Beza Gred Hakiki Dengan Gred KUP. Perbezaan jawatan hakiki vs jawatan khas untuk penyandang untuk penjawat awam.

Beza Gred Hakiki Dengan Gred KUP (Khas Untuk Penyandang)

beza gred hakiki dan gred kup

Beza Gred Hakiki Dengan Gred KUP. Perhatian kepada penjawat-penjawat awam yang bernaung di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Tahukah anda mengenai gred  jawatan hakiki dan gred Khas Untuk Penyandang (KUP)? Sekiranya tidak, ikuti perkongsian di bawah berkenaan maksud gred-gred tersebut dan perbezaannya sebagai rujukan untuk semua.

Penjawat awam seharusnya peka dan ambil tahu mengenai gred-gred pegawai yang disediakan oleh JPA. Hal ini kerana terdapat pegawai atau guru yang tidak dinaikkan pangkat setelah bekerja dan berkhidmat selama berbelas tahun. Justeru, JPA telah memastikan bahawa semua penjawat awam berpeluang untuk dinaikkan pangkat secara time-based serta mengurus hal ehwal penjawat awam dengan efisien dan teratur.

Perbezaan Antara Gred Hakiki Dengan Gred KUP Yang Ramai Keliru

Berikut dikongsikan maklumat mengenai maksud dan beza gred di atas untuk rujukan semua.

i) Gred Hakiki

Ianya adalah gred pada jawatan yang disandang. Berikut adalah contoh untuk memahami gred tersebut:-

  • Guru yang menjawat jawatan sebagai Pengetua akan mendapat gred hakiki GD52. Jika guru tersebut masih berada di gred DG44 kerana time-based, gred guru akan berubah ke DG52 kerana dilantik sebagai pengetua.
  • Jika ingin berpindah sekolah, guru yang berjawatan gred hakiki perlu berpindah ke sekolah jawatan dengan gred yang sama.
  • Sekiranya ingin berpindah tetapi tiada kekusongan jawatan yang sama, guru tersebut perlu meletak jawatan dan mendapat semula gred KUP
  • Contoh jawatan yang menggunakan Gred Hakiki adalah Guru Tingkatan 6, Guru Kanan Mata Pelajaran, Penolong Kanan dan Pengetua.

ii) Gred KUP

Jawatan Khas Untuk Penyandang (KUP) adalah jawatan yang diwujudkan bagi membolehkan penempatan seseorang pegawai di mana gred hakikinya lebih tinggi atau rendah daripada gred hakiki jawatan.

Ia diwujudkan dalam keadaan berikut:

  1. Bagi memperbaiki keadaan di mana penyandang-penyandang jawatan telah diberi tangga gaji yang berbeza dengan tangga gaji yang diluluskan bagi jawatan tersebut mengikut skim perkhidmatan jawatan itu.
  2. Bagi menampung pegawai-pegawai yang mengisi jawatan-jawatan dalam perkhidmatan yang jumud
  3. Bagi menampung pegawai-pegawai yang telah diletakkan di satu peringkat oleh Tribunal Perkhidmatan Awam walaupun peringkat jawatan tersebut tidak dibekalkan di dalam skim perkhidmatan masing-masing.
  4. Berikutan terdapat perubahan dalam dasar perkhidmatan kerajaan hasil penguatkuasaan Surat Edaran JPA bilangan 12 Tahun 2009 – Pelaksanaan kenaikan Pangkat Pegawai Kumpulan Sokongan Yang Telah Berkhidmat 15 Tahun dan Lebih Dalam Skim Perkhidmatan dan Perkhidmatan Semasa
  5. Dan atas sebab:
    • penyandang jawatan tersebut dinaikkan pangkat sedadngkan jawatannya tidak dinaik taraf
    • jawatan yang disandang oleh pegawai berkenaan dinaikkan atau diturunkan tarafnya

Nota-Nota Berkaitan

Di bawah adalah penerangan yang diberikan oleh Cawangan Dasar & Pembangunan Perkhidmatan, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia berkenaan gred hakiki dan KUP:

  1. Kenaikan pangkat secara hakiki bermaksud pegawai akan melaksanakan tugas di gred yang lebih tinggi berbanding KUP yang mempunyai tanggungjawab dan deskripsi tugas adalah sama
  2. Selaras dengan kecemerlangan prestasi, setiap pegawai awam perlu menunjukkan prestasi yang cemerlang dan berusaha menempatkan diri dalam pertimbangan kenaikan pangkat secara hakiki.
  3. Pembayaran elaun pemangkuan diperuntukkan bagi pegawai yang memangku gred hakiki kerana pegawai perlu memangku sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum layak dipertimbangkan pengesahan kenaikan pangkat
  4. Berbanding KUP, tiada pemangkuan dan pegawai terus dinaikkan pangkat
  5. Kemudahan adalah sama bagi hakiki dan KUP kerana kemudahan-kemudahan dikira berdasarkan gred sandangan pegawai.
  6. Kesan jangka masa panjang, kedua-dua kategori (KUP dan hakiki) adalah layak untuk dipertimbangkan dalam urusan kenaikan pangkat ke gred seterusnya. Walaubagaimanapun, seharusnya pegawai yang berada di gred hakiki akan lebih berpengalaman untuk dipertimbangkan oleh ketua Jabatan
  7. Pegawai KUP turut boleh diarahkan mengisi kekosongan hakiki apabila diarahkan oleh Ketua jabatan (Urusan penempatan)

Nota lain: Pengiraan pencen adalah berdasarkan gaji akhir yang diterima penjawat awam. Ia tidak dipengaruhi atau tiada kaitan dengan gred sama ada gred KUP atau gred hakiki.

Kesimpulannya, jawatan bagi gred hakiki dan gred KUP tiada perbezaannya dari segi gaji, elaun, cuti dan persaraan. Gred hakiki akan memegang tugasan gred tersebut manakala gred KUP memegang tugasan gred lama.

Semoga perkongsian berkenaan perbezaan gred di atas memberikan manfaat kepada semua.

Related : sekolah gred untuk makluman jawatan asal