Latihan penulisan dan pembacaan dapat membantu pelajar untuk menambah pengetahuan dan idea dalam penulisan karangan. Selain membuat latihan yang diberikan oleh guru di sekolah, pelajar juga boleh merujuk contoh-contoh karangan secara atas talian. Berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan menyambut hari kemerdekaan setiap tahun sebagai rujukan.
Tema berkenaan kemerdekaan adalah salah satu tema yang berpotensi tinggi untuk keluar di dalam peperiksaan. Oleh itu, pelajar seharusnya membuat latihan berdasarkan tajuk-tajuk yang menyentuh tema kemerdekaan atau hari kebangsaan supaya anda mendapat idea dan pengolahan serta penggunaan peribahasa yang sesuai. Tambahan pula, pelajar seharusnya mampu menulis karangan bertemakan kebangsaan dan memasukkan fakta-fakta sejarah yang menyokong huraian anda.
Contoh Karangan Kepentingan Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Setiap Tahun
Berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan menyambut hari kemerdekaan setiap tahun untuk panduan semua. Anda juga boleh melihat contoh huraian yang diberikan mengikut pendahuluan, isi-isi penting dan penutup.
Isi-isi penting
- Menghargai pengorbanan generasi terdahulu
- Mengukuhkan perpaduan antara masyarakat
- Meraikan kejayaan negara dan merencana wawasan baharu
- Menandakan kedaulatan negara kepada negara lain
- Menyemarakkan patriotisme dalam masyarakat
Pendahuluan
Tanggal tiga puluh satu, bulan lapan lima puluh tujuh, merdeka, merdeka tetaplah merdeka, ia pasti menjadi sejarah. Lirik lagu 31 Ogos nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad menjadi satu siulan kepada seluruh rakyat di Malaysia menjelang bulan kemerdekaan iaitu bulan Ogos. Sebagai pelajar, ia merupakan satu bulan yang menyeronokkan kerana pelbagai aktiviti yang akan dilakukan sempena menyambut kemerdekaan tanah air yang dicintai ini.
Malahan, di peringkat negeri dan juga kebangsaan, sambutan kemerdekaan menjadi acara tahunan yang ditunggu-tunggu oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia kerana ia menandakan kebebasan negara daripada penjajah dahulu. Namun, sambutan ini semakin hari semakin menjadi persoalan generasi hari ini kerana ia menggunakan bajet yang banyak sedangkan negara menghadapi krisis ekonomi yang mengancam kesejahteraan rakyat. Justeru, mari kita bincangkan kepentingan menyambut hari kemerdekaan setiap tahun di Malaysia.
Isi 1
Kepentingan utama dalam menyambut kemerdekaan negara adalah untuk menghargai pengorbanan generasi terdahulu. Untuk mengelakkan masyarakat menjadi seperti kacang yang lupakan kulitnya, kita perlu sentiasa diingatkan dengan pengorbanan generasi terdahulu. Walaupun dipisahkan oleh penjajah mengikut perbezaan kaum, nenek dan moyang kita mampu bertoleransi, bekerjasama dan bersatu padu dalam mengecapi kemerdekaan negara.
Pengorbanan tokoh-tokoh negarawan seperti Tuanku Abdul Rahman yang menggunakan kebijaksanaannya dalam menyatukan rakyat dan seterusnya berunding untuk mendapatkan kemerdekaan negara wajar dihargai. Secara tidak langsung sambutan kemerdekaan ini menjadi peringatan kepada masyarakat untuk memilih pimpinan negara yang terbaik demi membaawa negara ke arah yang lebih baik. Intihannya, sambutan kemerdekaan adalah penting untuk menghargai pengorbanan generasi terdahulu.
Isi 2
Umum mengetahui, kita di Malaysia hidup bersama masyarakat yang berlatar belakangkan pelbagai kaum, agama dan bangsa. Nilai hormat-menghormati dan saling bertolak ansur menjadi pemangkin kepada perpaduan antara rakyat di negara ini. Hasilnya, kita berjaya mengecapi kemerdekaan pada masa dahulu dan ia seharusnya kekal sebagai formula untuk kita berjaya pada masa kini dan akan datang. Sebaliknya, isu perbezaan kaum,agama dan bangsa sering kali menjadi isu yang dipolitikkan.
Dalam abad ke 21 ini, globalisasi menjadi satu objektif yang dikejar oleh negara-negara asing selaras dengan kemajuan sains dan teknologi. Oleh itu, penting untuk kita mengukuhkan perpaduan antara masyarakat dengan menganjurkan sambutan kemerdekaan pada setiap tahun. Bak kata pepatah Melayu, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Izharnya, sambutan kemerdekaan yang menjurus ke arah penyatuan rakyat wajar disokong dan dianjurkan demi mengekalkan kewibawaan negara
Isi 3
Selain itu, sambutan kemerdekaan negara pada setiap tahun penting untuk diadakan bagi meraikan kejayaan negara dan merencana wawasan baharu. Setiap tahun, rakyat kita menghadapi pelbagai cabaran misalnya baru-baru ini pandemik COVID-19 yang melanda dunia. Berkat usaha dan pengorbanan golongan barisan hadapan seperti doktor, jururawat dan pegawai polis, kita berjaya membendung pandemik tersebut daripada meragut lebih banyak nyawa dan melumpuhkan ekonomi masyarakat kita.
Oleh itu, sambutan kemerdekaan juga penting untuk menyambut kejayaan golongan-golongan tertentu seperti petugas baris hadapan yang bertungkus-lumus memastikan negara kita menjamin kesejahteraan demi seluruh rakyat di Malaysia. Pada masa yang sama, ia juga menjadi penanda aras atau titik-tolak kepada kita sebagai rakyat untuk memastikan kesilapan masa lalu tidak berulang dan mula bertindak untuk memastikan masa hadapan negara mempunyai harapan yang cerah.
Isi 4
Akhir sekali, kepentingan sambutan kemerdekaan adalah untuk menandakan kedaulatan negara kepada negara-negara lain. Sebagai contoh, di Russia mereka menyambut kemerdekaan dengan melakukan perarakan oleh askar-askar dan mempamerkan utiliti atau artileri terkini yang dimiliki. Perkara ini menjadi satu bukti kedaulatan negara mereka kerana menunjukkan kesiap siagaan pasukan tentera mereka untuk menghadapi sebarang ancaman. Namun di Malaysia, kita boleh memperagakan kejayaan dan kemampuan negara kita pada sambutan kemerdekaan.
Tamsilnya, kemajuan industri animasi negara yang lebih maju berbanding negara-negara jiran. Animasi Upin-Ipin, Boboboy dan Ejen Ali yang telah menembusi pasaran antarabangsa wajar dipamerkan dalam sambutan kemerdekaan. Contoh lain, atlet negara seperti Lee Chong Wei dan Azizulhasni Awang yang menjadi juara dunia juga wajar disambut sebagai kejayaan negara di peringkat dunia. Tegasnya, sambutan kemerdekaan penting untuk menunjukkan kedaulatan negara kita di mata dunia.
Penutup
Kesimpulannya, banyak kepentingan yang diperoleh daripada sambutan kemerdekaan yang dianjurkan pada setiap tahun. Sebagai rakyat, kita seharusnya mendukung perkara ini bagi memupuk sikap patriotisme dalam diri dan anggota masyarakat agar niat cinta akan negara tumbuh mekar di dalam hati sanubari masing-masing. Jika berlaku sebarang pertelingkahan kita harus mengingati tindakan dan tidak mengulangi kesilapan nenek dan moyang kita.
Semoga setiap di antara kita bersikap cakna dalam memastikan keharmonian negara dan perkembangannya tidak dihalang dengan anasir-anasir politik yang hanya menguntungkan poket mereka sahaja. Ibarat gajah berjuang sama gajah, pelanduk mati di tengah-tengah. Janganlah kita berputus asa dan meninggalkan tanah air ini untuk menikmati kemajuan di negara lain kerana Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.
Related : kepentingannya yang tersendiri, hari kebesaran negara, sambut setiap tahun mempunyai, hari tersebut merupakan hari, untuk menyambut hari ulang, majlis perarakan atau perbarisan, acara dijalankan untuk menyambut hari, perlu disambut dan dihayati hari ulang tahun kemerdekaan sambutan hari kebangsaan menyambut hari ulang tahun ulang tahun kemerdekaan negara negara yang perlu disambut pelbagai acara dijalankan untuk tahun mempunyai kebaikan kebesaran negara yang perlu dihayati oleh semua rakyat
Senarai Tajuk Kecil Artikel