Faedah Melancong Dalam Negara (Kelebihan). Contoh karangan kebaikan melancong di lokasi tempatan tanpa keluar dari negara Malaysia.

Faedah Melancong Dalam Negara (Kelebihan)

contoh karangan faedah melancong dalam negara kelebihan

Pelancongan adalah salah satu tema yang berpotensi untuk menjadi soalan penulisan karangan Bahasa Melayu. Tema atau isu yang umum ini memberikan kelebihan kepada pelajar untuk menulis karangan dengan huraian yang berkaitan dan frasa-frasa yang menarik. Berikut dikongsikan contoh karangan faedah melancong dalam negara (kelebihan) sebagai rujukan untuk semua.

Industri pelancongan negara terjejas teruk apabila pandemik COVID-19 melanda negara dan dunia. Oleh yang demikian, soalan atau tajuk yang dibincangkan menepati kehendak kerajaan untuk menggalakkan semua rakyat Malaysia khususnya murid-murid agar mengajak ibu, bapa dan keluarga melancong dalam negara. Secara tidak langsung pelajar mendapat informasi yang baru dan menulis karangan sebagai latihan sebelum menghadapi peperiksaan atau ujian yang sebenar.

Contoh Karangan Faedah Melancong Dalam Negara (Kelebihan)

Di bawah dikongsikan contoh karangan Faedah Melancong Dalam Negara (Kelebihan) untuk rujukan semua. Pelajar juga boleh merujuk isi penting yang sesuai serta huraian mengikut isi seperti berikut.

Isi-isi penting

  1. Menyumbang kepada peningkatan ekonomi tempatan
  2. Mengenali budaya dan warisan negara
  3. Menjimatkan masa dan kos
  4. Mudah untuk berkomunikasi
  5. Mengeratkan hubungan keluarga dan rakan-rakan

Pendahuluan

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, melancong bermaksud melawat sambil melihat-lihat atau bersenang-senang. Kebanyakan di antara kita menggunakan masa lapang di hujung minggu untuk melancong ke kawasan peranginan seperti pantai, kawasan air terjun dan juga menjamu selera di restoran yang mendapat sambutan ramai. Sebaik sahaja larangan merentas sempadan negeri dibuka susulan penularan COVID-19, ramai yang mengambil peluang untuk mengunjung setiap pusat pelancongan dalam negara sehingga mengakibatkan kesesakan jalan raya yang luar biasa.

Perkara ini memberikan signal bahawa industri pelancongan di negara kita berpotensi tinggi dan disukai ramai oleh masyarakat tempatan. Trend ini diharap berterusan walaupun sempadan negara lain akan dibuka kelak dan menyemarakkan lagi industri pelancongan negara dengan kedatangan pelacong asing. Oleh yang demikian, mari kita perhalusi faedah melancong dalam negara dan kelebihan yang akan diperoleh pengunjung secara khusus dan orang sekeliling secara amnya.

Isi 1

Manfaat paling utama apabila kita melancong dalam negara adalah dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi tempatan. Industri pelancongan merupakan salah satu industri yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19. Hotel penginapan tidak menerima sebarang pengunjung dan kebanyakan pekerja diberhentikan. Maka, kita sebagai masyarakat tempatan seharusnya memikul tanggungjawab untuk menyemarakkan semula industri pelancongan domestik. Sebagai contoh, golongan yang berkemampuan sebelum ini melancong dan berbelanja di negara luar kini dapat menggunakan perbelanjaan mereka untuk manfaat pemain industri pelancongan tempatan.

Kesannya mereka dapat membina semula perniagaan atau perkhidmatan mereka yang terjejas sebelum ini dan bersedia untuk menerima semula pelancong asing apabila sempadan negara dibuka. Ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan dalam industri pelancongan akan turut berkembang seperti perkhidmatan penginapan, pengangkutan dan pemakanan. Intihannya, melancong dalam negara kita dapat menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara secara langsung dan tidak langsung.

Isi 2

Faedah lain yang diperoleh sekiranya kita melancong di kawasan-kawasan pelancongan tempatan adalah kita dapat mengenali budaya dan warisan negara dengan lebih dekat. Masyarakat dunia mengetahui kita di Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana mempunyai masyarakat majmuk yang berbilang kaum dan agama. Namun, kita berjaya hidup dengan harmoni dan telah melahirkan pelabagi jenis budaya dan warisan.

Tamsilnya, apabila kita berkunjung ke negeri Melaka, kita dapat melihat budaya Baba Nyonya yang dibesarkan mengikut cara hidup dan upacara agama orang Cina tetapi diubah oleh unsur kemalayuan serta unsur tempatan yang lain. Selain itu, aktiviti melancong ke muzium-muzim juga antara aktiviti menarik dimana dapat meningkatkan pengetahuan kita mengenai seni budaya dan warisan yang dimiliki oleh nenek dan moyang kita. Persis kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Izharnya, melancong dalam negara dapat membantu masyarakat terutamanya generasii muda untuk mengenali budaya dan warisan negara.

Isi 3

Dari sudut pandang yang lain, masa dan kos dapat dijimatkan apabila kita melancong di dalam negara. Dalam menghadapi ketidak-tentuan ekonomi masa kini, kita seharusnya mengukur baju di badan sendiri. Melancong merupakan salah satu istirehat setelah kita berhempas pulas mengerah peluh dan tenaga bekerja pada tempoh masa tertentu. Justeru, melancong dalam negara tidak melibatkan kos perbelanjaan yang tinggi kerana tiada pertukaran mata wang diperlukan dan banyak pilihan untuk kita tentukan aktiviti dan tempat penginapan yang sesuai dengan perbelanjaan kita.

Dari segi masa pula, kebanyakan kawasan pelancongan boleh dilawati dengan mudah samada menaiki kenderaan persendirian atau pengangkutan awam. Kecuali di Sabah dan Sarawak dimana pengunjung perlu menaiki kapal terbang dengan tambang yang berpatutan. Aktiviti pelancongan boleh dilakukan pada masa hujung minggu dan kita tidak perlu mengambil cuti yang panjang untuk melawat tempat yang menarik dan keluar daripada hiruk-pikuk kehidupan di kawasan bandar. Tuntasnya, melancong dalam negara dapat menjimatkan kos dan masa yang kita ada.

Isi 4

Akhir sekali, kelebihan yang terbaik jika kita melancong dalam negara adalah mudah untuk kita berkomunikasi dengan orang sekeliling apabila melawati pusat-pusat peranginan. Khusus bagi mereka yang berkeluarga dan membawa anak kecil melancong, pastinya pelbagai ragam yang mereka perlu hadapi tanpa mengira waktu. Maka, jika kita menghadapi kesulitan, mudah untuk kita meminta sebarang bantuan daripada pekerja atau kakitangan pusat pelancongan tersebut supaya memudahkan urusan kita tanpa menggangu percutian pengunjung lain.

Bayangkan jika kita melancong ke negara asing yang mempunyai pertuturan bahasa yang lain dan tidak difahami. Bagaimana jika berlaku kecemasan seperti kehilangan pasport dan ingin meminta bantuan? Kita perlu menggunakan perkhidmatan peralihan bahasa di telefon bimbit dan kadang kala memakan masa yang lama. Nescaya ia akan merumitkan keadaan dan berharap bahawa pihak berkuasa di negara tersebut memberikan kerjasama dan layanan yang baik. Tegasnya, kemudahan dalam berkomunikasi adalah faedah yang diperoleh jika kita melancong secara lokal.

Penutup

Sebagai kesimpulan, pelbagai faedah yang diperoleh sekiranya kita melancong dalam negara kita sendiri. Pepatah melayu berkata, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Peribahasa itu jelas menunjukkan bahawa negara kita mempunyai banyak kelebihan berbanding negara lain. Pelbagai jenis pusat pelancongan telah dibangunkan sama ada di kawasan pulau, pantai, tanah tinggi dan juga taman tema yang mampu menarik minat segenap usia masyarakat di Malaysia. Dengan usahasama pengusaha pelancongan dan agensi kerajaan, promosi untuk melancong dalam negara wajar diperkasa dan menjadi tontonan umum bukan sahaj untuk masyarakat kita tetapi juga tatapan masyarakat global. Semoga pandemik yang telah kita hadapi merupakan pandemik terakhir dan memberikan ruang kepada industri pelancongan negara untuk terus berkembang maju dan dikunjungi oleh pelancong dari seantero dunia.

Related : destinasi pelancongan, bahawa melancong, sektor pelancongan, merapatkan hubungan, ahli keluarga, hubungan kekeluargaan, melancong ke luar negara, terang lagi bersuluh, pendapatan negara,