesa supaya segala kebaikan tersebut dimanfaatkan oleh semua pihak.

(173 patah perkataan)

Contoh Karangan – Jenis Laporan

Sebagai setiausaha Persatuan Bahasa Melayu sekolah anda, tulis laporan tentang lawatan ke pesta buku anjuran PKNS untuk diterbitkan dalam majalah sekolah:

Laporan Lawatan Ke Pesta Buku anjuran PKNS

Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Reko telah mengadakan lawatan sambil belajar ke pesta buku anjuran PKNS. Pada 2 Mac 2022 bersamaan hari Isnin lawatan telah dibuat ke Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC). Kami bertolak dari sekolah pada pukul 8 pagi dengan menaiki bas persiaran. Seramai 30 orang murid Tingkatan Empat dan dua guru pengiring telah menyertai lawatan tersebut.

Lawatan ini bertujuan untuk menanam minat membaca pelbagai jenis buku dalam diri para pelajar. Di pameran tersebut, pelbagai jenis buku dipamerkan seperti buku fiksyen dan bukan fiksyen. Hampir setiap ruang pameran dilawati dan kebanyakan buku yang dipamerkan merupakan buku terbitan tempatan. Buku-buku dijual dengan harga yang berpatutan dan lebih murah berbanding harga buku di kedai buku. Terdapat juga promosi untuk buku rujukan dan latihan.

Kami juga berpeluang untuk melihat dan menyertai acara selingan yang disediakan oleh pihak penganjur. Selain acara cabutan bertuah, terdapat juga pertandingan bercerita, mewarna dan ejaan Bahasa Melayu. Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Reko telah menghantar wakil untuk pertandingan bercerita dan mendapat hadiah tempat ketiga. Lawatan yang sangat menyeronokkan ini telah membuka mata para pelajar kepada pelbagai jenis bahan bacaan dan meningkatkan semangat untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan diri, rakan dan masyarakat.

Laporan disediakan oleh,                                                                                          7 Mac 2022

AMIRAH

(Amirah Binti Ali)
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Reko.

(198 Patah Perkataan)

Contoh Karangan – Jenis Resume

Berdasarkan iklan-iklan yang diberikan, sediakan resume diri anda yang lengkap bagi permohonan satu pekerjaan yang anda minati.

Jawatan yang diminati ialah Kerani di RHB Banking Group

Biodata diri

Nama: Meera a/p Krishnan
Umur: 30 tahun
Tempat lahir: Hospital Fatimah, Ipoh Perak
Jantina: Perempuan
Warganegara: Malaysia
Bangsa: India
Status: Berkahwin
Alamat: No. 42, Jalan Tun Perak, 30200, Ipoh, Perak Darul Ridzuan

Latar Belakang Akademik

Memiliki Diploma Pengajian Perbankan dan Sijil Pelajaran Malaysia dengan pujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Prinsip Perakaunan.

Pengalaman Kerja

Merupakan bekas kerani di Petron Malaysia Berhad selama 3 tahun. Sebelum itu, bekerja sebagai kerani di Jabatan Pengurusan Risiko Kewangan di Selangor selama 2 tahun.

Kemahiran Berkomunikasi

Mempunyai kemahiran berkomunikasi bertulis dan lisan yang kuat dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Boleh menyampaikan maklumat dengan cara yang mudah difahami.

Kemahiran komputer 

Mahir melakukan entri data di Excel dan perisian entri data lain. Mahir dalam menggunakan apliaksi Microsoft Office yang lain seperti Word dan PowerPoint.

Potensi Diri

  • Berintergriti dan jujur dalam melakukan tugas yang diamanahkan
  • Peramah dan mudah untuk bekerjasama dengan rakan sepejabat
  • Sentiasa menjaga penampilan diri demi menjaga kredibiliti syarikat
  • Memastikan masa ditepati dan menyiapkan tugas pada tempoh yang ditetapkan

Rujukan

Jika memerlukan maklumat lanjut tentang diri saya, sila hubungi:

  • Encik Akmal Hairi, Pengurus Perakaunan Petron Malaysia Berhad
  • Puan Lee Mei Yeng, Pegawai Jabatan Pengurusan Risiko Kewangan, Selangor

(199 patah perkataan)

Contoh Karangan – Jenis Membalas e-mel

Anda dikehendaki menjawab emel berkenaan keistimewaan permainan tradisional di Malaysia dan adakah ia semakin dipinggirkan oleh generasi muda dengan lengkap.

Daripada: imanfarhan04@yahoo.com

Kepada: alifhakim_77@gmail.com

Subjek: Keistimewaan permainan tradisional

Salam sejahtera Alif,

Saya amat berbesar hati apabila mendapat emel daripada awak. saya dan keluarga berada dalam keadaan yang sihat walafiat. Untuk makluman awak, permainan tradisional merupakan permainan yang dimainkan oleh generasi terdahulu seperti permainan congkak, batu seremban dan gasing.

Permainan tradisional merupakan alat hiburan untuk mengisi masa lapang kerana pada zaman dahulu, tidak wujud teknologi permainan video. Maka, masyarakat dahulu mengurangkan tekanan dan mencergaskan diri dengan bermain permainan tradisional. Ia turut mengukuhkan hubungan masyarakat kita yang berbilang bangsa.

Selain itu, permainan tradisional adalah istimewa kerana ia merupakan salah satu produk pelancongan. Pelancong luar melihat pelbagai jenis permainan tradisional kerana keunikan budaya kita. Secara tidak langsung, keunikan ini menarik kedatangan pelancong asing untuk bercuti dan mengunjungi negara Malaysia.

Secara jujur, permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda pada hari ini. Hal ini demikian kerana mereka kurang mengenali fungsi dan kepentingan permainan tradisional. Ia merupakan alat perhubungan silaturrahim antara generasi dahulu. Namun kini, kemajuan teknologi telah menjajah dan membunuh kebudayaan zaman dahulu.

Sebagai rakyat, saya berharap setiap pihak menghargai warisan tradisi ini supaya kita mendapat manfaatnya yang menyatukan semua lapisan masyarakat. Harap penjelasan ini membantu awak dalam menyiapkan penyelidikan tersebut.

Sahabatmu,

Iman Farhan

(200 patah perkataan)

Semoga perkongsian di atas membantu pelajar sebelum menduduki peperiksaan SPM.

Related : respon terhad karangan pendek, untuk membayar,