Ciri-ciri Kepemimpinan Yang Baik Dan Berwibawa (Pemimpin). Contoh karangan sifat-sifat yang perlu ada pada seseorang yang ingin memimpin.

Ciri-ciri Kepemimpinan Yang Baik Dan Berwibawa (Pemimpin)

contoh karangan ciri kepimpinan yang baik dan berwibawa

Sebagai pelajar, kita didedahkan dengan kepimpinan di bilik darjah apabila melantik ketua kelas dan juga pengawas untuk memimpin sesuatu protokol di sekolah. Bermula dari situ, ciri kepimpinan seseorang boleh digilap dan ditambah baik sehingga menjadi pemimpin yang berjasa kepada masyarakat serta negara. Justeru, penting untuk kita memupuk dan melahirkan golongan pemimpin yang bijaksana dan berwibawa. Sebagai rujukan, di bawah dikongsikan contoh karangan ciri-ciri kepemimpinan yang baik dan berwibawa.

Kepimpinan adalah satu topik yang diminati kerana ia menyentuh kehidupan masyarakat dunia tanpa mengira budaya dan latar belakang. Hal ini kerana bukan setiap di antara mempunyai ciri kepimpinan tetapi setiap di antara kita perlu menjadi seorang pemimpin. Tajuk ini bukan sahaja tertumpu kepada pemimpin negara seperti menteri tetapi juga pemimpin di peringkat organisasi swasta, penjawat awam dan juga pemimpin keluarga.

Ciri-Ciri Kepemimpinan Yang Baik Dan Berwibawa

Contoh karangan ciri-ciri yang perlu ada pada peminpin yang baik dan berwibawa boleh dirujuk di bawah. Turut dikongsikan adalah isi-isi penting yang berkaitan dan berpotensi untuk dihuraikan dalam penulisan karangan pelajar.

Isi-isi penting

  1. Mempunyai jati diri yang kuat dan berintegriti tinggi
  2. Berketrampilan menarik dan kemas
  3. Mempunyai kemahiran berkomunikasi yang tinggi
  4. Mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan
  5. Bijaksana dalam melakukan tugas
  6. Jujur dalam memikul amanah

Pendahuluan

Dalam meniti kehidupan marcapada ini, masyarakat kita sering kali dikejutkan dengan berita-berita pecah amanah dan salah laku yang dilakukan oleh orang-orang ternama. Polemik ini telah menyebabkan negara kita terkesan dari segi imej di peringkat global kerana terdapat segolongan pemimpin yang terpalit dengan kes rasuah dan salah guna kuasa. Setiap rakyat perlu bermuhasabah dan sedar apakah punca berlakunya perkara ini sehingga menyebabkan negara kita dimalukan oleh akhbar dan tabloid antarabangsa?

Pada hemat saya, golongan pemimpin ini kurang dari segi ciri-ciri kebaikan dan kewibawaan. Sebagai seorang muslim, kita lahir di bumi ciptaan Tuhan yang sementara ini untuk menjadi khalifah iaitu pemimpin bukan sahaja apabila dilantik tetapi juga pemimpin kepada diri, keluarga, masyarakat dan juga negara. Maka setiap di antara kita wajib mengetahui dan memiliki ciri-ciri pemimpin yang baik dan berwibawa demi kemaslahatan bersama.

Isi 1

Ciri pertama yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin yang baik adalah mempunyai jati diri yang kuat dan berintegriti tinggi. Seperti mana yang kita ketahui, sesebuah organisasi bergantung kepada prestasi pentadbirannya yang diketuai oleh seorang pemimpin. Sekiranya pemimpin tersebut mempunyai jati diri yang kuat dan jelas, pasti organisasi di bawahnya dapat bekerja atau melaksanakan tugas dengan baik dan memenuhi aspirasi yang ingin dicapai.Sebagai contoh, seorang pemimpin itu telah menetapkan satu sasaran pada tempoh masa tertentu dan bekerjasama dengan setiap ahli yang terlibat untuk mencapai sasaran tersebut.

Tetapi apabila berlaku satu halangan, sasaran tersebut kekal dan tidak berubah seperti lalang yang ditiup angin. Dalam erti kata lain, pemimpin yang mematuhi undang-undang seperti tidak mengambil rasuah, mereka akan patuh dan kekal pendirian untuk menjalankan amanah di atas kepercayaan yang diberikan bukan sogokan pihak tertentu. Persis kata peribahasa, bumi dipijak, langit dijunjung. Jelasnya, pemimpin yang berintergriti tinggi dan jati dirinya kuat adalah ciri pemimpin yang berwibawa.

Isi 2

Berketrampilan menarik dan kemas juga adalah salah satu ciri pemimpin yang baik. Imej merupakan satu perkara penting dalam aspek kehidupan kita kerana fitrah manusia suka melihat kepada sesuatu yang cantik dan menarik. Lebih-lebih lagi dalam zaman media sosial di mana pemimpin perlu sentiasa kelihatan segak dan bersedia jika disapa oleh ahli masyarakat.

Ketrampilan tinggi juga dapat menunjukkan keyakinan diri pemimpin tersebut kepada kakitangan atau ahli di bawah pimpinannya. Hal ini kerana, individu yang tidak berkeyakinan tidak suka menanggung risiko dan lemah apabila membuat keputusan. Pemimpin yang berkeyakinan tinggi mampu membuatkan orang sekelilingnya menaruh harapan atau kepercayaan terhadap kemampuanya. Tuntasnya, berketrampilan tinggi juga adalah ciri pemimpin yang berwibawa.

Isi 3

Di samping itu, pemimpin yang baik dan berwibawa seharusnya mempunyai kemahiran berkomunikasi yang tinggi. Berbalik kepada peranan sebagai seorang pemimpin adalah untuk memimpin ahli di bawahnya untuk melakukan sesuatu dengan baik. Oleh itu, kemahiran komunikasi yang baik dapat membantu satu arahan, penjelasan dan teguran disampaikan dengan baik serta diterima juga dengan baik. Dari sudut pemimpin negara pula, kemahiran berkomunikasi adalah penting dalam menyampaikan hujahan supaya difahami oleh rakyat apabila sesuatu isu dibincangkan.

Bayangkan jika seorang pemimpin perlu berunding dengan delegasi daripada negara asing tetapi tidak mempunyai kemahiran komunikasi yang baik, negara kita mungkin akan menanggung akibatnya. Dengan kemudahan yang kita nikmati hari ini, golongan pemimpin seharusnya menguasai bahasa yang lazim digunakan di peringkat global seperti Bahasa Inggeris. Bak kata pepatah, yang elok itu budi, yang indah itu bahasa. Kemahiran komunikasi yang baik menunjukkan seorang pemimpin itu baik dan berwibawa.

Isi 4

Akhir sekali, ciri yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin yang baik dan berwibawa adalah mengamalkan nilai-nilai murni dalam setiap aspek kehidupan. Sebagai seorang individu, kita sebenarnya mempunyai pengaruh untuk mengajak orang sekeliling kita melakukan perkara yang baik. Apatah lagi seorang pemimpin yang menjadi sanjungan dan diperhatikan oleh ramai orang seperti ahli keluarga dan ahli organisasi. Apabila pemimpin menunjukkan tauladan yang baik secara tidak langsung akan memberi aspirasi kepada pengikutnya untuk melakukan perkara yang sama.

Persis kata mutiara, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Sebagai contoh, seorang pemimpin membiasakan diri menerima rasuah dan hadiah atas pengaruh dan kuasanya. Apabila pekerja di bawah pemimpin tersebut melihat perilaku yang salah dibiasakan maka mereka akan turut melakukan perkara yang sama. Kesannya, kerja tidak semenggah tetapi gaya hidup mewah. Intihannya, pemimpin yang mengamalkan nilai murni dalam kehidupannya merupakan ciri penting sebagai seorang pemimpin yang berwibawa dan baik.

Penutup

Secara kesimpulan, terdapat banyak ciri yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin yang berwibawa. Kepimpinan memerlukan seorang individu itu berfikir, bertindak dan membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan organisasi mereka. Pelbagai aspek yang perlu dipertimbangkan dan kesan daripada keputusan yang diambil perlu ditanggung. Hanya dengan latihan memikul tanggungjawab dan amanah dari hari ke hari yang mampu mengajar seseorang untuk menjadi pemimpin yang baik.

Pengalaman dan tunjuk ajar daripada golongan pemimpin terdahulu juga penting dalam memberikan idea kepada pemimpin masa kini untuk membuat keputusan terbaik berdasarkan kesesuaian zaman ini. Seorang pemimpin yang baik bukan sahaj bergantung kepada jawatan dan pencapaiannya tetapi juga keupayaannya mengendalikan peranan-peranan dalam organisasi dengan berkesan serta kaya dengan ciri-ciri kewibawaaan.

Related : mengambil risiko, anggota tim, rasa hormat, bertanggung jawab, perlu memiliki, peran penting, anggota timnya, tanggung jawab,